Subsidi : Jangan Anggap Rakyat Penagih Candu

CHERAS 21 MEI : Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas Perdana Menteri Najib Razak kerana menganggap pemberian subsidi untuk barangan keperluan rakyat sebagai "candu" yang mesti dihentikan.

Menurut Anwar, dalam keadaan ekonomi yang semakin mendesak serta kos hidup semakin tinggi, langkah kerajaan menaikan lagi harga barangan bakal menyusahkan lagi rakyat.

"Candu apa ? Bagi subsidi sikit kepada rakyat, candu ? Yang diberi kepada tauke tak apa ? Subsidi rakyat RM4 Billion. Subsidi IPP RM19 Billion. Apakah (Najib) berani tak panggil Genting San-Yen, Malakoff, Ananda, YTL penagih candu, berani ?," kata Anwar.

"Kalau miskin, memang tanggungjawab kerajaan beri bantuan. Ini bukan nak tolong rakyat miskin, tetapi tuduh mereka penagih candu. Tapi tolong Genting San Yen semua, berbillion ringgit, boleh ! Kepada orang kampung, candu. Ini saya tak boleh terima," tegas Anwar.

Beliau berucap di hadapan kira- kira seribu hadirin di Majlis Ceramah Perdana di Dewan Serbaguna Cheras Baru hari ini.

Najib dalam ucapan beliau di Pusat Pengajian Islam di Oxford 17 Mei lalu menyatakan subsidi ibarat “candu” yang perlu dikurangkan secara berperingkat- peringkat untuk mengawal defisit bajet.

Justeru, harga Petrol RON95 dan Diesel turut dijangka meningkat dalam masa terdekat berikutan pengumuman beberapa Menteri yang meminta rakyat 'bersedia' dengan kenaikan harganya.

Anwar menyatakan UMNO cuma menghalalkan kenaikan harga minyak dengan membandingkan dengan harga petrol di Singapura - negara yang tidak mempunyai sumber minyak mentah dan taraf hidup jauh lebih tinggi dari Malaysia.

Menurut Anwar lagi, rakyat Singapura sendiri berfikir untuk perubahan walaupun telah maju kerana tahu mereka boleh menjadi lebih baik.

"Gaji mereka lebih tinggi? Rasuah jauh lebih kurang dari di Malaysia. Pembangunan Tinggi," kata Anwar.

"Tapi babak demokrasi berat sikit. Tapi itupun, parti Pembangkang dibenarkan bercakap di TV. Walaupun maju dan stabil, rakyat masih nak berubah sebab mereka berfikir Singapura boleh menjadi lebih baik," kata Anwar.

Susu 1 Malaysia - Korea tidak masuk senarai Jakim

Sinar Harian

SHAH ALAM – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan pengeluar produk makanan Korea tidak termasuk dalam senarai pensijilan halal yang diiktiraf jabatan itu.

Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Hab Halal, Najibah Abdul Mutalib berkata, terdapat 26 negara yang mendapat pengiktirafan Jakim, antaranya Australia, Bangladesh, Brazil, Brunei, China dan Turki.

Menurutnya, pengguna yang ragu-ragu mengenai status logo halal boleh mendapatkan maklumat negara-negara tersebut di laman web www.halal.gov.my.

“Jakim menyediakan dua cara untuk syarikat luar memohon sijil halal, sama ada permohonan secara terus atau memohon daripada badan Islam yang dilantik Jakim. Kita telah melantik badan-badan Islam luar negara yang telah melalui proses pengauditan atau pemeriksaan secara terperinci.

“Proses tersebut adalah untuk menentukan sama ada badan Islam yang dilantik layak menjadi wakil kepada Jakim bagi menilai sebarang produk di negara mereka untuk diimport ke Malaysia,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Najibah berkata, Jakim sentiasa mengingatkan bahawa, syarat yang ketat dikenakan terhadap permohonan badan Islam yang baru kerana mereka adalah wakil Jakim yang bertindak bagi negara sendiri.

Kuliah POP18-05-2011 bersama Ustaz Ahmad Dasuki bin Abdul Rani

Anwar : Harga Makanan Dijangka Naik 30 Peratus Akhir 2011




SHAH ALAM 20 MEI: Harga makanan dan minuman dijangka melambung 30 peratus akhir tahun ini, jika trend kenaikan harga semasa berterusan akibat penarikan subsidi oleh kerajaan, kata Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kenaikan harga makanan kepada 4.9 peratus dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini menunjukkan peningkatan kos barangan akan berterusan dan dikhuatiri mencecah 8.8 peratus akhir tahun ini seperti yang berlaku tiga tahun lalu, kata beliau dalam satu kenyataan.

Anwar berkata data Bank Negara menunjukkan harga makanan di Malaysia naik dua kali ganda berbanding harga makanan dunia pada empat bulan pertama tahun ini.

Justeru beliau menegaskan sekiranya kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) gagal mengawal kenaikan harga barangan, Malaysia sekali lagi akan mengalami harga makanan tertinggi sejak tahun 2008.

"Kenaikan harga makanan adalah tertinggi pada tahun 2008 akibat kenaikan harga minyak dan petrol. Kita menjangka kesan yang sama untuk tahun 2011," ujar Anwar.

"Pada kadar kenaikan harga makanan sekarang dijangka pada akhir tahun 2011, rakyat terpaksa membayar 30 peratus lebih dari harga kos setiap jenis makanan berbanding pada tahun 2005," kata beliau.

Sepanjang enam tahun lalu, harga makanan naik sebanyak 30 peratus sedangkan kenaikan upah di negara ini hanya sekitar 2.6 peratus dari tahun 2001 sehinggga tahun 2010," jelas beliau.

Sehubungan itu, Anwar sekali lagi menyatakan dasar Buku Jingga yang dikemukakan oleh Pakatan Rakyat adalah penyelesaian berkesan efektif untuk membanteras kenaikan kos hidup yang melambung tinggi.

Ini termasuk menarik kembali subsidi korporat berjumlah RM19 bilion yang diberikan kepada golongan elit serta syarikat yang bersekongkol dengan Umno-BN termasuk syarikat Pengeluar Tenaga Bebas (IPP).

Anwar menegaskan penarikan subsisi untuk barangan keperluan juga berpunca dari kegagalan Umno-BN mengekang rasuah yang menjadi faktor utama kerajaan persekutuan mngalami kerugian sekitar RM28 bilion setahun sejak 2008.

Angka itu disebut dalam Laporan Ketua Audit Negara.

Anwar berkata ketirisan yang semakin serius dalam pengurusan kerajaan juga memaksa Perdana Menteri Najib Razak memotong subsidi rakyat dengan alasan mengurangkan beban difisit negara.

~tvs~

1000 Rakyat Hantar Memorandum Bantah Operasi Lynas

KUALA LUMPUR 20 MEI : Kira- kira seribu rakyat berkumpul di KLCC hari ini bagi menghantar memorandum membantah pembinaan Loji Nadir Bumi, ke Kedutaan Australia.

Memorandum berkenaan mendesak kerajaan Australia bertanggungjawab terhadap risiko radioaktif dan memberi tekanan kepada syarikat Lynas Corporation yang berpangkalan di negara itu, supaya membatalkan cadangan memproses tanah jarang di Gebeng, Pahang.

Diketuai oleh Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh dan Pengerusi Kempen Anti Lynas, Vincent Jiam Tee Hong, mereka berarak dari KLCC ke Kedutaan Australia, sejauh 400 meter.

Walaupun dalam keadaan hujan, mereka bersemangat melaungkan slogan 'Hidup Rakyat' dan 'Hentikan Lynas' selama kira-kira 2 jam dalam keadaan aman.

Bagaimanapun, Polis telahpun melakukan sekatan jalan di sekitar Jalan Yap Kwan Seng, berhampiran kedutaan Australia dan hanya membenarkan 6 orang wakil memasuki jalan tersebut.

Fuziah dan delegasinya berjaya menemui Pemangku Timbalan Duta Besar Australia, Arthur Spyrou yang berjanji menyampaikan memorandum tersebut kepada kerajaan Australia.

Fuziah menyatakan kebimbangan penduduk Gebeng dan Kuantan dengan tahap keselamatan yang tidak telus selain Lynas sendiri tiada pengalaman dalam operasi loji berkenaan.

Menurut Fuziah lagi, Lynas memilih Malaysia sebagai lokasi loji ini kerana Undang-undang Australia yang ketat dalam penjagaan alam sekitarnya.

"Lynas dapat lesen di Australia. Tapi mereka tidak pilih untuk buka kilang di situ. Di situ regulasi ketat dalam menjaga alam sekitar, badan penjaganya ialah Lembaga Pemuliharaan Alam Sekitar (EPA) yang ada 41 komitmen yang perlu dijaga dengan pelbagai aspek.

"Di Malaysia badan pengawalnya ialah Agensi Tenaga Atom Kebangsaan (AELB) yang hanya memikirkan impak radiasi dan tahap radioaktif," kata Fuziah dalam sidang media selepas bertemu Arthur.

Fuziah memberi contoh betapa AELB tidak dapat berfungsi seperti EPA kerana sekatan jurisdisi dan penguatkuasaan lemah dari Kerajaan Malaysia sendiri.

"Di Zon Penghadang (Buffer Zone) Australia, ada radius 30 km, tak boleh ada penduduk. Di Gebeng ada 70 ribu penduduk dalam radius 30 km itu. Kami bimbang Lynas mengambil kesempatan dengan undang-undang Malaysia," kata Fuziah lagi.

Pengerusi Kempen Anti Lynas, Vincent Jiam pula mahu Lynas keluar dari Malaysia pada akhir Ogos ini.

"Kita dapat lihat perkembangan di Australia sekarang yang menekan hal Lynas. Kita harap Lynas dapat keluar dari negara ini sebelum 31 Ogos. Ia hari kemerdekaan kita. Apa guna kemerdekaan jika kita tidak dapat bebas, dan sisa radioaktif akan kekal selama berjuta tahun," kata beliau.

Beberapa aktivis dan Wakil Rakyat Pakatan Rakyat turut hadir memberi sokongan.

Antaranya ialah Ahli Parlimen Batu, Tian Chua serta Exco Pelancongan, Elizabeth Wong dan Exco Sains dan Teknologi, Rodziah Ismail.

Rodziah ketika ditemui media menyatakan betapa Kerajaan Selangor menyokong bantahan tersebut kerana bertentangan dengan agenda pembangunan insan.

"Saya datang untuk nyatakan sokongan Kerajaan Selangor dan sama-sama meminta Lynas memberhentikan operasi Sekarang. Stop Lynas Now!

"Rakyat berhak tahu dari sudut keselamatannya. Yang saya tahu Australianya pon tak benarkan kenapa kita nak benarkan di sini ?," tegas beliau.

sumber : tvs

(Video) Anwar herdik Ust Azizan??

Nasrudin kekal Ketua Pemuda PAS

KUALA LUMPUR 20 MEI : Ketua Pemuda PAS pusat Nasrudin Hassan at-Tantawi mengekalkan jawatannya selepas tiga orang yang dicalonkan membuat keputusan tidak mencabar beliau kali ini.

Nasrudin telah memegang jawatan itu sejak 2009 dengan menggantikan Salahuddin Ayub.

Kelmarin beliau mengesahkan akan mempertahankan jawatan itu.

“Ya, saya bersedia untuk mempertahankan jawatan ketua Pemuda PAS, insya-Allah saya akan melaksanakan tugas dan tanggungawab ini dengan baik.

“Atas semangat berlumba-lumba untuk mencari kebaikan saya akan (pertahankan jawatan) dan saya percaya calon-calon lain juga mempunyai potensi serta kelayakan yang baik,” katanya.

The Malaysian Insider melaporkan pucuk pimpinan Pemuda PAS pusat telah mengadakan mesyuarat khas malam tadi antaranya membincangkan pertandingan jawatan utama pada pemilihan awal bulan depan.

“Ya, kita telah mengadakan mesyuarat malam tadi dengan memberikan fokus kepada muktamar dan pemilihan Dewan Pemuda PAS.

“Kita menetapkan agenda Pemuda PAS, usul yang mahu dibentangkan, ucaptama dan isu pemilihan yang mana akan menentukan jawatan-jawatan, tapi bukan semua yang sudah buat keputusan,” kata sumber itu menambah, tiada fokus mengenai soal kompromi saingan.

“Cuma disentuh tentang keperluan saingan secara sihat,” katanya.

Dua hari lalu, Timbalan Ketua Pemuda PAS pusat Azman Shapawi Abd Rani dan Pengarah Pilihan Raya Mohd Firdaus Jaafar memutuskan untuk tidak bertanding jawatan itu.

Azman Shapawi berkata sekiranya Nasrudin mempertahankan jawatan itu, maka beliau hanya akan bertanding kerusi timbalan yang disandang sekarang.

Sementara itu, Mohd Firdaus yang juga Ahli Parlimen Jerai memutuskan bertanding jawatan nombor dua Pemuda PAS.

Terbaru Ketua Penerangan Pemuda PAS pusat Suhaizan Kaiat pula memutuskan untuk tidak bertanding, sebaliknya hanya akan mencuba nasib bertanding jawatan nombor dua sayap pemuda itu dan ahli jawatankuasa kerja PAS pusat.

Setakat ini hanya Azman Shapawi, Mohd Firdaus dan Suhaizan mengesahkan akan bertanding jawatan timbalan ketua pemuda.

Seramai sembilan orang layak bertanding, bagaimanapun Naib Ketua Pemuda PAS Ahmad Sabki Yusof membuat keputusan untuk tidak bertanding mana-mana jawatan sayap pemuda itu namun akan bertanding ahli jawatankuasa kerja PAS pusat.

Wayang Kulit Umno-Perkasa Yang Menjolok Mata

KOMENTAR : Berikut adalah beberapa petikan ucapan Ibrahim Ali pada ceramah di Gombak minggu lalu di mana beliau membuat ugutan akan melancarkan perang salib atau jihad terhadap orang Kristian.

“Sila rakamkan kata-kata saya, jika ada mana-mana pihak di Pulau Pinang khususnya paderi-paderi Kristian yang didokong oleh DAP Pulau Pinang, jika mereka terus dengan agenda mereka yang sudah pun diketahui sekarang, saya bersedia untuk menawarkan, jika mereka mahukan perang salib, kami boleh adakan.

" Dan di Malaysia ini, yang ramai Kristian memang orang Cina. Dan agama Kristian ini dominannya dari negara mana? Dominan agama Kristian dari Amerika Syarikat. Amerika Syarikat tali barut dia di Malaysia ialah Anwar Ibrahim. Jadi sudah masuk saf lah semua ini.

"Nik Aziz ini tuan-tuan dan puan-puan, PAS ini mereka bukan tahu apa pun. Betul lah dia alim. Bangun pagi dia mengajar kuliah subuh. Saya tahu. Saya pernah solat dengan dia, saya tahu. Memang selepas sembahyang Zuhur pukul 1 mengajar bab agama, tapi dia tidak tahu apa yang berlaku dalam dunia ini. Sekitar alam ini dia tidak tahu apa yang berlaku. Video pun dia tidak tahu apa itu. Dia tidak tahu apa. Dia hanya dengar orang bercakap.” Kata Ibrahim.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nazri Aziz pula berkata, ucapan Ibrahim itu lumrah pada masa sekarang dan tidak perlu di ambil tindakan. Menteri Dalam Negeri Datuk Hishamuddin Hussein turut mengambil pendirian yang hampir sama. Pokoknya ialah, tidak ada tindakan akan diambil terhadap Ibrahim Ali.

Kenapa Ibrahim membuat ugutan perang salib atau jihad itu? Kerana Utusan Malaysia menyiarkan laporan kononnya ada konspirasi oleh paderi dan DAP untuk menubuhkan sebuah negara Kristian dan melantik Perdana Menteri Kristian.

Malah Ibrahim membuat kenyataan “jihad” itu kerana, menurut beliau, Hishamuddin sendiri mengesahkan laporan Utusan itu mempunyai asas.

Kenapa Hishamudin berkata demikian? Ini kerana beliau perlu mencari alasan bagi menghalalkan tindakannya tidak mengenakan hukuman lebih keras terhadap Utusan selain daripada mengeluarkan surat teguran.

Segala perkembangan ini menjadi contoh begitu jelas bagaimana Umno, Perkasa dan Utusan Malaysia bersekongkol untuk terus menanam bibit-bibit benci dalam sanubari orang Melayu terhadap kaum lain, khususnya Cina.

Mengikut sifir Umno, “kebencian” itu akan mendorong Melayu bernaung semula di bawah payung Umno dalam menghadapi Pakatan Rakyat pada pilihanraya umum ke -13.

Justeru dengan perlindungan penuh KDN yang dipimpin oleh Naib Presiden Umno Hishamuddin, Utusan dan Perkasa pimpinan Ibrahim Ali bebas untuk membakar sentimen perkauman Melayu bagi memenuhi agenda sempit pemerintah.

Natijahnya ialah, rakyat dicengkam dengan keresahan dan kecurigaan mengenai kestabilan politik dan tahap toleransi kaum di negara ini.

Hakikatnya pula ialah, ketegangan kaum semakin membiak di bawah pemerintahan Datuk Seri Najib Tun Razak. Malah, ia menjadi fenomena yang mewarnai sepanjang pemerintahannya sejak 2009.

Kenapakah isu-isu perkauman ini begitu menyerlah di bawah pemerintahan Najib walhal beliau yang memperkenalkan konsep gagasan 1Malaysia dan membelanjakan berjuta-juta ringgit duit rakyat untuk mempromosikan slogan itu.

Jawapannya berpaksi kepada keikhlasan.

Najib tidak boleh mencanang 1Malaysia dan pada masa sama, secara berselindung, merestui segala tindak-tanduk Perkasa dan Utusan Malaysia.

Beliau tidak boleh meraih undi Melayu dengan membariskan Ibrahim Ali dan Utusan Malaysia untuk membakar sentimen orang Melayu dengan retorik perkauman dan pada masa sama mengharapkan sokongan tidak berbelah kaum Cina, India dan lain-lain.

Ibrahim sendiri mendedahkan pada ceramahnya di Gombak bagaimana Najib terpaksa bermuka-muka untuk menawan sokongan pengundi bukan Melayu demi jangka hayat Umno sendiri.

Berikut petikan ceramah itu:

“Sebab apa, Datuk Najib pun sudah panggil saya, berbahas saya dengan Datuk Najib. Betul juga dia cakap pada saya, kuat pun kuat, saya tidak ada bertolak ansur, Dia kata saya faham,saya pun lebih kurang sama kamu, juga Melayu, tapi saya pimpin parti politik. Saya Perdana Menteri. Baru ni Barisan kalah. Kalau tidak dapat undi Cina, kalau tak banyak pun 30 peratus, tak dapat tarik balik, Selangor kita tak menang. Sebab kerusinya 60 40, 70 30, You Kelantan tak apalah. Di Terengganu tak apalah, di Selangor,di Negeri Sembilan, di Perak tak dapat 20, 30 peratus undi Cina, gabung dengan undi Melayu, jangan berpecah, kita boleh menang. Ini orang Melayu pun sudah berpecah. Cina tak sokong kita, habis kita. Itulah saya kena jadi macam ini, maksudnya Datuk Najib sudah hilang kuasa tawar menawar.”

Petikan ceramah itu menzahirkan kesediaan Najib untuk memberi sokongan atau sekurng-kurangnya memahami dan merestui segala tindak-tanduk Ibrahim Ali kerana akhirnya ia akan menguntungkan Umno.

Sebagaimana beliau tidak boleh melonggarkan ikatannya dengan Pakatan, begitu juga dengan hubungan Najib dan Utusan.

Beliau adalah pemimpin yang menentukan siapa menjadi Ketua Pengarang Utusan Malaysia. Justeru beliau tidak boleh memberi alasan kononnya beliau tidak ada kena mengena dengan desakan Utusan mahukan gagasan 1Melayu 1 Bumi untuk kononnya bersaing penyatuan orang Cina di bawah DAP.

Gagasan sebegitu, seperti Perkasa adalah cara licik untuk menebalkan sentimen perkauman dan memastikan mereka bernaung di bawah Umno.

Justeru selagi Najib tidak ikhlas terhadap konsep 1Malaysia yang dicanangnya sendiri, selagi itu rakyat Malaysia, khususnya kaum Melayu akan disajikan dengan ugutan-ugutan jihad, konspirasi negara Kristian dan apa sahaja yang mengisi agenda sempit politik perkauman Umno.

Utusan dan Perkasa tidak perlu bimbang terhadap sebarang tindakan – selagi Kementerian Dalam Negeri di pimpin oleh sepupu Najib, Hishamuddin Tun Hussein.

Pendaftaran PKR Dibatalkan?

SHAH ALAM 19 MEI : Di sebalik desas-desus pilihan raya umum ke-13 yang dijangka tidak lama lagi Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini berhadapan dengan risiko kemungkinan dibatalkan pendaftarannya dan ia dipercayai berkaitan dengan pemilihan secara langsung akhir tahun lalu.

Turut difahamkan PKR juga telah menerima surat berhubung pembatalan tersebut daripada Pendaftar Pertubuhan (RoS) awal bulan ini.

“Saya dimaklumkan RoS sudah keluarkan surat untuk membatalkan pendaftaran, surat diterima baru-baru ini, saya tak pasti tarikhnya,” kata sumber.

Sumber itu berkata berdasarkan surat RoS, PKR didakwa melanggar beberapa peruntukan perlembagaan part itu, yang ditubuhkan April 1999.

Bagaimanapun katanya, PKR mempunyai alasan kukuh yang ia tidak melanggar sebarang peruntukan dalam perlembagaannya.

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail akan mengadakan sidang media mengenai isu itu tengah hari ini.

“Kami tak terkejut dengan tindakan RoS ini, tunggu sidang media nanti,” katanya lagi.

PKR, yang awalnya dikenali sebagai Parti Keadilan Nasional (Keadilan) ditukar nama semasa selepas proses penggabungan empat tahun kemudian.

Ia mengadakan pemilihan secara langsung peringkat pusat menggunakan kaedah satu ahli satu undi, yang turut menyaksikan masalah dan aduan.

Sejak selepas pilihan raya umum 2008 PKR juga tidak kesunyian daripada kritikan daripada pesaingnya termasuk menggesa agar RoS mengambil tindakan ke atas parti itu.

Parti itu yang menyaksikan prestasi terbaik pada pilihan raya umum 2008 menerusi kerjasama dengan PAS dan DAP turut berhadapan dengan tindakan beberapa wakil rakyat, di kedua-dua peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, keluar atau melompat parti.

Pendedahan Wikileaks : Amerika dipercayai ada usaha untuk melindungi Najib



SHAH ALAM 18 MEI : Pendedahan terbaru Wikileaks bahawa Kedutaan Amerika Syarikat mepercayai adanya usaha terancang untuk melindungi Perdana Menteri, Najib Razak dalam perbicaraan kes pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu menzahirkan keperluan penubuhan Suruhanjaya Siasatan di-Raja, kata Parti Keadila Rakyat.

Walaupun pendedahan yang dibuat oleh WikiLeaks itu bukan perkara baru, namun ia menguatkan pandangan umum yang selama ini membuat tafsiran serupa, kata Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli.

"Pendedahan itu tidak mengejutkan dan semua rakyat Malaysia sudah tahu, satu dunia pun sudah tahu memang ada campur tangan politik, fakta dia pun rakyat dah tahu,"katanya.

"Cuma pendedahan ini maknanya mengiyakan pandangan rakyat selama ini," kata Rafizi ketika mengulas pendedahan WikiLeaks itu.

Walau bagaimanapun, menurut Rafizi pendedahan sahaja tidak memadai jika kes pembunuhan tersebut tidak ditangani secara adil dan bebas.

Justeru Rafizi sekali menjelaskan betapa pentingnya sebuah Suruhanjaya Siasatan di-Raja ditubuhkan bagi memerinci kes pembunuhan warga Mongolia berkenaan.

Bahkan beliau tidak menolak kemungkinan dengan adanya pelbagai andaian dari wakil kedutaan AS, ia akan menimbulkan lebih banyak spekulasi selepas ini.

"Perkara ini hanya dapat diselesaikan jika disiasat dengan bebas, kalau kes Datuk Seri Anwar Ibrahim mereka suruh tubuhkan suruhanjaya bebas, jadi saya rasa kes ini adalah lebih tepat untuk ditubuhkan suruhanjaya,"katanya.

"Apabila ada syak wasangka yang tinggi dan juga berasas mengenai hubungan Najib dan Altantuya terutama melalui Razak Baginda, bila ada syak wasangka yang jelas seperti itu, maka banyak spekulasi yang boleh timbul,"tambahnya lagi.

Kabel diplomatik terbaru yang didedahkan Wikileaks menunjukkan Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur mengesyaki wujudnya campurtangan politik untuk melindungi Najib daripada dikaitkan kepada perbicaraan kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu, menurut kabel-kabel diplomatik yang dibocorkan oleh WikiLeaks.

Kabel-kabel itu berasaskan maklumat yang diberikan kepada kedutaan itu oleh sumber-sumber Pejabat Peguam Negara, pemimpin kerajaan dan pembangkang, menurut Asia Sentinel yang menyiarkan kabel-kabel berkenaan.
Malah wakil kedutaan AS juga membincangkkan kemungkinan Perdana Menteri ketika itu Abdullah Ahmad Badawi menggunakan perbicaraan Altantuya untuk “mengenakan” Najib.

Altantuya dijumpai mati dibom di pinggiran hutan Puncak Alam pada Oktober 2006. Dua daripada pegawai polis yang berkhidmat dengan pejabat Najib ketika itu, Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar di dapati bersalah membunuh warga Mongolia itu.

Bagaimanapun rakan karib Najib, Abdul Razak Baginda yang mengaku mengadakan hubungan sulit dengan Altantuya dibebaskan dari tuduhan itu walaupun beliau bersetuju menggunakan khidmat dua anggota polis berkenaan.

Kabel-kabel WikiLeaks mendedahkan pegawai-pegawai kedutaan percaya wujud campurtangan politik untuk menentukan bagaimana pihak pendakwaraya mengendalikan kes itu.

~tvs~

Teori cara Beng Hock bunuh diri

Subky Latif   

DALAM sepanjang penyiasatan tentang kematian Teoh Beng Hock perkembangan yang tersiar mengaitkan dia membunuh diri.

Macam-macam teori dibuat cuba mengaitkan dia membunuh diri dengan terjun dari tingkat pejabat SPRM ke tingkat bawah yang dijumpai mati.

Oleh kerana tiada siapa yang melihat kejadian itu maka berbagai teori timbul baik tentang dia dibunuh dan dia membunuh diri.

Dalam semua penyiasatan itu saya belum terjumpa teori tentang cara dia terjun bagi membunuh diri itu.

Kalau dia dibunuh, maka tidak banyak yang hendak dibangkitkan bagaimana dia dicampakkan ke bawah dari tingkap di atas itu. Dia boleh dicampak hidup-hidup atau dia dilemparkan ke situ sesudah mati.

Tetapi dia terjun ikut tingkap itu macam mana. Saya terjumpa keterangan yang tersiar tentang teori dia melompak ke bawah.

Kalau dia melompat ikut tingkap tentulah dia memanjat tingkap di situ dan kemudian terjun dari tingkap itu ke bawah.

Bila dia memanjat tingkap tentu tangannya memegang mana-mana bahagian di tingkap itu baik di dinding sekitar bawah tingkap dan sebagainya. Biasanya kesan cap jari menjadi keterangan penting dalam banyak penyiasatan dan perbicaraan.

Mungkin ada tersiar hal ini tetapi saya mis atau tidak terbaca.

Apa pun saya percaya kalau dia membunuh diri dia mesti menjamah mana-mana bahagian tingkap itu dan kesan cap jari dan cap tangannya dapat membantu menyelesaikan parkara itu.

Tetapi jika kesan cap jari dan tangan itu tidak ada, maka bagaimana dia boleh terjun tanpa meninggal sebarang kesan cap jari dan tangan?

Adakah dia melompat dari lantai di bawah tingkap itu dan meloloskan dirinya melalui tingkap tanpa menyentuh mana-mana bahagian tepi tingkap itu?

Payah difikirkan ada orang berdiri di bawah tingkap boleh melompat ke paras tingkap dan meloloskan diri melalui tingkap.

Yang boleh dia berundur beberapa kaki dari tingkap dan kemudian berlari ke arah tingkap. Agak beberapa kaki dari dinding yang ada tingkap itu dia pun melompat melalui tingkap seperti yang selalu dilakukan oleh ahli sukan lompat tinggi.

Dengan cara itu dia boleh melompat tanpa menyentuh mana-mana bahagian tepi tingkap dan terus jatuh ke bawah.

Adakah boleh kita buat teori begitu? Dan orang dapat terimakah teori seperti itu?

Kalau dia memanjat tingkap sebelum terjun, dia misti pegang bahagian bawah tepi tingkap dan pegang bingkai tingkap baik yang di kiri atau di kanan. Dia tidak boleh berdiri di tingkap tanpa berpaut kepada bingkai tingkap. Kecuali dia berpaut kepada tepi bahagian bawah tingkap dan lonjak kuat-kuat dengan kakinya melepasi tingkap.

Apa pun kesan cap jari mesti ada di mana-mana di tepi tingkap. Kesan itu mungkin hilang atau padam disebabkan ramai orang kemudian datang berpegang pada bidang tepi tingkap untuk menjenguk bahagian lantai bawah tempat dia dijumpai mati.

Apabila ramai orang datang ke situ memegang tepi tingkap itu boleh menyebabkan kesan cap jari boleh hilang.

Tetapi pegawai-pegawai SPRM tentu peka tingkap yang dia dikira terjun dari situ tidak disentuh dan diraba kerana cap jari amat diperlukan dalam penyiasatan. Pegawai penyiasatan adalah lebih arif dalam kerja-kerja yang boleh menghilangkan kesan cap jari atau apa-apa kesan lain bagi dijadikan saksi keterangan.

Apabila kesan seperti itu hilang, maka payah hendak menguatkan satu-satu teori. Teori tanpa sokongan tidak menjadikan teori itu kukuh.

Kesan cap jari di sekitar tingkap itu amat perlu bagi menguatkan teori bunuh diri itu. Ia terpaksa bergantung kepada pendapat pakar dari isu-isu lain.

Apa pun kalau dia membunuh diri, maka cara dia terjun tingkap itu amat menarik dan semua orang mahu mengetahui bagaimana ia dilakukan. Memang ajaib bila kesan cap jari tidak disertakan kerana orang tidak terfikir manusia boleh jadi seperti burung terbang membolos tingkap yang terbuka.

Orang tidak tahu Beng Hock ada kepakaran kungfu boleh melompat jauh seperti yang disaksi dalam filem-filem Cina.

~harakahdaily~

'Pemuda Umno ibarat kucing larang rakan'

Tindakan pemuda Umno yang meminta kerajaan agar tidak menaikkan harga petrol ibarat seekor kucing mendesak kawannya yang juga kucing untuk jangan memakan ikan, kata pengerusi
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shaharin.

Dalam kenyataan medianya, Badrul Hisham berkata meskipun SAMM menyambut baik desakan itu tetapi berpendapat pemuda Umno hanya bersandiwara menjadikan isu harga petrol usul utama mesyuarat agongnya dengan bertujuan meraih populariti pada pilihan raya umum akan datang.

“Memahami pemuda Umno sebagai sebuah organisasi politik yang bertanding dalam pilihan raya mungkin saja tindakan ini ekoran untuk meraih populariti kerana mereka sedar kemarahan rakyat kepada parti penguasa yang amat tinggi ekoran siri kenaikan harga yang seolah tidak mampu dikawal regim.

“Namun itu urusan mereka, bagi SAMM selaku organisasi yang cuba menjadi organisasi massa muda sudah tentu turut bersama desakan tersebut bukan sahaja tidak menaikkan tetapi menurunkan semula harga minyak dengan penstrukturan semula subsidi negara dengan mengurangkan bantuan korporat,” kata Badrul Hisham.

Sambil menyindir tindakan pemuda Umno itu, beliau berkata rakyat sudah tentu tidak lupa dengan tindakan ahli-ahli parlimen BN termasuk dari pemuda Umno yang menyokong kenaikan harga bahan bakar yang merupkakan pada ketika itu tertinggi dalam sejarah negara

“Masalah sebenar negara ialah bukan harga pasaran dunia, selaku pengeluar minyak yang nilai kegunaan domestik masih jauh kurang dari yang dieksport maka sudah tentu kenaikan harga petroleum dunia boleh menjadi rahmat.

“Masalah utamanya ialah pembaziran dalam pengurusan, ketirisan, rasuah, salah guna kuasa dan pengaliran wang haram yang didalangi oleh mereka yang rapat dengan regim merupakan punca sebenar negara hilang daya saing dan daya mampan untuk menjaga kepentingan rakyat seperti mengawal harga bahan bakar,” katanya.

Menurut Badrul Hisham, SAMM memandang serius kenaikan harga petrol yang seolah-olah dilihat tidak dapat dibendung itu.

“Regim begitu lemah seperti hilang kreativiti mentadbir ekonomi sehingga membiarkan rakyat lemas dalam pasaran terbuka.

“SAMM juga tidak menolak ini mungkin saja propaganda menjelang pilihan raya umum Menteri akan mengumumkan di mana kononnya harga minyak akan dinaikkan tetapi oleh kerana desakan pemuda Umno maka harga minyak kekal.

“Lebih malang lagi seperti biasa selepas pilihan raya harga naik mendadak pula,” katanya.

~malaysiakini~

Presiden PAS kekal, 6 layak tanding timbalan

Najib ikut jejak ayahnya, ajak PAS bila kehilangan kawan

Banyak lagi taktik kotor Umno rampas Selangor

Harakahdaily   

AMPANG, 17 Mei: PKR Selangor telah bersedia untuk mendedahkan satu persatu penyelewengan dan taktik kotor Umno untuk merampas Selangor pada bila-bila masa.

“Maka, saya peringatkan kepada Noh Omar, mahupun pimpinan Umno lain jangan pernah cabar kami,” tegas Timbalan Pengerusi PKR Selangor, Zuraida Kamaruddin (gambar).

Beliau menyatakan demikian sebagai respons kepada laporan Utusan Malaysia Online semalam, 16 Mei mengenai kenyataan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar yang mendakwa bahawa Parti Keadilan Rakyat (PKR) terdesak hingga sanggup melemparkan pelbagai tuduhan tidak berasas bagi memberi gambaran buruk kepada Umno berikutan pendedahan terbarunya mengenai pemberian 2,000 status kerakyatan haram buat PATI dan warga asing.

Baginya, kenyatan itu adalah suatu bukti bahawa Noh Omar seorang pemimpin ‘Melayu mudah lupa’ yang Tun Mahathir pernah ungkapkan dahulu.

“Noh Omar Melayu mudah lupa apabila lupa hakikat bahawa Umno Hulu Selangor kini dalam mood kecewa kerana sebelum PRK Hulu Selangor lalu, bukankah wakil dari pemimpin Umno yang sepatutnya bertanding, tetapi Perdana Menteri ‘mengkhianati janji’ dan akhirnya telah memberikan kerusi terbabit kepada MIC,” ujarnya yang juga Ketua Wanita PKR dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Tambahnya, Noh adalah Melayu mudah lupa apabila lupa hakikat bahawa BN hanya menang tipis pada PRK lalu dengan majoriti hanya 1,725 undi.

Beliau yang juga ahli Parlimen Ampang berkata, jika pertambahan 2,000 undi haram dari PATI dan warga asing yang disenaraikan, pastinya kedudukan BN akan lebih kukuh.

Noh, ujarnya mudah lupa apabila lupa hakikat bahawa Umno dan MIC Hulu Selangor kini sedang berentakan, sehingga Ahli Parlimen Hulu Selangor P.Kamalanathan sendiri tidak mendapat kerjasama dari Umno Hulu Selangor dalam sebarang program anjuran ahli Parlimen terbabit.

“Noh Omar seharusnya sedar bahawa kini Pakatan Rakyat telah mendapat sokongan penuh rakyat, termasuk kakitangan awam yang berani memberikan maklumat mengenai segala kepincangan yang sedang mereka lakukan,” ujarnya.

Jijik: Guna mahkamah untuk kepentingan politik

Kes Anwar- Hakim/Pendakwaraya Bersekongkol, Kata Aziz Bari

SHAH ALAM 17 MEI : Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menerima segala keterangan saksi pendakwaraya dilihat sebagai sebagai sebahagian daripada agenda untuk menjayakan pendakwaan politik terhadap Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar, kata Professior Dr Aziz Bari.

Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangs itu berkata keputusan Hakim Zabidin Mohamad Diah mengarahkan Anwar membela diri atas tuduhan liwat adalah satu keperluan untuk memastikan beliau disabit kesalahan fitnah itu bagi kali kedua.

"Rakyat melihat bahawa hakim dan pendakwaraya mencari seboleh-bolehnya ingin mengenakan Anwar ini kerana terdapat saksi dan bukti yang mana selalunya tidak diterima, jadi untuk kes Anwar ini jelas kes yang ganjil," kata Dr Aziz kepada TvSelangor.

"Dakwaan dan tuduhan yang dikenakan keatas Anwar ini jelas satu pendakwaan politik," tambah beliau.

Hakim Zabidin pagi tadi mengejutkan ramai pihak apabila menerima semua keterangan saksi-saksi pendakwaraya walaupun ada antaranya mencurigakan dan bercanggah antara satu sama lain.

Peguam Anwar, Sankara Nair berkata hakim gagal menyaring keterangan saksi dengan cermat. Pertubuhan Peguam Untuk Kebebasan pula menyifatkan perbicaraan Anwar sebagai "memalukan."

Aziz berkata keputusan Zabidin sekali lagi menunjukkkan badan kehakiman negara ini masih belum belum adil dan bebas terutama jika ia melibatkan pemimpin pembangkang.

"Sesiapa pun yang mengikuti perjalanan kes ini dari awal termasuk orang biasa yang tidak tahu undang-undang sekali pun sudah menjangkakan atau merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan perbicaraan itu,"katanya.

Pendakwaan terhadap Anwar, kata Dr Aziz, adalah berasaskan kepada keperluan melumpuhkan karier politik Ketua Pembangkang itu dan bukannya dibuat atas pertimbangan undang-undang.

"Apa yang berlaku dan dihadapi oleh Anwar ini berbeza dengan pertuduhan untuk orang lain, pada cara beliau diburu polis, cara beliau dilayan mirip dengan kes ketika beliau dipecat dari kerajaan oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr mahathir Mohammad,"ujar beliau.

Perbicaraan kes liwat fitnah itu akan bersambung 6 Jun. Jika disabit kesalahan, Anwar boleh dihukum penjara hingga 20 tahun.

Ibrahim, nak 'berjihad' pun bayar 'hutang' dulu

Harakahdaily  

KUALA LUMPUR, 16 Mei: Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali diingatkan agar tidak menyalahgunakan kalimah ‘jihad’ apatah lagi menyelitkan agenda politik Machiavelli.

AJK PAS Pusat, Datuk Husam Musa (gambar) menyatakan demikian sebagai merujuk kepada kenyataan terbuka Ibrahim bahawa beliau dan Perkasa sanggup melancarkan ‘perang salib’ atau ‘jihad’ untuk menentang rakyat Malaysia yang beragama Kristian jika mereka didakwa terus mencabar kedudukan Islam di negara ini seperti yang tersebar dalam laman web Malaysiakini bertarikh 15 Mei 2011 dan lain-lain laman web berita.

“Saya menasihatkan agar beliau tidak menyalahgunakan kalimah ‘jihad’ apatah lagi menyelitkan agenda politik Machiavelli untuk mengekalkan Umno BN terus berkuasa dengan konsep jihad sebenar yang suci dan bersih,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Pertama, katanya isu yang berbangkit mengenai kumpulan Kristian ingin menukar kedudukan Islam sebagai agama rasmi adalah samar-samar dan berunsur fitnah sedangkan Islam tidak mengizinkan jihad dilancarkan atas kedudukan yang samar-samar seperti ini.

Kedua, ujarnya Perkasa sendiri adalah badan bermotif politik yang jelas mempertahankan sesetengah kemungkaran dengan cara tidak menegur atau bersuara amalan seperti korupsi, kehilangan rule of law, kepincangan sosial, kecelaruan dasar-dasar dan kegagalan Umno BN selama ini.

Bahkan, kata beliau hanya menggunakan isu-isu kaum dan agama bagi kepentingan politik sebelah pihak yang menunjukkan Perkasa tidak berpijak atas ajaran Islam yang syumul dan tidak layak membangkitkan isu jihad yang seharusnya tulen dan bersih.

“Sebagai contoh, di manakah Perkasa apabila Presiden MCA selaku rakan utama Umno dalam BN datang ke Kelantan untuk mengubah amalan tidak mengizinkan premis-premis perjudian dibuka bagi rakyat Kelantan yang majoriti 95% beragama Islam,” katanya.

Ketiga, ujarnya kekeliruan yang berlaku dalam politik negara pada hari ini ialah kerana kebimbangan Umno BN kehilangan kuasa hasil ‘kemungkaran’ politik dan ekonomi yang berterusan yang telah ditolak oleh majoriti rakyat Malaysia pelbagai kaum.

Menurutnya, jika jihad hendak dilaksanakan mengikut keutamaan ajaran Islam, kepincangan-kepincangan yang berterusan yang dilakukan oleh Umno BN adalah lebih utama diperbetulkan.

Keempat, jelasnya Islam menganjurkan pendekatan yang menarik hati manusia lain contohnya sepertimana yang dinyatakan oleh Allah s.w.t dalam Surah ‘Ali Imran ayat 159 yang bermaksud: “Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.”

“Jika diamati ayat ini, sekiranya Perkasa ingin menguatkan lagi Islam, ia boleh dilakukan bukan hanya dengan kata-kata yang berapi-api tetapi dengan polisi dan amalan yang selari dengan Islam seluruhnya seperti berlaku adil, dan good governance/tatakelola yang baik.

“Akhir sekali, nasihat saya kepada Datuk Ibrahim Ali, jika beliau ingin terus ‘berjihad’, saya sarankan beliau mengembalikan semula kerusi parlimen Pasir Mas terlebih dahulu kepada PAS yang beliau tandingi juga atas tiket PAS dalam PRU-12 yang lalu,” ujarnya.

Beliau yang juga Exco Kerajaan Kelantan secara sinis berkata, orang yang hendak berjihad adalah wajib membayar hutang terlebih dahulu kerana ruh orang tidak membayar hutang tergantung antara bumi dan langit.

“Kerusi parlimen Pasir Mas adalah dikira sebagai ‘hutang’ Datuk Ibrahim Ali,” katanya.

Liwat Fitnah II : Anwar Diarah Membela Diri

KUALA LUMPUR 16 MEI : Seperti yang dijangka, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengarahkan Anwar Ibrahim untuk membela diri atas pertuduhan liwat fitnah kedua.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Zabidin Mohamad Diah memutuskan bahawa pihak pendakwaraya berjaya mengemukakan bukti-bukti "prima facie" dan Ketua Pembangkang itu perlu membela diri.

Zabidin menetapkan 6 hingga 30 Jun ini bagi Anwar membela diri atas pertuduhan liwat fitnah kedua itu.

Zabidin mendakwa keterangan pengadu Saiful Bukhari Azlan boleh diterima sebagai kebenaran dan beliau seorang yang "berwibawa".

Saiful antara lain, memberitahu mahkamah beliau sempat makan karipap dan minum kopi setelah "dipaksa" oleh Anwar melakukan jenayah itu.

Dalam penghakiman hampir sejam itu, Zabidin menerima segala keterangan Saiful, tiga pakar-pakar dan penemuan ujian DNA sebagai sebagai bukti kukuh untuk mengarahkan Anwar membela diri.

Reaksi awal peguam Anwar, Sivarasa Rasiah adalah "keputusan sudah dijangkakan, apabila hakim mengatakan beliau menerima keterangan Saiful sebagai kredibel."

Dalam hujahnya, Zabidin berkata beliau menerima bahawa sampel-sampel DNA melalui proses kerosakan kerana disimpan terlalu lama, namun ia tidak mencalar keputusan ujian yang dilakukan.

"Kes prima facie telah dibuktikan ke atas tertuduh" kata Zabidin di akhir penghakimannya.

Anwar, 63, dituduh meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari, 25, di Kondominium Desa Damansara, Bukit Damansara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, 2008.

Pertuduhan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan rotan jika sabit kesalahan.

Ratusan penyokong Anwar tiba seawal jam 4.30 pagi dan berkumpul ke Masjid Kuala Lumpur yang terletak bersebelahan kompleks mahkamah bagi menunjukkan sokongan mereka kepada ketua pembangkang itu.

Mereka juga bersarapan nasi lemak yang berbungkuskan akhbar Utusan Malaysia sebagai protes simbolik mengenai peranan akhbar milik Umno yang didakwa menyiarkan pelbagai fitnah dan pembohongan terhadap Pakatan Rakyat.

Penyokong juga menunaikan solat hajat subuh sebelum beredar ke mahkamah. Ada yang datang sejauh dari kawasan kerusi parlimen Anwar di Permatang Pauh dan terdapat juga beberapa bas yang dari Gopeng, Perak.

Beberapa anggota pemuda PKR membantah tindakan pihak polis yang membuat sekatan jalan ke perkarangan kompleks Mahkamah di Jalan Duta, Kuala Lumpur, pagi ini.

Ratusan penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak dapat masuk ke bilik perbicaraan kemudian menyantikan lagu 'ole ole' dengan lirik 'bebas, bebas, bebas, bebas, bebas Anwar, bebas Anwar'.

Mereka juga membawa sepanduk yang tertera "Hapuskan Politik Fitnah", " Rakyat Bangkit Lawan Fitnah" dan mesej-mesej lain yang menuntut keadilan untuk ditegakkan.

Anwar : Prinsip Maqasid Syariah Satukan Ummah

KUANTAN 15 MEI : Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Pakatan Rakyat komited dalam melaksanakan prinsip maqasid syariah di seluruh negara yang merupakan formula terbaik dalam penyatuan ummah pelbagai kaum.

Menurut Ketua Pembangkang itu, prinsip maqasid syariah sesuai diamalkan semua kaum sekaligus sebagai kunci keadilan dalam kepimpinan sesebuah kerajaan.

Mengulas lanjut objektif maqasid syariah yang diperjuangkan kepimpinan Pakatan Rakyat khususnya dalam membentuk keharmonian masyarakat majmuk, Anwar menegaskan prinsip ini sebagai asas kehidupan yang menjamin keharmonian semua kaum.

"Sebab itu saya katakan Islam itu satu jaminan, tak ada kebebasan, tak ada Islam, tak ada keadilan, tak ada Islam. Islam itu tegak kerana kebebasan dan keadilan," kata Anwar pada siri Wacana Memperkasa Fikrah Rakyat - Seminar maqasid shariah dan masyarakat majmuk di Dewan Sekilau, Galing Kuantan hari ini.

Seminar ini membicarakan esensi maqasid al-syariah dalam konteks Maslahah (menyejahterakan) masyarakat majmuk selain menyelamatkan daripada kemudaratan khususnya dalam kepimpinan politik sesebuah kerajaan.

Jelas Anwar, tanpa keadilan tidak mungkin ada kedamaian dan kesejahteraan dalam merealisasikan hasrat mentadbir negara yang berbilang kaum.

"Sebab itu saya katakan, dalam aspek maqasid syariah, perlu ada satu perbincangan yang baik, tetapi aspek ini tidak ada di Malaysia. Yang ada hanya mengikut kata orang yang berkuasa (kerajaan), jadi apa kaitannya dengan maqasid syariah seperti apa yang dibincangkan hari ini?, Ianya mesti melalui jalan keamanan, mesti adil,"kata Anwar lagi.

Anwar juga mengingatkan bahawa kepimpinan berteraskan Islam tidak akan diterima baik oleh masyarakat bukan Islam sekiranya pemimpin Islam itu sendiri dangkal pengetahuannya tentang Islam.

"Islam tidak akan berkembang sekiranya kefahaman umatnya terlalu dangkal dan cetek, Islam pada mereka hanya mengamalkan sumpah, Islam mereka (hanya menuntut) jam Omega, Islam mereka orang sibuk (buat) solat hajat mereka sibuk dengan penyebaran VCD dan gambar lucah,"sindir Anwar.

Sebelum mengakhiri ucapannya, Anwar turutmemuji kehadiran peserta seminar dari pelbagai kaum dan latar belakang agama dengan menyifatkan sambutan hebat ini sebagai salah satu daripada kejayaan prinsip maqasid syariah yang diperjuangkan Pakatan Rakyat.

"Ini adalah antara pengalaman saya dalam Umno, bila menyetuh soal Islam, orang Melayu sahaja terlibat, tiada campuran kaum seperti majlis hari ini, inilah hebatnya Pakatan Rakyat, tidak ada pula pengagihan antara Islam dan Kristian,"katanya.

Sekurang-kurangnya, 2,000 peserta hadir memenuhi dewan.

Panelis yang turut hadir, Naib Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, Timbalan Presiden WADAH, Dr Mohd Nur Manuty, Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasruddin Hassan At-Tantawi.

Tafaqquh Fiddin 07-05-2011 bersama Sheikh Muhammad Nuruddin

Video - Rakyat boleh jatuhkan saya dengan izin Allah,bukan Umno



Esok Penentukan Kes Fitnah Ke-II Anwar

KUALA LUMPUR 15 MEI : Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan memutuskan esok sama ada menerima hujah-hujah pendakwaraya dan memanggil Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim untuk membela diri atas tuduhan liwat kali kedua yang berasaskan keterangan pengadu yang rapuh dan bukti-bukti DNa yang cukup mencurigakan.

Hakim Mohamad Zaibidin Diah mempunyai pilihan membebaskan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu jika menolak bukti-bukti itu yang membabitkan keterangan-keterangan saksi yang sering bercanggah khususnya yang diberikan oleh pengadu Saiful Bukhari Azlan.

Sekiranya dipanggil membela diri, Anwar mempunyai tiga pilihan.

Pertama, beliau bersumpah dari kandang saksi dan menjawab tuduhan terhadapnya.

Kedua, Anwar menjawab dari kandang dituduh. Jika ini berlaku, maka testimoni Anwar tidak boleh disoal balas.

Akhirnya, pilihan ketiga ialah untuk beliau berdiam diri.

Semua mata sudah tentu akan tertumpu kepada keputusan Hakim Zabidin terhadap tuduhan tersebut - yang kedua dihadapi Anwar dalam satu jangka waktu kurang daripada 15 tahun.

Pemerhati asing dari Amerika Syarikat, Australia, Britain, Kanadia, Jerman, Finland dan Sepanyol sentiasa hadir di mahkamah mengikuti perbicaraan Anwar.

Hukum bagi Penulis Berita Palsu-Ust Azhar Idrus

Politik Lucah Boleh Musnahkan Negara



SELAYANG 15 MEI :Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan penyebaran berleluasa video lucah tanpa sebarang kekangan kerajaan Pusat umpama mengulangi kesilapan pemerintahan Rom suatu ketika dahulu.

Kerana keengganan itulah kata Anwar, sistem ini seperti zaman Gaius atau Carigula, Maharaja Rom yang terkenal dengan skandal seks dan kehidupan hedonistik hingga hampir memusnahkan empayar Rom pada Abad pertama dahulu.

"Kerana keengganan sistem ini menghukum, ia menjadi sistem paling lucah di dunia. Kita tahu sistem lucah ini dulu ialah 'Maharaja Gila' Rom Carigula. Nombor dua kita, lucah secara terang-terangan," terang Anwar di hadapan kira-kira 5 ribu hadirin di Program Munajat Umat Tolak Fitnah di Stadiuam Selayang semalam.

Anwar menyatakan ini merupakan usaha 'merampas' negeri Selangor oleh Pengerusi Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Najib Razak kerana gagal menandingi dasar
dan cara kerja Pakatan Rakyat.

"Kenapa ini berlaku, sebab tak mampu nak lawan kerja. Rakyat Selangor tahu apa yang dilakukan PAS, DAP dan PKR. Nak menang di Selangor Najib guna istilah 'rampas'. Rampas ni sudah biasa pada dia, rampas bini, rampas tanah, rampas macam-macam," sindir Anwar.

Program Pakatan Rakyat di Stadium Selayang sekali lagi menjadi sasaran pengedaran VCD rakaman video seks, yang didedahkan “Datuk T” Mac lalu dan dikaitkan
dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pemimpin-pemimpin Pakatan mendakwa perbuatan itu didalangi oleh Umno.

Selain mengedarkan VCD itu, risalah berkaitan video seks turut diedarkan di luar stadium - yang secara jelas mahu menjejaskan kredibiliti Anwar selaku Ketua Umum Pakatan Rakyat dan PKR.

Anwar menyatakan betapa hal bukan lagi rahsia dan tidak boleh disembunyikan tetapi dibiarkan begitu sahaja oleh pihak berkuasa.

Bagaimanapun Pakatan Rakyat akan terus bekerja membantu negeri ini dan mengubah negara mengikut dasar dari 'Buku Jingga' mereka.

"Seperti kata Tan Sri Khalid, kita kerja. Tadi saya ada program di PJS..Itu kerja kita tapi apa kerja Umno-BN? Tiap-tiap program kita sama ada solat hajat, di masjid, tempat awam, dia edar video seks terang-terangan. Apa polis kata?

"Menang hari ini BN, air naik 35 peratus. Tan Sri Khalid tahu menang BN, dia tahu balanya kepada rakyat. Kita telah buktikan kalau bantah perjanjian tidak adil dan menekan rakyat. Kita boleh bertahan," tegas Anwar lagi.

KULIAH USTAZ AHMAD YAHYA 14/5/2011

Sangat wajar Anwar mengadu terus ke hadrat Allah - Dr Wahbah

Oleh : Ismail Hashim

SHAH ALAM, 14 Mei: Peralatan moden dengan teknologi secanggih mana pun tidak layak menjadi dalil dalam penghakiman Islam.

AJK Majlis Fatwa Antarabangsa, Syeikh Dr Wahbah Az-Zuhaili berkata, meskipun peralatan itu digunakan oleh pengarah filem di Hollywood sekalipun, alat-alat itu tetap tidak boleh menjadi saksi.

"Kini alat-alat moden terlalu banyak seperti boleh menggunakan telefon tangan atau video. Jelas semua itu sengaja diadakan oleh mereka yang tidak baik, munafik dan rendah moral," tegasnya.

Dr Wahbah menegaskan demikian ketika menyampaikan ceramah mengenai Sumpah dan Qazaf di Masjid Negeri, dekat sini, hari ini.

Ucapan beliau telah diterjemahkan oleh pendakwah tempatan, Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Dr Wahbah juga menyatakan Al-Quran menetapkan penuduh wajib mendatangkan empat saksi yang adil dan sebenar.

Tegasnya. jika penuduh gagal membawa empat saksi adil itu, mereka adalah pendusta atau munafik.

Beliau juga menyebutkan saksi adil itu mesti tidak melakukan dosa besar, tidak mengekalkan dosa kecil dan tidak melakukan kerja-kerja yang mencarikkan maruah dirinya.

"Orang fasik gugur sifat keadilannya dan mereka yang tiada padanya keadilan, Islam menolak kesaksiannya," tegasnya yang merupakan Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 1430H.

Menjawab soalan yang berkisar tentang video seks, DNA dan Anwar Ibrahim, Dr Wahbah menolak dengan sekeras-kerasnya dengan jawapan tegas.

Menurutnya, beliau menyebutkan pernah berlaku di Mesir di mana perkara dilakukan kepada seorang ulamak yang dilakukan superimpose bagi menampakkan beliau sedang menari dengan artis menggunakan alat moden.

Malah, ujarnya, Majma' Fiqhiah Islami Makkah menolak isu ini kerana ia adalah rekaan dan kerenah kecil sahaja.

Tiada pakar juga menjadi punca penolakan itu kerana asasnya tidak kuat, malah mahkamah antarabangsa juga tidak menerima sesuatu kes sewenang-wenangnya.

"Umat Islam hendaklah mengambil Syariat Islam dalam menyelesailkan permasalahan dalam kehidupan mereka dan letakkan undang-undang syaitan di bawah tapak kaki mereka," tegasnya.

Dr Wahbah menggesa umat Islam segera mengambil iktibar dari semua peristiwa yang Allah SWT datangkan seperti tsunami dan gempa bumi akibat daripada sikap dan amalan manusia mutakhir.

Beliau dalam lawatan ke negara ini selama empat hari berakhir esok.

"Saya kenal Anwar Ibrahim begitu lama, beliau seorang yang baik dan bersih. Sangat wajar beliau mengadu terus ke Hadrat Allah SWT dari menyibukkan diri dengan isu-isu politik yang remeh temeh ini," tegasnya pada program anjuran bersama Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Dr Wahbah mempunyai penglibatan dan sumbangan yang amat besar dalam dunia Islam dan umat Islam.

Beliau yang juga tenaga pakar dalam Majlis Persidangan Fiqh Antarabangsa (Majma Fiqh l-Islami), mempunyai kepakaran yang amat tinggi dalam penulisan ilmiah.

Karya Dr Wahbah menjadi rujukan umat Islam di dunia antaranya yang tersohor di Malaysia adalah Kitab Tafsir Al-Munir Fi Al-Aqidah Wa Al-Syariah Wa Al-Minhaj dan Kitab Fiqh Perundangan Islam.

~harakahdaily~