PAS Tidak Sekali-Kali Akan Bekerjasama Dengan Umno-Mat Sabu

ALOR SETAR 14 JUN : Pas tidak sekali-kali akan bekerjasama dengan Umno walaupun atas nama perpaduan Melayu kerana serik dengan permainan parti itu, kata timbalan presidennya Mohamad Sabu.

"Kita tidak mahu kejadian tahun 1969 berulang kerana bertanding atas tiket Barisan Nasional dan mereka berjaya, kita ditendang keluar menjelang pilihan raya umum selepas itu.

"Pemimpin Umno sekarang cuba berbaik dengan Pas...bila dihulur tangan, ku tampar tangan mereka," katanya semasa menyampaikan ceramah di Kompleks Pas Kedah di sini malam tadi.

Mohamad turut melancarkan kempen perhimpunan BERSIH 2.0 (Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil BERSIH 2.0) peringkat negeri Kedah.

Mengenai BERSIH 2.0 beliau berkata Pas akan menggerakkan seramai mungkin ahlinya menyertai perhimpunan itu bersama penganjur dan badan-badan bukan kerajaan di Dataran Merdeka di Kuala Lumpur pada 9 Julai ini.

"Saya mahukan perhimpunan ini bersih...kita tidak akan menimbulkan kekacauan atau menyebabkan kerosakan harta benda awam," katanya.-BERNAMA

Dewan Rakyat tolak usul kematian Sarbaini

Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 14 Jun: Dewan Rakyat hari ini menolak usul yang dikemukakan Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) mengenai kematian Penolong Pengarah Kastam Selangor, Allahyarham Ahmad Sarbaini Mohamed di premis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) April lalu.

Timbalan Speaker, Datuk Ronald Kiandee yang menolak usul tersebut di bawah peraturan mesyuarat 18 (1) berkata ianya tidak perlu disegerakan kerana masih di bawah siasatan polis dan inkuesnya akan bermula 4 Julai depan.

Kit Siang menghantar notis usul tersebut pada Jumaat lalu kepada Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia mendesak Parlimen membahaskan isu kematian Sarbaini ketika siasatan SPRM dengan menumpukan kepada dakwaan terbaru oleh editor portal Malaysia Today Raja Petra Kamaruddin.

Raja Petra dalam tulisan di blognya berkata polis telah menyiasat aset Ahmad Sarbaini dan mendapati dia tidak memiliki "kekayaan luar biasa" seperti yang didakwa.

"Ahmad Sarbaini hanya mempunyai Perodua Kancil, Honda CRV terpakai dan Proton Pesona serta motosikal Modenas Kriss yang ditunggang
Ke pejabat SPRM, hari kematiaannya.

"Tiada kekayaan luar biasa," katanya.

Ahmad Sarbaini, 56, yang bertugas di pejabat Kastam Pelabuhan Klang ditemui mati di gelanggang badminton di tingkat sebuah bangunan SPRM setelah dilapor pergi ke pejabat itu untuk bertemu pegawai penyiasat berhubung siasatan kes rasuah yang membabitkan 62 pegawai Kastam.

Taktik Serang Mat Sabu Guna Skandal Seks Hanya Akan 'Makan Diri' Umno-BN

KUALA LUMPUR 13 JUN : Serangan video seks 'fitnah' ke atas timbalan presiden baru PAS Mohamad Sabu, melibatkan pemimpin kedua dari Pakatan Rakyat (PR), hanya akan memberi kesan buruk kepada Umno-Barisan Nasional(BN), kata penganalisis politik.

Malah, menurut Pengarah Centre for Policy Initiatives Dr Lim Teck Ghee, lebih banyak taktik kotor dan usaha untuk mengaibkan kedua-dua parti perikatan akan muncul memandangkan persekitaran politik semakin “panas” di sebalik spekulasi bahawa pilihan raya umum dijangkakan tidak lama lagi.

“Ini satu lagi usaha kotor bertujuan merosakkan imej parti-parti politik khususnya seorang pemimpin PAS.

“Memandangkan parti yang memperoleh manfaat adalah Umno, publik akan meragui parti memerintah,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Beliau berkata, pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) sudah pasti akan menafikan mereka bertanggungjawab manakala media kawalan Umno akan menggunakan isu tersebut untuk terus melakukan serangan.

“Oleh itu, terserah kepada pemimpin-pemimpin dalam masyarakat untuk mengecam tindakan ini dan mendedahkan pihak-pihak yang mahu mendapatkan manfaat daripadanya,” kata beliau.

Minggu lalu, Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin menerima sekeping VCD menerusi peti suratnya, yang tertera gambar Mohamad dengan kata-kata “Skandal Seks Mat Sabu”, dan satu kepala surat palsu bersama logo PAS selain risalah berkaitan video seks yang didakwa melibatkan Ketua Umum Pakatan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pemimpin-pemimpin PAS mendakwa Umno di belakang perkembangan terbaru itu.

Kata mereka, Umno kelihatan terdesak untuk menyerang PAS dan komponen Pakatan Rakyat susulan keputusan pemilihan pusat parti Islam itu.

Mohamad menewaskan Nasharudin Mat Isa dan seorang lagi calon Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Penganalisis politik James Chin dari Universiti Monash berkata, serangan terbaru menggunakan video seks tidak akan membawa impak sama sekali memandangkan kebanyakan rakyat Malaysia sudah pun “penat” dengan taktik sedemikian.

“Strategi menjelang pilihan raya umum ialah ada kumpulan orang yang dibayar untuk menyerang Pakatan Rakyat,” katanya.

Kata beliau, kebanyakan rakyat sudah membuat keputusan dan pihak yang belum berbuat demikian semakin mengecil.

Chin berkata beliau menjangkakan banyak lagi taktik murahan seperti itu, contohnya video seks Anwar, skandal melibatkan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan juga isu membabitkan bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Rahim Thamby Chik akan dibangkitkan menjelang pilihan raya umum ke-13.

“. . . tetapi ia akan membawa kesan buruk ke atas (makan diri) mereka,” katanya.

Pandangan itu disetujui oleh penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian sambil berkata, pengundi atas pagar juga tidak berminat dengan isu-isu tersebut.

“Tindakan bergantung pada isu yang sama hanya akan merosakkan parti masing-masing dan dalam kes ini selepas Mat Sabu menang, kemungkinan mahu menghantar mesej bahawa beliau tidak layak secara moral memegang jawatan itu,” katanya.

Beliau menjangkakan lebih banyak taktik akan digunakan untuk memikat persepsi dan sentimen pengundi kawasan luar bandar.

“Ia cara murahan untuk mendapatkan undi dalam landskap politik semasa,” kata beliau sambil menambah, parti-parti politik perlu menggunakan pendekatan sofistikated untuk memenangi hati pengundi kawasan luar bandar.

Najib tak faham negara berkebajikan PAS

Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 11 Jun: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, perdana menteri sebenarnya tidak faham konsep 'negara berkebajikan', apabila mendakwa PAS mahu meniru BN.

Tegasnya, negara berkebajikan yang mahu diperkenal PAS jauh berbeza dengan apa yang didakwa oleh Umno BN bahawa mereka sudah mengamalkannya sejak sekian lama.

Malah PAS tidak pernah menganggap Umno BN mengamalkan konsep itu dengan tekanan ekonomi termasuk kenaikan harga barang dan pengurangan subsidi yang terpaksa ditanggung rakyat.

"Jelas dia (Datuk Seri Najib Razak) tak tahu negara berkebajikan," katanya ketika ditemui di majlis perkahwinan anak sulung kepada Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub di Markaz PAS Taman Melewar di sini, petang ini. Iskandar Zulkarnain Salahuddin dan isteri, Khalilah Abd Majid diraikan pada majlis makan di Dewan Datuk Fadzil Mohd Noor.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Najib semalam yang mendakwa konsep negara berkebajikan PAS cuba meniru apa yang telah dibuat BN.

Ditanya apa beza negara berkebajikan PAS dan Umno BN, Abdul Hadi berkata negara berkebajikan PAS adalah mengikut acuan al-Quran dan Hadis.

Ianya termasuk bebas rasuah dan penyalahgunaan kuasa serta tidak menzalimi rakyat.

"Kita tak sama, kita ikut perlembagaan PAS iaitu sandar pada al-Quran dan Hadis.

"Kita ada amar makruf nahi mungkar (mengajak kepada kebaikan, mencegah kemungkaran), dia (Umno BN) tidak ada,"katanya.

Sebelum ini beliau juga menjelaskan konsep negara berkebajikan yang mahu dilaksanakan PAS menitikberatkan soal halal haram yang juga tidak ada dalam pengamalan Umno BN.

Sehubungan itu juga beliau memaklumkan akan menulis satu buku khusus menjelaskan konsep yang mahu dibawa PAS itu.

Umno tak nyenyak tidur

Sementara itu, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika diminta mengulas perkara sama berkata, Najib terbukti 'tidak nyenyak tidur' dengan pendekatan negara berkebajikan yang mahu diperkenal PAS.

Tegasnya, Umno menyedari mereka berdepan laluan sukar dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti apabila PAS menawarkan konsep negara berkebajikan itu.

"Dulu dia (Umno BN) kata PAS jauh ketinggalan di belakang.

"Sekarang ini kita sama-sama, dia kiri kita kanan. Nanti kita akan potong dia,"katanya.