Banyak lagi taktik kotor Umno rampas Selangor

Harakahdaily   

AMPANG, 17 Mei: PKR Selangor telah bersedia untuk mendedahkan satu persatu penyelewengan dan taktik kotor Umno untuk merampas Selangor pada bila-bila masa.

“Maka, saya peringatkan kepada Noh Omar, mahupun pimpinan Umno lain jangan pernah cabar kami,” tegas Timbalan Pengerusi PKR Selangor, Zuraida Kamaruddin (gambar).

Beliau menyatakan demikian sebagai respons kepada laporan Utusan Malaysia Online semalam, 16 Mei mengenai kenyataan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar yang mendakwa bahawa Parti Keadilan Rakyat (PKR) terdesak hingga sanggup melemparkan pelbagai tuduhan tidak berasas bagi memberi gambaran buruk kepada Umno berikutan pendedahan terbarunya mengenai pemberian 2,000 status kerakyatan haram buat PATI dan warga asing.

Baginya, kenyatan itu adalah suatu bukti bahawa Noh Omar seorang pemimpin ‘Melayu mudah lupa’ yang Tun Mahathir pernah ungkapkan dahulu.

“Noh Omar Melayu mudah lupa apabila lupa hakikat bahawa Umno Hulu Selangor kini dalam mood kecewa kerana sebelum PRK Hulu Selangor lalu, bukankah wakil dari pemimpin Umno yang sepatutnya bertanding, tetapi Perdana Menteri ‘mengkhianati janji’ dan akhirnya telah memberikan kerusi terbabit kepada MIC,” ujarnya yang juga Ketua Wanita PKR dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Tambahnya, Noh adalah Melayu mudah lupa apabila lupa hakikat bahawa BN hanya menang tipis pada PRK lalu dengan majoriti hanya 1,725 undi.

Beliau yang juga ahli Parlimen Ampang berkata, jika pertambahan 2,000 undi haram dari PATI dan warga asing yang disenaraikan, pastinya kedudukan BN akan lebih kukuh.

Noh, ujarnya mudah lupa apabila lupa hakikat bahawa Umno dan MIC Hulu Selangor kini sedang berentakan, sehingga Ahli Parlimen Hulu Selangor P.Kamalanathan sendiri tidak mendapat kerjasama dari Umno Hulu Selangor dalam sebarang program anjuran ahli Parlimen terbabit.

“Noh Omar seharusnya sedar bahawa kini Pakatan Rakyat telah mendapat sokongan penuh rakyat, termasuk kakitangan awam yang berani memberikan maklumat mengenai segala kepincangan yang sedang mereka lakukan,” ujarnya.

Tiada ulasan: