Agen Calon PR Tidak Dibekalkan Borang 14, SPR Didakwa Cuba Menipu

SHAH ALAM 16 APRIL : Pakatan Rakyat mendakwa wujud percubaan menipu dalam pilihanraya negeri (PRN) Sarawak apabila agen calon gagasan itu tidak dibekalkan salinan Borang 14 oleh pegawai Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) di beberapa kawasan pilihan raya.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), N Surendren berkata agen dari PKR dan DAP tidak dibekalkan borang tersebut yang mengesahkan jumlah rasmi yang dikira disetiap saluran mengundi.

Borang 14 adalah nama singkatan kepada 'Penyata Pengundian Selepas Pengiraan Undi'.

Selepas pengiraan undi selesai, misalanya BN dapat 210 undi dan Pakatan Rakyat dapat 300 undi, maka jumlah undian itu perlu dicatit ke dalam borang 14.

Borang 14 juga akan diisi maklumat- maklumat yang penting seperti;

1) Kedudukan tempat mengundi (Tempat pengundi)

2) Saluran Tempat mengundi (Saluran)

3) Nombor Kod Daerah Mengundi (Kod DUN)

4) Bahagian Pilihanraya (Nama DUN)

Surendren berkata, tindakan pegawai SPR itu merupakan satu kesalahan kerana sepatutnya salinan borang itu diberikan kepada agen calon parti yang bertanding.

“Ini merupakan satu kesalahan serius di bawah 'Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954' kerana akta tersebut perlu diberi kepada agen setiap calon tapi kita mendapat laporan bahawa agen- agen bagi calon Pakatan Rakyat dibeberapa tempat tidak diberi salinan borang 14,

"Jadi maknanya pegawai pilhanraya sendiri pegawai SPR sendiri telah melakukan kesalahan,” katanya.

Jelasnya apa yang berlaku itu adalah merupakan satu percubaan menipu dalam pilihan raya dan ia adalah kesalahan jenayah dilakukan sendiri oleh pegawai SPR.

“Ini menunjukkan bahawa memang ada sesuatu percubaan untuk menipu di dalam pilihanraya kerana borang 14 itu mengandungi jumlah undi yang didapati disetiap saluran ataupun pusat mengundi,

"Jadi mengapa mereka enggan memberi borang 14 ? Ini jelas satu percubaan SPR untuk menipu," tegas Surendren lagi.

Perkara berkaitan borang 14 itu timbul apabila Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa melaporkan pegawai SPR di kawasan Simunjan dan Asajaya tidak memberi salinan borang 14 kepada agen calon Pakatan.

Altantuya - Pengakuan RPK Zahirkan Keperluan RCI, Kata Fariz Musa

SHAH ALAM 15 APRIL: Pendedahan pengarang laman blog Malaysia Today Raja Petra Kamaruddin mengenai pembunuhan Altantuya Shaariibuu hanya menzahirkan keperluan sebuah Suruhanjaya DiRaja (RCI) ditubuhkan untuk menyiasat pembunuhan warga Mongolia itu, kata Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Fariz Musa.

Raja Petra membuat pengakuan bersumpah memperolehi maklumat bahawa seorang pegawai kanan risikan Angkatan Tentera Malaysia mempunyai laporan mensabitkan isteri Perdana Menteri Rosmah Mansor hadir di tempat Altantuya mati di bom pada Oktober 2006.

Kenyataan bersumpah (SD) itu dibuat pada Jun 2008 dan Raja Petra mengutarakannya dalam wawancara yang disiarkan oleh Tv3 dua hari lalu.

Fariz Musa menyifatkan penubuhan suruhanjaya itu perlu kerana terlalu banyak percanggahan fakta sehingga mengelirukan masyarakat di negara ini.

" Kita melihat percanggahan itu yang menimbulkan persepsi dan persoalan sehingga sekarang tidak dapat dijawab dengan begitu terperinci, tetapi banyak kenyataan lain yang keluar.

" Semestinya rakyat akan lebih keliru dengan perkara-perkara yang berlaku sejak akhir ini. Bagi saya satu suruhanjaya yang profesional dan telus harus dibentuk dengan segera bagi menyiasat perkara ini," katanya ketika dihubungi Tv Selangor petang tadi.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin hari ini menafikan pegawai ATM terbabit, Kolonel Azmi Zainal Abidin mempunyai laporan risikan mengenai pembunuhan Altantuya yang melibatkan Rosmah.

Justeru Azizan menjelaskan kenyataan Azmi itu bersifat peribadi dan palsu. Azmi kini digantung tugas sementara menunggu hasil siasatan bersabit dakwaan RPK itu.

Fariz berkata menambah, sebuah RCI boleh merungkai persoalan siapa yang memberi arahan untuk anggota Unit Tindakan Khas (UTK) membunuh Altantuya menggunakan bomb C4.

" Siasatan ini harus dibuat dengan lebih terperinci. Tidak seharusnya selesai dengan hanya tindakan yang diambil terhadap Sirul dan Azilah, tetapi satu suruhanjaya yang lebih jelas untuk menyiasat perkara ini lebih terperinci bagaimana penglibatan Najib Razak dalam pembunuhan Altantuya," tambahnya.

Bekas penasihat kepada Najib, Abdul Razak Baginda yang dituduh bersubahat dengan pembunuhan itu walaubagaimana pun dilepaskan.

Sebaliknya dua anggota polis, Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar disabit membunuh Altantuya dan dihukum gantung.

Kedua-dua mereka mengaku tidak bersalah dan memberitahu mahkamah mereka dijadikan "kambing hitam' oleh pihak yang mendalangi pembunuhan itu.

Isu STDC dilapor pada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia

ALOR SETAR, 14 April - Ekoran pendedahan oleh Exco Kerajaan Negeri Kedah, YB Dato' Ir Amiruddin Hamzah dalam Sidang Dewan Undangan Negeri Kedah berhubung 'perbelanjaan tidak berkepentingan' sebanyak RM7.5 juta Seri Temin Development Corporation (M) Sdn. Bhd. (STDC) yang dilakukan oleh pengurusan yang lalu (di bawah Kerajaan BN), beberapa individu hari ini mengambil tindakan melaporkannya kepada SPRM.

Kumpulan yang diketuai oleh Encik Mohd Azam Awang telah menyerahkan bukti-bukti berkaitan berupa dokumen bertulis dan cakera padat kepada SPRM di pejabatnya di Jalan Sultan Badlishah.

"Bahan-bahan asas untuk penyiasatan telah diserahkan kepada SPRM, terserah kepada SPRM untuk menyiasat secara terperinci seterusnya mengambil tindakan terhadap pihak tertentu berdasarkan apa yang telah didedahkan oleh Dato' Amiruddin dalam Sidang DUN baru-baru ini," ujar Mohd Azam ringkas selepas mengadakan pertemuan dengan pegawai penyiasat SPRM.

Dalam Sidang DUN baru-baru ini, Dato’ Amiruddin Hamzah mendedahkan bagaimana STDC telah membelanjakan RM7.5 juta sebagai sumbangan, walhal ianya tidak diluluskan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri untuk pelepasan cukai.

Laporan pihak Audit berhubung perbelanjaan tidak wajar dan bayaran yang dibuat tanpa sokongan dokumen terlalu banyak. Antaranya ialah sumbangan terhadap Mesyuarat Perwakilan Umno Padang Terap - RM10 ribu (23.01.2007), lawatan Pemuda Umno ke Indonesia - RM10 ribu (14.03.07), lawatan Puteri Umno ke Indonesia – RM5 ribu (18.03.07), sumbangan kepada Umno Kedah – RM200 ribu (19.04.07), sumbangan petugas BN pilihanraya kecil Ijok – RM5 ribu (13.05.07), sumbangan T-shirt dan wang saguhati konvoi Pergerakan Pemuda Umno Padang Terap – RM4 ribu (22.05.07), sumbangan kepada Umno Cawangan Padang Kerasak Naka – RM5 ribu (30.05.07) dan membekal cenderamata untuk perwakilan Umno Bahagian Padang Terap – RM26,150.00 (01.01.08).

Seterusnya ialah pemasangan billboard untum mesyuarat perwakilan Umno Padang Terap – RM10 ribu (01.01.08), sewa khemah dan meja bulat untuk mesyuarat perwakilan Umno Bahgian Padang Terap – RM10 ribu (16.01.08), membekal kain tudung kepada ahli Puteri Umno – RM20 ribu (03.02.08) dan makan minum untuk mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Padang Terap – RM21,700.00 (15.02.08).

Menteri Besar masa itu Datuk Seri Mahdzir Khalid turut menggunakan wang STDC untuk menerbitkan kalendar peribadi beliau yang diberi percuma kepada rakyat dengan kos RM80 ribu (06.12.07 & 20.02.08). Banyak lagi pembayaran yang disifatkan oleh Audit sebagai ‘tidak berkepentingan dan tidak berkaitan dengan aktiviti dan objektif penubuhan STDC’.

Peguam Tak Hadir, Mahkamah Tolak Saman Fitnah Ummi Hafilda



KUALA LUMPUR 14 APRIL : Mahkamah Tinggi mengetepikan saman fitnah RM100 juta difailkan oleh ahli perniagaan Ummi Hafilda Ali terhadap bekas rakan perniagaannya dan Malaysiakini, bulan lalu.

Hakim Zabariah Mohd Yusof memutuskan demikian di kamarnya selepas peguam kedua-dua pihak gagal hadir ketika pengurusan pertama kes hari ini.

Pada 17 Mac lalu, Ummi Hafilda, 43, memfailkan saman tersebut melalui Tetuan Sahrihan & Hamdan dengan menamakan Nor Azman Abdullah @ Baginda Minda sebagai defendan pertama dan Mkini Dotcom Sdn Bhd yang menyelenggarakan laman berita Malaysiakini sebagai defendan kedua.

Ummi Hafilda dalam saman pemula tersebut mendakwa defendan dalam satu temu ramah di lobi bangunan Parlimen telah mengeluarkan kenyataan bersifat fitnah dan menyerangnya secara peribadi.

Beliau mendakwa kenyataan yang dikeluarkan oleh Nor Azman adalah semata-mata untuk memalukannya dan bermotifkan niat jahat.

Ummi Hafilda juga mendakwa kenyataan Nor Azman seolah-olah beliau seorang wanita yang mempunyai banyak skandal dan amat tidak jujur, serta terlibat dengan bekas pembantu peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd Saiful Bukhari Azlan yang mengakibatkan pertuduhan meliwat terhadap Anwar.

Beliau mendakwa defendan kedua pula telah secara cuai membenarkan penerbitan, penulisan dan penyiaran artikel bersifat fitnah tersebut di web portal www.malaysiakini.com pada 15 Mac lalu.

Selain menuntut ganti rugi am sebanyak RM100 juta, plaintif memohon satu injunksi untuk melarang kedua-dua defendan daripada terus membuat kenyataan-kenyataan berbau fitnah terhadapnya.

Ummi Hafilda juga turut memohon ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk, serta lain-lain relif yang difikirkan adil dan sesuai oleh mahkamah

DAP Dakwa Rakam Penipuan Undi Pos Di Sibu






DAP membuat laporan polis hari ini (semalam) setelah merakamkan sebuah klip video yang didakwa menunjukkan insiden penipuan undi pos di Sibu.

Seorang pekerja pilihan raya DAP yang berada di Ibu Pejabat Polis Sibu mengesahkan ejen pengundian DAP yang merakam insiden itu telah memberi kenyataan kepada polis pada jam 5.30 petang tadi.

Klip itu, yang disiarkan petang tadi menunjukkan empat wanita memberi sesuatu yang kelihatan seperti kertas undi kepada seorang lelaki berkaca mata di Wisma Sanyan.

Setelah wanita itu beredar, lelaki yang tidak dikenalpasti menyedari dirinya dirakam dan cuba melarikan diri ke tangga menuju sebuah pejabat.

Ahli Parlimen Bukit Bendera Liew Chin Tong menempelak insiden itu dan menganggap banyak lagi yang perlu dibongkar.

"Reaksi orang ramai terhadap video itu membuktikan lelaki dalam video itu terlibat dalam sesuatu yang tak kena," katanya.

"Kita mengutuk semua bentuk penipuan pilihan raya dan pembelian undi dan menggesa polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya menyiasat insiden ini.

Liew menambah walaupun DAP menerima laporan banyak perkara seperti ini berlaku, DAP tiada kuasa untuk menghalangnya.

"Kita tidak akan berpeluk tubuh sahaja," katanya.

"Jadi kami menggesa semua pengundi di Sarawak memainkan peranan bagi memastikan Pilihan Raya ini bersih dan adil. Jika anda melihat insiden yang mencurigakan, rakam dan kami akan mengambil tindakan susulan," tambahnya lagi.

Pakatan mampu rampas 19 kerusi, 24 lagi '50-50'

Memasuki pusingan kedua dalam kempen pilihan raya Sarawak - yang dianggap paling sengit dalam sejarahnya - sokongan pada BN dijangka meningkat di saat-saat akhir walaupun menerima tamparan hebat di kawasan bandar pada permulaanya.

NONEMenurut pengamatan pelbagai sumber, walaupun bakal hilang banyak kerusi, BN masih mempunyai peluang cerah mengekalkan penguasaan dua pertiga dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana sentuhan terakhirnya.

"Dalam kempen di beberapa hari terakhir ini, semua kemungkinan boleh berlaku. BN masih ada strategi 'carpet bombing' melalui pengumuman projek segera dan pemberian imbuhan pilihan raya terutamanya di kawasan bandar," kata pemerhari politik Dr Jeniri Amir.

NONEPensyarah kanan di Universiti Malaysia Sarawak itu juga berkata, walaupun penduduk bandar menunjukkan perubahan yang luar biasa dengan menyokong Pakatan, berdasarkan tred dalam pilihan raya sebelum itu, bola akan kembali bertukar ke kaki BN semula.

"Masyarakat luar bandar masih dilihat mempunyai pemikiran simple minded," katanya kepada Malaysia.

Menurut sumber-sumber yang dekat dengan kerajaan, bacaan semasa menunjukkan, sebanyak 28 kerusi masih memihak kepada BN, 19 mampu dirampas pembangkang dan 24 lagi peluangnya masih '50-50' antara kedua-dua pihak yang bertanding.

NONEJika dilihat dari aspek kaum pula, undi Cina kini memihak kepada Pakatan, Melayu dan Melanau masih menyokong BN manakala masyarakat Iban pula mula sedikit demi sedikit berpindah daripada BN kepada pembangkang.

Bacaan ini selari dengan pemantauan NGO pengkaji "kepercayaan politik" Zentrum Future Studies yang mendapati sokongan masyarakat luar bandar kepada BN merosot dari 80 kepada 61 peratus.

Menurut presiden Zentrum, Abu Hassan Hasbullah, di kawasan luar bandar, sokongan terhadap parti pemerintah turut menyusut dari 65 kepada 38 peratus sahaja.

NONEJusteru, jika Pakatan mampu mempertahankan menangkis serangan terakhir BN, termasuk kedatangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri, sejarah akan berlaku di Bumi Kenyalang.

Menurut sumber-sumber Umno pula, setelah parti Melayu itu mula menyuntik jenteranya di pelbagai kawasan, terutamanya di luar bandar dalam beberapa hari kebelakangan ini, mereka yakin, paling tinggi, Pakatan hanya dapat merampas 15 kerusi sahaja.

"Bagaimanapun, tujuh atau lapan kerusi di kawasan bandar memang sudah tidak boleh dipertahankan lagi," jelas sumber-sumber itu.

Dua Anak Lelaki Mubarak Ditahan

SHARM EL-SHEIKH 13 APRIL : Pegawai kanan polis Mesir menahan dua anak lelaki bekas Presiden Mesir Hosni Mubarak selama 15 hari untuk siasatan berhubung peranan mereka dalan keganasan yang dilakukan terhadap penunjuk perasaan dan aktiviti rasuah.

Ketua keselamatan Sinai Selatan, Mej Jen Mohammed el-Khatib berkata, kedua-dua mereka kini ditahan di Kaherah buat sementara waktu menunggu hasil siasatan.

Mubarak, 82, dimasukkan ke hospital malam tadi berikutan serangan jantung ketika siasatan berhubung dakwaan rasuah dan serangan terhadap penunjuk perasaan yang menjurus kepada pengunduran beliau, bermula.

Mubarak dipercayai membimbing anak lelaki bongsunya, Gamal yang juga pegawai tinggi dalam parti pemerintah, untuk menggantikan beliau. -AP

SOAL JAWAB PILIHAN RAYA SARAWAK

OLEH : DR MUZZAKIR

Soalan : Adakah halal elaun@gaji seseorang wakil rakyat(YB) yang memenangi sesuatu pilihanraya disebabkannya melakukan penipuan dan menyebarkan fitnah terhadap lawannya?

Jawapan: Haram! Beliau adalah seorang yang fasiq dan tidak layak menjadi pemimpin.

Soalan : Adakah wajib seseorang calon itu menunaikan janji-janjinya semasa berkempen seandainya dia ditakdirkan sebagai pemenang?

Jawapan: Wajip ditunaikan jika dia memenangi pilihan raya tersebut, walaupun parti yang diwakilinya tidak menjadi pemerintah di negeri itu.Jika tidak ditunaikan maka beliau dikhuatiri menjadi munafik.(sesungguhnya orang-orang munafik itu dibuntut neraka jahanam).

Soalan : Apakah hukumnya mengingkari pemerintah?

Jawapan: “Adapun keluar dari ketaatan terhadap pemimpin (penguasa) serta memerangi (atau membangkang) mereka, maka hukumnya adalah haram menurut kesepakatan (ijma’) umat Islam, walaupun pemimpin tersebut bersifat zalim lagi fasiq.” (Perkataan Imam an-Nawawi, Syarah Shahih Muslim, 12/229. Turut disebutkan oleh al-Hafiz Ibnu Hajar dalam Fathul Bari) Al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani rahimahullah menukil perkataan Ibnu Baththal dalam Fathul Bari, “Telah berkata Ibnu Baththal dalam hadis yang menjadi hujjah untuk meninggalkan sikap keluar dari ketaatan kepada sultan (pemerintah) walaupun pemerintah tersebut seorang yang jahat, (katanya) “Para fuqaha’ telah bersepakat (ijma’) berkenaan kewajiban mentaati sultan (pemerintah) yang memiliki kuasa walaupun dia mendapat kuasa tersebut dengan cara rampasan atau pemberontakan (mutaghalib) dan berjihad bersama-samanya. Ini adalah kerana ketaatan kepadanya lebih baik dari keluar meninggalkan ketaatan kepadanya (dengan mengambil sikap membangkang atau memberontak), yang dengannya mampu memelihara darah dan menenangkan orang ramai (masyarakat). Tidak ada pengecualian dalam perkara ini, melainkan apabila sultan melakukan kekafiran yang nyata.”.” (Ibnu Hajar, Fathul Bari, 13/7)

Soalan : Dalam kontek Negeri Sarawak, jumlah umat Islam sekitar 25%(tidak ada mana-mana kaum boleh disifatkan sebagai majority:Iban;36%,Cina:32%).Apakah hukumnya individu atau parti yang memecahbelahkan perpaduan dan persaudaraan umat Sarawak yang sangat sedikit itu jika dibandingkan dengan jumlah keseluruhan penduduk Sarawak?

Jawapan: Haram, kerana jamaah dan ukhuwah Islamiah mengatasi segala kepentingan parti atau individu terutama sekali di kalangan umat Islam Sarawak yang begitu sedikit. Dan seandainya ditakdirkan umat Islam kehilangan kekuatan dan kuasa memerintah, maka mereka yang terlibat dan bersubahat mengkhianati kepimpinan Islam itu bukan sahaja haram malah berdosa besar!.

Semoga FAQ Pilihan Raya ini ada manfaatnya bagi mereka yang mahu berfikir untuk masa depan rakyat Sarawak. UMAT ISLAM SARAWAK,RENUNG-RENUNGKANLAH! JANGAN KERANA SEEKOR DUA NYAMUK YANG MENGHISAP DARAH SEMUA KELAMBU DIBAKAR....!!!! YANG DIKEJAR TAK DAPAT, YANG DIKENDUNG BERCICIRAN.....!!!

Pengetua sekolah diminta pantau kantin secara terperinci

Aziz Muda

SHAH ALAM, 12 April: Para pengetua sekolah di Selangor diingatkan agar memantau kantin-kantin sekolah mereka secara terperinci untuk mengelakkan peristiwa keracunan makanan kepada para pelajar berulang kembali.

Mereka juga diingatkan agar mengambil tindakan ke atas sebarang aduan oleh para pelajar atau ibu bapa kerana tidak ada aduan yang seharusnya dipandang ringan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor, Iskandar Abdul Samad, ketika mengingatkan perkara itu berkata, para pengetua sekolah juga mestilah mengutamakan kepentingan para pelajar dan bukan kepentingan pengusaha kantin.

(Gambar: Iskandar melawat mangsa keracunan makanan)

Menurut beliau, Adun-Adun dan Penyelaras-Penyelaras Dun Pakatan Rakyat juga sentiasa bersedia menerima aduan-aduan para ibu bapa di dalam usaha untuk memastikan kebajikan para pelajar terpelihara.

"6 April lalu, kejadian tidak diingini telah berlaku apabila 16 pelajar di Sekolah Kebangsaan Pandan Indah mengalami keracunan makanan sehingga terpaksa dikejarkan ke hospital," katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily, hari ini.

Sebelum ini, beliau yang juga Adun Chempaka berkata, beberapa buah sekolah termasuk di luar Selangor juga pernah mengalami kejadian yang sama, pada hal kejadian tersebut tidak sepatutnya berlaku.

"Kejadian seperti itu tidak mungkin berlaku jika para pengetua sekolah sentiasa memantau keadaan di kantin-kantin sekolah mereka terutama dari segi kebersihan dan penyediaan makanan," katanya.

Beliau turut kesal kerana terdapat aduan pihak tertentu kepadanya yang mengatakan terdapat pengetua sekolah tertentu yang tidak mengambil serius aduan para pelajar dan ibu bapa mengenai keadaan yang tidak memuaskan di kantin-kantin sekolah mereka.

Kealpaan seperti itu tidak seharusnya berlaku terhadap para pengetua sekolah, katanya, kerana mereka sememangnya bertanggungjawab penuh mengenai kejadian seperti itu di sekolah masing-masing.

"Mengenai para pelajar di Sekolah Kebangsaan Pandah Indah yang keracunan itu pula, adalah didoakan pelajar-pelajar yang dimasukkan ke hospital 6 April lalu akan kembali sihat secepat mungkin," ujarnya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan Hospital Ampang yang telah menerima rombongannya melawat 16 orang pelajar di sekolah itu yang keracunan makanan ketika dirawat di hospital tersebut, 7 April lalu.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz - Ceramah Umum Dun Batu Kawa 10/4/2011

Taib Harus Undur, Sistem Pemerintahan Mesti Ditukar

KUCHING 12 APRIL : Pembaharuan politik yang diperjuangkan oleh Pakatan Rakyat adalah untuk menerapkan sistem pemerintahan yang beramanah dan berwibawa di Sarawak , bukan semata-mata untuk menuntut pengunduran Abdul Taib Mahmud sebagai Ketua Menteri.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pertukaran pucuk pimpinan harus seiring dengan perubahan dalam sistem pemerintahan yang mencorak dasar sesebuah negara atau negeri.

"Politik ini bukan soal peralihan kuasa. Perdana Menteri dan Ketua Menteri silih berganti tapi yang kita mahu ubah ialah sistem,” kata Anwar dalam ceramahnya di Satok.

“Yang kita suruh berhenti bukan Taib seorang, tapi seluruh kekuatan Barisan Nasional Sarawak," tegas Anwar, disahut tepukan gemuruh hadirin yang rata-rata masyarakat kaum Melayu.

Anwar yang berada di Sarawak sejak minggu lalu kini giat menjelajah ke seluruh pelusok Sarawak untuk membantu calon-calon Pakatan Rakyat melakukan kejutan pada pilihanraya negeri Sabtu ini.

Di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok, PKR meletakkan calon muda, Ahmad Nazib Johari untuk pertandingan satu lawan satu menentang calon veteran BN, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg.

Abang Johari mempertahankan kerusi itu untuk penggal ke lapan.

Dalam ucapannya, Anwar mengupas soal hak kesamarataan yang dinafikan kepada penduduk Sarawak.

Beliau membidas pemimpin-pemimpin BN yang berjuang atas nama Melayu namun membiarkan kaum itu hidup dalam kedaifan di bumi Sarawak.

Justeru Ketua Pembangkang itu, pengundi Sarawak tidak harus membenarkan BN pimpinan Taib terus-menerus memperlekehkan rakyat.

Beliau berkata masa sudah sampai untuk Sarawak membebaskan diri daripada cengkaman Taib yang selama ini memperalatkan rakyat demi memperkayakan diri.

"Jangan orang lain berani bodohkan dan menjadikan rakyat kuli mereka," tegas Anwar.

Anwar turut isu kitab Injil versi Bahasa Malaysia (Alkitab) yang mencetuskan kemarahan rakyat beragama Kristian kerana setiap penyelesaian yang ditawarkan Umno berpandukan kepada mencari kelebihan politik semata-mata.

Katanya, sejak zaman kebangkitan Islam, penganut islam dan Kristian sering bertolak ansur demi menjaga keharmonian dengan mempercayai prinsip agama masing-masing sekaligus menolak perhambaan keatas umat manusia.

Anwar seterusnya berkata, sekiranya rakyat Sarawak memberikan mandat kepada Pakatan Rakyat untuk memerintah negeri itu pada pilihanraya negeri kali ini, maka
perubahan sistem dan dasar kesaksamaan akan dijulang sekaligus mengembalikan hak semua kaum.

"Dia kata kalau Anwar, Tok Guru Nik Aziz kalau perintah beri semua kepada Cina. Itu kempen dia (BN). Saya kata hak dia kita beri, saya tidak bimbang. Saya mahu jawab kalau kami perintah, Insyallah pada ketikanya, kami akan adil kepada Melayu, Cina, Iban dan India," ujarnya lagi.

Pilihanraya negeri Sarawak ke 10 kali ini dijangka sengit berikutan Pakatan Rakyat meletakkan calon pada hampir kesemua kerusi yang dipertandingkan.

Gagasan itu mensasarkan kemenangan sekurang-kurang 24 buah kerusi bagi menafikan majoriti dua pertiga BN.

Penduduk Iban luah perasaan marah di depan calon PAS

Apakah hukum mengundi?

OLEH : DR MUZZAKIR


Soalan : Apakah hukum mengundi?

Jawapan: Pada asalnya hukum mengundi adalah fardhu kifayah.

Soalan : Bolehkah mengundi dihukum sebagai wajib?

Jawapan: Bergantung kepada situasi dan keadaan,ia boleh menjadi fardhu ‘ain ataupun wajib sekiranya untuk mempertahankan kepimpinan Islam seperti di Sarawak sekarang ini yang berasaskan kepada konsep perkongsian kuasa yang tidak menyalahi syariat Islam.

Soalan : Bagaimanakah ciri-ciri pemimpin yang patut dipilih sebagai umat Islam?

Jawapan: Patuh kepada agama, amanah dan bertanggungjawab kepada rakyat dan bukan bersandarkan unsur-unsur fitnah dan tohmhan semata-mata. Perlu juga dipertimbangkan terhadap jasa, perjuangan, perngorbanan yang telah dilaksanakan oleh seseorang calon itu terhadap pembangunan Sarawak.

Soalan : Sekiranya terdapat beberapa orang calon muslim yang bertanding di sesuatu kawasan,di atas parti politik yang berbeza, bagaimanakah kaedah Islam untuk menentukan calon yang layak menjadi pemimpin, berdasarkan akhlak individu atau prinsip parti?

Jawapan: Pilihlah pemimpin yang cenderung kepada agama dan dapat memberi faedah kepada masyarakat, dan ukurlah juga sejauh mana sumbangan calon-calon tersebut terhadap pembangunan ummah. Berdasarkan realiti dan situasi politik di Sarawak dengan berpandukan perkongsian kuasa yang telah terbukti kejayaannya, maka pilihlah Parti yang kurang mendatangkan kemudharatan kepada umat Islam. Dan hindarilah mengundi calon parti mereka yang akan mendatangkan kemudharatan yang lebih besar terhadap pembangunan ummah dan memecah belahkan perpaduan masyarakat majmuk,khususnya di Sarawak.

Soalan : Sekiranya terdapat di kawasan kita calon-calon non muslim yang bertanding. Bagaimanakah untuk kita sebagai pengundi untuk memilih pemimpin?

Jawapan: Pilihlah calon non muslim yang lebih prihatin,bertanggungjawab dan lebih memberi manfaat kepada masyarakat Islam sebagaimana yang telah terbukti dalam memimpin negeri Sarawak selama ini yang berasaskan kepada perkongsian kuasa dan saling hormat-menghormati antara pelbagai kaum dan kepercayaan.

Soalan : Apakah kewajipan wakil rakyat(YB) muslim terhadap rakyat yang pelbagai agama dan kaum yang terletak di kawasan yang dimenanginya?

Jawapan: Islam menuntut agar keadilan dilaksanakan untuk semua tanpa pilih kasih, hatta terhadap mereka yang tidak menyokong(tidak mengundinya) sewaktu pilihan raya.Wujudkan keharmonian, saling hormat-menghormati dan maafkan semua orang yang menentang Soalan:Apa hukumnya menyebarkan fitnah terhadap seseorang calon bagi mempengaruhi pengundi atau memperdayakan mereka yang tidak mengetahui keadaan yang sebenarnya. Jawapan:Haram dan berdosa besar!

Bersambung.....

Hanya Bahasa Undi Akan Kejutkan Pemimpin BN

SHAH ALAM 12 APRIL : Rakyat Sarawak bernasib baik kerana masih ada pembangkang yang kuat sehingga pemimpin BN tidak boleh tidur lena.

“Insya Allah rakyat Sarawak akan ajar pemimpin yang angkuh pada 16 April ini, bahasa undi sahaja pemimpin BN boleh faham untuk mereka insaf tentang tanggungjawab mereka kepada rakyat,” kata ketua penerangan PAS, Idris Ahmad dalam satu kenyataan media.

Portal Malaysiakini melaporkan Idris sebagai berkata, hanya setelah ditolak rakyat baru pemimpin BN akan sudi turun meninjau kesempitan rakyat sedangkan sewaktu berkuasa mereka tidak pernah memikir keperluan rakyat.

Justeru, katanya, apa yang berlaku di Sarawak hari ini adalah sesuatu yang belum pernah berlaku dalam sejarah pilihan raya Sarawak. BN kini diberi tentangan hebat sejak pada hari penamaan calon pada 6 April lalu.

Menurutnya, menjadi kelaziman pada hari penamaan, calon BN akan menang beberapa kerusi tanpa bertanding, tetapi pilihan raya kali ini tidak berlaku seperti yang dijangkakan.

“Pemimpin BN daripada atas sampai ke peringkat bawah menabur berbagai janji untuk pengundi di Sarawak.

“Kemiskinan suatu yang dirancang supaya modal pembangunan sentiasa relevan untuk BN kepada pengundi,” katanya.

Justeru, kata Idris, peruntukkan jarang sekali sampai ke sasaran agar ia dapat dijadikan modal kempen sepanjang hayat untuk rakyat yang miskin.

“PAS merasa hairan kenapa Sarawak masih miskin dan ketinggalan dari sudut kemudahan jalan raya, air dan elektrik.

“Pada hal dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) diperuntukkan RM13 bilion untuk Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah untuk tempoh lima tahun.

“Daripada jumlah berkenaan sebanyak RM1.7 bilion adalah untuk pembinaan jalan luar bandar, RM1.7 bilion untuk bekalan elektrik, selain RM900 juta untuk bekalan air dan RM100 juta untuk Program Bantuan Rumah,” katanya.

Menurut Idris dalam pembentangan RMK-10, perdana menteri juga mengumumkan pembinaan 2,800 kilometer jalan berturap, liputan 95 peratus bekalan air dan memperluaskan kemudahan elektrik di kawasan luar bandar ke 76,000 buah rumah di Sarawak.

“Jika melihat kepada peruntukan yang diberikan kepada negeri Sarawak kita tidak akan bertemu di sana jalan raya, rumah, air yang begitu daif.

“Persoalannya kenapa jadi begini?

“Ke mana hasil bumi Sarawak sedangkan pemimpin BN Sarawak hidup mewah sedangkan rakyat merempat dan melarat,” soalnya.

Angin Perubahan Politik Sarawak Lebih Hebat Dari Tsunami 2008

KUCHING 12 April : Angin perubahan yang bertiup kencang di Sarawak dilihat lebih hebat daripada apa yang berlaku ketika tsunami politik pada Pilihan Raya Umum 2008.

Malah menurut Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul, perubahan landskap politik yang bakal berlaku di Bumi Kenyalang itu adalah 1,000 kali ganda daripada apa yang berlaku semasa PRU12.

"Saya lihat keadaan yang amat menakjubkan di Sarawak. Pendidikan politik kepada rakyat Sarawak yang dilakukan oleh Pakatan Rakyat benar-benar telah membawa hasil yang di luar jangkaan kita.

"Sama ada perubahan ini akan membawa kepada undi Pakatan Rakyat adalah soalan kedua tetapi apa yang lebih penting kesedaran politik rakyat Sarawak berada pada tahap yang tinggi," kata beliau ketika di temui TV Selangor.

Johari berkata "politik mee segera" dan curahan imbuhan kepada pengundi di negeri ini mungkin tidak lagi dapat membantu Barisan Nasional mengekalkan kuasa mereka apatah lagi kini sentimen anti-Taib amat jelas di seluruh pelusuk Sarawak.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat, Kapten Dr M.R. Summugam pula berkata, pengamatan beliau sejak 1994 mendapati penduduk Sarawwak kini sedar mereka sudah mempunyai parti alternatif yang mempunyai kapasiti, pengalaman serta kredibiliti untuk mentadbir negeri ini.

"Ini berdasarkan kepada pentadbiran negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat di Semenanjung yang menjadi model dan rangsangan kepada kebangkitan dan semangat baru untuk membuat perubahan," kata Dr Summugam.

Kata beliau perubahan pemikiran politik rakyat Sarawak adalah satu hukum alam yang pasti berlaku apabila masyarakat tidak lagi boleh menerima kezaliman dan penindasan yang dilakukan oleh BN terhadap mereka sejak 50 tahun lalu.

Awas ustaz dan ustazah Umno kaki tipu

Aziz Muda   


KUALA LUMPUR, 11 April:
 Sepasang suami isteri yang bergelar ustaz dan ustazah dan dari kalangan aktivis Pergerakan Pemuda dan Puteri Umno Kelantan, telah dikenal pasti sebagai kaki tipu, dengan menjalankan kegiatannya menerusi internet bagi memperdayakan orang ramai. 

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar berhati-hati dengan mereka agar tidak turut menjadi mangsanya, memandangkan mereka mempunyai pelbagai cara untuk memperdayakan orang ramai dengan memperalatkan ilmu yang dimilikinya dalam agama. 

Seorang pemuda, Ikwan Ariffin, 25, yang tinggal di Dungun, Terengganu ketika mendedahkan perkara itu berkata, tanpa diduga, beliau sendiri telah menjadi mangsa mereka sehingga menyebabkan beliau kehilangan wang RM7,000 sejak Oktober 2010 lalu. 

Menurut beliau, ustaz dan ustazah tersebut mempunyai laman web tersendiri dan beliau mengenalinya sejak tahun 2005 lalu menerusi online.  

Katanya, sejak tahun 2009, ustaz dan ustazah tersebut yang ketika itu sedang menuntut di universiti Al-Azhar di Mesir dalam jurusan Usuluddin dan Pengajian Islam mulai aktif menyampaikan ceramah agama menerusi laman webnya. 

"Selain menyampaikan ceramah, ustaz dan ustazah auta kaki tipu itu juga turut mengadakan sesi kaunseling kepada pelayar-pelayar internet menerusi websitenya. Ceramah agama yang disampaikan oleh mereka memang bagus dan menarik. Begitu juga dengan kaunselingnya," katanya ketika menghubungi Harakahdaily, hari ini.

Penipuan licik yang dilakukan oleh pasangan suami isteri berusia 35 tahun itu terhadap beliau bermula pada 25 Oktober 2010, apabila ustaz dan ustazah itu merayu kepadanya untuk meminjam wang sebanyak RM7,000 untuk membantunya membeli tiket kapal terbang pulang dari Mesir ke tanah air. 

"Kerana telah mengenali dan percaya kepada mereka, tanpa teragak-agak, saya telah meminjamkan wang saya sebanyak itu kepadanya secara berperingkat-peringkat.  

"Wang itu saya hantar dengan mengadakan transaksi Maybank2u. Kali pertama pada 27 Oktober 2010 sebanyak RM1,000. Kali kedua pada 29 Oktober 2010 sebanyak RM2,000. Kali ketiga pada 31 Oktober 2010 sebanyak RM4,000," jelasnya. 

Ikwan yang mengaku dirinya berada 'atas pagar' dalam politik menjelaskan, pasangan suami isteri itu pulang ke tanah air pada 8 November 2010 dan beliau sendiri yang mengambil mereka di Kuala Lumpur International Airport (KLIA) untuk bermalam di rumahnya di Dungun.     

Seminggu kemudian, pasangan tersebut meminta beliau menghantar mereka ke Pulau Pinang dan selepas itu hubungan pasangan itu dengannya terus terputus. 

"Dalam jangka masa sebulan setelah mereka ke Pulau Pinang, saya berusaha menghubungi mereka sehingga beratus kali menerusi telefon tapi panggilan saya tak pernah dijawab oleh mereka. Dengan itu, tahulah saya, mereka sememangnya mahu melarikan diri daripada saya," katanya.

Beliau berjaya mengesani pasangan tersebut enam bulan kemudian, apabila mereka memasukkan alamat mereka di dalam website mereka, sebaik beliau membuka website pasangan itu pada 29 Mac 2011 lalu.

Menerusi laman web (website) pasangan itu, beliau mendapati mereka kini bukan sekadar menyampaikan ceramah agama dan memberikan perkhidmatan kaunseling menerusi internet, tetapi turut mempergunakan websitenya untuk menjalankan perniagaan lain pula iaitu berniaga minyak wangi, pelbagai ubat kecantikan dan baju dari Mesir.   

"Alamat yang dicatatkan itu memang lengkap. Berdasarkan alamat yang dicatatkan oleh mereka pada website mereka itu, mereka kini tinggal di Kota Bharu," katanya. 

Sebaik mengetahui alamat mereka, Ikhwan menjelaskan, beliau dengan ditemani dua orang rakan terus pergi ke Kota Bharu untuk menemui pasangan tersebut bagi mendapatkan kembali wang beliau yang dipinjamkan kepada mereka. 

"Saya tiba di rumah mereka sekitar jam 6.30 pagi 30 Mac lalu. Ketika itu, ustaz itu berpakaian jubah dan berkopiah dan baru pulang dari mengajar agama di suatu tempat di Kota Bharu. 

"Amat sedih, isterinya yang sememangnya sudah tahu yang suaminya berhutang dengan saya sebanyak itu berpura-pura tidak tahu. Sebaliknya, isterinya meminta surat hitam putih pula daripada saya sebagai bukti meminjamkan wang kepada mereka," katanya. 

Setelah didesak, ustaz tersebut turut berjanji dengannya untuk membayar hutangnya pada hari itu juga dan meminta beliau datang semula ke rumahnya pada sebelah petang sekitar jam 6.30 petang hari yang sama. 

"Amat malang bagi saya, sebaik tiba di rumah mereka jam 6.30 petang 30 Mac 2011, bukan wang saya yang dipinjamkan oleh mereka itu yang dikembalikan semula kepada saya, tetapi saya disambut dengan maki hamun oleh isteri ustaz itu yang dikenali sebagai ustazah. 

"Hasil dari penyelidikan saya, ternyata, pasangan itu adalah orang kuat Umno. Saya juga mendapat tahu, rumah yang diduduki oleh pasangan itu juga adalah kepunyaan Umno. 

"Untuk mendapatkan balik wang saya itu, saya turut berusaha mengesani tempat tinggal ibu bapa mereka. Setelah berjaya memperolehi alamat ibu bapanya yang juga di Kota Bharu, saya terus menemui emak kepada ustaz tersebut lalu menceritakan tentang perbuatan terkutuknya itu kepada saya kepada emaknya. 

"Emaknya sendiri amat kesal dengan tindakan tidak bertanggungjawab anak dan menantunya itu lalu mengakui bahawa pasangan itu sememangnya bermasalah," tegasnya.

Ekoran itu, beliau telah mengambil keputusan membuat laporan polis mengenai penipuan pasangan tersebut di Balai Polis Pengkalan Chepa, Kelantan, jam 3.00 petang, 31 Mac 2011 lalu.(gambar salinan laporan polis)

Ikhwan yang berkerja sebagai peniaga dan belum mendirikan rumah tangga menjelaskan, maklumat terkini yang dikumpulkannya, pasangan tersebut sehingga kini telah menipu ratusan orang. 

"Selain menipu dengan cara meminjam wang, mereka juga menipu dengan menjual e-book Penghapus Saka kepada orang ramai dengan mengakui e-book itu kepunyaan mereka. Padahal e-book itu sebenarnya bukanlah kepunyaan mereka. Sebaliknya kepunyaan rakan saya sendiri. 

Penipuan lain pula yang dilakukannya, mereka juga turut membuat satu website lain yang menjalankan usaha tarik duit. Website tarik duit itu dibuka oleh ustaz itu pada tahun 2007 lalu dan cukup aktif sekitar tahun 2008. 

"Menerusi website itu, ustaz tersebut melakukan penipuan dengan menjual ibu duit kepada orang ramai untuk digunakan dalam usaha menarik duit oleh mereka yang melakukan pekerjaan itu," ujar beliau.

Muhyiddin Minta Guru di Sarawak Pangkah BN

SIBU 11 APRIL : Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta 'jasa baik' guru di Sarawak supaya menyokong BN dalam pilihan raya negeri itu pada 16 April depan.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran menggesa mereka membantu BN menang besar, dengan memangkah calon-calonnya dalam pilihan raya negeri Sabtu depan.

“Saya menggesa semua pihak membantu memastikan BN menang besar di Sarawak. Sila pangkah X bersebelahan petak BN (diatas kertas undi), Muhyiddin dipetik berkata oleh Malaysiakini.

"Pembangkang akan berkata kita berkempen menerusi guru tetapi ini hanya peringatan secara lembut namun peringatan yang penting,” tambah Muhyiddin.

Muhyiddn yang juga Timbalan Pengerusi BN berucap kepada kira-kira 400 guru yang mengikuti satu program untuk pendidik di Sibu petang tadi.

Sambil mengkritik kempen Pakatan Rakyat untuk membawa perubahan, Muhyiddin berkata, rancangan pembangunan BN mungkin terjejas jika berlaku perubahan tersebut.

Menurutnya, rancangan pembangunan akan terjejas jika berlaku gangguan atau perubahan mengikut cara pembangkang.

Bagaimanapun Muhyiddin tidak menjelaskan kenapa segala rancangan BN itu gagal mengatasi masalah kemiskinan tegar di Sarawak. Negeri yang kaya dengan hasil minyak dan balak itu adalah keempat paling miskin di Malaysia.

Kemenangan Adalah Milik Allah

Kemenangan adalah milik Allah. Jika Dia belum mahu memberikannya kepada kita, maka kita takkan pernah memperolehnya. Kita selalu tertipu. Merasakan bahawa kemenangan itu milik kita, hak kita, bahawa dengan segala amal dan usaha yang kita lakukan, kita pasti menang. Sehinggakan kita terkeliru, tersilau mata. Memfokuskan kepada kemenangan, bukan pada amal dakwah yang berterusan.

Kita harus memahami realiti dakwah. Ia bersifat Robbani. Kita menyeru manusia kepada Allah, menegakkan hukum-hukum Allah. Dakwah ini bukan milik kita, ia adalah amanah. Amanah yang wajib kita sandarkan kepada-Nya. Apabila Dia menentukan bahawa sudah tiba masanya kita menang, maka pasti tidak ada yang dapat menghalang. Jika masih belum nampak bibit-bibit kemenangan, kita harus terus beramal dan berjihad tanpa sedikitpun meragui akan kehendak Allah.

Maka kemenangan, adalah sebuah anugerah Allah. Apabila Allah memberikannya kepada kita, itu bererti sudah selayaknya kita memperolehnya. Jika belum, ertinya kita belum layak memperolehnya. Boleh jadi kesediaan kita belum cukup untuk menggalas segala amanah-amanah pasca kemenangan tersebut. Maka masa, bukanlah sebuah indikator sesebuah kemenangan. Sekalipun sebuah perjuangan itu memakan masa puluhan tahun, bahkan ratusan tahun, belum menjadi penguat bahawa kita harus menang kerana ia adalah sebuah ketentuan Allah!

Kita tahu bahawa kita bukan pemula sebuah perjuangan menegakkan agama Allah. Kita adalah penerus kepada tali-tali rantainya. Dan hujungnya belum tentu kita. Kita mungkin akan bisa merasa kemenangan tersebut, atau kita mungkin mati sebelum tertegak agama ini di seluruh pelusuk bumi. Apa yang paling penting, kita mengambil posisi penerus dakwah yang tidak kenal henti berjuang dan tidak menggantungkan usaha kepada hasil.

Taujih Robbani itu selalu menyeru kita agar ikhlas dalam perjuangan. Tidak merasa besar dengan amal kita, tidak menggantungkan kekuatan pada jumlah kita. Lihat sahaja dalam kisah perang Hunain ketika Umat Islam itu ramai, namun Allah memberikan pelajaran dengan menangguhkan kemenangan untuk Umat Islam. Firman Allah:

"Sesungguhnya Allah telah menolong kamu (hai para mukminin) di medan peperangan yang banyak, dan (ingatlah) peperangan Hunain, iaitu diwaktu kamu menjadi bongkak karana banyaknya jumlah (mu), maka jumlah yang banyak itu tidak memberi manfaat kepadamu sedikitpun, dan bumi yang luas itu telah terasa sempit olehmu, kemudian kamu lari ke belakang dengan bercerai-berai." [At-Taubah: 25]

Sudah tiba masanya kita tidak bermain-main dalam melaksanakan dakwah kerana Allah. Ketika Allah memilih kita untuk diberikan nikmat besar ini, janganlah kita mengabaikan dan menolaknya lalu menjadikannya sebagai tugas sampingan. Takut-takut apabila sampai masa kemenangan, kita tidak berada bersama-sama dalam angkatan yang memperjuangkannya.

Bersyukurlah, apabila Allah terus memberikan kesempatan dan ruang untuk kita beramal. Jangan dirisaukan akan kemenangan dan jangan dijadikan ia pelemah kepada amal, kerana KEMENANGAN ADALAH MILIK ALLAH!

"Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan, dan kamu lihat manusia masuk agama Allah dengan berbondong-bondong. Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima taubat". [An-Nasr: 1-3]

Kemenangan besar yang kita semua inginkan adalah kita mati dalam keadaan Allah meredhai kita, bahkan lebih istimewa kita gugur ketika sedang melaksanakan tugas-tugas dakwah.

BN dalam bahaya? Najib berkampung di Sarawak

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijadualkan ke sarawak sekali lagi malam ini dan akan 'berkampung' di bumi Kenyalang itu sehingga sehari sebelum pilihan raya negeri Sarawak ke-10 berlangsung.

NONESebaik sahaja jadual Najib yang juga adalah pengerusi BN disahkan, timbul spekulasi bahawa kemungkin Sarawak akan menyaksikan beberapa kerusi di kubu kuatnya tumbang.

Najib mungkin menjadi perdana menteri pertama yang berkempen sebegitu aktif. Lazimnya, tugas itu diserahkan kepada timbalan perdana menteri manakala perdana menteri sibuk dengan urusan mentadbir negara di Putrajaya.

Sejak mengambil alih tampuk pemerintahan negara pada April 2009, Najib hanya memainkan peranan kecil dalam pilihan raya kecil dan tindakannya kali ini dikata mengejutkan banyak pihak.

NONELebih menarik lagi, tahun ini sahaja sudah dua kali beliau melawat Sarawak. Kali pertama pada 19 Mac lalu pada perhimpunan di Serian dan pada 7 April lalu beliau berjalan sekitar bandaraya di Kuching untuk bermesra dengan penduduknya.
Anwar juga di Kuching
Kali ini, tumpuan Najib adalah di bandar-bandar utama – Miri, Sibu dan Kuching – yang sejak beberapa hari lalu menyaksikan ribuan rakyat tertarik kepada ceramah yang dianjurkan oleh Pakatan rakyat.
Kerusi-kerusi di kawasan bandar-bandar utama itu dikatakan sebagai kawasan gelap di mana parti komponen BN, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) menghadapi persaingan sengit.

NONENajib juga dijadual melawan pekan-pekan kecil seperti Sri Aman, Lubok Antu, Betong, Engkilili, Sebuyau, Sadong Jaya, Bau, Bario, Sungai Baram, Lawas dan Limbang.

Sekilas pandang, perdana menteri dilihat cuba meninjau sokongan etnik-etnik berkenaan di kawasan luar bandar yang sebelum dikatakan sebagai 'simpanan tetap' BN.

Dan seperti pada beberapa pilihan raya kecil yang lalu, lawatan Najib tidak akan lengkap tanpa membawa 'ole-ole' untuk rakyat Sarawak.
Esok, Najib akan melawat Hospital Sri Aman yang dibina sebelum Sarawak mencapai kemerdekaan. Bangunan itu kini uzur dan memerlukan bantuan kewangan untuk dibaik-pulih.

Pada Khamis pula, beliau akan ke Sungai Baram, kawasan pembinaan empangan Bakun yang kontroversial dan dijadual melancarkan 'klinik terapung 1Malaysia'.

Najib juga akan menghadiri dua perhimpunan di Kuching pada malam ini dan esok dan dijangka membuat beberapa pengumuman penting bagi menarik undi di kalangan mereka yang tidak berpuas hati dengan BN.

Hari ini juga menyaksikan ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus menggempur Sarawak dan fokusnya kali ini adalah di Kuching dan kawasan sekitarnya.

Anwar, dijadualkan berceramah di Asajaya, Kuching, Kampung Samariang dan Petrajaya. 

Rakyat Sarawak Semakin Bangkit, Lebih 50,000 Hadir Ceramah PR



BINTULU 10 April : Lebih 50,000 rakyat Sarawak hari ini menyatakan sokongan luar biasa apabila hadir dalam program ceramah Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini malam ini.

Kesesakan lalu lintas luar biasa berlaku sejauh 20 KM.

Kebangkitan luar biasa rakyat Sarawak mutakhir ini mencerminkan ketidakpuashati mereka terhadap pemerintahan regim Tan Sri Taib Mahmud yang terpalit dengan pelbagai skandal dan menyebabkan Sarawak ketinggalan antara negeri termiskin walaupun mempunyai khazanah dan kekayaan yang melimpah ruah.

Tarikh pilihanraya umum Sarawak ke-10 ialah pada 16 April, Sabtu ini yang akan menjadi penentu masa hadapan Sarawak.

Pengundi Melayu Sarawak Mula Bangkit Tolak BN

KUCHING 10 APRIL : Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pengundi yang sekian lama menjadi “deposit tetap’ Tan Sri Abdul Taib Mahmud kini bangkit menolak kepimpinan Ketua Menteri Sarawak itu yang terpalit dengan tuduhan rasuah.

Berucap kepada pengundi di Kampung Empila, Samrahan Asajaya, Anwar berkata BN menyerang manifesto Pakatan Rakyat hanya kerana mahu mengalih perhatian penduduk negeri ini daripada isu k rampasan tanah adat dan hutan balak oleh pemimpin-pemimpin BN.

Beliau menegaskan BN cuba mengkritik manifesto Pakatan Rakyat tetapi pada masa yang sama ingin menutup segala salah guna kuasa dan penyelewengan kerajaan negeri di bawah pimpanan Taib Mahmud sejak 30 tahun lalu.

"BN sekarang sudah goyang di Sarawak. Banyak isu tanah dan balak dia tidak boleh jawab. Dia tidak boleh jawab mengapa tanah rakyat dirampas dan balak hilang dan mengapa hanya pemimpin BN sahaja yang kaya raya tetapi rakyat miskin,” kata Anwar.

"Selama ini mereka fikir rakyat bodoh dan hina, tetapi mereka lupa rakyat juga mempunyai maruah, harga diri serta budi pekerti dan kuasa untuk menumbangkan mereka dalam pilihan raya ini," tegas Anwar.

Anwar berkata Taib 'tidak lena tidur' kerana bahang kebangkitan rakyat seluruh Sarawak mulai di rasai oleh beliau dan BN.

Beliau menasihatkan pengundi Melayu khususnya jangan menjual harga dam maruah diri hanya kerana menerima sogokan RM50 daripada BN untuk mengundi parti itu pada 16 April ini.

Anwar turut menyeru pengundi muda supaya mengembeling tenaga menyampaikan maklumat kepada ibu bapa serta sahabat handai mengenai prinsip Pakatan Rakyat melalui jaringan sosial seperti Facebook, Twitter, emel serta SMS.

Lagu Lama BN Di Sarawak Makin Sumbang Pada Telinga Pengundi

SHAH ALAM 10 APRIL : “Apa yang pembangkang boleh buat? Mereka hanya bercakap tetapi hanya kita boleh lakukan,” itulah lebih kurang tema yang dibawa oleh Ketua Menteri Taib Mahmud dan pemimpin BN yang lain ke seluruh pelosok Sarawak untuk pilihanraya negeri ke- 10.

Namun masa sudah berubah, slogan seumpama itu menjadi usang kali ini kerana BN Sarawak berdepan dengan Pakatan Rakyat yang mentadbir dua daripada negeri paling maju di Malaysia - Selangor dan Pulau Pinang.

Dan biar apapun yang cuba digambarkan oleh media arus perdana, hakikatnya ialah, pembangkang kali ini mempunyai rekod cemerlang mentadbir Selangor dan Pulau Pinang sebagai tonggak ekonomi negara di samping melaksanakan program-program membela golongan terpinggir.

Oleh kerana itu, mesej yang cuba dibawa sekali lagi oleh Taib dan BN bahawa pembangkang kononnya tidak layak menguruskan Sarawak agak hambar dan menerima sambutan dingin kali ini.

Kehadiran Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di Kuching, Sibu dan kawasan bandar lain serta di rumah-rumah panjang adalah untuk membawa mesej yang tegas dan lantang bahawa Pakatan Rakyat mempunyai kebolehan dan kewibawaan untuk mentadbir secara telus dan dinamis.

Sejak penamaan calon Rabu lalu, Taib dan menteri-menterinya cuba meyakinkan pengundi bahawa masa depan mereka terletak dengan BN dan Pakatan tidak lebih daripada sebuah entiti pembangkang yang hanya boleh “membuat bising.”

Namun Parti Keadilan Rakyat, DAP dan PAS tidak datang ke Sarawak kali ini dengan tangan kosong tetapi berbekalkan segala data (termasuk video) untuk membuktikan mereka adalah gabungan yang boleh mengotakan janji atau “walk the talk.”

Walaupun menghadapi pelbagai kekangan dari Putrajaya, kerajaan negeri Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan masing-masing mempunyai rekod yang membanggakan sama ada dari segi menarik pelaburan, mewujudkan peluang pekerjaan, mengekang rasuah mahupun melaksanakan program-program sosio-ekonomi.

Agak terlalu awal untuk merumuskan sama ada mesej dan bukti-bukti yang dibawa oleh Pakatan Rakyat bersabit Selangor dan Pulau Pinang khususnya, akan diterjemahkan dalam undi untuk gagasan itu seminggu dari sekarang.

Namun apa yang nyata, ialah rakyat Sarawak, baik di bandar dan pedalaman semakin terbuka untuk mendengar mesej yang dibawa oleh Pakatan kali ini.

Penghuni rumah panjang tidak lagi menutup pintu kepada pemimpin-pemimpin parti pembangkang.

Di Kuching dan Sibu, ribuan rakyat hadir pada ceramah-ceramah secara sukarela, tanpa disogok dengan wang atau pun makan percuma.

Keadaan sebegitu mewujudkan persekitaran yang memberi ruang kepada Pakatan Rakyat menyampaikan mesej bahawa gagasan itu menerusi pimpinan Baru Bian bersedia menawarkan masa depan yang baru kepada rakyat Sarawak.

Janji manifesto BN untuk menjadikan Sarawak negeri paling kaya di Malaysia mendapat sambutan suram di kalangan rakyat yang sudahpun mengecapi pemerintahan Abdul Taib Mahmud untuk 30 tahun.

Persoalan asas mereka ialah kenapa sampai sekarang Sarawak yang kaya dengan balak dan minyak serta hasil asli lain boleh tercorot menjadi negeri keempat termiskin di Malaysia.

Kenapa ratusan ribu rakyat Sarawak masih tidak ada akses kepada sekolah, jalanraya, elektrik dan air manakala pemimpin-pemimpin yang mereka dokong selama ini hidup di rumah bak mahligai bermandi kekayaan.

Sekali imbas, sentimen “anti establishment” di kalangan pengundi Sarawak mirip dengan “mood’ pengundi di Semenanjung pada pilihanraya umum 2008.

Namun Pakatan Rakyat tentunya akan membuat kesilapan besar jika beranggapan mereka akan mendapat laluan mudah untuk menduduki tampuk pemerintahan Sarawak.

Mereka berdepan dengan Taib Mahmud seorang seteru politik yang cukup berpengalaman dan terdsak atau “desperate” untuk mengekalkan kelangsungan politiknya.

Pakatan Rakyat bukan sahaja berdepan dengan kekuatan BN di peringkat negeri tetapi juga BN pusat yang memerlukan kemenangan mutlak di Sarawak untuk meyakinkan semua bahawa rakyat menerima pimpinan Datuk Seri Najib Razak.

Pada hari-hari mendatang, pengundi Sarawak boleh mengharapkan lebih banyak janji-janji wang untuk kawasan masing-masing. Masalah yang bertahun-tahun bertimbun seperti hakmilik tanah akan diselesaikan dalam sekelip mata.

Namun yang lebih penting ialah pengundi mendengar jelas mesej yang dibawa oleh BN dan Pakatan Rakyat.

Satu adalah mesej dari parti pemerintah yang sekali lagi menjanjikan masa depan begitu cerah di bawah langit biru Barisan Nasional.

Satu lagi, cabaran supaya rakyat Sarawak bangkit menuntut perubahan dan pembebasan dari pemerintahan rakus dan berasuah.

Suruhanjaya Siasatan DiRaja Mahu Diperalatkan Lagi?

SHAH ALAM 9 APRIL : Ketika anggota keluarga dan seluruh negara berkabung di atas kematian Penolong Pengarah Kastam Ahmad Sarbani Mohamed di bangunan pejabat SPRM, Jemaah Menteri mahu menubuhkan sebuah Suruhanjaya DiRaja untuk menyiasat sama ada wujudnya unsur zina dalam video seks fitnah Anwar Ibrahim.

Dalam keghairahan Umno untuk “mengenakan” Anwar, Jemaah Menteri , seperti yang dijangka, mengelak daripada memberikan pembelaan tegas kepada keluarga Sarbani.

Keputusan muktamad mesyuarat Jemaah Menteri semalam adalah: RCI untuk Anwar (jika siasatan polis tidak “meyakinkan”) dan “kemungkinan” siasatan inkues diadakan untuk Allahyarham Sarbani.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nazri Aziz dikenali sebagai seorang yang tidak pernah ambil peduli reaksi rakyat terhadap kenyataan-kenyataannya selagi beliau kekal memegang jawatan berstatus Menteri.

Justeru, sekalipun seluruh rakyat berkumpul di luar Parlimen membantah penubuhan RCI untuk menyiasat fitnah video lucah Anwar, ia tidak memberi sebarang kesan kepada Nazri mahupun Jemaah Menteri.

Bagi Nazri, tidak ada keperluan menjelaskan kepada rakyat kenapa kes Altantuya tidak ada RCI. Begitu juga dalam kes Sarbani.

Nazri dan Perdana Menteri Najib Razak perlu menjawab kepada keluarga Sarbani kenapa Jemaah Menteri menganggap kematian Allahyarham “tidak sama” dengan kematian Teoh Beng Hock walhal kedua-dua mereka adalah saksi penting yang mati dalam perkarangan pejabat SPRM.

Yang jelas, kes Sarbani menerima reaksi yang begitu hambar daripada Najib dan Jemaah Menteri sendiri kerana fokus mereka adalah sebuah video lucah yang dipergunakan untuk mengaib musuh politik utama Umno-BN iaitu Anwar.

Ramai pihak menggeleng kepala dengan persoalan sama - Kenapa video lucah memerlukan penubuhan RCI manakala kematian seorang pegawai kastam dibiarkan “mengikut prosedur undang-undang yang ada”.

Oh ya, kerana Anwar mungkin jadi PM, kata Nazri dan juak-juak Umno.

Mungkin Anwar akan jadi PM……Hakikat adalah Najib SUDAH pun menjadi PM sementara kematian Altantuya dan pembayaran komisyen untuk kapal selam masih belum terjawab.

Hakikat juga adalah satu lagi nyawa sudah diragut di pejabat SPRM dalam keadaan mencurigakan.

Ucapan takziah untuk keluarga Allahyarham Sarbani diiringi dengan persoalan di mana letaknya keutamaan Jemaah Menteri dalam memberi pembelaan kepada rakyat.

Namun, semua pertanyaan ini tidak akan memberi kesan kepada Umno dan BN.

Kematian seorang pegawai kanan Kastam tidak akan mengalih Umno daripada misi mengaibkan Anwar Ibrahim sebaik mungkin.

Nazri berkata jika “rakyat” tidak puas hati dengan hasil siasatan polis terhadap isu video lucah itu, maka RCI akan ditubuhkan untuk menyiasat siapa pelakunya dan sama ada unsur zina berlaku.

Bagi mereka yang arif dengan simpang siur Umno, kenyataan Nazri itu dilihat sebagai satu ugutan halus untuk polis memastikan siasatan mereka mendapati Anwar adalah pelaku yang melanggan khidmat pelacur dalam rakaman itu.

Sebarang hasil siasatan polis yang tidak merumuskan sedemikian akan mengundang limpahan memorandum daripada Perkasa, GAPS dan badan-badan yang kononnya mewakili rakyat, menuntut di tubuhkan RCI.

Inilah “rakyat” jati yang dimaksudkan oleh Nazri dan suara mereka menjadi pedoman kepada beliau dan Jemaah Menteri pimpinan Najib.

Persoalannya kenapa badan-badan ini dan Nazri begitu gah membawakan isu RCI KETIKA polis masih menjalankan siasatan?

Kenapa tidak tunggu sehingga siasatan polis selesai dan biar polis sendiri mempamerkan ketelusan siasatan bersabit video lucah itu sebelum langkah susulan dipertimbangkan?

Jawapannya adalah terikat kepada keinginan dan keghairahan Umno untuk mengaibkan Anwar seberapa lama yang boleh.

Tidak puas hati dengan kenyataan Ketua Polis Negara Ismail Omar yang sekadar mengesahkan video itu tulen namun pelakunya belum dikenalpasti , Umno mengatur langkah mempersiapkan sebuah Suruhanjaya di Raja pula untuk memastikan Anwar terus diaibkan.

Malah Nazri sudah pun mengumumkan bahawa antara terma rujukan RCI itu adalah untuk memastikan sama ada berlaku jenayah zina oleh pelaku dalam rakaman itu! Nampaknya semua sudah pun ditentukan. Hanya anggota panel RCI sahaja belum didedahkan.

Umno sengaja lupa bahawa Anwar sendiri membuat laporan polis untuk membolehkan siasatan terhadap video fitnah itu dijalankan selepas menolak beliau kononnya adalah pelaku dalam rakaman itu.

Anwar dan pejabat Parti Keadilan Rakyat turut mengemukakan bukti-bukti berkaitan untuk mensabitkan video itu adalah fitnah semata-mata oleh dalang yang disokong pimpinan tertinggi Umno .

Namun Tan Sri Rahim Thamby Chik, Sharzyl Eskay dan Shuib Lazim yang mengaku menayangkan video kepada media masih bebas.

Hubungan mereka dengan Umno adalah amat jelas, malah mereka dilaporkan berjumpa dengan Perdana Menteri Najib Razak pada 22 Mac, sehari selepas video berkenaan disebarkan dan identiti mereka terbongkar.

Haruskah rakyat percaya bahawa Najib dan Kabinetnya, termasuk Nazri bertindak atas kepentingan nasional semata-mata dalam mengusulkan penubuhan RCI bersabit sebuah video lucah.

Bagaimana pula dengan keperluan untuk memberi pembelaan setimpal kepada Allahyarham Sarbani dan mendiang Altantuya?.

Dalam dunia politik matlamat menghalalkan cara, lebih-lebih lagi apabila kelangsungan Umno bergantung kepada agenda memusnahkan Anwar Ibrahim baik dari segi politik mahupun maruahnya sebagai seorang insan.

Kenyataan PM Tidak Masuk Akal

SHAH ALAM 8 APRIL : Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad menyifatkan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa Allahyarham Ahmad Sarbani datang ke Pejabat Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) secara sukarela sebagai tidak masuk akal.

Nik Nazmi melalui kenyataan medianya berkata, ini kerana beliau telah ditahan dalam Ops 3B 1 April lalu dan dibebaskan dengan ikat jamin pada 2 April, dan tiada sebab mengapa Ahmad Sarbani perlu ke SPRM sekiranya tidak dipanggil oleh SPRM?

Jelas Nik Nazmi, kenyataan Najib dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz bahawa Ops 3B akan diteruskan dalam ketegasan kerajaan melawan aktiviti rasuah juga amat menyedihkan lebih-lebih lagi perkara yang melibatkan pimpinan politik Umno-Barisan Nasional.

“Ini bukan kali pertama kerajaan BN lebih tegas bertindak terhadap penjawat awam berbanding pemimpin mereka sendiri,” tegasnya.

“Najib dan Nazri juga mengambil kesempatan meneruskan desakan penubuhan Suruhanjaya DiRaja dalam isu video Dato’ T. Malang sekali pemimpin BN nampaknya lebih mahu bermain politik dan bukannya menjawab persoalan yang bermain di minda ramai penjawat awam dan rakyat umum yang cintakan keadilan dan kebenaran,” ujar beliau.

Menurut Nik Nazmi, kesemua 62 pegawai Kastam yang ditahan dan disiasat berhubung kes rasuah dan penyelewengan badan tersebut juga didakwa menjadi kambing hitam dalam Operasi 3B yang dilaksanakan SPRM.

"Beberapa hari yang lalu saya mendapat maklumat bahawa pegawai-pegawai Kastam ini merasakan diri mereka menjadi kambing hitam dalam Operasi 3B yang dilaksanakan oleh SPRM untuk menyiasat rasuah dan penyelewengan Kastam," katanya.

Timbalan Pengarah Kastam Selangor, Ahmad Salbani Mohamed, 56 disiasat SPRM di bawah Operasi 3B sejak awal minggu lalu ditemui mati di tingkat satu pejabat SPRM Wilayah Persekutuan di Jalan Cochrane, Kuala Lumpur, pagi kelmarin.

Menurut pengarah Penyiasatan SPRM Datuk Mustafar Ali, Ahmad Salbani dikatakan naik ke tingkat tiga bangunan SPRM di Jalan Cochrane untuk disoal siasat sebelum di jumpai mati diaras bawah bangunan itu , kira- kira jam 10.15 pagi.

Awal minggu ini, SPRM menahan lebih enam puluh pegawai Kastam dan merampas sejumlah wang bersabit siasatan rasuah di bawah beberapa akta termasuk Akta Pengubahan Wang Haram.

Tragedi berlaku ketika sebuah Suruhanjaya Diraja sedang menyiasat prosedur operasi SPRM susulan kematian bekas pembantu Exco Kerajaan Selangor Teoh Beng Hock, yang mati pada Julai 2009.

Teoh, 30, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Polis pada mulanya mengklasifikasikan kes itu sebagai kematian mengejut, namun satu badan siasatan diwujudkan bagi menyiasat punca kematian Teoh.

Selepas 17 bulan dibicarakan mahkamah menetapkan tiada keputusan dicapai yang mana tidak dapat dipastikan sama ada Teoh membunuh diri atau dibunuh.

Ekoran keputusan itu, pentadbiran Datuk Seri Najib Razak mewujudkan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat punca kematian Teoh.

Nik Nazmi yang juga Adun Seri Setia menegaskan satu Suruhanjaya Siasatan Di Raja harus ditubuhkan bagi mensyiasat kematian Allahyarham Sarbani dengan segera serta melibatkan masyarakat sivil sekali gus menyiasat struktur dan organisasi SPRM dalam kes ini.

Pada masa yang sama, Nik Nazmi berharap Kongres Kesatuan Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) bertindak tegas dalam memperjuangkan kebajikan penjawat awam yang disiasat SPRM yang seolah-olah bersalah sebelum diputuskan oleh mahkamah.

Tambah Nik Nazmi, beliau juga berharap Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP) yang ditubuhkan dapat menyiasat kejadian tersebut bagi memulihkan keyakinan penjawat awam dan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan di negara ini.