Anwar : Halang MP Masuk Sarawak Persis Regim Mubarak

KUCHING 12 MAC : Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam tindakan Ketua Menteri Sarawak,Tan Sri Taib Mahmud yang melarang Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa daripada memasuki Sarawak awal pagi tadi.

Katanya lagi ini merupakan salah satu contoh pemerintahan kuku besi persis pemerintahan Mesir di bawah regim Mubarak.

"Ini stail Mubarak bawah Mesir, kalau masyarakat Sarawak, Malaysia dan luar negara nak tahu apa erti sistem kuku besi, kerajaan autokratik, salah guna kuasa inilah contohnya," ujar Anwar.

Beliau juga menyifatkan Malaysia terutamanya negeri Sarawak, masih berada dalam kongkongan pemerintah yang bersifat kuku besi, di mana prinsip kebebasan tidak didokong dalam negara ini.

"Dan ini menunjukkan bahawa Malaysia khususnya di Sarawak masih ditahap dan dianggap negara yang belum maju dari segi kebebasan dan demokrasi dan masih tertakluk kepada sistem keras kuku besi seperti Ben Ali, Mubarak, dan At Taffi," katanya,

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Konvensyen PKR di Sarawak.

Pagi tadi Sivarasa dilarang daripada memasuki Sarawak setibanya beliau di Lapangan Terbang Antarabangsa Kucing.

Beliau yang tidak dibenarkan masuk tanpa alasan yang kukuh diberikan dan hanya arahan yang dikeluarkan oleh pejabat Ketua Menteri Sarawak.

Sebelum ini, pada tahun 2009 Sivarasa juga tidak dibenarkan masuk ke negeri tersebut .

Tsunami Jepun : Kedutaan Malaysia Pantau Rakyat Dan Pelajar Malaysia

KUALA LUMPUR 12 MAC : Kedutaan Malaysia di Tokyo sentiasa berhubung dengan rakyat dan penuntut Malaysia di kawasan yang terjejas teruk dengan kejadian gempa bumi di Jepun.

Setakat pukul 6 pagi hari ini (waktu Tokyo) kedutaan telah menghubungi 289 rakyat Malaysia di kebanyakan wilayah yang terbabit dengan gempa itu di Jepun.

Kedutaan Malaysia juga menghubungi rakyat Malaysia di kawasan lain di Jepun yang kurang terjejas dengan kejadian itu.

Menurut satu kenyataan Kementerian Luar di sini, hari ini, setakat ini semua rakyat Malaysia selamat dan tiada laporan mengenai rakyat Malaysia yang mengalami kecederaan.

"Rakyat Malaysia di kebanyakan kawasan yang teruk terjejas juga telah berpindah ke kawasan selamat yang disediakan pihak berkuasa Jepun. Laporan menunjukkan bahawa pihak berkuasa Jepun menangani keadaan itu dengan mengambil pelbagai langkah yang sewajarnya," kata kenyataan itu.

Gempa bumi berukuran 8.9 pada skala Richter menggegarkan timur laut Jepun tengah hari semalam mengakibatkan sehingga 1,000 orang terbunuh.

Wisma Putra dan Kedutaan Malaysia di Tokyo kini memantau perkembangan di negara itu. Kedutaan Malaysian juga sentiasa berhubung dengan pihak berkuasa Jepun untuk mendapatkan perkembangan situasi terkini dan sebarang pemakluman.

Kenyataan itu berkata Bilik Operasi di Wisma Putra dan Kedutaan Malaysia di Tokyo kini beroperasi 24 jam sehingga dimaklumkan. Malaysia juga menawarkan bantuan kepada Jepun.

Anggur bakal jadi tarikan pelancong ke Langkawi

Fakhri Ali

ALOR SETAR, 11 Mac: Bagi mempelbagaikan daya tarikan pelancong ke negeri Kedah, pelbagai usaha diterokai oleh kerajaan negeri khususnya di Pulau Tuba, Langkawi.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Masyarakat Siam, S.Manikumar berkata, kerajaan negeri sedang memberi perhatian terhadap penanaman anggur sebagai salah satu daya tarikan pelancongan.

Menurut beliau lagi, idea bagi mewujudkan ladang tanaman anggur ini lahir ketika kunjungan ke Ladang Anggur Tasik Beris, Sik diadakan pada bulan Januari yang lalu.

Tambahnya lagi, sekiranya peluang diberikan bagi merealisasikan impian mewujudkan ladang anggur tersebut, maka Pulau Tuba mampu untuk menjadi salah satu destinasi menarik bagi produk tanaman anggur tersebut.

"Penglibatan para pengusaha ladang anggur di Tasik Beris dengan menjalinkan hubungan dengan Kerajaan Negeri dalam produk ini, membolehkan satu lagi produk baru diwujudkan di pulau lagenda tersebut.

"Ia juga boleh dijadikan daya tarikan kepada pelancong tempatan dan luar negara seperti Thailand, Indonesia, Brunei dan Indonesia, " ujarnya lagi.

Sebelum ini Pulau Tuba juga dipilih untuk menjadi sebuah pulau ilmu apabila sebuah sekolah tahfiz dan sains akan dibina di atas tanah seluas 1.6 hektar.

Malah Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak semasa kunjungan beliau pada akhir Disember yang lalu ke Langkawi turut menyatakan sebidang tanah telah diwakafkan oleh sebuah pertubuhan bagi pembinaan sekolah tersebut.

Ternyata usaha kerajaan negeri, bagi mempromosikan produk pelancongan tempatan sememangnya mendapat sokongan dari individu, organisasi serta masyarakat setempat yang yakin dengan dasar dan sistem pemerintahan yang dibuktikan oleh Kerajaan Negeri memerintah Kedah sejak 2008 yang lalu.

HD

Tsunami Jepun : Lebih 1,000 Dikhuatiri Terbunuh


JEPUN 12 MAC : Lebih 1,000 orang dikhuatiri terbunuh di Jepun ekoran kejadian tsunami setinggi 10 meter selepas gempa bumi sekuat 8.9 pada skala Richter, dengan kebanyakan kematian akibat lemas, lapor media tempatan.

Kira-kira 3,000 penduduk yang tinggal berdekatan loji nuklear di Wilayah Fukushima, utara Tokyo dipindahkan daripada kawasan tersebut.

Kerajaan menyatakan tiada kebocoran berlaku di loji berkenaan namun tahap radiasi semakin meningkat.

Gempa bumi paling kuat dalam tempoh 140 tahun dengan ukuran 8.9 pada skala Richter, melanda timur laut Jepun semalam, mencetuskan gelombang tsunami sehingga setinggi 10 meter.

Agensi berita Kyodo melaporkan, gegaran kuat itu menyebabkan kerosakan besar kawasan di utara Jepun, manakala gelombang tsunami memusnahkan hampir apa saja di laluannya termasuk ladang pertanian, bangunan, rumah, kapal, kenderaan dan menyebabkan kebakaran.

"Gempa menyebabkan banyak kecederaan, kebakaran dan gelombang besar memaksa beribu-ribu penduduk melarikan diri ke kawasan lebih tinggi untuk menyelamatkan diri," lapor Kyodo.

Beberapa loji jana kuasa nuklear dan pusat penyulingan minyak ditutup manakala sebuah firma pengeluar besi utama terbakar. Kira-kira 4.4 juta rumah di bahagian utara Jepun terputus bekalan elektrik.

Kyodo melaporkan, sebuah hotel di bandaraya Sendai runtuh, menimbulkan kebimbangan ramai penghuni mungkin terperangkap.

"Keadaan sungguh teruk dan saya ketakutan. Saya tidak pernah mengalami gempa bumi sekuat ini sejak 20 tahun lalu," kata seorang pengurus sebuah restoran di Akasaka, Hidekatsu Hata, 36.

Pengalaman beliau dikongsi koresponden Reuters di Tokyo Linda Sieg yang turut merasai gegaran kuat di pejabatnya.


"Bangunan pejabat kami bergegar kuat dan lama, menyebabkan ramai kakitangan mengambil topi keledar untuk melindungi kepala mereka, manakala yang lain bersembunyi di bawah meja," katanya.

Stesen televisyen NHK menyiarkan imej gelombang tsunami menghanyutkan sisa bangunan, kenderaan di kawasan pantai Sendai yang mempunyai sejuta penduduk manakala kapal yang biasanya berada di pantai, dilihat terdampar di pelabuhan.

Asap hitam dilihat berkepul ke udara dari sebuah bangunan di Odaiba di pinggir Tokyo ketika perkhidmatan kereta api laju Jepun ke utara, terpaksa dihentikan.

Syarikat gergasi elektronik Jepun, Sony Corp, menghentikan operasi di enam kilangnya, ketika pesawat tentera udara dikejarkan ke pesisir pantai timur laut bagi meninjau tahap kerosakan yang berlaku.

Bank of Japan yang sedang berusaha meningkatkan ekonomi negara itu berkata pihaknya akan berusaha sedaya upaya memastikan pasaran kewangan terus stabil, ketika pasaran saham dan nilai yen jatuh.

Sementara itu, Pertubuhan Palang Merah di Geneva berkata paras air laut dilaporkan lebih tinggi di beberapa kepulauan Pasifik manakala amaran tsunami di seluruh wilayah itu kecuali Amerika dan Kanada.

- Reuters

Tsunami Jepun : 200 - 300 Mayat Ditemui


JEPUN 12 MAC : Pihak berkuasa melaporkan sekitar 200 sehingga 300 mayat ditemui di Sendai selepas tsunami melanda negara itu akibat gegaran gempa bumi kuat pada 8.9 skala richter berlaku pada 2.46 petang.

Setakat ini 137 disahkan terbunuh manakala 531 hilang dan 627 cedera.

Angka korban dijangka terus meningkat pada masa yang sama pihak keselamatan sedang bertungkus lumus dalam gerakan mencari dan menyelamat.

Sambutan 3 Tahun Kedah Sejahtera Meriah (Gambar)

http://www.wartakedah.net/images/ks7.jpg http://www.wartakedah.net/images/ks8.jpg

Hari kedua Sambutan 3 Tahun Kedah Sejahtera menyaksikan kehadiran orang ramai berpusu-pusu ke tapak program untuk mengikuti pelbagai acara yang diatur oleh pihak penganjur. Di sebelah pagi kira-kira 2,000 hadir mengikuti kuliah perdana yang disampaikan oleh Professor Dr. Aziz Hanafi dan Ustaz Ahmad Abdullah.

Di sebelah petang, pengisian program bertumpu kepada acara untuk kanak-kanak. Antaranya pertandingan mewarna dan sukaneka. Kehadiran maskot Upin dan Ipin memeriahkan lagi suasana. Di sebelah malam berlangsung konsert kesenian yang membariskan artis Amar, juara Idola Kecil Harris, Pak Long dan persembahan pentomen Sakaratulmaut oleh Dinie Juri dari Astro Oasis.

Sementara itu gerai pameran dan jualan terus mendapat sambutan dari orang ramai. Musim cuti sekolah menjadikan Sambutan 3 Tahun Kedah Sejahtera mendapat sambutan yang hebat dari orang ramai.

http://www.wartakedah.net/images/ks3.jpg http://www.wartakedah.net/images/ks5.jpg
http://www.wartakedah.net/images/ks4.jpg http://www.wartakedah.net/images/ks6.jpg
http://www.wartakedah.net/images/ks9.jpg http://www.wartakedah.net/images/k10.jpg
http://www.wartakedah.net/images/k11.jpg http://www.wartakedah.net/images/k12.jpg
http://www.wartakedah.net/images/k13.jpg http://www.wartakedah.net/images/k14.jpg
http://www.wartakedah.net/images/k15.jpg http://www.wartakedah.net/images/k16.jpg
http://www.wartakedah.net/images/k17.jpg http://www.wartakedah.net/images/k18.jpg
http://www.wartakedah.net/images/k19.jpg http://www.wartakedah.net/images/k20.jpg

Tsunami Jepun : Angka Korban Dijangka Terus Meningkat




JEPUN 11 MAC : Setakat ini seramai 60 terkorban manakala 39 hilang dalam kejadian gempa bumi dan tsunami melanda Jepun yang terburuk dalam jangkamasa lebih 100 tahun. Namun angka ini dijangka akan meningkat kerana usaha mencari dan menyelamat masih berjalan.

Dalam kejadian pada kira-kira 2.46 petang tadi waktu Jepun, gempa bumi dengan kekuatan 8.9 skala richter menggegarkan negara menyebabkan tsunami dianggarkan setinggi sepuluh meter.

Mengikut laporan Agensi Atom Antarabangsa, empat buah rektor nuklear di negara itu dihentikan operasinya serta merta berikutan gempa kuat itu.

Keadaan itu juga dilaporkan menyebabkan kebakaran dan tanah runtuh. Pusat penapisan di Chiba berhampiran Tokyo juga dilaporkan sedang terbakar.

Sementara itu lebih 50 buah negara mengeluarkan amaran tsunami sebagai langkah berjaga-jaga.

Di Rusia pihak berkuasa melaporkan lebih 11,000 dipindahkan daripada kawasan persisir pantai.

Sementara itu Penerbangan Malaysia Airlines (MAS) ke Lapangan Terbang Narita dan Lapangan Terbang Haneda di Tokyo hari ini tergendala berikutan gempa bumi kuat yang melanda perairan timur laut Jepun.

Bagaimanapun, penerbangan MH52 ke Lapangan Terbang Kansai di Osaka malam ini akan diteruskan mengikut jadual pada 11.50 malam.

Pengurus Perhubungan Awam MAS Su Wong berkata penerbangan MH70 pagi ini dariKuala Lumpur ke Narita telah pun dilencongkan ke Taipei.

Semua penumpang dan anak kapal MAS di lapangan terbang yang terjejas di Jepun berada dalam keadaan selamat, kata beliau menerusi satu kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan yang sama, Pengarah Operasi MAS Kapten Azharuddin Osman berkata syarikat penerbangan itu telah menerima notifikasi daripada pihak berkuasa

Lapangan terbang untuk menggantung semua penerbangan keluar dan masuk di Lapangan Terbang Narita serta Lapangan Terbang Haneda.

Bilik Operasi Wisma Putra [Gempa Bumi Di Jepun]: 03-88874570, 03-88892746, 019-2784566, 03-88892830, 03-88892380,03-88884770

Tsunami Landa Jepun Selepas Gempa Bumi Kuat



JEPUN 11 MAC : Satu gempa bumi kuat pada 8.9 skala richter menggegarkan Jepun dan amaran tsunami setinggi antara 4 - 6 meter dikeluarkan.

Mengikut Jabatan Meteorologi Malaysia gempa bumi kuat itu bermagnitud 7.4 skala Richter telah berlaku di berhampiran Perairan Timur Honshu, Jepun pada pukul 2.15 petang.

Pusat gempa bumi tersebut terletak di latitud 36.0 Utara longitud 141.2 Timur. 4078 km timur laut Kudat, Sabah.

Sementara itu menurut USGS gempa kuat itu dikesan dengan kekuatan 8.9 pada skala richter.

Laut bergelora dan paras air laut lebih tinggi dijangka berlaku di pantai-pantai Labuan dan Sabah bermula jam 6.00 petang hingga 12.00 tengah malam. Orang ramai dinasihatkan tidak berada di pantai-pantai berkenaan.

-LAPORAN LANJUT BAKAL MENYUSUL--

Kakitangan Kerajaan Kedah kini bebas dari ketakutan



ALOR SETAR, 10 Mac – Antara manfaat visi Kedah Sejahtera yang diperkenal dan dilaksanakan sejak tiga tahun lalu ialah, pegawai serta kakitangan Negeri Kedah kini bebas dari ‘ketakutan’.

Berucap di majlis perasmian Sambutan 3 Tahun Kedah Sejahtera, YAB Menteri Besar Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak berkata, dahulu mereka ‘wajib’ menyokong parti yang menjadi anutan kerajaan yang memerintah, namun hal seperti itu tidak lagi berlaku kini.

“Dasar kita ialah siapa sahaja berhak memilih parti yang mereka suka dan kita tak pernah pecat pegawai kerana politik.

“Kita beri jawatan kepada pegawai berdasarkan kelayakannya bukan kerana dia cenderung kepada kita (parti politik),” tegasnya.

Menurut beliau lagi, kerajaan pimpinannya mendokong dasar demokrasi yang dijamin oleh Perlembagaan Negara dan meminta Kerajaan Pusat juga turut menghormati dasar tersebut.

Menteri Besar itu mengambil contoh Australia yang mempunyai persamaan dengan sistem pentadbiran Malaysia menghormati konsep federalisme pusat terhadap negeri.

“Walaupun negeri West Australia diperintah oleh kerajaan yang tidak sealiran dengan pusat tetapi Pusat tetap memberi kerjasama yang baik. Tetapi jika negeri diperintah pihak lain maka pusat tarik dari maka itu bukan demokrasi namanya,” ujarnya.

Menurut Ustaz Azizan, di awal pentadbirannya terdapat amalan tidak demokratik yang mahu menggugat kerajaan yang dipilih oleh rakyat namun berkat doa dari rakyat segala percubaan untuk menjatuhkan kerajaan seperti di Perak tidak berjaya dilakukan.

Beliau bersyukur kerana sepanjang tiga tahun pentadbiran kerajaan pimpinannya pelbagai kejayaan telah dicatatkan. Antaranya ialah pertambahan hasil negeri, pertambahan pelabur dan perpaduan antara rakyat berbilang kaum yang semakin baik.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Speaker DUN Kedah, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, pegawai-pegawai kanan kerajaan serta pemimpin masyarakat dari semua peringkat.

Sambutan 3 Tahun Kedah Sejahtera yang dianjurkan oleh Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kedah itu diadakan mulai 10 hingga 14 Mac 2011 di perkarangan Stadium Darul Aman.

Gempa Bumi Kuat 6.5 Skala Richter Gegar Laut Bali

PETALING JAYA 11 MAC : Satu gempa bumi kuat bermagnitud 6.5 pada skala Richter telah berlaku di Laut Bali pada 01.09 pagi tadi.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan berkata pusat gempa bumi terletak di 7.1º Selatan dan 116.8 Timur, 1033 km dari tenggara Sarikei, Sarawak.

Gempa bumi kuat itu tidak mendatangkan ancaman tsunami.

Jabatan Meteorologi Malaysia sedang memantau perkembangan ini dan akan memaklumkan sebarang maklumat terkini.

BN Tidak Boleh Tarik Nafas Lega Kemenangan PRK

SHAH ALAM 11 MAC : Barisan Nasional tidak boleh menarik nafas lega walaupun memenangi Pilihan Raya Kecil Merlimau dan Kerdau baru-baru ini.

Menurut Ketua Angkatan Muda Keadilan Shamsul Iskandar Md Akin, majoriti kemenangan BN di kedua-dua tempat walaupun bertambah, langsung tidak beri kesan signifikan.

"Kalau dahulu tahun 2008, majoriti 2100, tapi kini kira-kira 3600 tapi bukan sampai 4200 sampai kita merasa gusar. Walaupun banyak duit dibelanjakan tapi tidak dapat majoriti yang beri kesan signifikan kepada petugas parti tidak kira PR atau BN," kata Shamsul dalam rancangan Fokus Berita terbitan TV Selangor yang membincangkan analisa PRK Merlimau dan Kerdau.

Pada PRK Kerdau dengan majoriti 2, 724 undi. BN yang diwakili Naib Ketua Umno Bahagian Kuala Krau berjaya memperolehi 5,060 undi sekaligus menewasakan calon PAS, Hassanuddin Salim yang mendapat 2,336 undi.

Manakala di Merlimau calon Barisan Nasional, Roslan Ahmad berjaya menewaskan calon Pas, Yuhaizad Abdullah dengan majoriti 3,643 undi.

Shamsul yang mengambil sikap optimis dengan kekalahan itu menyambut baik keputusan ini dan yakin pengundi akan menyedari hakikat sebenar menjelang Pilihan Raya Umum akan datang apabila BN tidak mampu memberi tumpuan terhadap janji-janji mereka.

"Pada saya ada hikmah PRK berlaku, kerana paling tidak PR ada peluang untuk beri kempen dan idea yang mungkin mengambil masa untuk dihadam oleh pengundi."

"Ia berbeza PRK dengan PRU kerana PRU isunya besar dan kawasan ini mungkin tak terpaut jentera BN. Saya yakin dalam PRU nanti, mesej kita semasa PRK akan beri kesan. Dan cabaran akan lebih besar kepada BN yang mereka ingin melihat adakah janji-janji Datuk Ali dapat ditunaikan," ulas Shamsul

Sementara itu Ahli Majlis Pimpinan PAS Pusat Datuk Seri Nizar Jamaluddin pula dengan sinis menganggap keghairahan UMNO berbelanja untuk memenangi PRK tersebut tidak bersesuaian dengan undi yang diberikan.

Beliau turut kesal dengan tindakan tergesa-gesa BN Melaka pimpinan Datuk Wira Ali Rustam yang mula menjalankan projek mee segera mereka sejurus pengkebumian penyandang, Allahyarham Datuk Khidir Hassan 20 Januari lalu.

"Di negeri lain projek mee segera bermula sejak penamaan calon tapi di sini (Merlimau) ia bermula selepas pengkebumian. Kalau diikutkan, PAS sepatutnya sudah hilang wang pertaruhan. Tapi kita dapat kekalkan sokongan kita. Kalau tengok dari segi imbuhan kepada pengundi. Kalau ikut dari janji yang dibuat PM dan TPM di kedua-dua tempat, PAS sepatutnya sudah hilang wang pertaruhan tapi kita dapat kekalkan undi," kata Nizar

PRK Kerdau dan Merlimau merupakan perlawanan ketiga dan keempat berturut-turut PAS dan UMNO selepas Manik Urai dan Tenang yang menyaksikan pertembungan calon UMNO dan PAS mewakili BN dan PR di kawasan bermajoriti Melayu.

UMNO menggunakan peluang ini untuk menggula-gulakan pengundi dan memainkan isu perkauman dan menyebar fitnah terhadap PAS dan Pakatan Rakyat.

Nizar yang juga menerajui Perak sebelum dirampas UMNO pada 2009 turut menyatakan berbeza dengan UMNO, kempen PAS dan Pakatan adalah jauh lebih konsisten dan berteraskan agenda bersama Pakatan Rakyat.

"Apa yang PAS tunjukkan ialah strategi kita dalam Pakatan Rakyat menyebarkan isu ketidakadilan dalam masyarakat. Kita timbul isu rasuah, penyalahgunaan kuasa, penyelewengan, dan semua ini adalah prinsip Pas yang dipersetujui semua Pakatan Rakyat. Jadi kalau PAS lawan UMNO dalam itulah isu yang dimainkan pun supaya rakyat dapat melihat hasil pentadbiran kita dalam 5 negeri," kata beliau.

Saifuddin - Mahathir 'Takut' Ke Mahkamah




KUALA LUMPUR 10 MAC : Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail hari ini membidas sikap bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad yang enggan ke mahkamah selepas disapina untuk memberikan keterangan berhubung tuduhan yang direka terhadap Anwar Ibrahim.

Saifuddin dalam sidang media di lobi Parlimen mendakwa bekas perdana menteri itu mengemukakan alasan beliau hanya akan hadir memberi keterangan sekiranya dimaklumkan soalannya terlebih dahulu.

Beliau mengulas isu yang dibangkitkan bekas Perdana Menteri itu di dalam biografinya bertajuk "A Doctor in the House : The Memoirs of Tun Dr Mahathir Mohamad yang dilancarkan Selasa lalu yang mendakwa Anwar terlibat dalam aktiviti tidak bermoral.

"Saya tak fikir jika kita disapina hari ini di mahkamah, kita ada keistimewaan untuk bertanya soalan apa. Kita kena hadir. Kalau tidak hadir, keesokan harinya kita akan ditangkap polis dan didakwa menghina mahkamah. Dr Mahathir takut untuk hadir ke mahkamah walaupun peguam Anwar menggunakan proses undang-undang yang sah iaitu sapina beliau untuk memberi keterangan. Waktu itu Dr Mahathir berpeluang untuk menceritakan apa yang diceritakan dalam buku. Berani kerana benar. Kalau betul apa yang ditulis di dalam buku itu, tiada siapa yang berani balas," katanya.

Saifuddin dengan nada sinis berkata, tindakan Dr Mahathir takut untuk berhadapan mahkamah dan peguam Datuk Seri Anwar ketika perbicaraan itu berlangsung jelas menunjukkan beliau tidak mampu berhadapan Anwar secara terbuka.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung PKR itu juga turut menyatakan Dr Mahathir diberitahu isu berkenaan oleh Tun Hanif seawal tahun 90 an.

"Kita tahu dalam proses perlantikan jawatan tinggi dalam negara kita mestilah melalui satu tapisan personality clearance. Kalau ketika itu jika benar aduan Tun Hanif kepada beliau, Anwar masuk Umno seawal tahun 1983 dan dipecat pada 1998. Isunya ialah kenapa waktu itu Anwar lulus self clearance sehingga menjadi Menteri Pelajaran, Menteri Kewangan dan akhirnya Timbalan Perdana Menteri."

Saifuddin berkata, kenyataan dikeluarkan Dr Mahathir di dalam biografinya itu adalah meragukan lebih-lebih lagi maklumat tersebut disampaikan oleh Tun Hanif. Beliau turut menjelaskan, adalah tidak mustahil Perdana Menteri juga boleh ditipu.

"Tun Hanif pernah memberi keterangan kepada mahkamah bahawa tiada dalam Al-Quran yang mangatakan haram judi. Sedangkan daripada 6,666 ayat ada mengharamkan judi, Hanif kata dia tak pernah jumpa. Orang yang ada maklumat tentang Anwar ialah Hanif. Dan orang seperti Hanif itu sudah tentu kenyataannya boleh diragui.

Anwar juga dikatakan tidak menafikan tuduhan itu ketika Majlis Tertinggi. Mahathir tidak cerita, sebelum memulakan mesyuarat, Mahatihir mahukan Anwar dipecat. Mahathir mahukan anwar dipecat sebelum beliau berhak memberi penjelasan," katanya.

Ujar Saifuddin, isu yang dibangkitkan Dr Mahathir bukanlah perkara baru, sebaliknya hanyalah isu lama yang tidak mampu dibangkitkan di Parlimen sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri ketika itu.

Harta Kediaman Dijangka Naik 13 Peratus 6 Bulan Pertama 2011

Najib Guna Duit Rakyat Hantar Emel Salam1M'sia

KUALA LUMPUR 10 MAC : Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak membelanjakan RM63,000 duit rakyat untuk menghantar emel ucapan "Salam 1Malaysia" kepada lebih sejuta rakyat Malaysia mencerminkan sikap boros dan menyeleweng kerajaan secara terang-terangan, ksta Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok.

Dalam jawapan bertulis kepada Parlimen, Najib berkata selain emel, empat juta khidmat pesanan ringkas dihantar oleh tiga syarikat-syarikat telekomunikasi - DiGi Bhd, Maxis Bhd dan Celcom Bhd - sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat mereka.

Syarikat yang mengendalikan penghantaran emel berpangkalan di Amerika Syarikat mengenakan bayaran RM63,000 itu.

"Wang itu bukanlah dana peribadinya, tetapi wang pembayar cukai, yang perlu diuruskannya dengan cermat untuk kebaikan semua rakyat Malaysia, " kata Teresa.

Beliau yang juga exco kerajaan Selangor turut mendakwa bahawa Najib telah menganugerahkan kontrak menghantar emel kepada pihak ketiga, Lyris Inc, yang merupakan syarikat pemasaran teknologi yang berpangkalan di California.

Teresa mendakwa, tiada proses tender terbuka, tetapi nama syarikat terbabit, boleh dilihat dengan mengklik pada pautan 'tidak melanggan' (unsubscribe) pada emel.

Sehubungannya, beliau menggalakkan orang ramai mengklik 'tidak melanggan' (unsubscribe) senarai penghantaran 'Salam 1Malaysia' bagi menyelamatkan wang pembayar cukai serta untuk menghantar satu mesej protes terhadapnya.

(Live) Perasmian Sambutan 3 Tahun Kedah Sejahtera oleh Menteri Besar Kedah, YAB Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak


JIKA SIARAN TERSEKAT SILA REFRESH KEMBALI

Najib Dan Mubarak - Persamaan Yang Ketara



PETALING JAYA 10 MAC : Pemerintahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang sering menindas dan bersikap autoritarian dilihat persis corak pemerintahan bekas diktator Mesir Hosni Mubarak dakwa kepimpinan Parti Keadilan Rakyat.

Naib Presiden Keadilan N Surendren menyatakan betapa Najib yang menerajui Barisan Nasional sentiasa secara konsisten menggunakan apa-apa cara walaupun jahat untuk kekal berkuasa seperti Parti yang diterajui Mubarak, Parti Demokratik Nasional (NDP) di Mesir.

"Antara persamaannya adalah: pergantungan kerajaan atas suatu sistem polis yang agam untuk menumpaskan pihak Pembangkang; kawalan ketat ke atas media cetak dan television; tahanan tanpa bicara yang bermotifkan politik; keadaan darurat berdekad yang tidak dibatalkan; sistem kehakiman yang berat sebelah dan berpihak kepada kerajaan; pilihanraya yang tidak bebas ataupun adil," kata Surendren.

Mubarak digulingkan oleh rakyatnya selepas jutaan mereka berkumpul dan memprotes secara aman di Dataran Tahrir sejak 25 Januari lalu selepas tidak tahan dengan pemerintahan kuku besi beliau selama 30 tahun.

Surendren mendakwa persamaan paling ketara antara Mesir di bawah Mubarak dan Malaysia di bawah Najib ialah cubaan mengheret seteru politik mereka menghadap tuduhan yang direka di bawah sistem keadilan Mahkamah yang dikuasai pemerintah.

Menurut beliau, kes Fitnah 2 yang dihadapi Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim persis dengan apa yang dilakukan Mubarak ke atas pemimpin pembangkang Mesir Ayman El Nour pada tahun 2005 sehingga menyebabkan Ayman dipenjara selama lima tahun.

Anwar semasa pemerintahan mantan Perdana Menteri Tun Mahathir juga pernah dipenjara selama 6 tahun.

"Kerajaan Najib menggunakan taktik yang sama sahaja. Mubarak dengan terkenalnya menggunakan mahkamah Mesir untuk memenjarakan Ayman Nour, pemimpin Parti El Ghad yang dipenjarakan selama 5 tahun dengan kerja berat. Persamaan dengan pendakwaan Anwar yang sekarang berlangsung adalah amat ketara," kata beliau lagi.

Justeru Surendren menyatakan rakyat perlu bangkit untuk memastikan kerajaan Barisan Nasional disingkirkan agar penindasan, korupsi dan kezaliman seperti ini dapat dihentikan sepertimana Mubarak dan NDP.

"Rakyat Malaysia, bersama dengan dunia, berasa girang melihat melihat pemergian penzalim Mubarak dan kemenangan rakyat Mesir. Sekarang, kita mengalukan hari yang cemerlang apabila rakyat Malaysia mengakhiri pemerintahan membazir, lembap dan menindas Barisan Nasional dan pemimpinnya Najib Tun Razak.

Pemerintahan Barisan Nasional yang mencerminkan pemerintahan Mubarak ke atas Mesir, mesti berakhir. Untuk kebaikan negara, Barisan Nasional perlu disingkirkan," katanya.

Daerah Yan terus jadi tumpuan pelancong

YAN – Daerah Yan merupakan sebuah daerah yang kaya dengan tempat-tempat menarik untuk dilawati dan ia dikelilingi dengan pemandangan sawah padi serta kehijauan Gunung Jerai.


Tempat-tempat peranginan dan rekreasi yang sering menjadi tumpuan di daerah ini ialah Rimba Rekreasi Titi Hayun dan Rimba Rekreasi Seri Perigi. Salah satu tempat menarik yang boleh dikunjungi ialah Rimba Rekreasi Batu Hampar.

Rimba Rekreasi Batu Hampar mempunyai daya tarikannya yang tersendiri dengan suasana dan persekitaran yang mampu memberikan kelainan kepada setiap pengunjung.

Rimba Rekreasi Batu Hampar terletak kira-kira 50 kilometer dari Bandaraya Alor Setar dan 30 kilometer dari Sungai Petani dan ia merupakan salah satu tempat rekreasi yang menarik di negeri ini.

Rimba rekreasi ini yang terletak tiga kilometer dari Pekan Yan dihubungkan dengan rangkaian jalan raya yang strategik dan memudahkan pengunjung untuk melawatinya.

Untuk ke rimba rekreasi ini, pengunjung akan melalui dusun buah-buahan, ladang getah dan perkampungan tradisional Melayu di sepanjang jalan. Pengunjung juga boleh menikmati pelbagai flora dan fauna dari Hutan Simpan Gunung Jerai.



Antara tumbuhan utama yang boleh ditemui di sini ialah Meranti, Melanti, Meranti Langgong dan Meranti Tembaga.

Antara kemudahan asas yang disediakan di sini ialah tandas awam, pondok rehat serta bilik persalinan. Kawasan peranginan ini terletak berhampiran dengan Istana Hinggap Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Tuanku Sultan Kedah.

Rimba Rekreasi Batu Hampar merupakan tempat yang sesuai kepada mereka yang gemarkan aktiviti perkhemahan dan berkelah bersama keluarga.

Ini kerana suasananya yang nyaman, tempat mandi-manda yang sesuai untuk kanak-kanak dan orang dewasa serta tapak perkhemahannya yang luas.


Bagi mereka yang sukakan aktiviti jungle tracking, bolehlah menikmati keindahan Hutan Lipur Batu Hampar yang terletak dalam Hutan Simpan Gunung Jerai yang mempunyai Hutan Dipterokarp Pamah.

Kebersihan dan kejernihan air Sungai Raga yang merentangi hutan lipur ini merupakan tarikan utama kawasan ini di samping kewujudan pokok-pokok besar yang cantik dan menarik.

Untuk sampai ke hutan lipur ini, pengunjung boleh menggunakan kenderaan sendiri atau teksi dari Pekan Yan. Hutan lipur ini menyediakan beberapa kemudahan asas seperti tandas, jambatan dan denai hutan.

Antara aktiviti-aktiviti yang boleh dilaksanakan di sini seperti mandi-manda, berkelah, berkhemah di samping bersiar-siar serta mendaki gunung.

Fitnah 2 : Prosedur Belum Selesai, Anwar Tidur Lokap Semalaman

KUALA LUMPUR 10 MAC: Ketua Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang Bukit Aman, DSP Jude Blacious Periera memberitahu mahkamah prosedur rakaman lisan oleh polis hanya boleh dirakamkan sebelum jam 6 petang, seraya menyebabkan Datuk Seri Anwar Ibrahim ditahan semalaman di lokap D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Jude berkata, penahanan itu bagi membolehkan beliau menyambung sesi keterangan Anwar pada keesokan harinya.

"Saya tahan kerana siasatan saya masih belum selesai. Ada beberapa soalan saya perlu tanya. Kami ada arahan tidak boleh rekod pada waktu malam," jelas beliau seolah-olah tidak jujur dengan penjelasannya.

Katanya, sesi pada keesokan harinya diteruskan berkaitan pemeriksaan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

DPP Datuk Yusof Zainal Abiden kemudian mengarahkan Jude merujuk kepingan gambar untuk mengecam individu-individu yang hadir ke kondominium Desa Damansara pada 26 Jun 2008 termasuk Anwar dan pengadu Saiful Bukhari Azlan.

Mahkamah pada sebelah pagi menyaksikan Jude untuk pertama kalinya masuk ke kandang saksi.

Beliau adalah saksi terakhir pendakwaraya.

Beliau yang bersama-sama pengadu Saiful Bukhari Azlan sejak awal memberi keterangan tentang perkara selepas kejadian.

Timbalan Pendakwaraya (DPP), Datuk Yusof Zainal Abiden menyoal balas berhubung pemeriksaan perubatan oleh tiga orang doktor di HKL pada 28 Jun 2008.

Jude berkata beliau bertindak sebagai pemerhati ketika pemeriksaan dilakukan terhadap Saiful dan kemudian mengambil kesemua 12 spesimen daripada doktor untuk disimpan di pejabatnya.

Kemudian Jude memberitahu telah merampas pakaian Saiful termasuk seluar dalam di rumahnya yang terletak di Bandar Utama.

Pada hari yang sama Jude turut merampas sebotol gel jenama Johnson & Johnson daripada Saiful.

Pada 30 Jun, beliau bersama pasukan forensik PDRM yang diketuai Superintenden Amidon ke kondominium Desa Damansara dan merampas beberapa barang termasuk sehelai rambut, karpet dan selimut di unit 1-5-1 dan 1-5-2 kondo yang sama.

Pada hari yang sama, Jude menyerahkan 12 spesimen yang diambil dari HKL pada 28 Jun kepada Dr Siew Sheue Feng.

"Saya buka penutup sebab saya mahu memeriksa samada penutup masih lekat dan mahu tandakan setiap barang," jelas Jude.

Mahkamah bersambung 9 pagi esok.

Malaysia Mara Ke Pusingan Kedua Kelayakan Olimpik 2012


KUALA LUMPUR 10 MAC : Malaysia mara ke pusingan kedua Kelayakan Olimpik 2012 walaupun seri tanpa jaringan 0-0 menentang Pakistan pada perlawanan kedua, pusingan pertama yang berlangsung di Stadium Punjab, Lahore,Pakistan lewat malam tadi (waktu Malaysia).

Terikat seri tanpa jaringan bagaimanapun membolehkan Malaysia mara kepusingan kedua dengan kelebihan agregat 2-0.

Pada 23 Februari lepas, skuad anak buah Ong Kim Swee membawa bekal 2-0 apabila menewaskan Pakistan pada perlawanan pertama, pusingan pertama di Stadium Shah Alam.

Lawan Malaysia pada pusingan kedua akan ditentukan kemudian melalui undian pada 30 Mac ini di Rumah Persekutuan Bolasepak Asia (AFC), Bukit Jalil dan perlawanan kalah mati tersebut akan berlangsung pada 19 dan 23 Jun depan.

Pada pusingan kedua, 13 negara yang menduduki kedudukan tertinggi Asia akan beraksi bersama 11 negara yang menang dari pusingan pertama dan 12 pemenang dari pusingan kedua akan dibahagikan kepada tiga kumpulan dan akan bermain enam perlawanan bermula 21 September depan hingga 14 Mac 2012.

Pasukan yang menduduki tangga teratas dari setiap kumpulan secara automatiknya layak ke temasya itu di London. Skuad bolasepak kebangsaan pertama kali layak ke pusingan akhir temasya sukan terbesar dunia itu pada Sukan Olimpik Munich, Jerman pada 1972 dan kali terakhir pada Sukan Olimpik Moscow pada 1980.

Malaysia bagaimanapun tidak beraksi di Moscow kerana membantah pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan pada ketika itu. Pada kelayakan Olimpik Beijing 2007, Malaysia berada di tempat ketiga di belakang Syria dan Jepun dalam saingan peringkat kumpulan.

Saifuddin akan dedah MP PKR dibeli RM1.4 juta

Benarkah Mahathir Hanya ikut Telunjuk Orang Lain?

KOMENTAR : Adakah keterlaluan jika dirumuskan Tun Mahathir Mohamad tidak mempunyai banyak kuasa selama 22 tahun menjadi Perdana Menteri? Kesimpulan ini mungkin boleh dibuat berasaskan nilai “pengakuan” beliau sendiri dalam buku kisah hidupnya, “Doctor in the house”.

Atau, adakah Mahathir sekadar berbohong untuk menutup pekung di dada dan menghalalkan segala penyelewengan kuasa, pemborosan dan rasuah dan kronisme yang mewarnai pemerintahan beliau?

Bersandarkan buku “A doctor in the house” dan pengakuan Mahathir sendiri, mantan perdana menteri itu mahu awam percaya bahawa bukan keputusan beliau memecat Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abbas pada tahun 1988.

Malah beliau juga tidak bertanggungjawab ke atas penangkapan lebih seratus orang aktivis masyarakat dan ahli politik di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri menerusi Operasi Lalang pada tahun 1987.

Dalam buku nukilannya sendiri, Mahathir meletakkan beban pemecatan Salleh Abas kepada mantan Sultan Johor Al-Marhum Sultan Mahmud Iskandar.

Almarhum yang mangkat tahun lalu, kononnya mendesak Mahathir selaku Perdana Menteri ketika itu untuk memecat Salleh.

Selain itu Mahathir, mengikut pengakuannya sendiri, terpaksa akur desakan Ketua Polis Negara Tun Haniff Omar untuk melancarkan Ops Lalang.

Mungkin perlu ditambah kepada pendedahan Mahathir itu adalah tema yang sering dikitar oleh beliau, bahawa Anwar Ibrahim kononnya “menggadaikan” negara apabila berurusan dengan Tabung Kewangan Antarabangsa atau IMF.

Mahathir mahu rakyat mempercayai bahawa walaupun menjadi Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri atau dalam erti kata lain, orang paling berkuasa di Malaysia, beliau tidak mempunyai apa-apa kuasa untuk menegur Anwar mengenai tugas-tugasnya.

Mahathir juga mahu kita mempercayai bahawa beliau TIDAK sama sekali mengarahkan Petronas menggunakan hasil minyaknya untuk membeli kapal-kapal tangki bernilai lebih RM1bilion untuk menyelamatkan anaknya Mirzan ketika kemelesetan ekonomi 1997.

Begitu juga dengan keputusan Petronas untuk membiayai projek-projek seperti pembinaan Putrajaya, Lapangan Terbang KLIA dan sebagainya. Kesemua pelaburan berjumlah lebih RM100 bilion ringgit itu itu adalah berasaskan keputusan dibuat oleh pengurusan Petronas sendiri dan bukan atas kehendak Mahathir.

Jadi rakyat tidak boleh dipersalahkan jika merumuskan Mahathir adalah seorang Perdana Menteri yang mengaku dirinya sebagai tidak mempunyai kuasa dan hanya mentadbir di bawah telunjuk pihak lain.

Semalam, ketika melancarkan buku nukilannya itu, Mahathir berkata beliau mengambil masa lapan tahun menulisnya dan menunggu masa sesuai sebelum melancarkan buku itu.

Amat mendukacitakan Almarhum Sultan Mahmud sudah mangkat dan tidak dapat membela diri terhadap tuduhan Mahathir bersabit pemecatan Salleh Abas. Pemecatan beliau bersama lima hakim kanan yang lain masih menjadi detik hitam dalam sejarah perundangan negara.

Mahathir mengelak daripada memikul tanggungjawab mencalar dan menghakis kewibawaan sistem kehakiman negara tetapi sebaliknya menyalahkan seorang Sultan yang sudah mangkat.

Dalam kes Anwar, Mahathir mengelak untuk memberi keterangan di Mahkamah, tetapi ibarat seorang pengecut, beliau melontarkan fitnah dan tuduhan dan berlindung di bawah payung Umno yang melihat Anwar sebagai musuh politik utamanya.

Mungkin kini sudah sampai masanya pihak Istana menegur Mahathir kerana sifat celuparnya mengheret keluarga diraja Johor semata-mata untuk menghalalkan tindakannya memecat Salleh Abas demi menyelamatkan diri beliau dan Umno pada tahun 1988.

Dan, mungkin sampai masa Mahathir sedar bahawa lebih banyak beliau bercakap, lebih terserlah pembohongannya.

Kes Anwar : Kenyataan Saiful "Mencurigakan"

KUALA LUMPUR 9 MAC : Seorang patologis forensik kerajaan hari ini mendedahkan percanggahan di antara pengakuan Saiful Bukhari Azlan dan pertuduhan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Dr Razuin Rahim berkata Saiful memberitahunya beliau diliwat secara paksa oleh Anwar pada 26 Jun 2008 namun pertuduhan terhadap Ketua Pembangkang itu tidak membabitkan unsur sedemikian.

Saiful turut mendakwa beliau mengalami pendarahan akibat diliwat beberapa kali sebelum itu, namun pemeriksaan doktor pada 28 Jun 2008 mendapati tiada kecederaan sedemikian pada dubur Saiful.

Ditanya oleh peguambela Karpal Singh kenapa dakwaan Saiful bahawa bahan pelincir digunakan dalam kejadian liwat berkenaan tidak dicatitkan dalam borang pemeriksaan doktor, Razuin mendakwa borang berkenaan tidak sesuai untuk tujuan kes-kes liwat.

Razuin mendakwa Saiful memberitahunya bahawa beliau tidak pernah bersetuju untuk diliwat, memberi gambaran bahawa Anwar yang berusia 67 tahun dan mengalami sakit pinggang kronik, menggunakan paksaan untuk meliwat beliau (Saiful).

Razuin berkata beliau diarah member keterangan kepada pengawai penyiasat Timbalan Penguasa Jude Pereira dua kali iaitu Januari 2010 dan bulan lalu berhubung borang pemeriksaan awal ke atas Saiful.

Pendakwaraya turut memanggil Ketua Staf pejabat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ibrahim Yakob ke kandang saksi.

Ibrahim berkata pada hari kejadian, beliau mengarahkan Saiful menghantar sebuah sampul surat kepada Anwar di Kondominium Desa Damansara sekitar jam 12 tengahari.

Anwar ketika itu sedang mengadakan mesyuarat mengenai isu-isu ekonomi bersama pakar-pakar bidang itu.

"Saya sibuk dan suruh Saiful menghantarnya kepada Datuk Seri Anwar. Beliau menggunakan kenderaan MPV berwarna merah," jelas Ibrahim.

Beliau memberitahu mahkamah Saiful meletakkan jawatan pada 27 Jun 2008 melalui email kepada Anwar dan beliau.

"Dalam email dia (Saiful) berkata, dia tidak dapat memikul amanah yang dipertanggungjawabkan kepadanya dan justeru itu meletak jawatan," katanya lagi.

Hakim Zabidin menangguhkan perbicaraan hingga jam 9 pagi esok untuk mendengar keterangan saksi terakhir DSP Jude.

Nurul Izzah: Kita Buat Transformasi Politik Yang Tak Mungkin Berani Dilaksanakan Oleh BN

Najib Cakap Lain.Bikin Lain, Kata Saifuddin.mpg

Pemimpin UMNO Masih Cemas Memikirkan Anwar



Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim masih mencemaskan Barisan Nasional kerana kepimpinan beliau di dalam Pakatan Rakyat semakin mantap dan sokongan orang ramai terhadapnya tetap utuh.

Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution berkata dakwaan pemimpin UMNO BN kononnya Ketua Pembangkang itu ditolak oleh Pakatan Rakyat hanyalah cubaan terdesak pemerintah untuk mengaburi mata rakyat mengenai realiti politik semasa.

"Tahun 1999 selepas insiden Anwar Ibrahim, pembangkang memenangi hampir 27 kerusi parlimen Anwar dalam penjara. Tahun 2004 Anwar masih dalam penjara dan prestasi pembangkang menjunam. Tahun 2008 Anwar telah keluar dari penjara dan menjelajah ke seluruh negara dan itu menumbang kepada peningkatan 81 kerusi parlimen secara keseluruhan," katanya.

Justeru untuk memastikan UMNO BN tidak menerima nasib sama pada pilihanraya umum akan datang, parti pemerintah itu menfitnah Anwar dengan harapan untuk menghakis pengaruh Pakatan Rakyat.

"UMNO Barisan Nasional mengkaji segala kelebihan dan kelemahan Pakatan Rakyat dan telah mensasarkan serangan watak dengan harapan menjadi lemah," katanya.

Perdana Menteri Najib Razak dan timbalannya Muhyiddin Yassin sebelum ini mendakwa sokongan untuk Anwar kononnya meluntur walaupun hakikat adalah UMNO BN terus menggunakan polis dan mengupah samseng untuk menghalang Ketua Pembangkang itu daripada berceramah di Johor dan terbaru di Kerdau.

Di Parlimen, cemas dengan pendedahan Anwar mengenai pelbagai penyelewengan UMNO BN, parti itu menggunakan kelebihan majoriti untuk menggantung Anwar selama enam bulan.

Turut digantung Ahli Parlimen Pembangkang iaitu, Azmin Ali dan R.Sivarasa dari PKR serta Pengerusi DAP Karpal Singh.

Penggantungan itu tidak sedikit pun menimbulkan sebarang perselisihan mengenai kepimpinan Pakatan Rakyat.

"Kita bukan memilih ketua pembangkang. Majlis presiden membuat keputusan tidak ada sebarang pemilihan ketua pembangkang memandangkan ini hanyalah agenda membahas titah diraja," kata Saifuddin.

Ahli Parlimen PKR Lompat Parti terus Mampu beli Tanah RM1.5 Juta?

KUALA LUMPUR 8 MAC: Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan di Parlimen hari ini beberapa keping cek ditandatangan oleh seorang ahli parlimen bagi membeli tanah bernilai RM1.5 juta.

Beliau mendedahkan perkara tersebut semasa membahaskan ucapan menjunjung kasih Duli Yang Maha Mulia Yang Di Pertuan Agung petang tadi menjelaskan, cek tersebut ditandatangani oleh seorang ahli parlimen PKR yang baru-baru ini keluar parti tetapi yang menghairankan beliau ialah ahli parlimen tersebut berkemampuan membeli tanah tersebut dalam masa dua bulan sahaja selepas keluar parti.

Beliau menegaskan parti PKR bukanlah tempat untuk menjadi kaya ataupun membuat duit seperti tanggapan segelintir yang keluar parti, maka ahli yang tidak berpuas hati bertindak keluar parti dan mula melontarkan tohmahan yang tidak benar terhadap parti.

"Yang tak dicerita apa dia? Bila berada dalam barisan pembangkang, khususnya PKR ini, bukannya lesen nak jadi kaya. Kalau hidup berpendapatan RM10, jangan berbelanja RM100. Ketidakupayaan untuk menambah RM90 kadang-kadang menyebabkan mereka tewas dengan ujian," kata beliau.

Beliau menjelaskan, ada ahli yang mula membuat pelbagai dakwaan liar terhadap parti selepas keluar parti, bahawa kononnya parti ini telah meninggalkan perjuangan membela rakyat, parti dipimpin pengkhianat, seorang ketua yang mahu menjadi Perdana menteri walau apa cara sekalipun dan bermacam lagi semata-mata sebagai alasan keluar parti.

"Pada saya ini ada salinan cek yang ditandatangani oleh satu daripada enam rakan sayan yang keluar parti. Satu cek, RM700 ribu bertarikh 12 Januari, 2011. Satu cek lagi, 15hb Mac, 'post dated'. Tujuannya apa? Bayar harga tanah, nilainya RM1.5 juta," ujar beliau.

Saifuddin kemudiannya mempersoalkan punca pendapatan tersebut sehingga dapat memberi kemampuan luar biasa kepada ahli parlimen tersebut membuat pembelian semewah itu.

"Duduk dalam parti, (dia) tanya tak dapat itu ini. Keluar sahaja, dapat bayar tanah RM1.5juta. Dari mana dapatnya duit ini? Itu sahaja persoalannya," tegas beliau.

Katanya lagi, beliau ingin tahu samada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan memulakan siasatan atau tidak terhadap ahli parlimen tersebut selepas beliau mendedahkan perkara tersebut.

Kes Anwar Makin Jelas Ada Agenda Politik

(LIVE) CERAMAH 3 TAHUN PR NEGERI KEDAH & PELANCARAN BUKU JINGGA..


JIKA SIARAN TERSEKAT SILA REFRESH KEMBALI

Peningkatan Mendadak Pengundi Pos Dipertikai

KUALA LUMPUR, 8 MAC: Parti Keadilan Rakyat mendakwa wujudnya perancangan terancang pihak tertentu berikutan peningkatan mendadak jumlah pengundi pos sebanyak 459 di DUN Kok Lanas bertujuan untuk memanipulasi keputusan pilihanraya pada masa akan datang.

Menurut Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution beliau menolak dakwaan pihak SPR sebelum ini yang mengatakan pertambahan pengundi pos adalah disebabkan kesedaran politik secara tiba-tiba kalangan isteri para tentera.

Beberapa hari lalu, Ahli Parlimen Simpang Pulai Chan Ming Kai membangkitkan isu pertambahan mendadak hampir 6,000 pengundi pos di Dun Pangkor, Parlimen Lumut.

Reaksi Datuk Wan Ahmad Omar dari SPR perkara ini berlaku memandangkan kesedaran politik yang tinggi di kalangan isteri-isteri tentera lalu mendaftar sebagai pengundi Pos

"Ini mengesahkan bahawa pertambahan undi pos mendadak bukanlah daripada kesedaran politik secara tiba-tiba di kalangan isteri tentera tetapi wujud semacam satu pihak yang melakukan perbuatan ini secara tersusun dan terancang," katanya.

Konvoi bermotosikal sebar info Sambutan 3 Tahun Kedah Sejahtera

ALOR SETAR – Konvoi bermotosikal menjelajah ke seluruh negeri menjadi acara permulaan sambutan tiga tahun pemerintahan Kerajaan Negeri Kedah di bawah pimpinan Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak yang bermula pada 5 Mac 2011.

Konvoi yang bermula di Padang Terap itu dianggotai seramai 50 peserta belia seluruh negeri, diadakan dalam dua peringkat untuk mendekati rakyat.

Fasa pertama bermula di Padang Terap melalui Jitra, Kodiang, Megat Dewa, Kerpan, Air Hitam, Kuala Kedah, Pendang dan Guar Chempedak, manakala bagi fasa kedua pada 6 Mac 2011, ia bermula di Guar Chempedak, Yan, Sungai Petani, Kulim, Baling dan Sik.

Konvoi terbabit turut mengedarkan 5,000 risalah program Kedah Sejahtera supaya penduduk dapat mengetahui intipati program untuk memudahkan mereka hadir pada acara yang bersesuaian sepanjang lima hari berlangsungnya Sambutan Tiga Tahun Kedah Sejahtera yang bermula pada 10 hingga 14 Mac 2011.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan dan Pembangunan Usahawan, Ustaz Abdul Ghani Ahmad berharap penduduk dari segenap pelosok negeri dapat hadir kerana program besar seperti ini julung-julung kali diadakan di negeri ini.

Beliau memberitahu, terdapat 88 gerai jualan pelbagai disediakan pada pengunjung antaranya menjual makanan, minuman dan produk pertanian.

Tambahnya, khemah utama juga turut disediakan yang mampu menampung kehadiran 2,000 pengunjung bagi program kuliah agama, forum dan pidato.

Nik Aziz Tuntut Harunssani Jelas Isu 'Undi PAS Masuk Syurga'

KOTA BHARU 8 MAC : Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menghantar surat rasmi kepada mufti Perak, Tan Sri Harunssani Zakaria bagi menyatakan hasratnya mahu berjumpa tokoh agama itu bagi merungkai perselisihan pendapat antara mereka.

Surat itu juga antara lain menuntut Harunssani menjelaskan tulisannya sebelum ini yang mendakwa Nik Aziz yang juga menteri besar Kelantan, pernah berkata 'undi PAS masuk syurga'.

Tulisan mufti itu disiarkan oleh akhbar Mingguan Malaysia 6 Mac lalu, iaitu hari pengundian bagi pilihan raya kecil dewan undangan negeri Kerdau dan Merlimau.

"Hari ini saya telah menghantar surat rasmi kepada sohibus samahah Tan Sri Harussani, mufti Perak memohon penjelasan di atas tulisan beliau di dalam Mingguan Malaysia 6 Mac 2011.

"Saya memohon supaya beliau menjelaskan bilakah saya menyatakan bahawa undi PAS masuk syurga," katanya melalui Facebook hari ini.

Kedua-dua tokoh itu sering bercanggah pendapat berhubung isu agama dan jika pertemuan yang dicadangkan itu menjadi kenyataan, ini adalah kali pertama berlaku mereka akan duduk semeja.

"Semoga beliau memberikan respon,"kata Nik Aziz lagi.

Semalam, Dewan Pemuda PAS Perak juga telah menghantar surat jemputan kepada Harussani berhubung perkara yang sama.

Mereka menawarkan diri untuk menjadi orang tengah bagi menjayakan pertemuan tersebut.

Menurut Pemuda PAS Perak, sudah tiba masanya untuk kedua-dua tokoh itu bersemuka dengan cara yang lebih terhormat dan beradab bagi menjernihkan keadaan dan menyelesaikan kemelut yang hanya merugikan umat Islam.

Mereka berpendapat, dengan menghormati ilmu Harussani, pihaknya merasakan kaedah itu adalah yang terbaik bagi menidakkan semua pandangan yang telah dikemukakan secara terbuka.

Pemuda PAS Perak juga sebelum ini antara yang tidak senang dengan beberapa pandangan mufti itu khususnya dalam isu ancak membabitkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abd Kadir.

Kedah -Menteri Besar ,10 Anggota Exco Angkat Sumpah



ALOR SETAR 7 MAC : Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak serta 10 anggota Exco kerajaan negeri Kedah, mengangkat sumpah di hadapan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Istana Anak Bukit Bukit, di sini hari ini.

Azizan ketika ditemui selepas majlis berkenaan berkata pelantikan barisan Exco itu dikekalkan, namun ia melibatkan sedikit rombakan portfolio.

Beliau berkata anggota yang terlibat dengan perubahan portfolio ialah Datuk Phahrolrazi Zawawi yang memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga.

Turut berubah portfolio ialah Datuk Ir. Amiruddin Hamzah yang memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan; Pertanian dan IndustriAsas Tani; Bioteknologi dan Pembangunan Luar Bandar dan Basmi Kemiskinan.

Anggota-anggota Exco tidak terbabit dengan perubahan portfolio ialah Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul selaku Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelajaran dan Koperasi manakala Datuk Dr Hamdan Mohamed Khalib dilantik kembali sebagai Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian dan Warisan, Kebudayaan.

Anggota lain yang dikekalkan ialah Siti Aishah Ghazali sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan Masyarakat serta Dr Ismail Salleh selaku Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Pembangunan Insan, Sains dan Inovasi, Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

S. Manikumar turut dilantik semula sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Hal Ehwal Masyarakat Siam, manakala Lim Soo Nee memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Perpaduan dan Pengurusan Sumber Manusia.

Abd Ghani Ahmad dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penerangan,Pembangunan Usahawan, manakala jawatan Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Pengangkutan disandang Tan Joon Long @ Tan Chow Kang.

Sementara itu, portfolio Azizan turut dikekalkan iaitu sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perancang Ekonomi Negeri, Perancang Negeri, Hal Ehwal Tanah, Hasil Bumi dan Sumber Asli, Majlis Tindakan Negeri, Keselamatan Negeri, Kewangan dan syarikat Milik Kerajaan.

Azizan berkata pelantikan barisan Exco itu dikekalkan kerana setakat ini pihaknya berpuas hati dengan pencapaian mereka dan berharap usaha dapat digandakan bagi memastikan pentadbiran negeri lebih baik.

"Pelantikan ini diharap berkekalan selama setahun... selama tiga tahun menjadi Exco sebelum ini, banyak pengalaman sudah kami lalui," katanya.

Prestasi Buruk SPR : PR Adakan Himpunan Besar-besaran



SHAH ALAM 7 MAC : Perhimpunan besar-besaran akan digerakkan oleh Pakatan Rakyat berikutan prestasi buruk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada pilihan raya kecil bagi kawasan Dewan Undangan Negeri Kerdau dan Merlimau yang berlangsung semalam.

Ahli parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli berkata SPR sendiri semakin hilang punca dan gagal menyenaraikan apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dilakukan oleh parti- parti yang bertanding, dalam tempoh pilihan raya sedang berlangsung.

" SPR sendiri macam hilang punca. Pengerusi SPR sendiri tak dapat beritahu apa yang boleh diberi dan apa yang tidak boleh diberi. Perkara ini berleluasa dan SPR gagal,"kata Hatta.

Ujarnya lagi, beliau akan membangkitkan isu kegagalan SPR menyenaraikan dispilin-dispilin tertentu, semasa tempoh pilihan raya kecil DUN Kerdau dan Merlimau pada sidang Dewan Rakyat yang bermula hari ini.

" Mungkin dalam parlimen kita akan sentuh perkara ini kerana suruhanjaya berkenaan tidak memberikan gambaran yang jelas tentang syarat-syarat dalam kempen pilihanraya. Perkara ini dalam pilihanraya kecil terserlahlah. Tapi pada pilihanraya umum, kita tidak rasa BN tidak mampu lagi nak buat seperti ini.Kita amat mengharapkan pilihanraya umum pentasnya lebih adil,"katanya kepada pemberita.

Dalam pada itu, Pengarah Pilihanraya PAS Kerdau, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pilihanraya kecil Kerdau menyaksikan sokongan kepada Pakatan Rakyat semakin meningkat.

" Kawasan ini kita kalah kerana memang kubu kuat mereka. Di tempat-tempat begini sukar sebab mereka menggunakan sepenuhnya jentera kerajaan. Tapi peningkatan pengundi PAS agak kecil. Peningkatan undi BN pula mungkin sebab ada sejumlah nama pengundi baru didaftar,"katanya lagi.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim turut menjadikan pilihanraya kecil Ijok sebagai contoh kemaraan rakyat di Selangor.

Pada pilihanraya kecil itu, calon Pakatan Rakyat, Tan Sri Khalid Ibrahim kalah kepada calon BN namun tsunami politik 2008 menyaksikan gagasan itu akhirnya merampas Selangor dari tangan Umno-BN.

" Ijok sebagai contoh. BN menang dalam pilihanraya kecil tapi kita pilihanraya umum, menang besar. Saya tengok di Felda dan beberapa kampung tradisi, kita meningkat.Ini modal untuk kita susun strategi pada pilihanraya umum ke 13,"jelasnya.

Tuan Ibrahim juga turut menzahirkan kebimbangannya terhadap sikap kerajaan pemerintah dan media arus perdana yang secara terang-terangan melaporkan pemberian segala jenis sogokan kepada rakyat di DUN Kerdau dan Melimau semata-mata mahu mengekalkan kuasa politik mereka.

" Media rasmi tunjuk secara terang-terangan bagi sumbangan. Kita akan ambil satu tindakan.Undang-undang sudah ada. Hukuman sudah ada. Tetapi tidak ada penguatkuasaan dilakukan. Saya fikir kita sudah beri peringatan pada SPR supaya reformasi SPR akan dibuat,"katanya lagi.

Tuanku Mizan : Hentikan Amalan Fitnah Dan Ungkit Isu Perkauman



KUALA LUMPUR 7 MAC : Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin memandang berat kecenderungan pihak tertentu menabur fitnah dan membangkitkan isu sensitif serta berbaur perkauman.

Tanpa menunding jari kepada mana-mana pihak, Tuanku Mizan bagaimanapun memberi peringatan, mahu amalan itu dihentikan.

Amanat Baginda sempena merasmikan sidang Parlimen pertama tahun ini, dibuat susulan keghairahan pihak tertentu dan pertubuhan bukan kerajaan membakar sentimen kaum Melayu dengan memutarbelitkan isu-isu mengenai hak keistimewaan orang Melayu untuk meraih sokongan politik.

“Kedaulatan Raja-Raja Melayu, kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan, kedudukan istimewa orang Melayu serta anak negeri Sabah dan Sarawak serta kepentingan sah kaum-kaum lain meliputi hak kewarganegaraan dan hak asasi sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, tidak harus dipersoalkan bagi mengelak perpecahan,’ titah Baginda.

Tuanku Mizan turut menggesa semua pihak mengekalkan keharmonian serta maruah negara dengan menjadi warga yang bijak dan tidak mudah terpengaruh dengan fitnah dan tohmahan pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Sayugia diingatkan bahawa perbuatan fitnah memfitnah yang boleh menjejaskan perpaduan rakyat adalah perbuatan yang amat tercela dan dilarang oleh semua agama. Ambillah iktibar daripada keruntuhan beberapa empayar terdahulu akibat perpecahan angkara fitnah," titah Baginda.

"Beta menyeru semua pihak supaya menjunjung kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan," titah Baginda semasa merasmikan mesyuarat pertama penggal keempat Parlimen hari ini.

Bagi menjamin keamanan di negara ini, Tuanku Mizan berharap badan-badan bukan kerajaan (NGO) mengelak daripada menyentuh sensitiviti dan isu yang boleh menjejaskan keharmonian rakyat dan menggugat imej negara.

Anwar : Ahli Parlimen BN Umpama 'Lembu Dicucuk Hidung'



PARIT BUNTAR 7 MAC : Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi membidas sikap ahli-ahli Parlimen Umno-BN yang boleh diumpamakan seperti 'lembu dicucuk hidung' yang hanya menurut perintah sehingga kepentingan rakyat terus diabaikan.

Menurut Anwar, sikap menjadi pak turut secara keterlaluan Ahli Parlimen BN yang menghalalkan perkara yang salah dan membebankan rakyat, seharusnya ditentang habis- habisan.

Lantaran itu Anwar dalam nada menyindir, melantik hadirin yang datang pada ceramahnya di Maskas PAS Titi Serong, Parit Buntar malam tadi sebagai ahli parlimen kerana pada hematnya, mereka lebih bijak berbanding ahli parlimen BN.

" Apa kurangnya (hadirin semua)? Sudi mendengar. Harga barang naik, tidak setuju. Harga minyak naik tidak setuju. Dengar pandangan Umno tapi dengar juga pandangan Pakatan Rakyat. Rasuah banyak, tidak setuju. Lebih baik Ahli Parlimen Parit Buntar yang hadir ini daripada ahli parlimen Umno. Harga minyak naik, saya
setuju.Guna Apco saya setuju. Lebih baik diam," kata Anwar sambil mendapat tepukan gemuruh hadirin.

Menurut Anwar, kerajaan pada hari ini bukan sahaja mengaut keuntungan negara untuk kepentingan peribadi dan kroni, malah membebankan rakyat dengan kos sara hidup yang tinggi.

Tidak cukup dengan itu, pembangkang yang bertindak membela nasib rakyat pula dilemparkan pelbagai tuduhan yang mengaibkan.

Bahkan ujar Anwar, adalah menjadi perkara yang sangat memalukan dalam arena politik negara apabila soal akidah seorang alim ulama seperti Nik Aziz dijadikan modal politik murahan oleh Umno.

Malah dirinya sendiri menjadi mangsa serangan peribadi secara bertubi-tubi kerajaan Umno-BN sehingga menjatuhkan maruah beliau.

" Saya kata pada Najib, jangan hina saya. Jangan aibkan saya. Saya cuma ajak debat ekonomi. Elektrik mahal, sebab apa mahal sebab bagi jana kuasa bebas kepada empat syarikat Penjana Tenaga Bebas (IPP),"jelas Anwar berhubung sikap 'flip flop' Perdana Menteri Malaysia dalam merungkai masalah ekonomi negara demi kepentingan rakyat.

Najib sebelum ini menolak untuk berdebat dengan Anwar yang juga Ketua Umum PKR dengan menggunakan alasan debat itu hanya akan menyebabkan Anwar 'demam' dan mengakibatkan banyak pembohongan terpaksa dilakukan oleh Anwar.

Katanya, beliau mempunyai banyak maklumat mengenai Anwar yang boleh didedahkannya pada debat itu sehingga boleh menjatuhkan air muka Anwar.

Namun tegas Anwar, apa yang ingin didebatkan beliau bersama Najib adalah bersabit isu ekonomi dan dasar yang melibatkan kepentingan awam, bukannya isu peribadi.

Namun katanya, jika Najib mendesak untuk berdebat isu peribadi juga, beliau sedia mengikut cara Presiden Umno itu selepas debat ekonomi diadakan.

Sehingga ke hari ini, Najib hanya berdiam diri dan tidak memberikan kata putus berhubung cabaran debat berkenaan.

Tambah Anwar, beliau sendiri sudah jelak dengan permainan politik kotor Umno dan yakin rakyat juga berkobar-kobar untuk melakukan transformasi secara menyeluruh.

" Menang kalah saya tak apa. Yang penting kita kena bawa perubahan," katanya.

PAS tetap ada penyokong di Merlimau

Mesir Kembali Bergolak 07/03/2011



MESIR 7 MAC : Tiga minggu selepas Hosni Mubarak digulingkan, Mesir kembali bergolak.

Kali ini penunjuk perasaan menyerang agensi keselamatan di negeri dan bandar utama di negara itu.

Serbuan dilakukan selepas tersebarnya khabar angin dokumen mengenai penganiyaan pencabulan dan hak asasi manusia dimusnahkan.

Penunjuk perasaan berarak ke agensi itu dan turut merampas dokumen terbabit.

Mereka juga turut mendesak kepimpinanya diheret ke muka pengadilan serta membubarkan agensi terbabit.

Perkhidmatan agensi ini mempunyai kekuatan 500,000 anggota.

PRK Kerdau: BN kuat atau PAS yang lemah?

Tuan Ibrahim Tuan Man

Keputusan PRK DUN Kerdau telahpun diketahui, dan media telah melaporkan bagaimana BN meraikan kemenangan tersebut dengan penuh gaya. PAS merakamkan ucapan tahniah kepada calon BN yang telah berjaya.

Kini beliau menggalas amanah besar yang akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah; semoga dengan kuasa yang ada beliau mampu melaksanakan amanah ini. Rakyat akan menilai hal ini dan peranannya yang tentunya berbeza dengan wakil rakyat yang bukan dari aliran agama.

Kekalahan PAS dalam PRK Kerdau sememangnya telah dijangka, memandangkan bukanlah sesuatu yang mudah untuk merampas kerusi yang telah dimenangi BN bilamana jentera kerajaan sepenuhnya diturunkan bagi memastikan kemenangan bergaya di negeri PM.

Hakikat ini dapat dilihat bilamana PM dan Isteri turut sama berkempen dengan peristiharan jutaan ringgit bakal diturunkan bagi kawasan DUN Kerdau.

Analisa Keputusan

Secara asasnya ada sesuatu yang agak menarik dalam keputusan PRK ini, bilamana undi PAS secara keseluruhannya merosot sebanyak 184 undi atau -7.3%, dan undi BN meningkat sebanyak 925 undi. Atau +22.4% Peningkatan undi BN hasil dari peningkatan peratus keluar mengundi sebanyak 3%.

PAS mendapat peningkatan undi di semua kawasan Felda, walaupun mereka dijanjikan dengan pelbagai wang MPOB, dan SES berjumlah RM13,000 dan RM4,000 seorang. Keadaan ini membayangkan PAS mempunyai masa depan yang agak baik di kawasan Felda, yang dianggap lubuk Umno.

Peningkatan undi di Felda Jengka 22 sebanyak 28.2%, di Jengka 23 meningkat sebanyak 8.0% dan di Jengka 25 pula meningkat 4.9%. Kejayaan ini boleh dianggap kemenangan bagi perjuangan Anak yang mula diterima oleh masyarakat Felda, walaupun sebahagian mereka bersama anak dalam membuat tuntutan tetapi mempunyai pandangan politik yang berbeza.

Hakikat ini dapat dilihat dari kehadiran ratusan pemuda khususnya generasi kedua dalam program anjuran Anak dan penyertaan mereka dalam Anak.

Penghargaan juga harus diberi kepada PKR yang menumpukan gerakerja mereka di kawasan Felda bersama dengan jentera PAS dari Kelantan, Kedah dan Pahang.

Di Kawasan Felcra Rumpun Makmur sokongan kepada PAS merosot sebanyak -4.2%. Hal ini berkemungkinan dari tumpuan jentera Felca seluruh negara dengan pelbagai ugutan kepada peserta Felcra.

Walau bagaimana pun PAS perlu melihat kemerosotan ini sebagai satu cabaran besar dalam PRU yang hampir tiba. Kelemahan yang ketara di Unit Peti Undi berpunca dari kelemahan jentera di cawagan yang gagal berfungsi dengan baik, sehingga ada cawangan yang tidak bergerak dan terpaksa dibantu oleh tenaga luar.

Kelemahan ini akan dapat diatasi dalam PRK, namum bilamana menghadapi PRU, suasananya tentu berbeza bila tenaga tempatan adalah penggerak utama. Diharap dengan PRK ini beberapa kelemahan dapat dikenalpasti dan di ambil tindakan segera, bagi menghadapi PRU akan datang.

Kini Kerdau mulai sunyi sepi, dan jalan-jalan yang diturap separuh siap, terus menanti curahan tar bagi menyiapkannya; Namur apakah ianya akan terus kekal begini. Rumah-rumah buruk, kedai yang terbiar, projek perumahan yang terbengkalai dan sekolah agama yang tidak mendapat perhatian dan pelbagai gambaran tertinggalnya Kerdau dari pembangunan.
Apakah bandar Kerdau akan terus menjadi “bandar Kerbau”. Sama-sama kita tunggu.

---------------------------------------------------

Penulis adalah Naib Presiden PAS yang dilantik menjadi Pengarah pilihan kecil Kerdau.

harakahdaily

Waris pelajar gembira terhadap kesungguhan Kerajaan Negeri Kedah

ALOR SETAR, 5 Mac - Perkarangan Wisma Darul Aman dilimpahi orang ramai yang menghantar anak-anak mereka dan mengucapkan selamat berangkat ke Mesir bagi meneruskan pelajaran.


Pada wajah setiap ibu bapa tergambar kegembiraan kerana anak-anak mereka dapat kembali menyambung pelajaran dan di dalam hati sentiasa memanjatkan doa untuk keselamatan pergi dan kembali dengan mambawa balik segulung ijazah.

Menteri Besar Kedah YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak mengumumkan penghantaran pulang kira-kira 800 pelajar Kedah yang sedang belajar di pelbagai universiti di Mesir dengan kos yang ditanggung oleh Kerajaan Negeri sebanyak RM2.5 juta termasuklah wang poket setiap pelajar sebanyak RM500 seorang.

Yayasan Islam Negeri Kedah (Yink) bersengkang mata kerja keras menyelesaikan pelbagai urusan berkenaan pasport dan visa para pelajar dan menghantar beberapa orang pegawai mengiringi para pelajar dari Alor Setar hingga ke Mesir.

Penghantaran pulang pelajar Mesir berjalan lancar

ALOR SETAR, 5 Mac - Penghantaran pulang pelajar anak Kedah ke Mesir berjalan lancar walaupun terdapat beberapa masalah teknikal seperti tidak mendapat visa dan masalah passport yang tamat tempoh.


Menteri Besar Kedah YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak yang turut hadir bagi mengucapkan selamat jalan, bagaimanapun berpuas hati dengan perjalanan kerja yang telah disusunatur oleh pihak yang diberi tanggungjawab iaitu Yayasan Islam Negeri kedah.

“Seperti yang dijadualkan dan kita berharap mereka bertolak dan sampai di sana dengan selamat, saya bagi nasihat kerana terdapat juga para pelajar yang visanya telah habis dan tak boleh masuk balik ke Mesir dan kita minta kakitangan Yink di Mesir uruskan.

Sekitar pilihan raya kecil N27 Merlimau 6 Mac 2011

Soalan Wujud Bidaah Hasanah Dalam Islam - Ustaz Azhar Idrus

Kenapa Anwar berada di kandang tertuduh?

KUALA LUMPUR, 6 Mac: Datuk Seri Anwar Ibrahim duduk di dalam kandang tertuduh setiap hari kini adalah kerana beliau sedang berusaha untuk membuat perubahan asas dalam sistem pentadbiran negara ini, kata Naib Presiden PKR, N Surendran.

Surendran yang juga seorang peguam dalam kenyataannya berkata, perubahan ini semestinya menghakis pengaruh kerajaan Barisan Nasional (BN) dan pastinya akan menyingkirkan BN dari kekuasaan.

Atas dasar itulah, katanya, Umno dan BN akan berusaha untuk menyekat usaha yang dibuat Anwar itu dengan pelbagai cara termasuk mendakwanya dengan pelbagai kes.

Bagi beliau, pemimpin dan kerajaan BN sememangnya tidak peduli tentang kewajaran perubahan ini yang memberi manfaat kepada rakyat.