Kes Rasuah : ADUN Behrang Bebas, ADUN Changkat Jering diarah Bela Diri

IPOH 23 APRIL : ADUN Behrang, Jamaludin Radzi diputuskan tidak bersalah oleh Mahkamah Tinggi Ipoh atas tuduhan menerima rasuah, manakala ADUN Changkat Jering, Osman Jailu diperintahkan membela diri atas tuduhan yang sama.

Hakim Teo Say Eng memutuskan Osman membela diri berikutan bukti yang dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak kukuh.

Osman dan Jamaludin didakwa kerana dikatakan menerima rasuah bagi mendapatkan satu projek iaitu cadangan membangunkan tanah seluas 36.42 hektar bernilai RM180 juta di kawasan pusat bandar Seri Iskandar.

Bagaimanapun kes mereka digugurkan oleh Mahkamah Seksyen pada 23 April 2010. Pihak Pendakwa Raya bagaimanapun tidak berpuas hati dan ingin kes mereka ini disebut semula.

Kes mereka disebut semula 22 April 2011 Mahkamah Tinggi Ipoh.

Jamaludin dibebaskan kerana rakaman video dan audio yang dijadikan bukti oleh pihak pendakwa raya tidak jelas.

Transaksi rakaman perbualan telefon Jamaludin dikatakan tidak jelas dan seringkali terputus.

Osman dan Jamaludin adalah bekas ADUN Pakatan Rakyat Perak sebelum melompat ke parti UMNO BN setelah disabitkan kesalahan terlibat dengan kes rasuah.

Tindakan melompat parti 2 ADUN ini dan ADUN Jelapang, Hee Yit Fong dikatakan didalangi oleh UMNO BN sehingga membolehkan mereka melakukan rampasan kuasa dinegeri Perak.

Azmin Dedah Muslihat '1 Melayu, 1 Bumiputera'

PULAU PINANG 23 APRIL : Lebih 1,000 orang membanjiri ceramah perdana ‘Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia’ bertempat di Dewan Sungai Tiram, Batu Maung malam tadi.

Mereka yang hadir kebanyakannnya berketurunan Melayu mengikuti pelbagai isu semasa yang disampaikan pimpinan Pakatan Rakyat termasuk Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Antara isu yang disentuh ialah pembaziran emel 1Malaysia yang menelan kos RM50 juta, muslihat slogan 1Melayu, 1Bumi’ yang dibangkitkan Utusan Malaysia, sebuah akhbar kawalan Umno-Barisan Nasional (BN) dan banyak lagi.

Dalam ucapannya, Azmin menyelar sikap sikap hipokrit Datuk Seri Najib Razak dalam isu 1Melayu, 1 Bumiputera yang dicanangkan Penolong Ketua Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Zaini Hassan, konon untuk menyatukan semua Melayu sedangkan akhbar itu sebenarnya memecah belah perpaduan Melayu.

Azmin yang juha Ahli Parlimen Gombak itu kesal kerana Najib secara tiba-tiba menafikan hubung kait antara akhbar Utusan Malaysia dan pimpinan Umno Barisan Nasional (BN) yang selama ini menjadi lidah rasmi parti itu.

“Inilah hipokrit Barisan Nasional pimpinan Najib. Najib kata: 1Melayu, 1Bumiputera pandangan Editor Utusan Malaysia.

“Wahai Najib dan Rosmah, kita tahu Utusan Malaysia disokong Umno. Kita tahu Utusan Malaysia surat khabar milik Umno. Kita juga tahu Utusan Malaysia hidup kerana Umno yang memainkan politik perkauman,” kata Azmin.

Selain Azmin dan Guan Eng turut berucap ialah Exco Pulau Pinang, Abdul Malek Abul Kassim dan Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff.

Azmin menggantikan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak dapat hadir pada saat-saat akhir berikutan masalah kesihatan.

Terdahulu, Azmin hadir ke majlis makan malam PKR Cabang Bukit Gelugor di Tapak Pesta Sungai Nibong pada jam 8 malam sempena ulang tahun ketiga penubuhan cabang berkenaan.

Muktamar: Tempoh serah pencalonan dilanjutkan

Kenapa UMNO BN Bermati- matian Mahu Cemar Nama Baik Anwar

SHAH ALAM 22 APRIL : Tv3 selesai merakamkan siri laporan terbaru merangkumi tuduhan- tuduhan seks terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Ketua Pembangkang itu bergelut dengan fitnah video lucah 'Datuk T', sumber- sumber memberitahu Tv Selangor.

Laporan yang bakal disiarkan di Buletin Utama itu akan menyaksikan S. Nallakarupan membuat pelbagai dakwaan terhadap Anwar, sumber- sumber yang rapat dengan bekas pemimpin MIC itu mengesahkan.

“Kemungkinan besar dakwaan- dakwaan Nallakarupan itu akan disiarkan dalam tempoh terdekat untuk memberikan lebih tekanan kepada Anwar, “ kata sumber itu tanpa mengulas lanjut.

Kebanyakan dakwaan- dakwaan Nalla itu “bukan perkara baru,” cuma disadurkan dengan butir- butir terperinci dalam usaha meyakinkan rakyat terutama pengundi Melayu, kononnya Anwar pemimpin tidak bermoral.

Rasanya tidak perlu dihuraikan rekod Nalla, seorang rakan karib Anwar yang kemudian merajuk dan berpaling tadah apabila tidak dipilih menjadi calon untuk pilihanraya kecil Ijok pada tahun 2006.

Hakikatnya adalah, dakwaan dan tuduhan terhadap Anwar diperhebatkan di Tv3 dan media arus perdana kawalan UMNO sejak pilihanraya Sarawak.

Walaupun PRN Negeri itu sudah berlalu, namun serangan terhadap Anwar tetap dipanjangkan dan menimbulkan persepsi BN, khususnya UMNO, sedang mempersiapkan diri untuk menghadapi pilihanraya umum dalam tempoh terdekat.

Awal minggu ini, Parti Keadilan Rakyat memberi amaran kepada rakyat bahawa Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail tetap akan mencari ikhtiar untuk mendakwa Anwar bersabit video lucah Datuk T.

Ramalan itu terbukti benar apabila pejabat Peguam Negara memulangkan kertas siasatan kepada polis kerana tidak berpuas hati dengan rumusan yang dibuat oleh badan itu.

Justeru arahan diberi kepada polis untuk menyiasat lagi kes video lucah tanpa terikat kepada sebarang tarikh untuk menyiapkan siasatan.

Pada masa sama, Berita Harian, sebuah lagi akhbar kawalan UMNO memetik sumber- sumber sebagai mendakwa sebuah agensi penyiaran Korea Selatan kononnya mengesahkan pelaku dalam video 'Datuk T' sepadan dengan badan Anwar menerusi ujian bio metrik.

Semua “fakta- fakta” ini adalah untuk mempengaruhi rakyat, khususnya pengundi Melayu supaya menolak Anwar dan pada masa sama merencatkan hubungan PKR pimpinan Anwar dengan PAS dan DAP.

Perkembangan terbaru memberi petanda jelas bahawa rakyat Malaysia harus bersedia untuk disajikan dengan pelbagai fitnah terhadap Anwar bersabit video 'Datuk T'.

Pada masa sama, individu- individu seperti Nalla dan Umi Hafilda dipergunakan untuk menabur tuduhan- tuduhan lain terhadap Anwar.

Kenapa begitu banyak tumpuan diberikan oleh kerajaan pimpinan UMNO, polis dan pejabat Peguam Negara terhadap kes Anwar ?

Jawapannya berkait dengan Piliharaya Umum ke- 13 dan pemilihan UMNO yang akan datang. Kedua- duanya mempunyai impak besar ke atas kelangsungan jangka hayat politik Datuk Seri Najib Tun Razak.

Para strategis UMNO menjangka peluang parti itu menguasai pengundi Melayu atas pagar akan cerah jika ia berjaya memusnahkan kredibiliti Anwar sebagai pemimpin Islam dan menampilkan beliau sebagai peliwat dan kaki perempuan.

Analisis yang dijalankan oleh Biro Tata Negara menunjukkan pengundi Melayu amat menitik- beratkan soal agama dan moral – justeru itu Anwar menjadi sasaran tuduhan seks bertalu- talu dalam hasrat UMNO untuk memberi isi kepada persepsi itu.

Justeru tidak sukar memahami kenapa video lucah 'Datuk T' dimainkan di kem- kem BTN sebagaimana yang didedahkan oleh Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman.

Pengundi atas pagar kaum Melayu memegang kunci untuk memastikan sama ada Najib akan dapat merebut balik majoriti dua pertiga di Parlimen atau kecundang terus di medan pilihanraya kepada Pakatan Rakyat pimpinan Anwar.

Jika Najib tewas atau gagal menawan balik majoriti dua pertiga BN, usia remaja beliau sebagai PM dan Presiden UMNO akan mendapat saingan hebat daripada gandingan Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin.

Walaupun pemilihan UMNO masih dilihat sebagai jauh lagi, garisan- garisan pertempuran (battlelines) sedang pun dilakar dan kem- kem tertentu dibentuk dan dipupuk.

Kunci kepada siapa sokong siapa dan siapa lawan siapa akan berpaksi kepada pencapaian Najib pada PRU 13 – jika BN menang majoriti dua pertiga – Najib akan dijulang sebagai penyelamat maruah Umno.

Jika tidak, beliau dan gagasan 1Malaysia akan dikritik sebagai penyebab maruah Melayu tergadai di bumi sendiri.

Berasaskan sifir politik ini, bukanlah menjadi misteri kenapa Anwar Ibrahim harus ditumbangkan dalam apa cara sekalipun sebelum Najib mengadakan pilihanraya umum.

Hanya apabila yakin cabaran Anwar sudah ditumpulkan, kredibiliti dan maruah beliau sudah musnah di mata rakyat, maka hanya pada masa itu, Najib akan mendapat “ilham” untuk memanggil pilihanraya umum.

Sementara menunggu detik itu, rakyat khususnya pengundi Melayu harus melazimkan diri dengan membaca “cerita bukan-bukan” mengenai Anwar di muka depan Utusan Malaysia, Berita Harian dan menonton topik yang sama menerusi RTM serta TV3.

Kabinet Jepun Lulus 4 Trilion Yen Untuk Pemulihan Akibat Bencana

TOKYO 22 APRIL : Kabinet Jepun hari ini meluluskan bajet khas bernilai empat trilion yen (RM147 trilion) untuk melaksanakan pembangunan semula kawasan yang terjejas selepas dilanda gempa bumi dan tsunami, bulan lalu.

Kabinet yang diketuai Perdana Menteri, Naoto Kan merancang untuk membentangkan bajet berkenaan di Parlimen negara berkenaan pada 28 April ini, dengan sasaran supaya ia diluluskan pada 2 Mei ini dengan sokongan mencukupi daripada pembangkang, yang kini menguasai dewan atasan.

Ia adalah bajet tambahan pertama diluluskan kerajaan sejak bencana alam itu melanda timur laut Jepun pada 11 Mac lalu, mengakibatkan lebih 27,000 orang mati atau hilang sambil menyebabkan kebocoran loji kuasa nuklear.

Bajet berkenaan dijangka digunakan untuk kerja-kerja pemulihan seperti membersihkan timbunan dan sisa runtuhan serta membina kawasan perumahan sementara bagi mangsa bencana alam itu.

Kira-kira 1.20 trilion yen (RM3.62 trilion) iaitu jumlah terbesar daripada bajet berkenaan akan dibelanjakan untuk projek kerja awam seperti memulihkan semula jalan raya, pelabuhan dan tanah pertanian.

Bajet khas itu juga akan merangkumi baik pulih sekolah yang rosak dan kemudahan kebajikan serta memberi suntikan kewangan kepada pihak berkuasa tempatan dan sektor perniagaan kecil-kecilan di negara itu. - AFP

Isu Taman Kota Nelayan: Masalah lalu, yang sedang diselesaikan kerajaan kini

ALOR SETAR, 20 April 2011 – Isu Perumahan Taman Kota Nelayan terus dimainkan oleh pihak tertentu untuk meraih simpati dan seterusnya diperlihatkan mereka sebagai jaguh mempertahankan hak-hak rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan & Kerajaan Tempatan, Kerjaraya, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, YB Dato’ Ir. Phahrolrazi Zawawi ketika ditemui di pejabatnya berkata, projek pemindahan ke perumahan terbabit tidak selesai sepenuhnya dan tiada proses menandatangani perjanjian dibuat sebelumnya.

“Perkara ini berlaku semasa pemerintahan kerajaan negeri dulu dan banyak perkara tidak diselesaikan dan berlarutan hingga sekarang, contoh seperti masalah pampasan dan status rumah tersebut,” ujarnya.

Menurutnya lagi, terdapat dua status penduduk terbabit, pertama yang tinggal atas tanah kerajaan dan kedua yang tinggal atas tanah sendiri yang bergeran. Bagi penduduk yang tinggal di atas tanah kerajaan, tidak akan dibayar sebarang pampasan tetapi rumah dijual dengan harga subsidi.

Manakala yang tinggal atas tanah sendiri akan dibayar pampasan.

“Rumah tersebutnya harganya melebihi RM80 ribu ringgit tetapi dijual kepada mereka dengan harga subsidi RM40 ribu sahaja.

“Tetapi malang sekali, kerajaan dahulu tidak menyelesaikan masalah berkaitan dan ianya berlarutan hingga sekarang. Penduduk yang telah mendiami sejak 2004 di perumahan terbabit tidak membayar apa-apa bayaran hingga sekarang.

“Menjadi tanggungjawab bahagian perumahan untuk mengemaskini perkara-perkara berkaitan terutama dalam soal tunggakan bayaran. Pembinaan dibuat atas dana awam dan mendapat pinjaman dari kerajaan pusat,’ tambah beliau lagi.

Walau bagaimana pun, katanya lagi, bahagian perumahan boleh menyusun jadual bayaran secara ansuran kepada penduduk-penduduk terbabit. Kepada penduduk yang belum menandatangani perjanjian diminta bertindak segera.

“Bahagian perumahan akan menyemak semula kadar pampasan yang perlu dibayar kepada pemilik tanah dan mengenal pasti berapa bilangan yang tinggal di tanah persendirian,” terang Phahrolrazi.

Sebelum ini, beliau dan beberapa yang lain termasuk ADUN Kubang Rotan telah membuat perjumpaan dengan wakil penduduk perumahan terbabit. Demontrasi yang dilakukan kira-kira 40 orang itu mewakili tidak sampai 10 peratus jumlah penduduk perumahan tersebut.

Kira-kira 700 orang penduduk yang mendiami Perumahan Taman Kota Nelayan setakat ini.

Kenapa PAS dikritik ?

Harakahdaily

TEMERLOH, 21 April: Kenapa PAS dikritik pedas oleh beberapa orang penulis, penganalisis politik dan juga blogger sejurus selepas kegagalan parti menawan sebarang kerusi di Sarawak?

“Kerana kekecewaan yang amat sangat terhadap sistem politik negara, berleluasanya rasuah, salah tadbir, salahguna kuasa dan perlanggaran undang-undang dan peraturan yang terang-terang dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional, maka lahirnya pelbagai kritikan pedas beberapa penulis, penganalisis politik dan blogger terhadap PAS.

“Barangkali inilah juga yang menyebabkan terlahirnya pandangan pedas daripada Dr Aziz Bari, kerana keinginan melihat Barisan Nasional tumbang hari ini dan terlahirlah sebuah kerajaan Pakatan Rakyat yang lebih baik,” kata Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) ketika mengulas kritikan penganalisis politik, Dr Abdul Aziz Bari terhadap PAS dan Presiden, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata besar kemungkinan kerana Aziz lebih “menyayangi” (menaruh harapan tinggi) PAS serta kegagalan parti dalam beberapa pilihan raya kecil dan juga pilihan raya negeri Sarawak dan didorong dengan kebosanan yang meluap-luap terhadap Barisan Nasional, Aziz telah mengkritik PAS dan Hadi sejurus kegagalan parti untuk menawan sebarang kerusi Dun di Bumi Kenyalang.

“Beliau tidak menyerang DAP atau PKR mungkin kerana beliau lebih sayangkan PAS berbanding parti lain.

“Sebagai seorang yang amat pakar dan matang dalam analisa politik negara, sebagai contoh, beliau tentu faham akan impak politik yang terpaksa dihadapi oleh PAS dan PKR di kawasan majoriti Melayu dan Islam apabila Umno dan BN memainkan isu perkauman, justeru Baru Bian diumumkan akan dilantik sebagai Ketua Menteri sekiranya Pakatan Rakyat menang.

“Akan tetapi, mungkin kerana kebosanannya kepada BN yang meluap-luap - sehinggakan beliau merasakan bahawa PAS tidak sepatutnya kalah dalam pertandingan ini. Apabila kita tewas, sudah tentu beliau kecewa kerana harapan tingginya pada PAS,” terangnya yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Beliau juga menjelaskan adalah mudah untuk Tuan Guru Abdul Hadi menjadi tumpuan pengkritik apabila parti tidak dapat mencapai apa yang dihajatkan, namun beliau menasihatkan supaya para pengkritik turut menghargai jasa yang ditumpahkan oleh mereka dalam perjuangan PAS dan memberi cadangan penambaikan agar mereka yang tercedera tidak tersinggung dan mereka yang masih belum hilang kepenatan akan berasa sedikit terhibur.

“Tentulah mereka yang bertungkus-lumus berusaha untuk memenangi sebuah perjuangan tidak akan sama dengan mereka yang membuat ulasan selepas mengetahui keputusan,” katanya.

Tambahnya, penasihat yang baik ialah mereka yang mencadangkan sesuatu sebelum berlaku, dan pengkritik yang mengulas sesuatu selepas berakhir sesuatu pilihan raya dengan menyatakan, ‘sekiranya itu dan sekiranya ini’ walaupun penting, namun sudah tentu tidak banyak membantu jika dibandingkan dengan seorang penasihat.

“Yang pasti kritikan itu lahir kerana keghairahan yang tinggi untuk melihat tumbangnya BN,” ulasnya secara positif.

E-Mel 1 Malaysia Bukti Ketandusan Idea BN 'Songlap' Duit Rakyat



SHAH ALAM 21 APRIL : Drama e-mel 1 Malaysia yang melanda Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menunjukkan betapa Kerajaan Barisan Nasional hanya tahu memikirkan keuntungan sendiri tanpa mempedulikan pandangan rakyat.

Exco Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi, Inovasi dan Kebudayaan Selangor Rodziah Ismail menganggap rakyat membantah idea itu kerana kegagalan kerajaan pusat menjelaskan secara telus berkenaan projek ini khususnya penggunaan dana untuk menjayakannya.

Rodziah ketika dihubungi Tv Selangor berkata, rakyat berhak mengetahui status sebenar berhubung e-mel 1 Malaysia ini kerana pelbagai pihak sentiasa berdolak-dalih termasuk berlakunya 'kesilapan' di laman web kerajaan yang sebelum ini mencatatkan projek e-mel tersebut sebagai insiatif kerajaan dan bukannya swasta.

"Kenapa PM dan semua yang terlibat bila ditanya, kejap kata kena bayar, kejap kata tak kena bayar. Itu bukan isunya. Yang penting kita sebagai rakyat berhak tahu berapa wang kita yang terlibat semata-mata untuk dapat e-mel promosikan 1 Malaysia ini. Ini tunjukkan seolah-olah Najib terdesak hendak tunjukkan 1 Malaysia ini diterima rakyat," kata beliau ketika dihubungi TV Selangor hari ini.

Unit Pengurusan Pencapaian dan Penghantaran (Pemandu) hari ini terpaksa tampil mempertahankan 'perubahan informasi' berkenaan e-mel 1 Malaysia di laman webnya semalam dengan alasan pertukaran inisiatif swasta daripada insiatif kerajaan itu adalah tidak disengajakan.

Najib dan Pemandu yang berada di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala selepas itu terus menegaskan bahawa firma pengelola projek tersebut, Tricubes Berhad tidak akan menggunakan dana rakyat.

Rodziah bagaimanapun mempersoalkan mengapa Najib begitu tergesa-gesa melakukan hal tersebut sedangkan masih ramai rakyat Malaysia khususnya dari luar bandar masih tidak mempunyai kemudahan asas dan kemudahan internet.

"Apapun, sebagai PM, Najib Razak harus memastikan wang digunakan pada tempat yang sepatutnya. Jika dia ingin menggunakan teknologi, dia harus memikirkan infrastruktur terlebih dahulu,"jelas Rodziah

Rodziah membandingkan projek internet percuma yang sedang giat dijalankan di semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor, yang merupakan sebahagian daripada manifesto di bawah Pakatan Rakyat mula diimplementasikan secara tergesa-gesa oleh kerajaan pusat.

Menurutnya ketika kempen Pilihan Raya Negeri Sarawak baru-baru ini, Barisan Nasional giat memberi wi-fi percuma di beberapa kawasan rumah panjang di negeri itu sedangkan dengan jelas ia merupakan idea Pakatan Rakyat.

"Kerajaan khususnya Najib Tun Razak kena ingat bahawa Kerajaan Selangor telah membuktikan idea wi-fi ini boleh direalisasikan di Peringkat Nasional jika Pakatan Rakyat diberi mandat pada Pilihan Raya Umum akan datang. Kerajaan Selangor dalam kekangan kewangan dan sebagainya berjaya laksanakan program berkaitan teknologi dan wi-fi dan dengan memikirkan keutamaan kami dan bukan hanya mementingkan golongan tertentu sahaja," kata beliau lagi.

Kes Sarbani : Polis Rumus Kematian Mengejut, Tiada Elemen Jenayah

KUALA LUMPUR 21 APRIL : Allahyarham Ahmad Sarbani Mohamed, penolong pengarah Kastam Diraja Malaysia, meninggal dunia kerana kecederaan pada bahagian kepala selepas jatuh daripada bahagian tinggi bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), 6 April lalu.

Justeru kata Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Zulkifli Abdullah, kini terserah kepada Peguam Negara untuk menentukan tindakan susulan.

“(Dengan ini) saya minta semua spekulasi dihentikan kerana siasatan sudah dilengkapkan.

“Kertas siasatan akan dihantar kepada Pejabat Peguam Negeri minggu ini atau paling lewat minggu depan,” katanya.

Kata beliau, siasatan menunjukkan ia adalah kematian mengejut dan tiada elemen jenayah terlibat buat masa sekarang.

Zulkifli juga berkata punca kematian ditentukan selepas siasatan terperinci membabitkan pelbagai pihak termasuk polis, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia dan Jabatan Kimia.-

~The Malaysian Insider~

Presiden PAS bersedia untuk ditentang pada pemilihan Jun depan



KUALA LUMPUR, 21 APRIL : Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bersedia untuk ditentang pada pemilihan pusat Jun depan.

Hadi berkata beliau amat mengalu- alukan kehadiran pelapis baru yang berkelayakan bagi menggantikannya berikutan beliau bukan selamanya mahu menjadi pemimpin parti itu.

“Jika ada pencalonan diterima pemimpin lain untuk menentang (saya), saya sendiri amat mengalu-alukannya kerana saya bukan mahu menjadi pemimpin selamanya.

“Saya sendiri sudah berumur dan memerlukan barisan pelapis,” kata beliau dipetik media.

Hadi berkata PAS turut mengalu-alukan pertandingan sebarang jawatan untuk membuktikan keterbukaan parti dalam soal pemilihan pemimpin.

Sehubungan itu, Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata pemimpin, ahli dan penyokong perlu menyambut baik sebarang pencalonan daripada pemimpin PAS untuk jawatan tertentu.

PAS Bukit Bintang di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mencalonkan Datuk Husam Musa iaitu ahli jawatankuasa kerja PAS pusat dan Exco Kerajaan Negeri Kelantan untuk bertanding jawatan presiden.

Hadi sebelum ini disifatkan penganalisis politik, Profesor Dr Abdul Aziz Bari, sebagai liabiliti kepada parti itu.

Dr Aziz, yang lazimnya memberi pandangan terbuka mengenai PAS dipetik sebagai berkata, kepimpinan parti Islam itu perlu berubah dalam menyesuaikan parti itu dalam arena politik kini.

Pendirian lantang beliau ini dikeluarkan ketika parti Islam berusia lebih enam dekad ini sedang bersiap sedia untuk mengadakan pemilihan pusat Jun ini.

Dalam pada itu, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mempertahankan Hadi dengan berkata, PAS tidak perlu mengubah pemimpin hanya kerana kekalahan dalam pilihan raya termasuk ekoran kegagalan memperoleh kerusi di Sarawak minggu lalu.

Sambil menegaskan tindakan menukar pemimpin hanya kerana pilihan raya sebagai “langkah kurang tepat”, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, seseorang pemimpin perlu ditukar hanya apabila pemimpin itu melanggar syariat.

Beliau kemudiannya berkata PAS mempunyai kaedah-kaedah yang tersendiri untuk memilih pemimpin

SPR harus di'BERSIH'kan

Mohd Rashidi Hassan

Pilihan Raya Umum Negeri Sarawak yang baru berlangsung minggu lepas memperlihatkan kepada kita betapa sistem demokrasi di Malaysia, masih ditahap yang mencurigakan.

Pertikaian terus kedengaran terhadap ketelusan dan kesahihan pengendalian pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia.

SPR memperlihatkan ianya tidak bebas dan masih lagi dikawal sepenuhnya oleh kerajaan Barisan Nasional. Antara yang masih menjadi pertikaian ialah mengenai kebersihan senarai daftar pemilih, sistem undi Pos, had kempen parti-parti politik, penggunaan jentera kerajaan untuk kepentingan BN, rasuah kepada pengundi dan banyak lagi.

Pertikaian ini tidak akan berbangkit sama sekali jika pilihan raya dijalankan secara adil.

Sejak Dun dibubarkan, SPR berura-ura untuk mengehadkan tempoh berkempen hanya selama tujuh hari. Namun selepas dibantah dipanjangkan sedikit kempen untuk tempoh 10 hari.

Percubaan menghadkan tempoh kempen atau memendekkan tempoh kempen ini sebenarnya, secara tidak langsung memberi kelebihan kepada parti yang memerintah.

Kedua, pada hari penamaan calon di Muara Tuang, calon BN yang juga adik kepada Ketua Menteri Sarawak, dengan jelas melakukan kesalahan pilihan raya iaitu tidak mengemukakan borang laporan kewangannya pada pilihan raya 2006.

Sepatutnya PAS menang percuma kerusi tersebut. SPR menunjukkan dengan jelas ia memihak kepada BN dengan mempergunakan kuasanya melengah-lengahkan pengumuman calon sehingga lebih satu jam dari tempoh masa yang ditetapkan.

Kelambatan pengumuman calon diambil kesempatan oleh pihak yang berpihak kepada BN untuk menyiapkan segera penyata kewangan tersebut.

Sepanjang kempen pilihan raya, media massa dipergunakan sepenuhnya, secara berleluasa untuk menabur fitnah kepada Pakatan Rakyat, sedangkan ruang Pakatan Rakyat, hanya dipentas ceramah disusahkan.

Pemimpin tertinggi negara dibenarkan merasuah rakyat secara terbuka, rasuah pembinaan hospital, peruntukan masjid, pembinaan jambatan segera, bantuan untuk sekolah dan lebih ketara lagi didedahkan rasuah pembelian kertas undi secara terbuka.

Malah di hari kempen, wujud dakwaan secara terbuka pihak-pihak yang memakai tag nama SPR secara jelas dilihat mengajar pengundi, khususnya golongan tua untuk memangkah simbol dacing.

Di samping itu wujud pertikaian berkenaan borang 14 yang dikatakan enggan ditangani oleh pegawai SPR yang bertugas.

Keseluruhannya, kita mendapati sistem pilihan raya di negara kita masih meragukan. Banyak terdapat ruang-ruang yang perlu diperbaiki bagi menjamin ketelusan dan keadilan.

Pakatan Rakyat menghadapi kesukaran kerana segala peruntukan perundangan yang ada dikuasa SPR boleh dipergunakan oleh BN kerana mereka tertakluk kepada kuasa Perdana Menteri.

Pakatan Rakyat tidak mampu mengubah kebobrokan ini sendirian. Hanya ada dua cara untuk mengatasi masalah ini. Pertama, perjalanan pilihan raya mesti dipantau masyrakat antarabangsa, iaitu melalui badan bebas yang dilantik oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Kedua, dengan sokongan rakyat. Rakyat harus bangkit untuk menegur SPR. Hanya Perhimpunan BERSIH 2.0 sahaja yang mampu mengubah keadaan ini.

Pakatan Rakyat harus bertindak sebelum terlambat.

Harimau Muda A 0-1 Kedah | LIGA SUPER 2011 - Gol Khyril Muhymeen

Kadir dibebaskan selepas ditahan 20 hari

Seorang tahanan ISA, Kadir Hashim, dibebaskan hari ini setelah merengkok selama hampir tiga minggu dalam tahanan.

Seorang abangnya, Muda Hashim, berkata Kadir telah dihantar ke rumahnya di Kerinchi, Kuala Lumpur pada kira-kira jam 4 petang ini oleh anggota polis.

Muda berkata, polis tidak menyatakan apa-apa berhubung penahanan berkenaan walaupun beliau telah bertanya berhubung perkara itu.

Bercakap ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Muda berkata polis hanya memberitahu beliau supaya tidak membuat sebarang masalah.

Kadir (kiri) ditahan pada 1 April lalu mengikut Seksyen 73(1) Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana disyaki terlibat dalam kegiatan berkaitan hasutan.
Beliau dibebaskan pada kira-kira jam 3 petang ini.

Peguamnya, Fadiah Nadwa Fikri berkata lelaki berusia 43 tahun itu dibebaskan tanpa syarat.
“Polis menghantar adik saya dengan kereta yang diringi tiga anggota polis yang saya agak dari Balai Polis Bukit Aman.

“Walaupun terkejut dengan kehadiran polis sebentar tadi, namun saya gembira dengan pembebasan Kadir sekaligus menghilangkan rindu ibu terhadapnya,” kata Muda.

Ditanya mengenai keadaan Kadir selepas selamat sampai ke rumah, Muda memberitahu adiknya mungkin trauma kerana masih membisu tanpa menceritakan kejadian penangkapnnya lebih kurang 20 hari.

“Jika dilihat dari segi fizikal dia sihat, tetapi tidak bercakap apa-apa selepas dihantar ke rumah tadi. Saya juga mahu dia berehat seminggu dua dahulu sebelum bertanyakan mengenainya semasa ditahan polis,” katanya.

Kata Muda, semasa bertanyakan dengan polis berkenaan penangkapan Kadir, mereka memberi amaran supaya tidak menimbulkan masalah lagi.

Puduraya berwajah baru

Sila kemuka laporan jika ada kuari pasir haram di Kedah

ALOR SETAR, 17 April: Kerajaan Negeri akan pastikan semua syarikat yang terbabit kegiatan pengeluaran pasir ada permit dan jika terbukti ianya dilakukan secara haram mereka akan dikenakan tindakan tegas.

“Kita tidak akan berkompromi dalam hal ini. Kerajaan Negeri akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana syarikat yang didapati mengeluarkan pasir secara haram di negeri ini,” kata Menteri Besar Kedah YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak di Wisma Darul Aman.

Pihaknya sentiasa memantau pengeluaran permit mengorek pasir kerana tidak mahu ada pihak yang mengambil kesempatan mengaut keuntungan dengan melakukan operasi secara haram.

Menurutnya, operasi pengluaran pasir diluluskan oleh Pejabat Tanah dan Galian. Terdapat yang telah diluluskan dua tahun lepas atau setahun lalu tetapi kerja-kerja mengorek dibuat tahun ini.

“Jika ada pihak dakwa ianya beroperasi secara haram, beri bukti kepada saya untuk disiasat,” katanya mengulas kenyataan Pengerusi Perhubungan MIC Kedah S Nanthan yang mendakwa berlaku pengeluaran pasir secara haram di tebing Sungai Karangan, Taman Desa Kulim dan Padang Serai sejak tiga bulan lalu.

S. Ananthan juga menggesa Kerajaan Negeri menghentikan segera operasi terbabit kerana dibuat dalam skala besar dan sekiranya tidak mendapat kerjasama pihaknya tidak teragak-agak membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia.

Sebaliknya Dato’ Seri Ustaz Azizan berkata, sekiranya dakwaaan itu benar MIC diminta mengemukakan laporan kepada pihaknya untuk tindakan lanjut. Siasatan akan dilakukan apabila menerima bukti adanya operasi secara haram.

“Serahkan bukti secara rasmi kepada saya, dan jika benar, siasatan akan dibuat untuk dakwa syarikat atau sesiapa sahaja, jika tak ada bukti macam mana saya nak siasat. Saya harap MIC berilah kerjasama,” katanya.

Malaysia Pandang Ringan Risiko Nuklear





KUALA LUMPUR 20 APRIL : Senator Dr Syed Husin Ali berkata masyarakat di negara ini semakin terdedah kepada risiko tenaga nuklear sedangkan kerajaan pula memandang ringan akan hal berkenaan dan kesannya kepada alam sekitar.
Katanya percubaan untuk mendirikan kilang nadir bumi di Gebeng, Kuantan akan memberi kesan ke atas persekitaran dan manusia.

Malah menurut Dr Syed, bahaya pemprosesan tanah jarang di Gebeng telah dialami beberapa tahun dulu di Bukit Merah, Perak.

Justeru adalah tidak wajar katanya jika kita tidak belajar dari sejarah lampau apabila kita mengetahui akan kesan buruknya kepada rakyat di negara ini.

“ (Jadi) mengapa kini mahu dibuka di Gebeng pula,” kata Dr Syed Husin.

Syed Husin menyatakan demikian dalam ucapan di Dewan Negara dalam sidang bulan April semalam.

“Saya berasa sangat kecewa kerana dalam dua-dua kes membina pusat tenaga nuklear dan kilang ‘rare earth’ itu nampaknya kepentingan dan keuntungan perdagangan menjadi perkiraan utama. Kebajikan dan keselamatan manusia serta alam sekitarnya seolah-olah tidak diambil berat sedikitpun,” katanya.

Tambahnya, pada 4 Mei tahun lalu Menteri Teknologi Hijau, Tenaga dan Air dipetik sebagai berkata, bahawa Malaysia merancang hendak membina pusat tenaga nuklear yang akan beroperasi menjelang tahun 2021.

“Saya tidak mengetahui sedalam mana kajian telah dijalankan untuk rancangan ini. Akan tetapi saya mengetahui bahawa pandangan awam tidak diminta sama sekali berhubungnya,” katanya.

Menurut Dr Syed Husin , negara tidak perlu menubuhkan pusat tenaga nuklear kerana Negara masih mempunyai sumer tenaga elektrik yang mencukupi, malah menurut Tenaga Nasional Bhd ia memiliki margin simpanan bekalan elektrik sebanyak 66 peratus.

“Apakah sebenarnya jaminan keselamatan yang betul-betul ketat di negara kita ini untuk menjamin keselamatan bagi pusat reaktor nuklear?,” katanya.

Kadar kehilangan air terlalu tinggi di UUM

ALOR SETAR, 20 April 2011 – Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, YB. Dato’ Ir. Phahrolrazi Zawawi menjelaskan bahawa SADA telah membekalkan sebanyak 15 juta liter air sehari ke Universiti Utara Malaysia (UUM) dan ia sudah mencukupi untuk menampung keperluan air ke kampus tersebut.

Bagaimanapun, katanya, UUM adalah antara kawasan yang mengalami kadar kehilangan air (non revenew water) yang tinggi iaitu sekitar 43 peratus. Antara sebabnya ialah kerosakan saluran paip yang dipasang lebih 20 tahun lalu dan penyelenggaraan yang dilakukan UUM sangat minima.

“Logi air baru di Padang Sanai sudah siap akan akan mula beroperasi, kita mampu membekalkan air ke UUM sehingga 35 juta liter air tapi harus diingat dalam keadaan infrastruktur dalaman yang teruk di UUM, bekalan air sebanyak mana pun tidak akan menyelesaikan masalah,” ujarnya.

Menurutnya, infrastruktur yang direkabentuk adalah untuk keperluan 10 ribu pengguna, sedangkan sekarang penghuninya sudah bertambah tiga kali ganda. Saluran paip dan kapasiti tangki yang ada tidak mampu lagi menampung keperluan yang begitu tinggi.

Dato’ Phahrolrazi menasihatkan UUM atau Kementerian Pengajian Tinggi supaya menyegerakan kerja menaik taraf infrastruktur bekalan air di UUM bagi menyelesaikan masalah berbangkit.

“Itu (kampus UUM) adalah kawasan mereka, hak mereka dan sudah menjadi tanggungjawab mereka untuk mengatasi masalah yang timbul di UUM. Kerja kita ialah membekalkan bekalan air bersih yang mencukupi dan kita telah menyempurnakan kerja tersebut,” ujar beliau.

PRU-13 : PAS Tetap Tanding di Sarawak

KUALA LUMPUR 19 APRIL : PAS akan tetap bertanding merebut kerusi Parlimen di Sarawak pada pilihan raya umum ke-13 walaupun gagal memenangi sebarang kerusi semasa pilihan raya negeri Sarawak, Sabtu lalu.

Tegas Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, walaupun parti Islam itu tidak menang di kelima- lima kerusi yang ditandingi namun sokongan kuat pengundi Sarawak menunjukkan parti itu mula diterima.

“Sokongan yang kuat diterima, menunjukkan PAS diterima di Sarawak, namun kekuatan yang ada tidak mampu memberi kemenangan buat masa ini.

“Bagaimanapun kita yakin dengan penerusan gerak kerja yang akan kita lakukan untuk mengembangkan PAS di Sarawak sejurus tamat pilihan raya (negeri Sarawak).

“Malah sudah ada negeri-negeri yang mengambil inisiatif menjadikan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dibantu sebagai DUN angkat, untuk digerakkan PAS di Sarawak dan kita akan bertanding dalam pilihan raya yang akan datang,” katanya.

Pada pilihan raya negeri Sarawak kali ini PAS bertanding lima kerusi iaitu Tanjung Datu, Muara Tuang, Sadong Jaya, Sebuyau dan Beting Maro namun tewas di kesemua kawasan.

Walaupun tiada kerusi dimenangi tetapi undi popular diterima parti itu meningkat.

Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerajaan negeri Sarawak dalam persaingan paling sengit dengan memperoleh 55 kerusi Dewan Undangan Negeri manakala Pakatan Rakyat, yang pertama kali bertanding di bawah perikatan tiga parti pula mendapat 15 kerusi dan Bebas satu.

Tambah Hadi, walaupun masih baru bertapak di Sarawak, namun undi parti itu pada pilihan raya negeri itu meningkat dan ia bukti pengundi mula menerima dasar perjuangan parti Islam itu.

“PAS parti yang baru di Sarawak, walaupun tidak memenangi sebarang kerusi, undi PAS meningkat tinggi di Beting Maro dan bertambah melebihi 100 peratus di beberapa DUN lain yang ditandingi.

“Walaupun kali pertama bertanding di empat DUN yang baru, kita tidak hilang wang pertaruhan. Malah ada banyak peti undi yang kita menang dalam DUN tersebut termasuklah rumah panjang didiami kaum Iban,” katanya.

Jelas Ahli Parlimen Marang itu, PAS akan meneruskan gerak kerja dan Sarawak bagi memperkukuhkan parti itu dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13.- malaysianinsider

Tiada Arahan Naikkan Cukai Tanah UUM - MB Kedah

ALOR SETAR 19 APRIL : Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak menafikan kerajaan pimpinannya menaikkan kadar cukai tanah 10 kali ganda terhadap Universiti Utara Malaysia (UUM).

Sebaliknya beliau berkata, dakwaan yang dibuat Timbalan Pengerusi UMNO Negeri Kedah, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir dan Naib Canselor UUM Profesor Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak itu tidak berlandaskan fakta yang betul.

Azizan berkata kerajaan negeri terdahulu UMNO BN memberikan rebat cukai selama 3 tahun, kepada UUM yang membolehkan IPTA itu membayar cukai dengan kadar RM100'000 setahun.

"UUM diberikan rebat dari Januari 2006 hingga Disember 2008 - perlu bayar RM100,000 dari RM1.7 juta," katanya.

Sebaik sahaja tempoh rebat itu tamat, UUM terpaksa membayar kadar cukai itu mengikut apa yang telah ditetapkan UMNO BN sebanyak RM1.7 juta setahun.

Sebaik sahaja Pakatan Rakyat mengambilalih pentadbiran Kedah, gagasan itu sekadar meneruskan apa yang diwariskan dari zaman pemerintahan UMNO BN.

Azizan menjelaskan pemberian rebat cukai tanah kepada UUM, kerajaan negeri kerugian hampir RM1.6 juta setahun.

Azizan menambah, UUM pernah memohon agar kerajaan negeri menyambung rebat cukai itu disambung namun permohonan mereka ditolak.

Beliau berkata UUM boleh membuat rayuan, namun rayuan itu perlu dipertimbangkan terlebih dahulu.

"Tidak semestinya kita akan luluskan permohonan UUM," katanya lagi.

Azizan juga berkata UUM juga telah diberi beberapa pilihan dalam membuat pembayaran cukai tesebut.

UUM juga diberi pilihan untuk berunding dengan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) mengenai bayaran ansuran.

Kerajaan negeri dibawah pimpinannya telah menurunkan cukai tanah- tanah milik kerajaan antara 35 peratus hingga 75 peratus.

Untuk tujuan itu, kerajaan negeri kehilangan hasil tanah sebanyak RM50 juta setahun.

Mengulas isu bekalan air yang tidak mencukupi di UUM, Azizan menasihatkan UUM dan Kementerian Pengajian Tinggi meningkatkan kemudahan sistem perairan seperti tangki dan paip air kerana kerajaan negeri telah menyiapkan paip besar di luar kampus tersebut yang boleh menampung sehingga ke Bukit Kayu Hitam.

Azizan berkata setiap hari Syarikat Air Darul Aman (Sada) menyalurkan bekalan air ke UUM sebanyak 15 juta liter sedangkan bekalan air dikawasan lain lima dan 10 juta liter sahaja.

Bekalan air ke UUM cukup! Infrastruktur dalaman UUM yang lemah

ALOR SETAR, 19 April 2011 – Bekalan air oleh SADA ke Universiti Utara Malaysia (UUM) adalah mencukupi. Masalah gangguan bekalan air yang dialami UUM adalah disebabkan oleh infrastruktur untuk menyokong penyaluran dalam kampus tidak pernah dinaiktaraf sejak kampus tersebut dibina.

Demikian penjelasan yang diberikan oleh Exco Kerajaan Negeri Kedah, YB. Dato’ Ir Amiruddin Hamzah ketika mengulas dakwaan pihak tertentu kononnya Kerajaan Negeri gagal menyediakan bekalan air yang mencukupi untuk UUM.

“Masalah di UUM adalah berpunca dari kelemahan perancangan UUM sendiri yang tidak menyediakan infrastruktur bekalan air untuk penghuni yang bertambah,” katanya.

Menurut nya, pihak UUM hanya menyediakan saluran paip dan tangki simpanan untuk 10 ribu penduduk di awal pembinaan kampus UUM dahulu, tetapi sekarang bilangan penduduk sudah bertambah berkali ganda.

“Tanggungjawab menaikataraf kemudahan infrastruktur bekalan air di dalam kawasan UUM adalah tanggungjawab Kementerian Pendidikan Tinggi kerana masalah tersebut berlaku di dalam tanah mereka,” jelasnya lagi.

Datuk T dijangka didakwa dalam waktu terdekat

KUALA LUMPUR, 18 APRIL : Ketiga- tiga “Datuk T” dijangka didakwa dalam waktu terdekat kerana kesalahan mengedar dan menayang video seks kepada sekumpulan wartawan 21 Mac lalu, kata Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Datuk Acryl Sani Abdullah Sani.

Beliau berkata kemungkinan itu kerana siasatan mengikut Sekyen 292 Akta Kanun Keseksaan bersabit kesalahan mengedar bahan lucah menjurus kepada tiga individu berkenaan.

Gadingan 'Datuk T' merangkumi bekas Ketua Menteri Melaka, Rahim Tahmby Chik, ahli perniagaan Syazryl Eskay Abdullah dan bekas bendahari PERKASA, Shuib Lazim.

Acryl berkata kertas siasatan kes itu dijangka dihantar ke Pejabat Peguam Negara, Khamis ini.

“Ada kemungkinan mereka akan didakwa mengikut Sekyen 292 itu kerana ia menjurus kepada mereka, pihak penayang,”

“Namun bukan polis yang menentukan keputusan itu sebaliknya pejabat Peguam Negara. Kami akan adakan sidang akhbar nanti bila segalanya selesai,” katanya dipetik laporan Bernama Online hari ini.

Ketika ditanya mengenai perkembangan kertas siasatan, beliau berkata masih terdapat dua lagi perkara yang perlu dikemas kini dan dilengkapkan dalam siasatan itu, sebelum dihantar ke Pejabat Peguam Negara untuk tindakan susulan.

“Kalau boleh bagi pihak kita seawalnya hantar (kertas) itu pada Khamis ini... sementara itu kami tunggu respon daripada pihak yang menyediakan dua perkara itu.

“Dua perkara ini tidak boleh didedahkan dahulu ketika ini kerana ia lebih kepada pendakwaan dan menganggu tugas pejabat Peguam Negara,” katanya.

Ditanya mengenai sama ada polis mempunyai kuasa untuk menahan pelaku dalam video seks itu, Acryl berkata: “Kami (polis) tiada peruntukan undang-undang untuk menahan mereka dan mengambil keterangan.

“Kita kena rujuk kepada pejabat Peguam Negara untuk sebarang penelitian dan semakan. Mungkin mereka ada peruntukan undang- undang terhadap si pelaku,” katanya.

Tanggungjawab saya untuk membetulkan pentadbiran kerajaan -MB Kedah

ALOR SETAR, 18 April 2011 – Allah memilih manusia sebagai khalifah dan diberi amanah sebagai pentadbir dunia. Walaupun manusia itu suka membuat zalim dan tidak beriman kepada Allah tetapi Allah lebih mengetahui golongan mana yang lebih sesuai diberi amanah sebagai pentadbir dunia.

“Allah memilih manusia sebagai khalifah yakni pemimpin dan kita semestinya memimpin dan mentadbir dunia dengan penuh amanah agar menjadi makmur dan sejahtara,” ucap Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Ustaz Azizan Abd Razak dihimpunan bulanan kakitangan Wisma Darul Aman.

Beliau menegaskan, menjadi tanggung jawab beliau sebagai ketua kerajaan berjumpa dengan kakitangan untuk memberi nasihat dan bimbingan penambahbaikan agar pentadbiran kerajaan menjadi lebih baik dan terurus.

“Kita sebagai pengurus dan pentadbir kerajaan perlu menanamkan sikap bertanggungjawab dan memegang amanah sebagai pemimpin. Orang yang amanah selain dari menyembah Allah, dia juga perlu meninggalkan perkara-perkara yang dilarang Allah walau pun dosa-dosa kecil.

“Segala tindak tanduk kita perlu dikawal oleh iman dan akal yang waras. Allah menilai kerja kita mengikut niat masing-masing,” tambahnya lagi.

Beliau mengajak hadirin mengingati semula peristiwa hijrah Rasullullah SAW. Katanya, tidak semua yang berhijrah ke Madinah niatnya semata-mata kerana Allah dan Rasul, ada kerana harta, ganjaran dan wanita. Tetapi perlu diingatkan peringatan dari Allah di dalam Al-Quran bahawa sesiapa yang berhijrah kerana dunia maka dia akan dapat dunia tetapi sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan Rasulnya, akan ada ganjaran disisi Allah kelak.

“Saya bersama kepimpinan Exco merasakan mentadbir kerajaan ini merupakan satu amanah dan tanggungjawab kepada rakyat. Untuk menjayakannya bukan hanya terletak di bahu kami tetapi di bahu semua kakitangan.

“Kelembapan pengurusan akan mendatangkan kerugian kepada kerajaan dan saya berharap semua kakitangan dapat menjalankan tugas dengan cekap, cepat dan pantas agar membuahkan hasil yang baik kepada kerajaan,” tegas Azizan.

Beliau mengingatkan hadirin bahawa segala yang dilakukan di dunia ini akan dipertonton oleh Allah SWT di akhirat kelak. Oleh itu beliau berharap semua kakitangan dapat memperbetulkan niat dan berusaha menjadikan diri hamba yang bertaqwa agar limpahan rahmat dariNya akan berterusan.

“Banyak berlaku kejadian seperti gempa bumi, banjir dan tsunami kebelakangan ini. Semua ini telah Allah ceritakan kepada kita dalam Al-Quran, surah Al-Zalzalah. Oleh itu berdoalah kepada Allah agar kita dijauhkan dari bala bencanaNya.

“Tapi kalau nak minta Allah makbul doa kita, kita kena jadi hamba yang taat. Buat yang disuruh, tinggal yang dilarang disamping tunaikan amanah dengan bersungguh-sungguh,” sambung beliau.

Katanya lagi, pembangunan bukan hanya ditafsirkan kepada pembangunan kebendaan dan binaan tapi ia merangkumi sosial, ekonomi dan pentadbiran. Beliau mengambil contoh negara-negara barat yang mempunyai pembangunan fizikal yang tidak terlawan tetapi dalam masa yang sama mempunyai masalah sosial dan pentadbiran yang teruk.

Perjumpaan bulanan tersebut diadakan di dataran hadapan Wisma dan dihadiri oleh semua kakitangan dari pelbagai jabatan.

Exco sangkal dakwaan Ahmad Bashah

ALOR SETAR, 18 April – Pengerusi Jawatankuasa Tetap Penerangan dan Pembangunan Usahawan, YB. Abdul Ghani Ahmad menyangkal dakwaan ADUN Bakar Bata Dato’ Ahmad Bashah Mat Hanipah kononnya penggunaan wang GLC di bawah kerajaan lalu untuk program pemimpin Pusat di Kedah adalah bersamaan dengan penggunaan wang GLC untuk Sambutan Tiga Tahun Kedah Sejahtera.

“Sambutan Tiga Tahun Kedah Sejahtera adalah program kerajaan negeri, pengisian sebahagian besar program adalah ke arah memantapkan misi dan visi ‘Kedah Sejahtera’ serta penghebahan maklumat kepada seluruh rakyat berhubung pembangunan yang dibuat oleh kerajaan negeri sepanjang tiga tahun,” ujarnya.

Sedangkan, katanya, program pemimpin Pusat bersama rakyat di bawah kerajaan lalu yang dikatakan oleh Ahmad Bashah itu adalah program kempen politik yang sepatutnya parti politik tersebut yang membiayainya.

Menurut YB. Abdul Ghani lagi, perbelanjaan untuk lima hari program Sambutan Tiga Tahun Kedah Sejahtera hanya sekitar RM550 ribu. Daripada jumlah tersebut sebahagiannya ditampung oleh sewa gerai dan penajaan.

“Maknanya perbelanjaannya sangat optimum, selaras dengan dasar perbelanjaan berhemah oleh kerajaan negeri,” ujarnya.

Datuk Ahmad Bashah membangkitkan isu tersebut ekoran laporan SPRM yang dibuat oleh beberapa individu tertentu terhadap Seri Temin Development Corporation (M) Sdn Bhd (STDC) (sebelum Mac 2008) yang didakwa menyumbang kira-kira RM7.5 juta kepada pihak tidak berkepentingan dengan urusniaga syarikat.

Antara pihak yang paling banyak menerima sumbangan dari STDC ialah parti politik kerajaan yang memerintah pada masa itu.

Siasatan Selesai, Tuan Punya Jam Omega Tidak Penting, Kata Polis



KUALA LUMPUR 17 APRIL : Polis Bukit Aman sudah menyiapkan siasatan berhubung video lucah Datuk T mengikut Seksyen 292 Akta Kanun Keseksaan bersabit kesalahan mengedar bahan lucah, kata Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan, Jenayah Datuk Acryl Sani Abdullah Sani.

Beliau berkata, identiti pemilik jam Omega bersabit kes itu tidak menjadi faktor penting dalam siasatan polis kerana perkara utama adalah “siapa penayang video itu,”.

Bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Chik, yang juga Pengerusi Risda, ahli perniagaan Datuk Sharzyl Eskay dan bekas Bendahari Perkasa Shuib Lazim mengaku mereka sebagai gandingan Datuk T yang menayangkan video itu kepada media tertentu di Hotel Carcosa 21 Mac lalu.

Mereka mendakwa rakaman itu menunjukkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan hubungan seks dengan seorang pelacur Cina di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 21 Februari lalu. Eskay juga menyerahkan sebuah jam Omega milik Anwar yang didakwa beliau dicuri oleh pelacur berkenaan.

Anwar menafikan dakwaan itu sebagai fitnah dan membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan.

Ketua Pembangkang itu berkata, beliau berada di rumah pada malam rakaman itu dibuat dan beriinteraksi menerusi Twitter dengan jaringannya. Anwar juga mengesahkan bahawa beliau masih mempunyai sebuah jam Omega dalam simpanannya.

Acryl berkata, laporan lengkap siasatan itu akan diserah kepada Pejabat Peguam Negara pada bila-bila masa dari sekarang untuk tindakan selanjutnya.

"Bagi pihak kami (polis), siasatan telah lengkap dari setiap sudut menjurus kepada Seksyen 292 Akta Kanun Keseksaan (kerana kesalahan mengedar bahan lucah).

"Terpulang kepada Peguam Negara untuk mengambil sebarang tindakan susulan terhadap kes ini dan sekiranya ada mana-mana perkara yang perlu disiasat semula (atas arahan Peguam Negara), kita akan siasatlah," katanya.

Ditanya mengenai maklum balas syarikat pengedar jam Omega mengenai identiti pemilik jam tangan itu, Acryl berkata polis tidak mempunyai kuasa untuk memaksa pengedar jam berkenaan memberi maklumat berhubung identiti pemilik jam terbabit.

"Kita tunggu sahajalah...kami tidak boleh paksa mereka untuk beri maklumat siapa pemilik jam tangan itu," katanya.

"Identiti pemilik jam itu bukan merupakan satu isu (dalam melengkapkan siasatan), apa yang penting dalam siasatan kita (Seksyen 292) adalah siapa penayang video itu," kata Acryl.

Penganalisis Politik : Najib Mungkin Tunda PRU-13



SHAH ALAM 16 APRIL :Kehilangan 16 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak mungkin menyebabkan hasrat Perdana Menteri Najib Razak membubarkan parlimen tahun ini, terbantut.

Walaupun berjaya mengekalkan majoriti dua pertiga, ia belum cukup gah untuk memberi jaminan kepada BN bahawa tampuk kekuasaan akan kekal menjadi milik gagasan itu, kata Penganalisis Politik, Prof Dr Abdul Aziz Bari.

Beliau ketika dihubungi Tv Selangor menambah, walaupun Perdana Menteri Najib Razak sebelum ini berkata, PRN Sarawak akan dijadikan inspirasi bagi menentukan pilihan raya umum, namun pada masa kini, Najib perlu memikirkan hal itu sedalam-dalamnya.

"Ramai yang melihat bahawa keputusan PRN Sarawak kali ini, BN tidak akan berani untuk membuat pilihanraya umum dalam masa terdekat. Oleh kerana mereka melihat penentangan segolongan besar pengundi itu masih kekal.

"Dari segi kemenangannya pula saya fikir ia adalah kemenangan yang agak mahal kerana mereka terpaksa membelanjakan banyak dengan membeli secara terbuka di sesetengah tempat," kata Aziz.

"Jadi dalam konteks Sarawak, simpanan tetap itu mungkin lebih sukar lagi kerana ketua menteri yang dilantik itu akan kekal untuk jangka masa tiga hingga empat tahun lagi dan tidak mudah untuk Najib menyingkitkan Taib dengan mudah," tambahnya lagi.

Menurut Aziz, selain perlu memikirkan merosotnya sokongan pengundi di Sarawak kepada BN terutama sekali terhadap Ketua Menterinya, Taib Mahmud, Najib sekali lagi "tersentak" apabila Taib mengumumkan hanya akan bersara "sekitar pertengahan penggal ini".

Taib yang mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sarawak malam tadi, sekali lagi menzahirkan hasratnya untuk berundur buat kesekian kalinya.

Kenyataan Taib itu bercanggah dengan Najib yang mengumumkan bahawa Taib akan berundur selepas PRN negeri ketika siri kempennya.

"Dengan kata lain, Taib Mahmud akan terus menjadi liabiliti di Sarawak dalam tempoh dua hingga tiga tahun. Dan pilihanraya (pula) terpaksa diadakan dalam tempoh lebih awal dari itu," jelas Aziz, sekaligus mendatangkan masalah kepada Najib.

Oleh itu katanya, kejayaan BN mengekalkan kuasanya di Bumi Kenyalang bukanlah suatu perkembangan positif yang mampu mengekalkan keyakinan rakyat untuk terus setia bersama parti itu.

Dengan kata lain, kemenangan di Sarawak dengan mengekalkan dua pertiga majoriti bukan semestinya baik kepada BN. Khususnya dari segi menjamin kemenangan dalam PRU 13.

"BN tidak boleh lagi menganggap Sarawak sesuatu yang selamat lagi. Pakatan Rakyat semakin kuat dan diterima kerana ia bukanlah satu andaian kerana ia adalah fakta bahawa mereka sudah semakin diterima sebagai satu entiti yang mantap," jelasnya lagi.

Malah kata Aziz, dapat dilihat ketidaksefahaman antara Najib dan Taib apabila Pengerusi BN itu lebih memikirkan kemenangan kepada BN namun Taib sebaliknya mahu kekal di tampuk pemerintahan tanpa mempedulikan keputusan pilihan raya.

Namun ujar beliau, apa yang lebih penting ialah perjuangan dan keinginan memuncak rakyat yang mahukan perubahan.

Rakyat Sarawak dilihat mula membuka ruang kepada pembangkang dan ia merupakan petanda positif bahawa masyarakat di negeri Bumi Kenyalang semakin menerima sistem dua parti di negara ini.

Tambah Aziz, menerusi jumlah kerusi yang dimenangi Pakatan Rakyat pada pilihanraya negeri itu semalam, jelas menunjukkan bahawa ia adalah pencapaian yang mampu menggugat kedudukan BN di Sarawak.

Ini kerana, Pakatan Rakyat bukan sahaja berjaya menangkis permasalahan yang ditimbulkan parti lawan, malah sikap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sendiri yang berperanan untuk memenangkan BN gagal melemahkan pembangkang untuk membawa perubahan besar kepada rakyat di negeri itu.

"Saya fikir begitu, walaupun PR tidak dapat mencapai matlamat menafikan dua pertiga majoriti BN. Tetapi saya fikir dengan keadaan pilihan raya dan sikap SPR sendiri dengan apa yang dicapai sekarang adalah sesuatu yang sesuai dan munasabah. Kali ini juga PR bertanding sebagai Pakatan yang agak formal, dengan kata lainnya ia sebagai satu permulaan untuk kewujudan sistem dua parti di Sarawak terutamanya," kata Aziz.

Pilihanraya Negeri Sarawak ke 10 semalam menyaksikan Pakatan Rakyat memperoleh kemenangan di 15 Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan DAP menyumbang 12 kemenangan, PKR tiga manakala PAS tidak memperoleh sebarang kerusi.

Manakala Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan kerajaan negeri Sarawak dengan memperoleh kemenangan lebih dua pertiga iaitu 55 kerusi DUN.

Sementara Bebas memenangi satu kerusi.

Berdasarkan keputusan rasmi yang diumumkan SPR malam tadi, Pakatan Rakyat berjaya menambah bilangan kerusi berbanding pada pilihan raya negeri 2006 yang mana ketika itu BN memperoleh 63 kerusi.

Aziz turut menyifatkan kemenangan majoriti dua pertiga BN dengan terpaksa membelanjakan sehingga lebih RM500 juta adalah tidak memadai dengan apa yang telah diperoleh parti itu.

"Untuk pilihanraya kali ini BN membelanjakan RM500 juta dengan di sesetengah tempat Mykad dikeluarkan dengan mudah. Jadi dengan kata lain masalah SPR, undi pos dan sebagainya dan kita lihat bahawa pilihanraya itu tidak ditandingi dengan cara yang saksama dan adil. Jadi saya fikir memang ia perlu dihadapi dan ini antara perkara yang kita perlu lihat," kata Aziz.

Punca masalah ialah, kerajaan dulu tak jelaskan status rumah kepada penghuni

ALOR SETAR, 17 April 2011 – Salah faham serta maklumat yang tidak jelas antara punca penduduk-penduduk Perumahan Taman Kota Nelayan tidak mengetahui status tempat kediaman mereka sekarang.

Menurut ADUN Kubang Rotan, YB Nasir Mustaffa ketika dihubungi, masalah sebenar berpunca dari Kerajaan yang memerintah dahulu (BN) tidak memberi maklumat yang jelas mengenai status perumahan tersebut kepada penduduk.

“Sebenarnya masalah Taman Kota Nelayan ini tidak selesai sejak kerajaan negeri dulu (BN) memerintah lagi. Saya sendiri sejak menjadi wakil rakyat di DUN Kubang Rotan ini sentiasa mengikuti perkembangan masalah penduduk taman ini. Mereka beranggapan rumah yang mereka diami sekarang sebagai ganti rumah yang mereka didiami dulu.

“Setengah mereka menganggap ianya percuma, setengah pula beranggapan tanah percuma dan rumah perlu dibayar dan ada pula mengatakan sebaliknya.

Tambah Nasir lagi, lebih kurang sebulan yang lalu, beliau bersama Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, YB Dato’ Ir.Phahrolrazi Zawawi serta beberapa orang yang lain telah mengadakan perjumpaan dan sesi dialog bersama mereka. Dalam perjumpaan tersebut beliau dan Phahrolrazi diberi penerangan mengenai masalah yang mereka hadapi.

Ekoran dari perjumpaan tersebut kerajaan negeri telah berusaha membuat beberapa tindakan. Antara tindakannya ialah memastikan semua pemilik yang terlibat menandatangi perjanjian dengan kerajaan negeri untuk membuat bayaran ansuran bulanan. Kerajaan negeri akan usahakan semua pemilik rumah di taman terbabit mendapat status hak milik dengan segera.

“Kerajaan negeri sekarang ini sedang berusaha menyelesaikan masalah terbabit sebaik mungkin. Kita telah buat semua proses, antaranya menandatangi perjanjian dan mengenal pasti pemilik yang telah selesai membuat bayaran untuk pengurusan hak milik,” terangnya.

Sementara itu, Phahrolrazi ketika dihubungi mengatakan, kerajaan negeri sekarang hanya meneruskan perjanjian lama yang dibuat semasa pemerintahan dahulu. Kerajaan negeri tidak membuat sebarang pindaan ke atasnya.

“Kawasan perumahan awam tertakluk dengan perjanjian jual beli. Bagaimana pun sehingga kini beberapa masalah yang dikenal pasti termasuk keengganan pemilik menandatangi perjanjian serta tunggakan bayaran.

“Isu ini isu lama, kalau dulu mereka kena bayar, sekarang juga mereka kena bayar. Kerajaan negeri tidak pernah mengubah dasar yang dibuat oleh kerajaan pusat.

“Kerajaan negeri bukan ‘ah long’ seperti yang disifatkan tetapi kami bertindak mengikut peraturan dan prosuder perumahan,” terangnya.

Tambah Phahrolrazi lagi, tunggakan perlu dilunaskan samada secara sekali gus atau ansuran mengikut kemampuan masing-masing. Perumahan terbabit dibina atas dana awam bukan dana parti politik dan kutipan bayaran perlu dibayar kepada kerajaan pusat.

Kenyataan tersebut dikeluarkan berikutan berlakunya demontrasi penduduk-penduduk Perumahan Taman Nelayan, Kuala Kedah ekoran membantah arahan notis mengarahkan bayaran tunggakan dibuat atau rumah mereka akan disita.

Perumahan Taman Kota Nelayan telah mula diduduki pada tahun 2004 ekoran diarahkan pindah dari kediaman asal oleh kerajaan negeri dahulu.

PAS hormati keputusan rakyat

Aziz Muda

KUCHING, 16 April: PAS menghormati keputusan yang telah diumumkan dan akur dengan keputusan itu, walaupun gagal untuk memenangi sebarang kerusi pada PRN Sarawak Ke-10 tahun ini, termasuk di kawasan-kawasan yang dijangka akan melahirkan anak sulungnya.

Namun PAS sedar dan berbangga dengan pencapaian yang telah diperolehi yang jelas memperlihatkan peningkatan sokongan rakyat Sarawak secara keseluruhan terhadap PAS, sekali gus memberikan petanda masa depan PAS yang cukup baik di Sarawak.

Timbalan Presiden PAS yang juga Pengarah pilihan raya ini, Ustaz Nasharudin Mat Isa berkata, peningkatan baik yang diterima oleh PAS amat ketara di Dun Beting Maro yang terletak dalam kawasan Parlimen Batang Lupar, apabila hanya kalah dengan majoriti sekitar 400 undi kepada BN, berbanding PRN Sarawak tahun 2006 sebanyak 800 undi.

Menurut beliau, begitu juga di Dun Tanjung Datu yang terletak dalam kawasan Parlimen Santubung dan Dun Muara Tuang yang terletak dalam kawasan Parlimen Kota Samarahan yang baru pertama kali ditandingi, tetapi turut memperlihatkan sokongan yang amat baik di kalangan pengundi di kawasan itu terhadap PAS.

Katanya, namun PAS amat kesal dengan laporan dan analisis yang dibuat oleh Astro Awani awal malam ini yang amat jauh menyimpang dari kebenaran dengan mengatakan PAS mengalami kekalahan sebanyak 2,000 undi di Beting Maro.

"Laporan dan analisis Astro Awani itu ternyata tak betul. Malah sebenarnya sokongan para pengundi di Beting Maro terhadap PAS ternyata semakin meningkat sehingga hanya kalah dengan majoriti undi yang amat kecil sebanyak 391 undi sahaja," katanya ketika dihubungi, malam ini.

Walaupun kalah bagi kesemua kawasan yang ditandingi, menurut beliau, perkembangan dari PRN Sarawak Ke-10 ternyata semakin memberikan sinar kepada PAS untuk menempa kejayaan lebih gemilang pada masa akan datang.

"Dengan perkembangan yang baik ini, PAS tidak akan patah semangat untuk melakukan gerak kerja yang lebih baik di Sarawak sama ada dari sudut politik dan sudut-sudut lain.

"Malah, PAS pasti akan berusaha untuk mempertingkatkan lagi usaha di Sarawak dari semasa ke semasa bagi menghadapi pilihanraya akan datang demi kepentingan rakyat Sarawak termasuk dalam politik dan bidang-bidang lain," tegasnya.

Beliau mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada para pengundi di Sarawak yang telah memilih PAS dalam pilihanraya tahun ini.

"Jutaan terima kasih juga saya ucapkan kepada jentera PAS di semua peringkat, sama ada dari kalangan jentera tempatan dan juga jentera-jentera PAS dari luar, yang telah bertungkus lumus berusaha membantu PAS untuk mencapai kemenangan sejak awal kempen hingga hari pengundian.

"Inilah semangat yang PAS mahu dan inilah semangat yang cukup baik yang telah ditunjukkan oleh jentera-jentera PAS dari semua peringkat termasuk dari kalangan jentera tempatan dan jentera-jentera PAS dari luar Sarawak," tegasnya.