Najib yakin BN dapat rampas semula Pulau Pinang

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yakin BN dapat merampas semula Pulau Pinang pada pilihan raya umum akan datang ekoran terdapat tanda-tanda angin perubahan yang berlaku di negeri itu.

Katanya dalam tinjauan beliau ke Pulau Pinang hari ini banyak pihak meluahkan kekecewaan terhadap kerajaan negeri di bawah kepimpinan semasa, dan mereka mahukan perubahan.

"Suasana memihak kepada perasaan inginkan perubahan dan walaupun ia di peringkat sentimen, kita mahukan sentimen itu diterjemahkan dalam bentuk sokongan," katanya pada satu persidangan akhbar selepas menghadiri Jamuan Mesra Rakyat di Kampung Permatang Pasir di Balik Pulau, hari ini.

Najib berkata ketika beliau turun padang, ada rakyat yang membisik ke telinganya dan mengeluh bahawa golongan peniaga gerai di Pulau Pinang menghadapi tekanan dan sukar mencari rezeki sedangkan perkara seperti itu tidak pernah berlaku ketika negeri di bawah pentadbiran BN.

Katanya selain itu angin perubahan juga dapat dilihat dalam beberapa pilihan raya kecil sebelum ini apabila BN bukan sahaja memenanginya, malah majoritinya melonjak.

"Ada juga pihak pembangkang yang mendakwa kononnya krisis kepimpinan yang berlaku di negara Timur Tengah akan berlaku di Malaysia, dan saya ingin beri jawapan, bahawa dalam keadaan krisis di sana, majoriti BN terus bertambah baik pada pilihan raya kecil sebelum ini," katanya.

Perdana Menteri berkata pemimpin BN tidak harus kecewa dengan beberapa keputusan pilihan raya lalu, malah mereka perlu menganggapnya sebagai asam garam dalam politik.

"Ia asam garam dalam politik, ada masanya berada diatas dan ada masanya berada dibawah, kita harus bangun dan mencari faktor-faktor yang boleh mendorong kita naik diatas dan jangan begitu kecewa," katanya.

Beliau berkata untuk bangkit semula, semua pemimpin dan anggota BN hendaklah menggunakan anologi semangat gotong royang iaitu bermuafakat dengan satu matlamat dan hanya dengan memberi fokus kepada usaha mencapai satu matlamat yang sama, dan ia menjadi asas kepada kejayaan untuk merampas kembali Pulau Pinang.

"Jangan ada masalah dalam keluarga BN, sepatutnya tolak perselisihan dan juruskan kerjasama, dan lakukan yang terbaik barulah kita boleh bangun," katanya.

Perdana Menteri seterusnya menyelar pihak tertentu yang mendakwa kononnya kerajaan pusat menganaktirikan Pulau Pinang sedangkan hakikatnya pulau mutiara
itu terus dimajukan oleh kerajaan BN sejak dahulu hingga sekarang, termasuk dalam usaha meningkatkan pelaburan asing.

"Bukan tidak mahu bekerjasama (dengan kerajaan negeri) tetapi ada pihak yang ingin bermain politik ibarat pepatah lembu punya susu sapi dapat nama," katanya.

Sehubungan itu Najib menggesa rakyat Pulau Pinang supaya tidak memperjudikan masa depan mereka, dan mereka perlu memastikan BN kembali memerintah negeri.

- Bernama

Ku Li : Cabaran Getir Namun Pakatan Mampu Buat Kejutan Di Sarawak



KUALA LUMPUR 2 APRIL : Kekangan logistik dan sumber kewangan akan menjadi halangan terbesar kepada Pakatan Rakyat untuk menawan Sarawak. Namun gagasan itu mampu menafikan Barisan Nasional majoriti dua pertiga pada pilihanraya negeri bulan ini, kata Tengku Razaleigh Hamzah.

Tokoh Umno itu yang lebih dikenali sebagai Ku Li berkata, apa yang jelas adalah Sarawak tidak lagi boleh dianggap sebagai "simpanan tetap" Barisan Nasional untuk mengekalkan kuasanya di Putrajaya.

Pilihanraya Sarawak akan diadakan pada 16 April dengan hari penamaan calon pada 6 April. Adalah dijangkakan sebilangan besar daripada 71 kerusi Dewan Undangan Negeri akan menyaksikan pertembungan satu dengan satu antara Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat.

Ku Li berkata aliran politik semasa menunjukkan BN akan mengekalkan kuasa di Sarawak, namun kemenangan selesa seperti pilihanraya negeri yang lalu tidak akan berulang.

"Kalaulah dalam keadaan biasa, kemungkinan BN akan mengekalkan kuasa tapi bukan dengan majoriti dua pertiga sepertimana sebelum dibubarkan Dewan Undangan Negeri. Sekiranya keadaan kempen dan pergerakan dijalankan seperti biasa, kemungkinan BN akan mendapat majoriti mudah untuk terus berkuasa di Sarawak," kata bekas Menteri Kewangan dan Naib Presiden Umno itu.

Namun tokoh politik veteran itu memberi amaran bahawa Pakatan Rakyat akan menghadapi pelbagai rintangan dalam usaha untuk menamatkan pemerintahan 30 tahun BN di bawah pimpinan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Ku Li berkata BN, seperti di masa-masa lalu akan mencari kemenangan mutlak dengan "menggunakan banyak wang dan dengan logistik" untuk meraih sokongan pengundi yang bertaburan merentasi sebuah negeri yang saiznya hampir sama dengan Semenajung Malaysia.

Mantan Menteri Kewangan itu berkata BN dijangka membolot segala kemudahan pengangkutan yang ada di Sarawak untuk memberi tekanan kepada Pakatan Rakyat.

"Kalau nak kemana-mana di Sarawak kena ada bot dan kapal terbang. Kalau semua orang dah sewa bot dan kapal terbang, macam mana nak berkempen. Dan kalau semua minyak sudah dipajak atau dibeli di stesen minyak, nak bergerak pun susah. Saya rasa kalau keadaan seperti ini berlaku, sukar bagi mereka menghadapi BN di Sarawak," kata Ku Li.

Pakatan Rakyat mengharapkan sentimen pengundi yang menolak kepemimpinan Taib yang diselubungi dengan dakwaan-dakwaan rasuah dan salah guna kuasa, tuduhan pemimpin BN merampas Tanah Adat Orang Asal dan kemiskinan luar bandar sebagai pemangkin untuk membuat kejutan pada pilihanraya negeri kali ini.

Ku Li berkata jika Pakatan berjaya menafikan majoriti dua pertiga kepada BN di Dewan Undangan Negeri Sarawak, ia membawa implikasi tersendiri kepada kelangsungan gabungan itu sendiri di peringkat kerusi Parlimen.

'Sudah tentu (ia mempunyai impak) kerana keadaan di bawah tentukan keadaan di atas. Oleh sebab itu, keadaan ini akan tentukan kedudukan Parlimen dan Kerajaan Pusat,' tambah beliau.

BN kini menguasai 62 daripada 71 kerusi DUN Sarawak dengan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) pimpinan Taib memegang 35 kerusi, manakala Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) mempunyai 12 kerusi dan Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) masing-masing memegang lapan kerusi.

Pakatan Rakyat memenangi tujuh kerusi pada pilihanraya negeri lalu dengan DAP merangkul enam kerusi dan PKR satu.

Ku Li menjangka jika Pakatan Rakyat berjaya menafikan BN majoriti dua pertiga di Sarawak, ia akan memberi kesan kepada sentimen pengundi di Sabah.

Negeri jiran Sarawak itu juga menghadapi masalah kemiskinan kronik, di samping pimpinan kerajaan negeri diselubungi dakwaan-dakwaan membolot kekayaan balak dan sumber asli negeri.

"Apa juga yang berlaku di Sarawak akan mempengaruhi keadaan di Sabah. Kalau keadaan BN tak baik di Sarawak ia juga akan pengaruhi keadaan tak baik di Sabah. Itu yang lazimnya,' kata Ku Li.

Dalang Video Lucah Tandus Modal Politik, Kata Ku Li

KUALA LUMPUR 2 APRIL : Tengku Razaleigh Hamzah membidas pihak yang mendalangi fitnah video lucah untuk menjatuhkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan menegaskan rakyat akan menolak "politik kotor' sebegitu untuk mengalihkan tumpuan mereka daripada isu-isu nasional yang jauh lebih penting.

"Ini orang panggil gutter politics, politik longkang (dan digunakan) bila sudah tidak ada modal lagi. Ia timbul sebab polisi dan dasar yang diperjuangkan sudah tidak laku dan rakyat nampak tidak menerimanya. Oleh kerana itu (mereka) main politik kotor menyerang seseorang dengan harapan rakyat ketepikan hal seumpama itu. Ini bukan politik," tambah mantan Menteri Kewangan dan Naib Presiden Umno itu.

Dalam wawancara esklusif dengan TVSelangor, Tengku Razaeligh yang lebih dikenali 'Ku Li' menegaskan rakyat, khususnya masyarakat Melayu, menolak cubaan mana-mana pihak menyerang keperibadian pihak lain semata-mata untuk mencari kelebihan politik.

"Saya tak fikir rakyat terima hal (video seks) ini. Kalau tengok kes Anwar yang pertama tahun 1998, rakyat tidak terima. Usung tilam, bantal semua, tak ada orang terima. Saya masih ingat semasa saya adakan majlis dialog di Gua Musang. Orang cakap. Ni Melayu ke ni? Malulah," kata beliau.

"Perkara ini tak patut didedah kepada orang ramai. Jadi itu tunjukkan orang tak faham politik pun menolak benda macam ni. Saya rasa (video seks) ini salah langkah," tambah beliau

Ku Li berkata biarpun pihak yang mendalangi video seks itu berjaya menjatuhkan Anwar dan mencapai kemenangan politik, ia tidak bermakna dalam konteks kemuliaan tamadun negara itu sendiri.

"Kenapa kita nak amalkan ini semua kerana politik? Jika berpolitik sebegini, kalau kita menang pun, tidak ada maruah, tidak ada nilai, jadi tidak guna kita menang pun kalau kita guna cara buruk dan keji untuk mendapat tempat. Saya rasa rakyat pun tak dapat terima dengan baik," tegas beliau.

Tiga individu - Bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, Bendahari Perkasa Shuib Lazim dan ahli perniagaan Shazryl Eskay mengakumendalangi penayangan video itu kepada umum pada 21 Mac.

Mereka mendakwa rakaman itu menunjukkkan Anwar mengadakan hubungan seks dengan seorang pelacur Cina di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 21 Februari.

Ketiga-tiga mereka dilaporkan berjumpa Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak selepas identiti mereka dibongkar oleh pejabat Parti Keadilan Rakyat.

Anwar membuat laporan polis bagi membolehkan polis menyiasat siapa pelaku dalam rakaman itu.

Beliau menegaskan pada malam rakaman itu dibuat, beliau di rumah bersama ahli keluarga dan kakitangannya serta berinteraksi dengan kenalan menerusi Twitternya.

Pejabat PKR mengemukakan sembilan pesanan Twitter Anwar, bagi menyokong hujah Ketua Pembangkang itu.

Semalam, Ketua Polis Negara Ismail Omar membuat pengumuman mengejutkan apabila mengisytiharkan video itu adalah tulen namun tidak mengulas sama ada pelakunya dikenal pasti.

Beliau berkata hasil siasatan sudah di fasa terakhir dan akan diserahkan kepada Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dalam tempoh terdekat.

Kenyataan Ketua Polis Negara itu menimbulkan pelbagai kecurigaan kerana adalah difahamkan polis tidak mengambil keterangan daripada pihak-pihak yang relevan
untuk memperakukan keterangan Anwar sebelum ini.

Contohnya keterangan Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli yang menghuraikan sembilan catatan Twitter Anwar yang membuktikan Ketua Pembangkang tidak terbabit dalam perlakuan sumbang yang dituduh oleh Rahim dan dua rakannya itu.

Ku Li berkata perbuatan mencantas ahli politik dengan taktik-taktik keji seperti menayangkan video seks "bukan budaya" Melayu mahupun Islam kerana ia amat keji.

"Saya tak tahu dimana kita belajar perkara ini. Di Amerika pun orang kata politiknya kotor. Saya rasa ia bergantung pada kita. Rakyat Malaysia punya tamadun dan budaya yang baik, kenapa kita hendak ikut budaya tak baik' kata Ku Li.

"Apatah lagi bagi orang Melayu Islam, tak patut kita lakukan benda yang jijik yang dipandang rendah oleh orang. (Apa guna) kita buat perkara yang hina di sisi masyarakat," tegas beliau.

Video Seks : Ketua Polis Negara Tidak Faham Mengapa Anwar Buat Laporan?

Oleh Wira Arjuna

Menakjubkan lagi membingungkan – itulah mungkin rumusan paling sesuai untuk menggambarkan reaksi rakyat berikutan kenyataan separuh masak Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar yang mengumumkan video seks lucah yang dikaitkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah ‘tulen’.

Malah Ismail membayangkan hasil siasatan akan diserahkan kepada Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail untuk tindakan susulan dalam tempoh terdekat.

Persoalannya : Betul ke Anwar adalah pelaku dalam video itu? Malangnya, Ketua Polis Negara tidak memberi jawapan.

Jawapan beliau adalah penting kerana ia menjadi paksi kepada segala isu ini – benarkah Anwar dirakam mengadakan hubungan sumbang dengan seorang pelacur di sebuah hotel pada 21 Februari lalu?

Anwar membuat laporan polis pada 22 Mac, sehari selepas video itu ditayangkan kepada media di Hotel Seri Carcosa Kuala Lumpur di mana Ketua Pembangkang dan isterinya kemudian diugut supaya berundur dari politik.

Laporan polis dibuat oleh Ketua Pembangkang itu untuk membolehkan Bukit Aman sendiri menyiasat sama ada pelaku dalam video itu adalah Anwar atau bukan.

Jika bukan, maka jelas fitnah besar-besaran berlaku. Justeru identiti pelaku dalam video itu amat penting dan adalah kunci kepada segala-galanya.

Namun persoalan ini tidak dijawab oleh Ismail. Beliau lebih menjurus kepada hasil siasatan yang mendapati video itu adalah tulen berasaskan penelitian pakar-pakar video tempatan.

Persoalan asas tidak dijawab – siapa pelakon dalamnya. Lebih mengejutkan ialah kenyataan Ismail bahawa hasil siasatan kini “di tahap akhir”, akan diserahkan kepada Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dalam tempoh terdekat.

Mungkinkah siasatan itu boleh dianggap hampir selesai TANPA polis mengambil keterangan daripada Anwar atau pihak-pihak yang dapat membantu siasatan polis.

Mereka yang dimaksudkan adalah :

-Ahli Keluarga Anwar dan kakitangan yang dapat mengesahkan Ketua Pembangkang itu berada di rumah pada malam 21 Februari – hari rakaman itu dikatakan dibuat.

- Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli yang mengemukakan urutan 9 pesanan Twitter yang dihantar oleh Anwar pada malam itu.

- Ahli Parlimen Sungai Petani Johari Abdul dan bekas Ahli MPT PKR Badrulhisham Shahrin yang menonton video itu dan yakin pelakunya bukan Anwar berasaskan susuk tubuh dan “bahasa tubuh” pelaku.

Selang sehari video itu didedahkan, pejabat Parti Keadilan Rakyat membongkar identiti pihak yang mendalangi rakaman itu ialah bekas Ketua Menteri Melaka dan Pengerusi Risda Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, ahli perniagaan Shazyl Eskay dan Bendahari Perkasa Shuib Lazim.

Hanya selepas identiti mereka terbongkar, gandingan Datuk T tampil mengakui mereka di sebalik penayangan video berkenaan, itupun selepas mereka dilaporkan berjumpa dengan Perdana Menteri Najib Razak di Bangunan Parlimen pada 22 Mac.

Rahim, Eskay dan Shuib hanya mengambil masa kurang lima jam untuk menyerahkan bukti dan memberi keterangan kepada polis susulan laporan yang dibuat Anwar.

Selang seminggu kemudian, Ketua Polis Negara mengumumkan siasatan sudah hampir selesai untuk Peguam Negara mengambil tindakan susulan!

Jelas banyak ruang-ruang tertinggal dalam “siasatan adil dan telus” yang dijanjikan oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein.

Kenyataan bingkas beliau dan Perdana Menteri Najib Razak menafikan polis tidak langsung terlibat dalam isu fitnah video seks “Tiga Datuk” kini menimbulkan lebih banyak kecurigaan berikutan kenyataan Ketua Polis Negara hari ini.

ADUN Lenggeng Didenda RM20,000, Tiga Tahun Penjara

SEREMBAN 1 APRIL : ADUN Lenggeng, Mustafa Salim hari ini dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan denda sebanyak RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban.

Mahkamah sebelum ini mendapati beliau bersalah atas tuduhan menerima rasuah RM2,000 sebagai dorongan untuk mengeluarkan surat sokongan berkaitan dengan projek pasir, lebih dua tahun lalu.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan penangguhan hukuman kerana peguambela mahu membuat rayuan.

Pada 5 Mac lalu, pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya , Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata kelayakan Mustafa sebagai wakil rakyat tidak akan dilucutkan selagi beliau masih berpeluang untuk mengemukakan rayuan.

"Hukuman akan dijatuhkan pada 1 April. Ia tidak akan berkuatkuasa sehingga akhir 14 hari, di mana beliau boleh memfailkan rayuan kepada Mahkamah Tinggi.

"Proses mahkamah ini panjang, ADUN itu boleh merayu lepas 1 April ini, selepas habis proses mahkamah semuanya dan tetap disabitkan baru lucutlah jawatan ADUN," kata Abdul Aziz.

Menurutnya, jawatan Mustafa akan hanya dilucutkan jika beliau tidak merayu atau dihukum kepada setahun penjara atau atau lebih dan didenda sekurang-kurang RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Sekalipun, jika Mustafa dilucutkan, pilihan raya kecil tidak akan diadakan jika keputusan muktamad mahkamah hanya dibuat selepas 28 April, tahun ini.

Pimpinan Umno Hanya Pertahan Agama Bila Ada Kepentingan



SHAH ALAM 31 MAC : Sikap membelakangkan peranan dan teguran dari mufti dan pemimpin agama jelas menunjukkan wajah sebenar Umno dalam meneruskan kelangsungan politik mereka yang kian dilupakan rakyat, kata Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat, Dr Muhammad Nur Manuty.

Menurut Muhammad, walaupun teguran dan peringatan telah diberikan dari kalangan ahli agama kepada parti pemerintah namun sikap tidak ambil pusing yang dipamerkan membuktikan, pimpinan Umno-BN hanya mendokong agama apabila ia selari dengan agenda mereka.

"Mereka hanya memperalatkan mufti, mereka tidak menghormati mufti pada hakikatnya, apabila kepentingan mereka memihak kepada politik, mufti tidak digunakan, apabila kepentingan dari segi agama, (barulah) mufti diutamakan," katanya.

Muhammad berkata demikian apabila diminta mengulas kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang menegaskan pendedahan rakaman video seks yang didakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim mengaibkan Ketua Pembangkang itu kerana ia belum dibuktikan kebenarannya.

Pendedahan mengenainya dibuat oleh tiga individu yang menggelarkan diri mereka sebagai "Datuk T" pada 21 Mac lalu.

Mereka terdiri daripada bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Bendahari Perkasa Datuk Shuib Lazim.

Shuib dalam perkembangan terbaru mengakui bahawa beliau bertanggungjawab dalam pendedahan video seks fitnah ke atas Anwar.

Selain Harussani, Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya juga menggesa umat Islam menyiasat dahulu akan kesahihan klip video 21 minit itu sebelum membuat tuduhan membuta tuli dan menjatuhkan maruah individu lain.

"Nasihat saya, dalam al-Quran, Allah berfirman dalam surah al-Hujurat, apabila datang berita daripada orang fasik, hendaklah kamu selidik dahulu berita itu.

"Dan kalau tidak cukup empat orang saksi, sepatutnya penuduh dikenakan hukuman Qazaf. Hukum orang fasik ini, dia tak layak lagi jadi saksi untuk sebarang kes kerana sudah hilang kredibeliti,"kata Dr Juanda yang dipetik dari portal Malaysiakini.

Mengulas kenyataan mufti yang tidak mendapat respon balas dari pimpinan Umno-BN, Muhammad berkata, ia perbuatan normal bagi mereka yang hanya mengejar kekayaan dunia, pangkat dan darjat sehingga sanggup melakukan apa jua untuk menjatuhkan seteru mereka.

"Mereka tahu Anwar tidak melakukan perkara itu, tetapi oleh kerana mereka rakus dengan politik untuk menjatuhkan karier poltik Anwar di bumi Malaysia, memang Umno tidak kisah dosa pahala demi kepentingan kegelojohan, ketamakan dan kerakusan politik, mereka sangup buat apa sahaja," katanya.

Muhammad turut menyatakan kekesalannya terhadap media di negara ini yang dilihat semakin terhakis ketelusannya apabila hanya memberi liputan yang memihak kepada parti pemerintah.

"Media itu tidak lagi menjunjung kebenaran, media bukan lagi alat untuk memperkatakan lagi kebenaran, sebaliknya ahanya menjadi alat kepada warga politik Umno yang rakus, inilah hakikatnya di negara kita sekarang, ianya amat mendukacitakan,"tambahnya lagi.

Menteri Besar, YAB Dato' Ustaz Azizan Abdul Razak memberi sumbangan kepada mangsa banjir di Kupang, Baling

http://wartakedah.net/images/stories/MAC2011/dsc_3760.jpg http://wartakedah.net/images/stories/MAC2011/dsc_3787.jpg
http://wartakedah.net/images/stories/MAC2011/dsc_3774.jpg http://wartakedah.net/images/stories/MAC2011/dsc_3781.jpg
 http://wartakedah.net/images/stories/MAC2011/dsc_3783.jpghttp://wartakedah.net/images/stories/MAC2011/dsc_3784.jpg


KUPANG, 30 Mac 2011 - Lima mangsa banjir kilat di kawasan sekitar DUN Kupang mendapat perhatian Menteri Besar YAB Dato’ Seri Azizan Abd Razak apabila beliau turun padang melawat mereka. Beliau turut melahirkan rasa simpati dengan memberikan sumbangan awal kepada mangsa yang berkenaan.


Menurut Ustaz Azizan, Kerajaan Negeri Kedah menyediakan peruntukan bagi menghadapi masalah banjir. Namun begitu kerajaan belum ada sekretariat khas bagi menghadapi masalah banjir seperti ini, kerana ia melibatkan peringkat tempatan dan bukan peringkat negeri.

“Tetapi mangsa banjir tetap akan mendapat peruntukan kewangan yang akan diberikan mengikut kerosakan yang dialami,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sumbangan awal kepada lima mangsa banjir di Kawasan DUN Kupang.
Turut hadir dalam pertemuan itu ialah ADUN Kupang, YB Johari Abdullah.

Sementara itu, seorang sukrelawan banjir, Encik Kadir Abdullah berkata, kejadian itu berlaku dengan tiba-tiba pada jam 11 malam dan mengakibatkan 600 buah rumah di kawasan tersebut dimasuki air.

“Kebanyakan mangsa mengalami kerosakan harta benda sahaja dan tiada kemalangan jiwa yang berlaku. Selepas ini kerajaan negeri akan memberikan peruntukan kepada mereka yang terlibat melalui ADUN Kupang,” terangya.

Sementara itu, mangsa banjir, Hamidah Ahmad, 53, gembira apabila berpeluang bersemuka dengan Menteri Besar yang melawat mangsa banjir di kawasan itu.

“Ini adalah sumbangan banjir pertama yang saya terima, sejak mengharungi banjir beberapa tahun lalu,” ujarnya.

Nasruddin Dicalon Kekal Jawatan Ketua DPPP

SHAH ALAM 31 MAC : Dewan Pemuda PAS Kawasan (DPPK) Parit sebulat suara mencalonkan Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi untuk mempertahankan jawatan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat yang disandangnya kini.

Ketuanya, Ustaz Mohd Al-Hakimi As-Syah Alami dalam satu kenyataan media berkata, satu mesyuarat diadakan awal minggu ini dan memutuskan demikian bagi tujuan memantapkan lagi parti.

" Untuk jawatan Timbalan Ketua Pemuda, DPPK Parit mencalonkan ahli Parlimen Jerai, YB Ustaz Firdaus Jaafar yang juga Pengarah Pilihanraya Pemuda Pusat
sekarang ini.

" Bagi jawatan Naib Ketua Pemuda PAS Pusat, mesyuarat sebulat suara bersetuju untuk mencalonkan Ketua Lajnah Antarabangsa Dewan Pemuda PAS Pusat sekarang, Dr. Raja Ahmad Al-Hiss yang juga merupakan Setiausaha Dewan Pemuda Pas Negeri Perak," katanya.

Ibu pejabat parti menetapkan ketiga-tiga sayap parti- Dewan Pemuda, Dewan Muslimat dan Dewan Ulama akan mengadakan muktamar dan pemilihan pada 1 dan 2 Jun
ini.

Bagaimanapun tempat khusus masih belum ditentukan.

Manakala Muktamar Agung Pas Pusat pula dijadualkan berlangsung pada selama tiga hari bermula 3 Jun ini bertempat di Taman Melewar.

Ibu pejabat parti juga telah menetapkan tarikh mesyuarat agung dan pemilihan bagi 179 kawasan bermula pada 15 Mac hingga 10 Mei ini.

"DPPK Parit berharap dengan pencalonan yang dicadangkan akan dapat memantapkan lagi usaha dan gerak kerja kepemudaan di peringkat nasional dan antarabangsa
bagi menyemarakkan lagi perjuangan PAS melalui aktiviti kepemudaan.

" Bagi pencalonan jawatan Exco DPPP Pusat, senarai lengkap akan dimaklumkan dalam mesyuarat selanjutnya,"katanya lagi. ~tvs~

Menggapai Sejarah Gemilang; Kedah Sebagai Pusat Ilmu

Mangsa Ribut & Banjir Segera Dibantu

Sekatan Polis : Anwar Dapat Petunjuk Awal



SARAWAK 30 MAC : Polis Sarawak semalam memberi petunjuk awal kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bersedia menghadapi tekanan menjelang pilihanraya negeri itu bulan depan.

Sebuah majlis di Padungan Kuching, malam tadi terpaksa dialih ke kedai kopi apabila polis melarang Anwar daripada berucap kerana majlis itu tidak mempunyai permit.

Kira-kira 500 penduduk tempatan yang setia menunggu Anwar selama lebih sejam mula melaungkan rasa tidak puas hati kepada pihak polis yang membuat halangan terhadap Ketua Pembangkang itu

Setelah berunding dengan Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Mun Kok Khiong, barulah Anwar dibenarkan berucap selama kira-kira 15 minit sahaja.

Perkara sama berlaku di Tupong di mana trak serta puluhan anggota polis menunggu kedatangan Anwar di Bilik Gerakan Utama Dewan Undangan Negeri N6 itu.

Sekali lagi Anwar terpaksa berkompromi dengan pegawai polis agar dibenarkan berucap selama 15 minit juga.

Ucapan bersemangat beliau menguatkan lagi sokongan lebih 300 rakyat di kawasan tersebut untuk mendengar amanat ringkas pemimpin mereka walaupun di beri amaran oleh pihak polis agar beredar.~tvs~

Skim Rumah Pertamaku: Bantuan atau tambah hutang?



Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 30 Mac: Skim Rumah Pertamaku yang baru diperkenal kerajaan hanya akan menyebabkan golongan muda bukan sahaja terus dibebani hutang malah berdepan insolvensi.

AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad berkata skim yang dilancar Perdana Menteri pada 8 Mac lalu itu tidak lebih hanya sebagai tindakan populis namun pada masa yang sama, memusnahkan masa depan golongan muda.

Dengan tawaran 100 peratus pinjaman tanpa deposit sehingga RM200 ribu, golongan muda katanya bukan dibantu, namun dibebankan hutang tambahan selain hutang pinjaman barangan lain yang sedia ditanggung.

Malah jelasnya juga, peserta skim ini terpaksa menanggung bayaran ansuran bulanan yang tinggi untuk tempoh 30 tahun.

Jelasnya, apa yang lebih dituntut generasi muda ketika ini adalah tambahan ke atas pendapatan mereka.

"Isu yang lebih kritikal berhubung pemilikan rumah adalah menangani isu pendapatan sebenar bakal pemilik rumah.

"Majoriti golongan pekerja masih terperangkap dalam pendapatan sederhana," katanya yang juga ahli parlimen Kuala Selangor pada sidang media di parlimen hari ini.

Turut serta pada sidang media itu Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaffar.

Beliau turut memberi contoh pengiraan mudah bagi seorang pekerja berpendapatan RM3000.

"Ansuran bulanan kereta RM500, bil telefon RM80, sewa kediaman RM400, makanan RM500.

"Hanya ada RM1,000 sahaja lagi lebihan selepas pemotongan EPF dan Socso," katanya.

Untuk rekod, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) melaporkan sejumlah 50,361 kes berkaitan kegagalan membayar hutang pinjaman.

Dari jumlah itu 10.6% adalah mereka yang tidak membayar hutang kad kredit manakala 74.3% bermasalah membayar pinjaman rumah, kereta dan baki kad kredit.

Kamaruddin dalam pada itu berkata, PAS bersedia memberi penjelasan lanjut berhubung perkara itu.

Tambahnya, kehadiran melebihi jangkaan iaitu 300 ribu golongan muda pada pameran kerjaya anjuran Pemuda Umno baru-baru ini membuktikan masih ramai sebenarnya golongan belia menganggur.

Tanah itu milik Persekutuan, kenapa salahkan kerajaan Negeri?

BUKIT KAYU HITAM, 30 Mac – Tanah tapak Bazar Kompleks MDKP Bukit Kayu Hitam kini kini sudah berpindahmilik kepada Kerajaan Persekutuan apabila ianya dibeli oleh Pusat untuk dijadikan kawasan Pengkuarantinan Kastam dan Imigresen (CIQ).

Penjelasan itu dibuat oleh Ahli Majlis Daerah Kubang Pasu, Encik Basir Ismail ekoran dakwaan yang disiarkan oleh Berita Kedah FM hari ini yang mendakwa kononnya Kerajaan Negeri mengarahkan peniaga di bazar itu mengosongkan premis tanpa menyediakan tempat perniagaan alternatif untuk mereka.

“Atas dasar keprihatinan terhadap peniaga kita telah berbincang dengan para peniaga seterusnya mencadangkan mereka berpindah ke kawasan bebas cukai atau mereka sendiri mengemukakan cadangan kepada pihak majlis tempat yang sesuai untuk mereka berniaga.

“Para peniaga tidak setuju untuk berpindah ke kawasan bebas cukai atas faktor-faktor tertentu dan buat masa ini mereka belum mengemukakan cadangan kepada MDKP di mana tempat mereka fikirkan sesuai untuk dipertimbangkan oleh pihak majlis,” ujarnya.

Basir bagaimanapun memberitahu Warta Darul Aman bahawa, penjelasan terperinci berhubung isu tersebut akan dikeluarkan esok, selepas pihak MDKP bermesyuarat.

Kerajaan Negeri bertindak segera bantu mangsa ribut

 http://wartakedah.net/images/stories/MAC2011/ribut.jpghttp://wartakedah.net/images/stories/MAC2011/ribut2.jpg
ALOR SETAR, 29 Mac – Hanya beberapa jam selepas ribut melanda sekitar Daerah Kota Setar, semua mangsa ribut mendapat perhatian dan pembelaan sewajarnya. Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Alor Mengkudu bersama penghulu mukim turun padang mengenalpasti kerosakan sebagai langkah terawal, diikuti pemberian bantuan mengikut keperluan.

Menurut Setiausaha PKWR Alor Mengkudu, Encik Fakhrulrazi Salleh, dalam kawasan DUN Alor Mengkudu sebanyak 33 buah rumah terbabit dari 11 kampung iaitu Titi Haji Idris, Kuar, Padang Dalam, Padang Luar, Kandai, Tok Keling, Teluk Kandeh, Alor Mengkudu Dalam, Keriang Pulau, Selarong dan Taman Desa Damai.

“Langkah pertama yang diambil ialah menasihatkan mangsa supaya membuat laporan polis bagi memudahkan Pejabat Daerah menyalurkan bantuan.

“Bagaimanapun bagi rumah yang perlu pembaikan segera, kru sukarelawan PKWR bertindak membaikinya terus. Kita tidak boleh menunggu peruntukan bantuan dari Pejabat Daerah baru hendak baiki kerana sekarang musim hujan dan mangsa perlu berlindung dari hujan,” ujar beliau.

Sementara itu, tinjauan Warta Darul Aman ke Alor Mengkudu mendapati para sukarelawan PKWR sibuk membaiki rumah walaupun di tengah-tengah hujan lebat.

Sementara itu di Kawasan Dun Pengkalan Kundur, kira-kira lebih dari 50 buah rumah dan sebuah sekolah terlibat dengan kejadian ribut kencang semalam.
ADUN Negeri Pengkalan Kundor, YB Dato’ Phahrolrazi Zawawi yang turun melawat mangsa ribut memaklumkan, kejadian tersebut melibatkan Kampung Alor Ibus, Kampung Selarong Batak, Tebengau, Kampung Kebun Pinang, Kampung Benua, Batu 9, Kota Sarang Semut dan Teluk Kechai.http://wartakedah.net/images/stories/MAC2011/keron1.jpg
“Saya telah arahkan Majlis Ketua Kampung/Komuniti (MKK) membuat bancian kerosakan dan juga mengarahkan penghulu menyenaraikan mangsa-mangsa kejadian untuk diserahkan kepada pejabat daerah. Setakat ini kita telah memberi bantuan awal berbentuk wang tunai kepada mangsa kejadian,” maklum beliau.

Tambahnya lagi, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut bersama membuat bancian mengenalpasti jumlah kerugian.

YB Dato’ telah melawat beberapa buah tempat termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina di Batu 6, Simpang 4. Sementara di tempat beliau tidak sempat lawati diserahkan kepada Pegawai Perhubungannya, Ustaz Kassim .

Di kawasan DUN Kubang Rotan pula, kira-kira 60 buah rumah mengalami kerosakan akibat ribut kencang semalam.
http://wartakedah.net/images/stories/MAC2011/keron2.jpghttp://wartakedah.net/images/stories/MAC2011/naset3.jpg
Menurut ADUN Kubang Rotan, YB Mohd Nasir Mustaffa, kejadian tersebut melibatkan lima mukim. Antara kampung yang terlibat ialah Flat Tongkang Yard, Kampung Baru Tambak Bunga, Teluk Kecai, Kuala Kedah, Kubang Pangas, Telok Lempin, Kampung Tengah Kubang Rotan, Kubang Jambu, Kubang Bongor, Kubang Jawi, Kubang Siam, Kuala Sungai dan Kampung Baru Kuala Kedah.
http://wartakedah.net/images/stories/MAC2011/naset.jpg http://wartakedah.net/images/stories/MAC2011/naset2.jpg
“Setakat ini saya masih belum habis melawat keseluruhan tempat kejadian. Walau bagaimana pun kita telah memberi bantuan segera sebanyak RM200 setiap rumah,” katanya ketika dihubungi.
ADUN Negeri Pengkalan Kundor, YB Dato’ Phahrolrazi Zawawi yang turun melawat mangsa ribut memaklumkan, kejadian tersebut melibatkan Kampung Alor Ibus, Kampung Selarong Batak, Tebengau, Kampung Kebun Pinang, Kampung Benua, Batu 9, Kota Sarang Semut dan Teluk Kechai.

Pemimpin Agama Tidak Harus Jadi Syaitan Bisu, Kata TG Abdul Hadi Awang



SHAH ALAM 29 MAC : Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan pemimpin agama tertentu sebagai “syaitan bisu” kerana mengambil sikap berdiam diri dan tidak bersuara dalam isu fitnah moral terbaru yang ditujukan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Berucap kepada lebih 20,000 orang di Stadium Malawati malam tadi, Hadi, menegur pemimpin agama yang enggan tampil menyatakan pendirian terhadap fitnah video seks awal minggu lalu.

Setakat ini hanya bekas Mufti Dr Mohd Asri Zainu Abidin menyatakan rasa keji beliau atas taktik kotor yang digunakan untuk menjatuhkan musuh politik dan menggesa rakyat Malaysia khususnya umat Islam untuk menolak perbuatan seumpama itu.

Namun Mufti-mufti yang lain khusus Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria yang selama ini banyak memberikan pendapat atau komen menyentuh pembangkang berdiam diri atas serangan peribadi terbaru ke atas Anwar Ibrahim.

“Di mana kalangan yang suka bercakap selama ini, jangan jadi syaitan bisu. Siapa yang diarahkan untuk berkata benar tapi tidak melakukannya adalah syaitan bisu,” kata Hadi lagi.

Semalam, Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang bertanggungjawab terhadap pendedahan rakaman video seks minggu lalu.

Presidennya Rev. Dr Thomas Philips berkata, menyifatkan penayangan video lucah itu sebagai perkembangan politik yang menjijikan.

Abdul Hadi menegaskan pendedahan rakaman video seks yang dikaitkan dengan Anwar itu adalah i “permainan politik” kotor dan bertentangan dengan ajaran Islam.

“Kita sedang mengalami satu peristiwa permainan politik yang sangat kotor bukan sahaja mengikut ajaran Islam yang sepatutnya umat Islam menjadi contoh kepada umat lain bahkan bercanggah dengan amalan-amalan demokrasi yang diamalkan oleh masyarakat sejagat,” katanya.

Abdul Hadi meminta Umno supaya bertaubat dan berhenti menggunakan taktik keji untuk kelangsungan politiknya.

“Jangan kita anggap kezaliman itu adalah kekuatan kepada sesuatu kerajaan. Kezaliman menandakan kerajaan sudah nyanyuk, mengalami kelemahan dan meraba-raba serta membuat apa sahaja untuk mengekalkan pemerintahan,” katanya.

Beliau mengingatkan Barisan Nasional bahawa bahawa setiap fitnah dan penyelewengan yang berlaku merupakan tanda-tanda perubahan bakal disaksikan.

“Percayalah wahai pemimpin-pemimpin Barisan Nasional kamu tidak boleh kekal selama-lamanya dan percayalah kita semua bahawa fitnah-fitnah, kezaliman yang disebar, penyelewengan yang berlaku adalah tanda-tanda awal perubahan akan berlaku,” ujar beliau sambil disambut dengan laungan Takbir.

~TVS~

Lebih 150 Rumah Di Kedah Rosak Teruk Dilanda Ribut

ALOR SETAR 29 MAC : Lebih 150 rumah penduduk di negeri ini rosak teruk selepas dilanda ribut kencang yang disertai hujan lebat petang semalam sehingga meranapkan sebuah daripadanya.

Tiga kawasan yang dilanda ribut itu adalah di Kuala Kedah, Alor Setar dan Pokok Sena.

Ribut kira-kira dua jam yang bermula pukul 6 petang itu meranapkan sebuah rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) milik Shafie Chat, 70, di Kampung Simpang Empat Kuar, Mukim Padang Lalang, Alor Janggus.

Penolong Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Kota Setar Rusmini Meh berkata pegawai-pegawai jabatan itu telah dihantar ke kawasan terbabit untuk mendapatkan butiran lengkap bagi membolehkan bantuan disalur kepada semua mangsa.

Sementara itu, Timbalan Ketua Umno bahagian Kuala Kedah Datuk Abdul Mutalib Haron melawat mangsa ribut itu dan menghulurkan bantuan segera kepada mereka sehingga pukul 1 pagi ini.

Beliau berkata Umno Kuala Kedah juga akan menggerakkan persatuan Belia 4B di kawasan terbabit untuk bergotong-royong membaiki rumah yang rosak itu.

-Bernama-

Kedah Agro, PKNK sedia beli buah-buahan orang kampung

Oleh SITI ZALEHA ABDUL RAHIM

GUAR CHEMPEDAK – Rakyat Kedah yang mempunyai dusun buah-buahan bermusim seperti rambutan dan durian tidak perlu bimbang untuk menjual hasil buah tersebut.

Ini kerana bermula tahun ini, apabila tibanya musim buah-buahan, kerajaan negeri melalui anak syarikatnya, Kedah Agro Holdings Berhad dan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) akan membeli semua hasil buah rambutan dan durian untuk diproses.

Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak berkata, PKNK sedang giat menyiapkan kilang pemprosesan produk asas tani di Sungai Petani, dan dijangka siap Jun ini dengan menelan belanja RM10 juta.

Oleh demikian, kerajaan negeri akan membeli buah rambutan dan durian daripada rakyat yang mempunyai dusun buah rambutan dan durian.

“Hari ini, kita mahu rambutan dan durian kita ada harga, PKNK sedang giat menyiapkan kilang untuk proses bahan asas tani dan akan siap Jun ini.

“Jadi, kepada sesiapa yang ada dusun buah tersebut, kita akan beli semua untuk diproses dan ditinkan untuk dijadikan jus, untuk durian kita boleh buat lempok, rambutan boleh ditinkan seperti laici,” jelas beliau pada Majlis Perasmian Karnival Kedah Sejahtera Peringkat Daerah Yan 2011 di Kompleks Dewan Serbaguna Guar Chempedak.

Manakala Kedah Agro yang telah berjaya menanam nanas, dan kini aktif untuk mengusahakan tanaman pisang dan betik juga akan membeli semua buah mempelam daripada rakyat Kedah untuk diproses menjadi kordial dan lain-lain hasil industri asas tani.

“Kedah Agro telah buat keputusan untuk beli buah pelam rakyat, buah tersebut dikumpulkan di satu tempat untuk dikupas, kemudian diproses untuk jadi jus dan macam-macam lagi yang boleh dihasilkan dari buah pelam,” ujar beliau.

Semua usaha adalah untuk menjadikan Kedah sebagai Belanda Timur bagi menjamin keluaran makanan.

Rakyat hidup lebih selesa tanpa BN

KUALA LUMPUR, 29 Mac: Para pengundi Sarawak perlu bangkit menyanggah pemikiran lapuk dengan suatu persepsi baru bahawa tanpa BN rakyat akan hidup lebih selesa.

Pengarah Jabatan Pilihan raya Pemuda PAS Pusat, Mohd Firdaus Jaafar berkata, keadilan dan kesejahteraan tidak mampu lagi ditegakkan di bawah rejim BN.

“Jangan ada peluang buat BN memerintah buat sekian kalinya, kerana puluhan tahun mereka hidup mendera rakyat,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga ahli Parlimen Jerai menyeru supaya menjadikan tsunami politik tahun 2008 di Semenanjung sebagai inspirasi untuk berubah di Sarawak, kerana perubahan itulah yang akan mengubah nasib rakyat.

Katanya, rakyat di kerajaan negeri Pakatan Rakyat telah menikmatinya, kini tiba pula giliran pengundi di Sarawak.

Beliau juga memberitahu, pihaknya akan turun berkempen sempena pilihan raya negeri yang berlangsung pada 16 April ini dengan misi agar pengundi Sarawak memahami dengan lebih jelas penipuan dan penyelewangan yang dilakukan oleh Umno BN terhadap rakyat khususnya di negeri itu.

Selama ini, katanya rakyat mudah ditipu dengan pelbagai janji manis menjelang pilihanraya umum di mana janji pembangunan adalah janji wajib yang ditaburkan setiap kali pilihanraya berlangsung.

Tambahnya, pelbagai sogokan seperti kain pelikat, jalan raya diturap, pecah tanah, subsidi baja, hamper, wang saguhati, basikal dan macam-macam lagi adalah lumrah bagi BN.

“Selepas pilihanraya berlangsung pemimpin yang dipilih rakyat ini hilang entah ke mana bersama janji mereka.

“Rakyat pula sengaja dibiarkan hidup melarat terutamanya di kawasan pedalaman agar mereka terus berharap pemimpin BN boleh menghadirkan pembangunan,” katanya.

Katanya lagi, kemiskinan rakyat adalah kebanggaan BN kerana dalam kemiskinan itulah, rakyat akan meminta simpati mengharapkan sebekas bantuan terutama menjelang pilihan raya.

Pemimpin BN juga, ujarnya menanam dalam minda rakyat bahawa hanya BN mampu memerintah.

Selain BN, katanya pembangkang dianggap sesat dan pengkhianat di mana pemimpin Pakatan Rakyat ditohmah dengan pelbagai fitnah yang direkayasa.

“Rakyat ditipu bahawa jika Pakatan Rakyat memerintah, rakyat akan hidup melarat dan susah. Inilah mentaliti kelas tiga yang cuba diputarbelitkan,” katanya lagi.

Jlasnya, demokrasi sebenar hanyalah mimpi di negara ini kerana demokrasi yang dicipta hanyalah untuk menguntungkan diri pemimpin BN semata-mata.

Menurutnya, dengan penyalahgunaan jentera kerajaan, manipulasi media yang berleluasa, daftar pemilih yang diragui, serta peranan SPR yang dicurigai menjadikan demokrasi Malaysia jauh tertinggal dengan negara lain.

“Kebebasan dan hak asasi rakyat dicerobohi. Rakyat dinafikan hak mendapatkan maklumat bebas dan telus,” ujarnya

Harakahdaily

Media Umno Berpura Dungu Berhubung Facebook dan Twitter

Manusia merancang namun Tuhan menentukan – ungkapan ini yang dikitar berulang kali, sekali lagi menyerlah dan menunjukkan hikmahnya dalam fitnah video lucah yang cuba dikaitkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perancangan begitu licik yang disusun untuk oleh Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan Shazryl Eskay termasuk mendapatkan pelakon yang mirip wajah Anwar (tetapi bukan perutnya) terbongkar apabila berdepan dengan aturan hidup Anwar yang telah ditentukan oleh Allah s.w.t.

Kepemimpinan Umno yang merestui fitnah yang didalangi oleh Rahim dan Eskay tidak mengambilkira kebarangkalian Anwar menggunakan Twitter pada masa sama perbuatan sumbang itu dirakam di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Tetapi hakikatnya itulah yang berlaku dan bukti diterjemahkan menerusi sembilan pesanan Twitter yang di hantar sendiri oleh Anwar mulai 10.38 malam hingga 11.06 malam pada 21 Februari lalu.

Rakaman video lucah, sebagaimana yang diterangkan oleh Eskay sendiri kepada wartawan, dibuat di antara pukul 10.20 hingga 10.41 malam.

Seperti yang diperjelaskan pula oleh Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat, Rafizi Ramli, semua laporan oleh mereka yang menonton video itu setakat ini tidak mengesan si pelaku melakukan seks sambil memegang telefon untuk menghantar pesanan Twitter.
Jika ada, maka tentulah hebat orangnya!.

Bukti Twitter Anwar itu diperkuatkan dengan pengakuan tiga orang yang menyaksikan video lucah itu atas jemputan Eskay dan Rahim Thamby Chik iaitu Ahli Parlimen Sungei Petani Datuk Johari Abdul, bekas Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR Badrul Hisham Shahrin dan wartawan Harakah Wan Nordin Wan Yaakob.

Ketiga-tiga mereka menonton video itu secara berasingan tetapi memberi perakuan sama – iaitu pelaku dalam rakaman mempunyai iras wajah Anwar tetapi bukan susuk badan dan bahasa tubuh (body language atau mannerism) Ketua Pembangkang itu.

Segala pengakuan tiga individu ini sama ada dipadamkan begitu sahaja atau dimanipulasi oleh Utusan Malaysia dan blogger upahan Umno.

Manakala bukti-bukti catatan Twitter oleh Anwar seperti yang dijelaskan oleh Rafizi tidak langsung diberikan ruangan dalam Utusan Malaysia.
Sebaliknya akhbar itu dan blog-blog upahan Umno terus mendakwa kononnya twitter Anwar hanya menunjukkan catatan pada pukul 11.38 malam, kononnya apabila rakaman video lucah itu selesai.

Laporan itu jelas bermotif fitnah semata-mata, kerana, sebagaimana yang diterangkan oleh Rafizi, catatan Twitter di Malaysia adalah sejam lebih awal kerana ia berlandaskan waktu yang dirakam oleh server Twitter di San Francisco, Amerika Syarikat.

Server berkenaan terikat kepada zon waktu Amerika Syarikat yang diubah ketika musim sejak antara November hingga Mac dan memberi kesan kepada waktu catatan twitter di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Apa yang jelas ialah fitnah Rahim Thamby Chik dan Shazryl Eskay digunakan secara licik oleh pucuk pimpinan Umno untuk menggerakkan serangan terbaru terhadap Anwar menjelang Pilihanraya Negeri Sarawak.

Justeru media arus perdana Utusan Malaysia sekali lagi kelihatan diarah untuk memainkan isu Twitter dan Facebook bagi menguatkan fitnah terhadap Ketua Pembangkang itu.

Namun kedangkalan dan niat jahat Umno, Utusan dan blog-blog upahan parti itu mengenai Twitter dan Facebook tetap terserlah dan memerangkap diri.

Penjelasan Rafizi hari ini bukan maklumat rahsia. Ia boleh diperolehi daripada sesiapa yang arif mengenai Twitter dan Facebook.

Namun maklumat yang benar hanya akan diperolehi oleh orang yang mencari kebenaran, bukan pihak yang mahu menghalalkan fitnah dengan pembohongan demi pembohongan.

Bagaimanapun persoalan yang masih tinggal adalah sama ada Anwar akan “dibebaskan” oleh polis bersabit video lucah ini.

Mereka yang arif mengenai politik Umno tidak akan terkejut jika fitnah video ini dibiarkan berlarutan dan polis “memerlukan lebih masa untuk menjalankan siasatan terperinci.”

Pada masa sama, Utusan Malaysia, blog dan media kawalan Umno yang lain akan terus “memerah” fitnah video seks ini sebaik mungkin dalam perang untuk menghakis sokongan rakyat terhadap Anwar.

Janganlah terkejut, jika pada hari-hari yang menjelang ini, video itu dimuatkan dalam Youtube dan rakyat digesa persetankan bukti Twitter dan Facebook Anwar bahawa rakaman itu adalah fitnah semata-mata.

Siri demostrasi dan tunjuk perasaan oleh Perkasa, Umno dan badan-badan bukan kerajaan akan sekali lagi dianjurkan di seluruh pelosok negara, mendesak Anwar dan isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail berundur dari politik.

Malah, jangan tolak kemungkinan Tan Sri Rahim dan Eskay dianugerahkan darjah kebesaran (mungkin oleh Yang di Pertua Melaka) dan diangkat menjadi wira baru Umno sebagai penyelamat bangsa Melayu.

Umno amat berpengalaman dalam permainan ini.~tvs~

PAS Temerloh usul perhimpunan Bersih 2

Khairil Abdul Rahim

TEMERLOH, 28 Mac: Masyuarat Agung PAS Kawasan Temerloh ke 24 semalam (Ahad) meluluskan usul menuntut PAS Pusat supaya menggerakkan perhimpunan BERSIH 2 bagi menuntut pilihan raya yang adil.

Usul daripada jawatankuasa yang dibawa oleh Amiruslan Manaf itu, mahukan pertandingan demokrasi yang betul-betul telus dan adil bagi membolehkan rakyat dapat menilai dan memilih pemimpin mereka tanpa dipengaruhi penipuan dan ugutan.

“Sehubungan dengan itu, PAS Kawasan Temerloh menggesa PAS Pusat menggerakkan perhimpunan sejuta rakyat BERSIH 2 bagi menuntut proses demokrasi yang adil sebagai mana tuntutan yang terdahulu iaitu akses kepada media awam yang bebas dan adil kepada semua parti politik.

“SPR juga mesti melaksanakan penggunaan dakwat kekal (celup jari) untuk menghalang pengundian berganda. Selain itu memansuhkan sistem pengundian pos kecuali untuk para diplomat dan pengundi yang berada di luar negara,” tambah Amiruslan.

Tambah Amiruslan lagi, PAS mahukan satu sistem baru di mana semua warga negara ini layak mengundi apabila berusia 21 tahun secara automatik didaftarkan sebagai pengundi.

“Kami juga mahukan tuntutan baru iaitu persempadanan kawasan pilihan raya hendaklah mengikut perlembagaan negara iaitu berdasarkan persempadanan geografi dan sosio ekonomi, bukannya berdasarkan kehendak parti politik.

“Yang keduanya melanjutkan waktu tempoh berkempen sekarang daripada sekitar 8 hari kepada 21 hari sebagaimana yang diamalkan di negara-negara komonwel yang lain,” ujarnya.

Amiruslan juga berhujah, PAS yang memiliki ahli paling ramai dalam komponen Pakatan mestilah dilihat lebih menonjol dan terkehadapan dalam usaha menuntut demokrasi. PAS tidak seharusnya dipandang berada di tempat ketiga bagi tujuan menuntut keadilan itu.

Beliau mengingatkan BERSIH 1 telah berjaya membuatkan lima negeri jatuh ke tangan Pakatan.

Mesyuarat Agung tersebut dirasmikan oleh Setiausaha Majlis Syura Ulamak, Nik Zawawi Nik Salleh.

Sementara itu PAS Temerloh memeilih kepimpinan baru semalam iaitu Haji Jusoh Darus sebagai Yang Di Pertua, Hassanuddin Salim timbalannya dan naib pula ialah Adun Kuala Semantan Syed Hamid Syed Muhamad.

Kesemua mereka menang selepas bertanding satu lawan satu.

harakahdaily

Di sebalik lumpuhnya tentera udara Gaddafi

Subky Latif

REVOLUSI di Libya berlaku selepas kejayaan revolusi di Tunisia dan di Mesir. Muammar Gaddafi telah menyaksikannya dan telah mempelajarinya.
Dia telah melihat Zine Al Abidene Ben Ali dan Hosni Mubarak. Mempertahankan diri pun tak selamat, menyerah seperti tuntutan para demonstran pun tidak selamat.

Komen Gaddafi sebelum tercetus revolusi di Libya, tidak mungkin tercetus revolusi di Libya seperti di Tunisia dan di Mesir kerana rakyat Libya mengasihinya.

Tidak sampai seminggu lepas dia berkata, rakyat Libya pun bangun hingga berjaya menguasai sebahagian bandar besar di Libya kecuali di Tripoli.

Gaddafi rupanya sudah tertipu dengan rakyatnya sendiri. Ketika dia menyangka rakyat Libya menyayanginya, rupanya sebahagian besar dari mereka membencinya.

Ketika kebanyakan kota besar jatuh ke tangan pemberontak, dia masih memberitahu rakyat Libya dan penduduk dunia, rakyat Libya masih menyayanginya. Yang ramai membantah itu, mengikutnya, adalah orang yang dihasut oleh Al-Kaedah.

Dia pura-pura percaya rakyat bersamanya ketika dia hanya masih menguasai Tripoli.

Rakyat yang menunjuk perasaan itu tidak bersenjata. Dia dapat bertahan di Tripoli kerana rakyat tidak bersenjata, sedang dia menguasai senjata. Sekiranya dia tidak bersenjata, dipercayai sudah lama penduduk menguasai Tripoli seperti kota-kota lain.

Kota-kota lain jatuh ke tangan orang yang tidak bersenjata kerana tentera yang menguasai senjata tidak mahu menggunakan senjata, bahkan mereka berpaling tadah menyertai rakyat yang memberontak.

Penduduk dan tentera di Tripoli mengaku setia kepadanya kerana dia berada di situ dan dia dikawal oleh tentera upahan yang mengancam sesiapa saja yang tidak setia kepadanya.

Dia enggan memenuhi tuntutan rakyat supaya berundur kerana dia menyangka dia masih disayangi rakyat tetapi dia mengaku akan menentang kebangkitan itu hingga ke laki-laki terakhir dan perempuan terakhir.

Ini bererti dia bersedia untuk berperang dengan rakyatnya sekali pun dia tahu rakyat sudah tidak bersamanya lagi. Dan sekarang dia sudah pun mengerahkan tentera yang setia kepadanya untuk mematahkan daerah yang sudah jatuh ke tangan pemberontak dan menggunakan pesawat pejuang yang ada untuk mengebom bandar yang menentangnya.

Tentera yang berpaling tadah kini mulai membekalkan senjata yang ada kepada pemberontak dan menubuhkan pasukan tentera rakyat, memberi latihan asas peperangan bagi menentang dan membebaskan Tripoli daripada penyokong Gaddafi dan bagi menangkis kiranya tentera Gaddafi cuba menyerang kawasan yang sudah dibebaskan.

Agak sukar bagi rakyat menghadapi Gaddafi dalam waktu yang singkat kerana ia menguasai tentera udara. Ia boleh menggunakan pesawat pejuang untuk menentang rakyat.

Gaddafi kini cuba bertahan dengan sokongan yang rapuh oleh orang yang mengaku setia kepadanya. Dia tidak dapat mengagak berapa lama golongan yang sudah jadi minoriti itu boleh bertahan menentang penentang yang majoriti.

Jika menteri dan diplomatnya sudah berpaling tadah, maka tiada jaminan orang yang mengaku setia itu akan kekal bersamanya. Mereka juga mahu menikmati udara kebebasan yang mulai dirasa oleh mereka yang berjaya membebaskan diri dari kegerunan Gaddafi.

Gaddafi tidak teragak-agak untuk menggugurkan bom ke atas penentangnya bagi mengekalkan kuasanya. Dia sedia menumpah darah hingga tinggal dia dan keluarganya.

Dia boleh menjadikan Libya padang jarak dan padang terkukur kerana dia ada kapalterbang. Ini mendorongkan rakyat minta bantuan asing khususnya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Tentunya Amerika dan Eropah boleh mengambil kesempatan untuk campur tangan. Gaddafi suka kalau kuasa asing campur tangan bagi dijadikan alasan betapa yang menentangnya itu adalah kuasa asing.

Tetapi rakyat Libya yang memberontak itu menolak campur tangan Amerika dan Nato seperti di Iraq dan di Afghanistan. Yang mereka mahu sekadar sekatan kepada Gaddafi menggunakan ruang udara bagi mengebom rakyat. Guna apa jua cara supaya Gaddafi tidak dapat menggunakan pesawat.

Gaddafi boleh menentang orang yang menentangnya tetapi jika yang menentangnya adalah seluruh rakyat, maka Gaddafi tidak boleh menjadi pemimpin kepada makhluk yang bukan manusia atau rakyat yang amat minoriti.

harakahdaily

Peruntukan RM13 juta untuk pertanian, tapi tak ramai ambil peluang

Oleh : SITI ZALEHA ABDUL RAHIM

GUAR CHEMPEDAK – Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak menyeru rakyat Kedah datang ke Jabatan Pertanian bagi mendapat khidmat nasihat dan bimbingan dalam membangunkan sektor pertanian.

Ini kerana, bagi tahun 2011 kerajaan negeri memperuntukkan RM13 juta untuk sektor pertanian.

Namun, apa yang beliau kesalkan amat sedikit rakyat yang datang ke Pejabat Pertanian untuk mendapat khidmat nasihat bagi membangunkan sektor pertanian, dan lebih utama menjana pendapatan.

“Adalah menjadi agenda utama kerajaan negeri untuk menjadikan Kedah sebagai pengeluar makanan utama dunia atau sekurang-kurangnya kepada rakyat.

“Kita (kerajaan) peruntukkan RM13 juta untuk pertanian, tapi malang amat sedikit datang ke Jabatan Pertanian untuk dapat khidmat nasihat mengenai pertanian. Saya sarankan kepada rakyat untuk datang ke Pejabat Pertanian untuk tujuan itu.

“Kita ada dua matlamat dalam pertanian, pertama sekali kita menolong memberi satu usaha fardu kifayah kepada rakyat, jangan fikir ia sebagai satu perniagaan biasa untuk hasil, seperti di Libya, kaya dengan minyak, tapi hadapi krisis makanan juga, ke mana saja kita pergi bila lapar mesti nak makan.

“Yang keduanya kita bukan sahaja beri jaminan food security, tapi beri pendapatan tambahan kepada rakyat,” jelas beliau pada Majlis Perasmian Karnival Kedah Sejahtera Peringkat Daerah Yan Tahun 2011 yang diadakan di Kompleks Dewan Serbaguna Pekan Guar Chempedak.

Beliau turut menyampaikan bantuan kebajikan masyarakat dan Kafalah kepada penduduk di sekitar Daerah Yan.

Gempa Kuat Landa Jepun


KUALA LUMPUR, 28 MAC : Gempa bumi kuat berukuran 6.5-magnitud berlaku berhampiran pantai timur Honshu di Jepun pada pukul 6.24 pagi tadi, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia.

Pusat gempa itu terletak 370km timur laut dari Tokyo dan 4,337km timur laut Kudat, Sabah.

Honshu telah dilanda dengan beberapa gempa bumi kuat bulan ini.- BERNAMA

Konspirasi jahat BN musnah, akibat terlalu banyak perancang



Oleh: ZULKIFLI YAHAYA



Di tengah-tengah keghairahan BN mencari strategi terbaik untuk memerangi Pakatan Rakyat, khususnya dalam menghadapi pilihanraya umum negeri Sarawak, tiba-tiba mereka ‘tersalah menghantar bola’ untuk PR. Bola tanggung untuk direjam.

Hakikatnya Anwar sudah terperosok rapat ke dinding berhubung isu liwat yang dihadapinya. Dia didesak menyerahkan DNA dalam banyak siri lakonan bantahan dari seluruh negara. Rakyat biasa yang tidak faham apa itu konspirasi, marahkan Anwar kerana tidak mahu serah DNA. Mereka yakin DNA sebenar Anwar tidak akan sama dengan DNA lelaki Y kerana tidak mungkin ketua pembangkang melakukan kerja terkutuk itu. Tapi orang yang mengerti konspirasi yakin bahawa DNA lelaki Y akan sama dengan DNA Anwar, bukan kerana beliau peliwat tetapi kerana kebenaran itu sendiri telah diliwat.

‘Video seks Anwar’ adalah strategi paling tolol BN yang tiba-tiba memberi nafas baru kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tiada siapa terfikir bahawa di saat Anwar sedang bertarung dengan proses mahkamah yang akan menentukan hidup mati politiknya, maka sempat lagi lelaki 60an itu melanggan pelacur murahan di sebuah hotel? Ada logiknya kalau video seks itu dirakam lebih 13 tahun lalu, sewaktu beliau jadi Timbalan Presiden Umno. Tapi peristiwa itu berlaku 21 Februari 2011, sewaktu seluruh mata rakyat Malaysia memberi tumpuan kepada manusia bernama Anwar Ibrahim. Bodoh sangatkah Anwar sampai tahap gaban?

Hari pertama video itu didedahkan, Anwar ‘disahkan’ sebagai pelakon video itu oleh semua media talibarut BN. Dia didesak meletak jawatan oleh ahli-ahli Parlimen bebas dan BN. Zulkifli Nordin yang mengaku belum melihat video itu yakin bahawa aktor seks itu ialah Anwar. “Memang dialah tu,” katanya yang disaksikan berjuta rakyat Malaysia melalui kaca televisyen.

Di hari kedua, mereka sedar rakyat sukar mempercayainya. Simpati terhadap Anwar tiba-tiba melonjak. Maka nada para juhalak BN berubah pula. Muncul teori bahawa itu konspirasi pihak pembangkang untuk mengalih isu liwat Anwar.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Zahrain Mohd Hashim yang sebelumnya beriya-iya mahu mengaitkan Anwar dengan video seks itu, tiba-tiba mengumumkan pula ia satu muslihat politik Anwar untuk mengalih isu DNA. Zul Nordin ‘merasa pelik’ mengapa Anwar begitu cepat menafikan dan membuat laporan polis sedangkan Anwar belum melihat video tersebut. Tapi ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu itu tidak pula pelik pada dirinya sendiri yang sebelum itu menuduh Anwar adalah pelakonnya, sedangkan dia belum melihatnya.

Kelmarin Anwar adalah pelaku seks, hari ini ia jadi konspirasi bikinan Anwar pula. Cakap Zul Nordin berubah dan berbelit. Macam lidah biawak.

Hari ketiga, versinya berubah lagi. Kali ini muncul pula Datuk Trio yang mengaku menjadi dalang ‘video seks Anwar’ itu. Ia sekaligus memadamkan teori konspirasi video itu ciptaan pembangkang. Kumpulan The Three Stooges itu cuba meyakinkan rakyat Malaysia bahawa hero seks itu benar-benar Anwar. Video itu kononnya dijumpai secara tidak sengaja oleh Datuk Eskay sewaktu diarah mengambil jam tangan Anwar yang tertinggal di bilik persundalan. Di situ dia menjumpai segala wayar dan alat rakaman.

Dalam sidang media, apabila ditanya wartawan, adakah terdapat imej Datuk Syazril Eskay Abdullah dalam video itu? Dengan selamba Datuk Eskay menjawab, “Ya, saya dalam video itu.” Maknanya, waktu ‘Anwar’ bermukah, dia pun ada bersama tapi dia terkejut jumpa dan lihat video itu. Alahai, macam cerita kartun.

Ummi Hafilda dalam sidang medianya di Alor Setar mendedahkan bahawa video seks ‘Anwar’ itu bukan satu, tapi 18. Dunia dikejutkan dengan video seks bertarikh 21 Februari tapi Ummi menjelaskan, “Saya mengetahui video-video tersebut 13 tahun lalu dan menyimpannya sehingga sekarang.” Makin mereka beri penjelasan, makin merapu jadinya.

Maka terfikir oleh semua rakyat jelata yang cerdik dan sederhana cerdiknya; sampai bila Umno, BN dan seluruh juhalaknya hendak memperbodoh-bodohkan rakyat Malaysia berhubung isu Anwar? Di pejabat kerajaan dan swasta, di restoran dan warung kopi, rakyat di semua peringkat sudah mula melahirkan rasa muak terhadap permainan jahat dan keterlaluan oleh BN terhadap Anwar.

Kebencian sebahagian rakyat terhadap Anwar sebelum ini mula bertukar kepada simpati. Sedikit harapan mereka terhadap BN sudah bertukar menjadi benci.

Tan Sri Rahim Tamby Chik, Datuk Syazril Eskay Abdullah dan Dato’ Shuib Lazim; tiga watak yang membentuk kumpulan Datuk Trio masing-masing mempunyai profail buruk yang satu Malaysia tahu latarbelakang mereka. Untuk kembali bernafas membina cita-cita peribadi mereka sanggup buat apa saja tanpa ada perhitungan halal haram.

Kesilapan berlaku akibat terlalu banyak pihak ingin membantu Najib menjadi konspirator menjatuhkan Anwar dan PR. Mereka berbuat demikian untuk mendapat sesuatu habuan dari BN. Kata pepatah Inggeris, terlalu ramai tukang masak akan merosakkan masakan. APCO dengan caranya yang lebih professional. Konsensus bebas yang anggotanya terdiri dari bekas anggota KeADILan dengan cara mereka. Ibrahim Ali dan Perkasanya dengan cara mereka. SB polis dengan cara mereka.

Ummi Hafilda dengan cara tersendiri. Pelbagai NGO yang muncul untuk menyerang PR dengan cara mereka pula. Kumpulan Datuk Trio pula dengan cara mereka yang amatur dan bengap ala The Three Stooges. Barangkali mereka terlupa untuk untuk mencontohi kafir Mekah dulu yang berpakat dalam melakukan konspirasi jahat terhadap Rasulullah SAW.

Bila konspirasi pun BN swastakan, maka jadi caca marba dan akhirnya ada strategi yang menikam diri sendiri. Mereka adalah kumpulan manusia yang merancang kejahatan tapi mereka lupa bahawa Allah juga merancang dan membalas segala tipu daya.



~kedahlanie~

Najib-Rahim Bukti Pemerintahan Songsang, Kata Anwar Ibrahim



PERMATANG PAUH 27 MAC : Dengan menggunakan Perdana Menteri Najib Razak dan bekas Ketua Menteri Melaka Rahim Thamby Chik sebagai contoh, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia kini melalui zaman pemerintahan songsang.

Anwar berkata mereka yang terbelit dengan tuduhan rogol dan salah guna wang diangkat oleh kerajaan dan media arus perdana, manakala pemimpin pembangkang yang mendokong urus tadbir telus dan amanah ditekan.

" Yang pertahankan soal moral, orang yang pernah ditanya soal rogol, orang yang pernah hidup dalam skandal video seks, dia cakap soal moral. Jatuhkan orang lain. Orang yang bercakap soal negara bersih, orang yang mengambil dana yang begitu besar, membinasakan orang yang hendak mentadbir dengan baik. Tanya Lim Guan Eng, berapa hari dia boleh hidup aman tanpa diganggu untuk menjalankan urustadbir?,"kata Anwar.

Berucap pada majlis ceramah di Permatang Pauh, Pulau Pinang, Anwar sekali lagi menunjukkan ketegasan berdepan dengan pusingan fitnah terbaru dalam bentuk video seks yang didalangi oleh Rahim yang kini Pengerusi Risda.

Rahim terpaksa meletak jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka pada tahun 1994 setelah terpalit dengan tuduhan merogol seorang pelajar bawah umur selain didakwa
mengamalkan rasuah.

Beliau diangkat menjadi Pengerusi Risda tahun 2008 oleh Datuk Seri Najib Tun Razak yang sendiri berdepan dengan skandal pembunuhan Altantuya Sharibuu dan komisyen lumayan pembelian peralatan ketenteraan semasa menjadi Menteri Pertahanan.

Rahim, ahli perniagaan Shazryl Eskay dan Bendahari Perkasa Shuaib Lazim dilaporkan berjumpa dengan Najib di Bangunan Parlimen Selasa lalu selepas identiti mereka dibongkar oleh Parti Keadilan Rakyat.

Anwar mengajak rakyat supaya mengimbas penyelewengan besar-besaran yang berlaku di negara ini membabitkan pemimpin utama negara.

" Orang yang terlibat dalam bunuh Altantuya tak berdosakah? Orang yang ambil RM500 juta beli dua kapal selam tidak berdosakah? Orang yang terlibat dalam skandal di Port Dickson tak berdosakah?," soal Anwar.

Anwar berkata dalam usaha untuk melemahkan Pakatan Rakyat, umno sanggup menggunakan taktik yang keji dan tanpa peri kemanusiaan dalam mencari kelebihan
politik semata-mata.

" Saudara-saudara, saya pun ada keluarga. Kenapa harus diaibkan terus menerus? Bukan setahun tetapi berbelas tahun dirancang begini rupa? Hendak tanam sekurang-kurangnya ada persoalan sedikit, Kerana apa? Kerana Anwar beri tazkirah, kerana Anwar baca ayat Al-Quran.

"Hendak tanam sikit Anwar ini tidak boleh dipercayai. Jangan percaya kepada Anwar, percaya kepada Najib dan Rosmah. Jangan percaya kepada Lim Guan Eng, percayalah kepada Rahim Thamby Chik,"kata Anwar sambil disambut sorakan hadirin yang mendengar ceramahnya.

Beliau berkata program pembaharuan Buku Jingga yang dilancarkan oleh Pakatan Rakyat menjadi punca utama Umno melancarkan asakan fitnah secara bertubi-tubi
untuk melemahkan gagasan itu.

Buku Jingga itu menyenaraikan dasar dan program untuk merombak struktur politik, ekonomi dan sosial negara ini jika Pakatan diberi mandat menubuhkan Kerajaan
Persekutuan.

Anwar berkata fitnah video seks lucah adalah serangan terbaru untuk mengalihkan pandangan rakyat daripada dasar-dasar tuntas yang disenaraikan dalam Buku Jingga.

" Dia takut orang baca dan dia takut orang membuat penilaian sebab dia mesti cipta masalah-masalah supaya padamkan isu yang kita hendak ketengahkan. Saya kata, jangan lupa. Program Pakatan Rakyat, Buku Jingga,"jelas Anwar.

Jurulatih pasukan Kedah belum diputus

ALOR SETAR - Pasukan Bolasepak Kedah (KFA) belum lagi membincangkan hal siapa yang bakal melatih pasukan hijau kuning ini dan meminta semua pihak termasuklah para peminat supaya bersabar.

Presidennya yang juga Menteri Besar Kedah YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak berkata, perbincangan lanjut mengenai siapakah yang bakal membimbing pasukan itu belum diputuskan.

“Biarlah ianya jadi rahsia dulu, sebab belum pilih, cuma ada senarai nama sahaja. Ianya juga sudah dalam pengetahuan Dato’ Dr Hamdan Exco Belia dan Sukan.

“KFA pun belum mengadakan mesyuarat untuk bincang hal ini saya minta penyokong hijau kuning bersabar,” katanya.

Menurutnya, pihaknya tidak mahu terburu-buru membuat pemilihan kerana hal itu memerlukan kajian dan penelitian serta pandangan pihak terlibat.

Bagaimanapun KFA sudah mempunyai beberapa calon berpontensi yang diyakini mampu memikul tanggungjawab sebagai pengendali skuad ini.

Ditanya sama ada jurulatih yang disenaraikan itu adalah dari kalangan bekas pemain yang juga anak jati Kedah atau jurulatih import beliau meminta pihak media supaya bersabar menanti pengumuman yang akan dibuat tidak lama lagi.

Mengulas keputusan bekas jurulatih KFA Mohd Azraai Khor Abdullah yang memilih untuk bersama pasukan Negeri Sembilan, katanya, beliau berhak memilih mana-mana pasukan yang dirasakan baik buat dirinya.

“Itu hak dia mungkin tawaran di sana leih baik dan dia lebih yakin untuk menerajui pasukan Negeri Sembilan,” katanya.

Video Seks : PKPIM Gesa Masukkan Prinsip Qazaf Dalam Kanun Keseksaan

KUALA LUMPUR 27 MAC : Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menggesa pihak berkuasa menggunakan prinsip qazaf dalam Kanun Keseksaan untuk menangani kes-kes pendedahan rakaman video seks, termasuk yang terbaru didakwa melibatkan seorang pemimpin kanan Pakatan Rakyat (PR).

Dakwaan yang dibuat Isnin lalu oleh tiga “Datuk T” merujuk kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi ia dinafikan oleh Ketua Umum Pakatan Rakyat itu.

Presiden PKPIM Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, demi memastikan agar prinsip ini terus subur dalam masyarakat, pihaknya menggesa agar eleman qazaf yang mengenakan hukuman berat kepada penuduh jika gagal membawa empat orang saksi yang adil dimasukkan dalam Kanun Keseksaan supaya masyarakat akan mengambil sikap berhati-hati dalam membuat sesuatu dakwaan yang melibatkan maruah seseorang.

Bekas Mufti Perlis Saran Perhimpunan Anti Politik Lucah

KUALA LUMPUR 27 MAC : Bekas mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengajak semua pihak menganjurkan satu perhimpunan besar bagi menyatakan kebencian rakyat terhadap politik lucah dan kotor.

"Semua pihak tanpa mengira agama, parti dan kaum hendaklah menyatakan bantahan mereka terhadap budaya kotor dan jelek di kalangan politikus dan media di negara ini," tulis Dr Mohd Asri dalam blognya.

"Kita menentang politik lucah dan politik selak kain," katanya.

Berikut itu, katanya, semua politikus tanpa mengira parti hendaklah menghentikan amalan mendedahkan aib peribadi musuh politik yang bukan membabitkan kezaliman terhadap rakyat.

"Ia adalah amalan jijik dan kotor. Sama ada dalam Umno, PKR, PAS, DAP dan lain-lain, amalan ini hendaklah dihentikan segera. Ia dosa dan jijik; sama ada kerana memfitnah, ataupun mendedah aib peribadi orang.

"Ia bukan lambang kekuatan minda pendedah tersebut, sebaliknya hanyalah sekadar mengambil kesempatan dari kelemahan orang lain atau setelah memangsakan orang lain," tulisnya lagi.

Menurut Dr Mohd Asri, bahasa, perbuatan dan isyarat lucah dan kotor hendaklah tidak disebarkan kepada masyarakat awam negara ini, kerana ia akan menyebabkan generasi baru terkesan dengan nilai-nilai negatif.