Mohamad Sabu, Salahudin, Husam, Mahfuz menang

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 4 Jun: Mohamad Sabu menang untuk jawatan Timbalan Presiden PAS menewaskan penyandang asalnya Nasharudin Mat Isa dan seorang lagi calon Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Mohamad mendapat 420 undi berbanding Tuan Ibrahim 399 dan Nasha 224 daripada jumlah keseluruhan 1045 undi.

Manakala untuk jawatan Naib Presiden pula dimenangi Salahudin Ayub, Datuk Husam Musa dan Datuk Mahfuz Omar.

Ketiga-tiga mereka mendapat undi paling tinggi menewaskan tiga lagi calon iaitu Ust Idris Ahmad, Datuk Mohd Amar Abdullah dan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin.

Salahudin mendapat 753 undi, Husam (660), Mahfuz (616), Idris (491), Nik Amar (321) dan Nizar (217).

Keputusan rasmi itu dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS 2011-2013, Datuk Abdul Halim Abd Rahman kira-kira jam 10.15 pagi tadi.

Berikut adalah senarai Ahli Jawatankuasa PAS Pusat sesi 2011-2013:

1) Mazlan Aliman (804)
2) Dr Mohd Hatta Md Ramli (765)
3) Datuk Kamarudin Jaafar (739)
4) Hanipa Maidin (735)
5) Datuk Seri Azizan Abdul Razak (721)
6) Dr Zulkefly Ahmad (702)
7) Dr Mujahid Yusof Rawa (651)
8) Khalid Samad (643)
9) Abdul Ghani shamsuddin (579)
10) Amiruddin Hamzah (576)
11) Abdul Wahid Endut (556)
12) Abu Bakar Chik (527)
13) Datuk Mohd Amar Abdullah (470)
14) Dr Siti Mariah Mahmud (445)
15) Datuk Mahfodz Mohamed (449)
16) Datuk Hassan Ali (437)
17) Abdul Ghani Abd Rahman (430)
18) Nuridah Salleh (416)

Umno Pujuk Nik Aziz, Tawar 3 Jawatan Menteri

KUALA LUMPUR 30 MEI : Umno menawarkan tiga jawatan menteri kepada PAS, sekiranya Murshidul Am parti itu Datuk Nik Aziz Nik Mat bersetuju kepada penubuhan kerajaan perpaduan antara kedua-dua parti itu, kata Ahli Parlimen Pasir Puteh Muhammad Husain.

Datuk Nik Aziz bagaimanapun menolak tawaran itu kerana PAS tetap komited kepada Parti Keadilan Rakyat dan DAP dalam Pakatan Rakyat, kata beliau.

Muhammad berkata Nik Aziz mendedahkan tawaran Umno itu pada majlis bersama anak-anak Kelantan di Lembah Klang di Dengkil petang semalam.

"Ya, betul, beliau sebut (ada) lima kali pertemuan. Ia berlaku dalam masa terdekat. (Ia) mengenai isu kerjasama PAS dengan Umno," kata Muhammad yang turut hadir pada majlis itu.

Menteri Besar Kelantan itu tidak mengenal pasti pemimpin Umno yang membuat tawaran berkenaan namun merujuknya sebagai seorang pesara kerajaan bergelar Datuk.

Pemimpin Umno itu dilaporkan mula 'berjinak" dengan Nik Aziz pada April lalu, apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kembali menjaja keperluan PAS dan Umno menjalin kerjasama politik demi masa depan orang Melayu.

Difahamkan, majlis di Dengkil itu dihadiri kira-kira 500 orang termasuk Setiausa Agung PKR Saifuddin Nasution dan Ahli Parlimen Abdul Aziz Abdul Kadir (Ketereh) dan Abdullah Sani (Kuala Langat).

Sementara itu, beberapa pihak yang hadir dalam majlis minum petang itu mengesahkan ucapan Nik Aziz itu.

Sumber yang dekat Nik Aziz mengesahkan pegawai Umno itu menziarahi Nik Aziz beberapa kali, termasuk di rumahnya di Pulau Melaka.

Nik Aziz adalah antara pemimpin PAS yang paling lantang menolak idea kerjasama politik dengan Umno malah pernah mencadangkan supaya PAS mengadakan Muktamar Khas bagi membahas isu berkenaaan secara telus.

Jatuhnya Putrajaya bukan kerana berhimpun

KUALA LUMPUR, 29 Mei: Jatuhnya Putrajaya yang dikuasai BN sekarang bukan disebabkan berhimpun tetapi kerana penjumlahan undi yang lebih popular kepada Pakatan Rakyat yang akan disaksikan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 akan datang.

Sehubungan itu, Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak, Drs Khalil Idham Lim melahirkan rasa terkejut dengan ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menggesa golongan belia Malaysia supaya membantunya mempertahankan Putrajaya agar BN terus berkuasa ketika melancarkan Himpunan Sejuta Belia sempena Hari Belia Negara 2011 yang hanya dihadiri sekitar 8,000 belia sahaja, semalam.

Katanya, ucapan Najib tersebut menjelaskan lagi apa yang beliau dakwa dalam kenyataannya kelmarin bahawa pemimpin BN sangat resah, gelisah dan semacam tidak boleh tidur nyenyak memikirkan kuasa yang dimiliki di Putrajaya bakal hilang.

Baginya, perhimpunan yang ternyata gagal dari segi jumlah kehadirannya itu ternyata digunakan sepenuhnya Najib dan timbalannya untuk melahirkan perasaan resah dan gelisah kepada kuasa yang bakal hilang.

Beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Perak berkata, sungguh malang program yang sudah berbulan dirancang dan dicanang oleh pemimpin BN serta mendapat liputan media cetak dan elektronik itu hanya dihadiri seramai itu.

“Maka adakah benar-benar mencerminkan sokongan golongan belia terhadap kerajaan dan mermbenarkan mereka tidak sanggup melihat Putrajaya, jatuh ke tangan Pakatan Rakyat seperti yang dilaungkan Najib dalam ucapannya?” soalnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Kerana itu beliau meyakini bahawa para belia akan bersama Pakatan Rakyat bagi menjatuhkan BN dalam PRU 13 nanti.

Oleh itu, beliau sangat menghargai sikap matang para belia pada masa kini untuk bersama seluruh rakyat malaysia bagi menyelamatkan negara yang disayangi ini.

“Lucunya Najib cuba merujuk kepada bantahan pro-demokrasi yang berlaku di beberapa negara di Asia Barat seperti di Mesir dan Tripoli dengan katanya Malaysia aman dan stabil dalam keadaan dia menimbulkan suasana tidak aman dan tenteram dengan mengapi-apikan rasa benci kepada Pakatan Rakyat,” katanya.

Tambahnya, sangat malang bagi sebuah negara yang cuba merosakkan para belia dengan perhimpunan untuk mempertahankan sebuah kerajaan yang penuh dengan penyelewangan dan dasar yang menindas rakyat.

“Tetapi saya ingatkan di luar sana adalah para belia yang tidak akan berhimpun seperti di Asia Barat tetapi mereka akan berhimpun di pusat pengundian dalam PRU 13 akan datang bagi jatuhkan kerajaan BN.

“Saya tegaskan bahawa Najib dan para belia yang berhimpun bersamanya di Putrajaya kelmarin pasti tidak dapat menghalang Pakatan Rakyat ke Putrajaya kerana Putrajaya tidak akan dapat dipertahankan walaupun sejuta belia yang hadir dengan cara berhimpun,” ujarnya yang juga Adun Titi Serong.

Sebelum ini, katanya pada perhimpunan agung tahunan Umno tahun lalu, Najib juga bercakap nada yang sama meminta ahli Umno bersamanya mempertahankan Putrajaya dengan katanya "walau berkecai tulang dan juga badan, walau bercerai jasad dari nyawa, saudara dan saudari, walau apa pun yang terjadi, Putrajaya mesti kita pertahankan".

Beliau berkata, lucunya Najib mendakwa bahawa para belia tidak sanggup melihat Putrajaya, yang merupakan pusat pentadbiran negara, jatuh ke tangan Pakatan Rakyat dengan tuduhan jahat kononnya Pakatan Rakyat akan melelong Putrajaya.

Baginya, itu satu dakwaan yang dilihat sebagai kegelisahan tahap maksimum seorang pemimpin yang akan bertahan sebagai Perdana Menteri untuk satu penggal sahaja, sesuai dengan slogan 1Malaysia yang dibawanya.

“Ternyata kalau kita amati gelagat Najib sejak akhir-akhir ini menunjukkan tanda-tanda kegusaran yang serius dan tidak pernah dialami oleh pemimpin Umno sebelum ini.

“Beliaulah satu-satunya pemimpin BN yang dilihat terbukti sedang bergelut dengan suasana sangat getir bagi mempertahankan kuasa BN yang telah melewati 50 tahun itu,” katanya.

Justeru, Khalil tidak dapat membayangkan apakah ucapan dan tindakan lain yang akan dilakukan oleh seorang yang disifatkan ‘gila kuasa’ dan sedang melakukan untuk mempertahankan kuasa.