Kata Najib - Bersumpah Tuduh Orang Berzina Hak Mutlak Individu

Kata Perdana Menteri Najib Razak, sumpah laknat itu adalah hak individu. Jika ahli perniagaan, Shazryl Eskay Abdullah dan rakan kongsinya dalam kumpulan Datuk T, atau sesiapa sahaja mahu bersumpah bahawa mereka bercakap benar apabila menuduh Anwar Ibrahim berzina, kata Najib, itu adalah hak peribadi mereka.

Oleh itu, katanya lagi, tidak boleh sesiapa atau mana-mana parti politik menghalang Eskay dan kawan-kawannya untuk melafazkan sumpah demi menyokong pendirian atau tuduhan mereka terhadap sesiapapun. Dan, sekali lagi, Najib berkata, tidak ada mana-mana pihak, termasuk parti Umno yang dipimpinnya, boleh menyuruh Eskay dan rakan-rakannya bersumpah atau menghalang mereka.

Kenyataan Najib ini merisaukan. Ini kerana ternyata, komennya itu tidak bersandarkan ilmu dan perintah agama dan jauh sekali daripada menghormati pandangan ulama. Lebih menyedihkan pula ia menyerlahkan sikap Najib terhadap tiang bina jatidiri negara ini sendiri.

Dengan mengizinkan sumpah laknat dibuat oleh sesiapa sahaja kerana ia hak individu, maka Najib telah terang-terang membelakangkan prinsip Rukun Negara – kesopanan dan kesusilaan. Bayangkan jika pandangan Najib ini dijadikan pedoman oleh rakyat, betapa berkecamuk Malaysia jadinya.

Jika kita tidak suka pada mana-mana individu atau pemimpin, hatta Najib sendiri, kita boleh sahaja melontarkan pelbagai tuduhan – perasuah, perogol, penipu dan sebagainya. Untuk menghalalkan tindakan kita di sisi agama, kita pun pergi ke mana-mana masjid dan bersumpah di depan saksi (yang dijemput) bahawa tuduhan kita benar dan jika tidak, akan dilaknati Allah.

Ini bahaya. Jika setiap yang bersengketa dan memendam kesumat terhadap orang lain berbuat seperti Eskay kerana dihalalkan oleh Najib sebab ia adalah hak individu, berantakanlah masyarakat dan berhamburanlah sumpah dilafazkan.

Si fulan boleh menuduh bahawa si anu berzina dengan artis, model atau isteri orang di Port Dickson atau di mana sahaja. Si anu pula boleh menuduh si fulan melakukan seks di luar tabii dengan sesiapa sahaja dan, untuk mengukuh atau “mengislamkan” tuduhan, maka si anu dan si fulan boleh lafaz sumpah laknat.

Laknat bagaimana akan menimpa orang bersumpah, bukan perhitungannya.

Memang benar sesiapapun boleh bersumpah. Malah seorang suami yang mengesyaki isterinya berzina boleh bersumpah bahawa tuduhannya itu benar. Namun keizinan bersumpah itu semua itu ada peraturannya. Ini semua sudah ditetapkan Allah

Dalam kes tuduhan zina, yang dituduh berhak mendapat perlindungan pihak berkuasa untuk membela diri dan maruah. Ini hukum qazaf namanya. Pihak berkuasa diberi mandat oleh Allah untuk menghakimkan tuduhan berkenaan dengan panduan yang jelas.

Peraturan yang ditetapkan Allah ialah, yang menuduh mesti mengemukakan empat saksi yang melihat perzinaan membabitkan yang tertuduh berlaku. Jika tidak, yang menuduh mesti dirotan lapan puluh kali.

“Dan orang-orang yang menuduh perempuan-perempuan yang baik (berzina) dan mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka deralah mereka delapan puluh kali, dan janganlah kalian terima kesaksian mereka untuk selama-lamanya. Merekalah orang-orang yang fasik.” Surah Annuur ayat 4.

Ayat perintah ini tidak kabur. Sesiapa yang membacanya akan dapat menghayati rasional di sebaliknya. Bahawasanya soal maruah si tertuduh zina wajib dipertahankan. Itu yang utama. Sebab itu Allah meletakkan syarat yang ketat dalam penghakiman tuduhan.

Memang bukan senang mencari empat saksi. Itu Allah tahu. Tetapi itu yang ditetapkanNya. Ini kerana Allah tahu yang manusia akan menggunakan pelbagai dalih untuk menguatkan tuduhannya. Ada yang mahu guna foto dan video. Namun bak fatwa tiga mufti - Tan Sri Harussani Zakaria, Juandah Jaya (Perlis) dan Datuk Tamyes Abdul Wahid (Selangor) yang ditetapkan empat saksi dan bukan video atau foto.

Jika gagal berbuat demikian, maka si penuduh wajib disebat 80 kali. Siapa yang wajib melakukan hukuman? Jawapannya ialah pihak berkuasa agama. Dalam konteks Malaysia yang berkuasa ialah kerajaan. Najib ketua kerajaan. Maka Najib mesti memastikan hukuman ini dijalankan.

Memang benar Najib ada menteri halehwal agama dan juga Majlis serta dan Jabatan Agama untuk melaksanakan perintah ini tetapi dia tetap Ketua Kerajaan. Padanya terletak kuasa pengurusan ehwal agama, termasuk dalam bab tuduhan palsu membabitkan zina ini, Maka beliau wajib laksanakan hukum Allah.

Demi memelihara keharmonian masyarakat dan maruah individu, Najib wajib perintahkan jabatan agama laksanakan hukum sebat jika Eskay, Rahim Thamby Chik dan Shuib Lazim gagal kemuka empat saksi.

Maka adalah salah bagi Najib bila berkata, bersumpah untuk menguatkan tuduhan zina ke atas seseorang adalah hak individu. Allah tidak menetapkan begitu. Najib tidak boleh berdalih beliau tidak tahu.

Najib ada peluang dan ada kuasa untuk mengetahui dan memahami hukum Allah. Dia ada menteri yang boleh menasihatinya. Dia ada ulama yang digaji untuk menegurnya. Malah dia ada sekurang-kurangnya empat puluh ulama muda yang baru menyertai partinya untuk membimbingnya.

Najib tidak perlu rasa tertekan oleh peraturan Allah ini. Sebagai hamba Allah dan bukan hamba mana-mana parti dia mesti akur perintah Allah dan bukan gusar tidak pertahan maruah ahli-ahli partinya. Dia tidak boleh kata Umno tidak berhak galak atau halang orang untuk bersumpah laknat. Yang mahu bersumpah juga sumpahlah. Yang menuduh secara terbuka dan diberi publisiti meluas kerana membuat tuduhan, perlu dikenakan hukuman Allah bila tiada empat saksi.

Menurut hukum dunia dan hukum negara, yang menayang video lucah boleh didakwa dan dihukum jika didapati bersalah. Tetapi mengikut hukum Allah adalah salah menuduh orang berzina tanpa ada saksi. Sudah pasti sebagai seorang muslim, Najib tahu dia wajib ikut hukum Allah.

Dia tidak boleh begitu liberal mengatakan hak individu untuk bersumpah dengan nama Allah untuk mencemar maruah insan lain. Ini nyata satu percubaan mencemar perintah Allah. Melanggar ketetapan Allah adalah satu keingkaran. Cuma orang yang angkuh dan tidak yakin penuh akan kuasa Allah berani membelakangkan ketetapan Allah.


~tvs~

Politik Fitnah Mencemar Rukun Negara

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa rakyat kini bingung dengan apa yang berlaku di sekeliling mereka. Semuanya berpaksi kepada video seks yang cuba dikaitkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Media arus perdana, Utusan Malaysia, Berita Harian dan Tv3 serta RTM mengangkat Shazryl Eskay kerana mahu melafazkan sumpah laknat untuk menyokong dakwaan bahawa Anwarlah pelaku zina dalam video itu.

Bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik pula mewakilkan Eskay untuk melafazkan ikrar itu bagi pihaknya yang mendapat sokongan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Jamil Khir Baharom.

Nasihat mufti-mufti seperti Tan Sri Harussani Zakaria bahawa isu itu harus ditangani secara qazaf dan bukan sumpah laknat ditenggelamkan oleh media arus perdana.

“Kalau semua orang boleh bersumpah (laknat) saja, ramai orang yang boleh melakukannya. Takut apa sumpah ini,” kata beliau kepada Tv Selangor kelmarin.

Di Kelantan, Parti Keadilan Rakyat mendedahkan seorang pegawai polis kanan memberitahu guru-guru kononnya pelaku dalam video itu adalah Anwar. Kempen “pencerahan isu Anwar” oleh pegawai polis berkenaan berlarutan sejak awal bulan ini.

Di Pulau Pinang, Timbalan Ketua Menteri Mansor Othman pula mendedahkan penduduk setempat di Penanti dijemput menonton video itu di pejabat Kemas. Video itu juga disajikan semasa kursus Biro Tata Negara untuk mahasiswa.

Untuk mereka, (termasuk kanak-kanak) yang tidak dapat mengikuti video seks menerusi You Tube atau suratkhabar dan blog-blog pro-Umno, jangan khuatir kerana gambar-gambar video itu dicetak dalam bentuk risalah dan diedarkan di merata tempat.

Ke mana hala tuju Negara? Jika ini bukan “politik longkang” yang menghakis nilai-nilai keagamaan dan peradaban yang kita junjung sebagai rakyat bersopan yang tahu menjaga maruah diri dan jiran kita, amalan politik apa namanya ini? Ke mana semangat Rukun Negara yang menggariskan soal KESOPANAN DAN KESUSILAAN?

Apakah segala-galanya boleh dihalalkan semata-mata untuk mencari keuntungan politik?

Apakah benar Polis dan Biro Tata Negara membantu mencaci dan menfitnah supaya generasi muda menolak pemimpin pembangkang? Kenapa Peguam Negara pula yang menentukan rentak siasatan polis?

Semua persoalan ini mempunyai jawapan mudah jika seseorang mengambil kira hakikat Perdana Menteri Najib Razak sendiri menggunakan “jam Omega’ sebagai modal politik ketika pilihanraya negeri Sarawak yang lalu.

Walaupun beliau cuba memberi gambaran kononnya segala yang melanda Anwar ketika ini tidak ada kaitan dengan Umno dan kerajaan, ramai yang sangsi, curiga dan amat tidak mempercayai Najib.

Malah, satu lagi kes Anwar bersabit isu moral menyebabkan kewibawaan polis, Peguam Negara dan Biro Tata Negara pula menjadi persoalan utama mengenai kredibiliti kita sebagai rakyat yang bermaruah.

Berdasarkan perkembangan semasa, isu ini juga akan mengheret Badan Kehakiman yang masih tercalar imejnya daripada pusingan pertama perbicaraan fitnah terhadap Anwar pada tahun 1998.

Rakyat tertanya-tanya, sampai bila institusi-institusi awam negara akan terus diheret ke kancah fitnah dan bukti rekayasa semata-mata untuk membenamkan Anwar Ibrahim.

Tindakan terbaru akhbar-akhbar berbahasa Melayu, Tv3 dan RTM menyembunyikan kenyataan-kenyataan mufti dan tokoh Islam bersabit isu fitnah dan kemungkaran mencerminkan bagaimana rendahnya kewibawaan media kawalan kerajaan.

Namun mereka tidak mempunyai pilihan kerana berfungsi di bawah telunjuk Umno dan Barisan Nasional (BN).

Mereka ditugaskan untuk mewarnakan Anwar sebagai seorang peliwat, kaki perempuan, ejen CIA, agen Yahudi dan apa sahaja asalkan Ketua Pembangkang itu diaibkan sehingga terpaksa berundur dari politik buat selama-lamanya.

Media massa ini mahu rakyat beragama Islam di Malaysia percaya bahawa orang-orang seperti Eskay, Rahim Thamby Chik dan Shuib Lazim adalah bebas daripada dosa besar dan layak membuat sumpah laknat untuk menuduh pihak lain.

Umno pula mengharapkan sumpah laknat Eskay akan berjaya setelah sumpah laknat Saiful Bukhari Azlan gagal mencapai matlamatnya dalam kes liwat fitnah.

Dalam mengejar matlamat masing-masing, Umno, mahupun media massa tidak harus lupa bahawa rakyat mempunyai kewarasan dan iman untuk membezakan antara kebenaran dan fitnah.

Kebenaran akan sentiasa menzahirkan diri dan menyerlah dengan peredaran masa serta mempunyai ketahanan untuk mengatasi apa sahaja kemungkaran yang cuba disebarkan.

Fitnah sebaliknya tidak lebih daripada rekayasa jijik yang akhirnya akan terpalit kepada pihak yang mencetuskannya.

~tvs~

Video Datuk T : Umno Cuba Alihkan Pandangan

Berikut adalah kenyataan media oleh Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berhubung video seks yang didedahkan Datuk T :- Sejak ‘Dato’ T’ mula-mula menayangkan video lucah di Carcosa Seri Negara, kami menegaskan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim bukanlah lelaki di dalam video tersebut.

Selepas pelbagai adegan sandiwara hampir sebulan, kini klip penuh video lucah tersebut sudahpun dimuatnaikkan di laman-laman web perkakas UMNO dan disebarluaskan oleh media arus perdana UMNO-Barisan Nasional.

Kebusukan niat Dato’ T yang didokong oleh UMNO sudah ketara. Sejak awal lagi Anwar menegaskan bahawa beliau bersama keluarga beliau ketika waktu kononnya video lucah tersebut dirancang.

Keluarga Datuk Seri Anwar, khususnya Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Nurul Izzah Anwar telah mengesahkan perkara tersebut serta tentang perbezaan sosok badan lelaki tersebut yang tidak menyerupai Anwar.

Kami mempersoalkan tentang tulisan Thai yang wujud dalam klip pertama dan klip terbaru, sehingga hari ini Dato’ T gagal memberi jawapan yang jelas mengenai tulisan Thai tersebut, sedangkan adegan itu kononnya berlaku di Kuala Lumpur.

Kini klip video terbaru jelas menunjukkan perbezaan rambut pelakon video dan Anwar.

Benarlah ayat al-Quran yang bermaksud, “Perancangan kamu dan perancangan Allah s.w.t., sesungguhnya perancangan Allah lebih baik daripada semua perancangan.”

Malangnya UMNO serta perkakas mereka cuba mengalihkan perhatian dengan meletakkan beban pertuduhan di atas Anwar.

Ketika Anwar memberikan keterangan kepada polis semalam, soal siasat tersebut juga tertumpu untuk meletakkan beban pertuduhan kepada Anwar. Petang ini kita akan menyaksikan salah seorang daripada Dato’ T mengangkat sumpah di masjid.

Kejahilan mereka tentang agama jelas. Mereka tidak faham konsep sumpah laknat sendiri yang telah diperjelaskan oleh banyak ulama’ muktabar (berwibawa) dalam
dan luar negara.

Seperti dalam kes sumpah Saiful dahulu, UMNO tidak berminat tentang hukum agama, tetapi hanya untuk menimbulkan persepsi bahawa Anwar bersalah dengan
apa jua cara.

Kita sedih melihat hukum-hakam agama dipersendakan dengan mudah untuk matlamat politik UMNO dan BN dan berharap lebih ramai ulama dan mufti yang sebelum ini lantang menjatuhkan hukum menyatakan pendirian mereka dengan jelas tentang pencabulan hukum agama ini.

Maklumat terkini yang kami terima daripada seorang guru, seorang pegawai polis, Datuk Dr Isa b. Abdul Rahman (SAC 1) dari Bukit Aman telah pergi ke sekolah-sekolah di Kelantan selama empat minggu berturut-turut untuk bersyarah kepada guru-guru bahawa Anwar ialah ancaman keselamatan negara dan menjelaskan

Anwar sememangnya watak dalam video tersebut.

Prinsip tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya (innocent until proven guilty) ialah prinsip asas dalam perundangan Islam mahupun sivil tetapi nampaknya tidak
diendahkan oleh UMNO dan perkakas mereka apabila melibatkan Pakatan Rakyat khususnya Anwar Ibrahim.

Dato’ T juga terus bebas menyebarkan bahan lucah tanpa sebarang tindakan.

Mengapa mereka dibenarkan terus melanggar undang-undang? Jelas hujah kami bahawa tindakan mereka mendapat restu pimpinan tertinggi UMNO-BN terbukti benar.

Kami menyeru rakyat Malaysia yang cintakan agama, bangsa dan negara dan bencikan politik kotor untuk bersama-sama menolak usaha terdesak terbaru UMNO-BN untuk mengekalkan kuasa mereka dengan apa jua cara sekalipun.

(NIK NAZMI NIK AHMAD)
~tvs~

Sumpah Laknat - Eskay Pegang Quran Terbalik Dan Dilarang Fitnah Anwar

SENTUL 29 APRIL : Ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay hari ini melafaz sumpah laknat dengan memegang naskah Al-Quran terbalik, sebelum diperbetulkan oleh seorang pendakwah bebas di Masjid Amru Al-As Sentul petang tadi.

Beliau bagaimanapun gagal mncapai hasrat mengambil sumpah bahawa Anwar adalah pelaku dalam video lucah yang ditayangkannya selepas dinasihati oleh pendakwah Firdaus Supri mengenai nas-nas Islam.

"Saya nak beritahu, sumpah ini tidak boleh digunakan dalam menuduh seseorang berzina kerana ia tiada dalam syariat Islam," kata beliau kepada Eskay sebelum menyerahkan senaskah buku mengenai hukum Qazaf kepada ahli perniagaan itu.

Firdaus kemudian membetulkan cara Eskay memegang Al-Quran sebelum ahli perniagaan itu menyempurnakan sumpah laknat bahawa beliau ada dalam rakaman video lucah yang diedarkan menerusi Internet sejak 4 April lalu.

Eskay, bekas Ketua Menteri Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan bekas Bendahari Perkasa Shuib Lazim hadir di masjid itu memakai baju kalis peluru seolah-olah keselamatan mereka terancam.

Rahim semalam berkata beliau dan Shuib telah mewakilkan Eskay untuk membuat sumpah laknat itu bagi pihak mereka.

Terdahulu, Pengerusi Masjid Amru Al-As Bandar Baru Sentul, Abdul Razak Hussin mengesahkan bahawa majlis sumpah laknat itu dibatalkan apabila gandingan Datuk T itu tidak hadir.

Selesai upacara mengangkat sumpah laknat, tiga Datuk T itu bergegas meninggalkan masjid tanpa menjawab soalan pemberita.

Terdahulu keadaan selepas solat Jumaat menjadi kecoh seketika apabila sekumpulan jemaah memasuki ruang solat dan menuntut penangkapan Eskay kerana menabur fitnah bersabit video lucah itu.

Hadir bersama mereka adalah Ketua Angkatan Muda Keadilan Samsul Iskandar Md Akin.

Shamsul Iskandar Md Akin berkata Eskay memperalatkan sumpah laknat dan membelakangkan hukum Qazaf yang jauh lebih sesuai untuk kes-kes fitnah.

AMK telah menfailkan pertuduhan Qazaf terhadap Datuk T, kerana menfitnah Anwar dan isterinya yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat.

Shamsul kesal kerana pihak berkuasa Islam seolah-olah merestui sumpah laknat Eskay.

"Saya hairan dengan kehadiran pegawai Jawi sedangkan penyiasatan dikatakan sedang dilakukan oleh Jawi tentang kes Qazaf saya.

"Ini bukan caranya, kita ada Mahkamah dan (sumpah) ini bukan cara yang betul," kata Shamsul kepada media.

Cukai tanah tidak pernah naik, mereka salah faham

ALOR SETAR - Kerajaan Negeri tidak pernah menaikkan cukai tanah di Kedah kerana mengikut amalan biasa kenaikan cukai tanah tertakluk kepada keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan ini tidak pernah berlaku di bawah kepimpinannya.

Cukai tanah seluruh Kedah tidak akan dinaikkan sehingga 2014 kerana mengikut Kanun Tanah Negara, kajian semula kenaikan kadar tanah perlu dibuat setiap sepuluh tahun sekali.

Pembayar cukai tanah dalam mana-mana daerah di Kedah yang mendapati bil cukai tanah mereka meningkat sebanyak 20 peratus, sebenarnya salah faham antara nilai cukai semasa dengan kadar rebat cukai diterima bagi tahun sebelumnya.

Menteri Besar Kedah YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak berkata, orang ramai mestilah faham perbezaan antara cukai tanah semasa dengan dengan kadar cukai tanah selepas direbat sebagaimana berlaku kepada Universiti Utara Malaysia (UUM).

Beliau juga menjelaskan kenaikan kos memproses geran tanah daripada RM60 kepada RM80 bukan dilaksanakan kerajaan sekarang tetapi oleh pentadbiran dahulu ketika YB Dato’ Seri Mahdzir Khalid menjadi Menteri Besar.

Dakwaan pihak tertentu mengatakan kenaikan cukai tanah sehingga 20 peratus bermula pada 2011 seperti yang berlaku dalam Daerah Kubang Pasu adalah dusta. Sebaliknya tahun sebelumnya mereka mendapat rebat tetapi tahun ini tiada rebat.

Menurutnya, sejak kadar cukai tanah bagi seluruh Kedah dikaji semula pada 2004 Kerajaan Negeri ketika itu memutuskan memberi rebat cukai tanah kepada seluruh rakyat secara tahunan atas dasar menjaga kestabilan politik sehingga 2008.

Ujarnya lagi, apabila memegang pemerintahan pada 2008 Kerajaan Negeri telah menurunkan cukai tanah sekitar 30 hingga 75 peratus.

Orang ramai yang salah faham keadaan sebenar hendaklah mendapat penjelasan dari Peabat Tanah dalam daerah masing-masing.

~wartakedah~

Jangan permainkan sumpah laknat

Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 29 April: PAS mengingatkan semua pihak tidak mempermainkan sumpah laknat seperti yang mahu dibuat ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah hari ini berhubung video seks yang didedahkannya.

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) berkata dalam perundangan Islam, sumpah di hadapan hakim mahkamah syariah mempunyai nilai yang tinggi bagi menjaga martabat seseorang yang dituduh.

Bagaimanapun katanya, penuduh yang menggunakan kaedah sumpah laknat untuk membenarkan tuduhan, bukan sahaja akan merosakkan nilai sumpah itu sendiri, malah lari dari kaedah Islam.

"Sumpah mesti di dalam mahkamah atas arahan hakim syarie.

"Kita tengok sumpah ini dah jadi macam satu trend baru untuk menuduh orang. Lepas tuduh, bersumpah nak membenarkan tuduhan.

"Iaitu guna metodologi Islam (sumpah) untuk menghalalkan benda yang bukan syarak (fitnah)," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau mengulas hasrat Eskay yang mahu bersumpah laknat di Masjid Amru Al-As Bandar Baru Sentul selepas solat Jumaat hari ini bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan pelaku dalam video seks yang didedahkannya.

Beliau juga turut mengulangi penegasan bahawa Anwar juga tidak perlu bersumpah atas desakan mana-mana pihak kecuali hakim mahkamah syariah.

"Jika Anwar bersumpah di khalayak seperti yang didesak pihak tertentu, adakah ia menjamin bahawa tuduhan ke atasnya itu digugurkan?" soal Tuan Ibrahim.

Sebelum ini, Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria turut menegaskan Anwar tidak perlu bersumpah mubahalah atau kerana pelaku dalam rakaman video seks masih belum dibuktikan lagi.

“Sumpah (mubahalah) dalam mahkamah bukan di luar... lagipun apa guna beliau (Anwar) nak bersumpah? Jadi beliau tidak perlu bersumpah di hadapan masyarakat, kenapa tidak buat di mahkamah? Anwar tak perlu dihukum sebab beliau tidak lagi didapati bersalah.

“Dalam video itu, kita belum tahu siapa pelakunya, kalau nak bersumpah mubahalah pun kena tunggu bukti dulu tapi kalau ada (bukti) pun Anwar tidak boleh disabitkan bersalah sebab menurut Islam perlu ada empat saksi yang menyaksikan kejadian itu berlaku,” katanya.

harakahdaily

Sumpah: Penjelasan PGSM berhubung mubahalah

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 28 April: Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menyatakan bahawa sumpah di dalam Islam memadai dengan melafazkan lafaz sumpah dengan nama Allah iaitu Wallahi, Wabillahi dan Watallahi serta tidak perlu memegang atau mengangkat al-Quran.

Presiden PGSM, Mohamad Isa Abd Ralip berkata, ini adalah kerana perbuatan tersebut adalah bertentangan dengan ajaran Islam dan budaya tersebut adalah budaya orang Kristian bersumpah dan mereka bersumpah memegang bible.

Jelasnya, mubahalah memerlukan kehadiran kedua-dua pihak yang bertentangan berada di dalam satu majlis.

Katanya, seorang individu akan melafazkan sumpah dengan nama Allah dan menyatakan bahawa beliau akan dilaknat oleh Allah di dunia dan akhirat sekiranya dia tidak bercakap benar.

”Sumpah ini kemudiannya akan diikuti oleh satu pihak yang satu lagi yang akan bersumpah dengan nama Allah dan sekiranya beliau tidak berkata benar maka laknat Allat akan turun padanya di dunia dan di akhirat. ”Dengan kata lain dengan sumpah ini, kedua-dua pihak akan saling sumpah menyumpah dan cabar mencabar supaya diturunkan laknat kepada sesiapa yang berbohong,” jelasnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Berikut adalah penjelasan beliau.

Persatuan Peguam Syarie Malaysia menyatakan bahawa sumpah di dalam Islam memadai dengan melafazkan lafaz sumpah dengan nama Allah iaitu Wallahi, Wabillahi dan Watallahi serta tidak perlu memegang atau mengangkat al-Quran.

Ini adalah kerana perbuatan tersebut adalah bertentangan dengan ajaran Islam dan budaya tersebut adalah budaya orang Kristian bersumpah dan mereka bersumpah memegang bible. Mubahalah memerlukan kehadiran kedua-dua pihak yang bertentangan berada di dalam satu majlis.

Seorang individu akan melafazkan sumpah dengan nama Allah dan menyatakan bahawa beliau akan dilaknat oleh Allah di dunia dan akhirat sekiranya dia tidak bercakap benar. Sumpah ini kemudiannya akan diikuti oleh satu pihak yang satu lagi yang akan bersumpah dengan nama Allah dan sekiranya beliau tidak berkata benar maka laknat Allat akan turun padanya di dunia dan di akhirat.

Dengan kata lain dengan sumpah ini, kedua-dua pihak akan saling sumpah menyumpah dan cabar mencabar supaya diturunkan laknat kepada sesiapa yang berbohong.

Di dalam Islam sumpah seperti ini dibenarkan bagi tujuan untuk membersihkan diri seseorang itu daripada sesuatu tuduhan (tohmah) dan sumpah tersebut dipanggil sumpah tohmah. Sumpah ini sangat besar kesannya kerana dibuat atas nama Allah dan laknat Allah akan menimpa pembuat sumpah tersebut di dunia dan akhirat. Walaubagaimanapun sumpah seperti ini adalah bertujuan semata-mata bagi membersihkan nama seseorang dari sebarang tohmah dan ianya bukan suatu kaedah untuk menuduh orang lain atau mensabitkan seseorang itu bersalah.

Ini adalah kerana di dalam Islam serta perundangan negara kita ada kaedah serta undang-undang yang telah digariskan bagi mendakwa seseorang itu melakukan sesuatu kesalahan. Di dalam undang-undang Jenayah Syariah, kaedah yang ditetapkan bagi menyatakan seseorang yang dituduh itu melakukan sesuatu kesalahan adalah dengan pihak pendakwa atau orang yang membuat tuduhan mengemukakan bukti ke Mahkamah. Oleh itu, beban untuk membuktikan suatu dakwaan itu adalah terletak kepada orang yang mengemukakan dakwaan, dan mengkehendaki Mahkamah percaya akan kewujudan perkara di dalam dakwaan tersebut. Ini selaras dengan peruntukan seksyen 73 (1) Akta Keterangan Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 memperuntukkan – ”Sesiapa yang berhasrat supaya mana-mana Mahkamah memberikan penghakiman tentang apa-apa hak atau tanggungan di sisi undang-undang yang bergantung kepada kewujudan fakta yang ditegaskan olehnya, mestilah membuktikan fakta itu wujud.”

Selanjutnya Akta yang sama menyatakan cara memberikan keterangan di dalam kes-kes jenayah syariah, keterangan hendaklah diberikan oleh pendakwa dan tertuduh, melainkan jika tertuduh mengaku salah. Seksyen 87 (3) Akta Keterangan memperuntukkan bahawa – ”Dalam kes jenayah, keterangan hendaklah diberikan bagi pendakwa dan bagi tertuduh melainkan jika tertuduh mengaku salah.”

Oleh yang demikian, sesuatu dakwaan terhadap sesuatu kes itu hendaklah dibuktikan ke Mahkamah melalui proses pendakwaan oleh pihak yang mendakwa. Adalah menjadi beban kepada pihak yang mendakwa untuk membuktikan segala dakwaan atau tuduhan di Mahkamah. Sesuatu dakwaan atau pertuduhan tersebut hendaklah dibuat di Mahkamah dan bukannya di tempat-tempat awam atau di Masjid. Ini adalah kerana masjid adalah tempat yang suci untuk umat Islam beribadat dan bukannya menjadi tempat atau gelanggang bagi menyatakan kebenarannya sesuatu dakwaannya itu adalah benar.

Orang mendakwa perlu mengemukakan bukti bagi menyokong dakwaannya samada bukti tersebut adalah berbentuk saksi yang memberikan keterangan atau dokumen sebagai contoh laporan perubatan. Ini adalah penting bagi menyokong dakwaannya dan bukannya hanya bersumpah. Di dalam prinsip keterangan Islam sumpah sebenarnya terletak kepada pihak yang kena dakwa dan bukannya orang yang mendakwa selari dengan prinsip Islam iaitu ”Keterangan pada pihak yang mendakwa dan sumpah kepada pihak yang mengingkarinya.”

Di dalam jenayah Islam kes-kes yang melibatkan qisos seperti membunuh para fuqaha masih tidak sepakat dalam menerima sumpah sebagai dalil mensabitkan jenayah. Imam Malik, Syafie dan Ahmad berpendapat, sumpah diterima oleh Islam sebagai dalil atau bukti jenayah ke atas tertuduh jika tiada bukti lain, atau bukti tidak cukup. Sedangkan Imam Abu Hanifah berpendapat sumpah bukan suatu bukti atau dalil mensabitkan jenayah, tetapi satu cara bagi menafikan tuduhan yang dibuat oleh pendakwa ke atas tertuduh. Jenayah qisos yang dibolehkan bersumpah dalam mensabitkan jenayah hanyalah dalam jenayah membunuh sahaja.

Dalam kes-kes yang melibatkan hudud (zina, qazaf (menuduh zina), minum arak, mencuri, samun, memberontak dan murtad), sumpah hanya diterima sebahagian kecil ulama’ dalam kes-kes tertentu seperti qazaf dan mencuri sahaja.

Manakala di dalam kes qazaf (menuduh zina), menurut Mazhab Shafie, sekiranya pendakwa tidak mempunyai apa-apa keterangan atau tidak cukup bukti, maka tertuduh boleh diminta bersumpah menafikan dakwaan itu. Jika tertuduh bersumpah, maka gugurlah dakwaan itu. Walaubagaimanapun, Imam Malik dan Ahmad tidak menerima langsung sumpah sebagai satu bukti mensabitkan kesalahan qazaf.

Di dalam kes melibatkan curi, menurut Mazhab Shafie, sekiranya kesalahan mencuri tidak dapat dibuktikan maka pihak tertuduh boleh diminta bersumpah. Jika tertuduh enggan, pihak yang kena curi boleh bersumpah al-yamin al-mardudah. Tetapi pandangan ini tidak diterima oleh mazhab-mazhab yang lain. Imam Malik, Abu Hanifah dan Ahmad berpendapat sumpah hanya boleh diterima dalam kes-kes mal atau sivil sahaja.

Dalam kes-kes mal atau sivil, yakni yang melibatkan yakni yang melibatkan pertikaian suami isteri atau rumahtangga, atau perebutan harta, sumpah perlu dilakukan dalam Mahkamah setelah diperintahkan oleh Hakim untuk berbuat demikian. Seksyen 87 (1) dan (2) Akta Keterangan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 memperuntukkan:- ”Dalam kes mal, keterangan hendaklah diberikan oleh Plaintif dan Defendan, dan jika Defendan menafikan tuntutan terhadapnya, dia hendaklah dikehendaki mengangkat sumpah mengikut Hukum Syarak.”

”Jika Defendan mengangkat sumpah di bawah subseksyen (1), tuntutan yang dibuat oleh Plaintif hendaklah ditolak.”

”Jika Defendan enggan mengangkat sumpah, maka Mahkamah bolehlah meminta Plaintif mengangkat sumpah dan dengan sumpah itu tuntutannya hendaklah diterima.”

PGSM berpendirian bahawa di dalam kes-kes yang melibatkan jenayah syariah seperti liwat, khalwat serta persetubuhan luar nikah hendaklah dibuktikan oleh pihak pendakwa di Mahkamah dan pihak yang dituduh boleh untuk menafikan tuduhan tersebut melalui keterangan dan boleh bersumpah sekiranya diperintah oleh Hakim berbuat demikian. Namun demikian sumpah tersebut tidak mengikat hakim di dalam membuat keputusan sabitan kesnya.

Media berbohong dakwa Kelantan rampas tanah

M Faqih

KUALA KRAI, 28 April: Mungkin ramai terpengaruh dengan laporan media yang mendakwa kononnya kerajaan negeri merampas tanah yang diteroka penduduk di Kampung Jeram Panjang, Mukim Manjor.
Lebih-lebih lagi apabila dipaparkan visual lelaki dan perempuan tua menangis seperti disiarkan RTM melalui slot berita perdana, baru-baru ini.

Tahukah anda, tidak pernah berlaku sebarang rampasan tanah seperti didakwa media massa, sebaliknya penduduk terbabit didakwa menceroboh hutan simpan kekal (HSK).

Adun Dabong, Arifabillah Ibrahim berkata, penduduk yang menceroboh HSK tersebut telah diberi beberapa kali peringatan oleh Jabatan Perhutanan Negeri, namun mereka tidak mengendahkan.

Katanya, HSK di mana-mana negeri sekali pun tidak boleh diceroboh kerana ia merupakan zon penampang.

“Jabatan Perhutanan Negeri sejak dari awal lagi melarang penduduk meroboh kawasan tersebut. Renjer Hutan sudah beberapa kali memberi amaran dan menghalang mereka namun tidak diendahkan.

”Sebaliknya seramai 18 penduduk berdegil dan menanam pokok getah di kawasan HSK di Mukim Manjor,” katanya di sini.

Menurutnya juga Jabatan Perhutanan melaksanakan program penanaman getah jenis klon di kawasan tersebut bagi tujuan melestari alam sekitar termasuk di kawasan yang diceroboh penduduk.

Kata beliau syarikat yang mendapat tender menanam getah jenis klon di kawasan tersebut telah menandakan kawasan yang akan dilaksanakan program berkenaan.

“Bagi menyelesaikan masalah dengan penduduk, Jabatan Perhutanan telah memanggil kesemua 18 orang yang menceroboh kawasan HSK terbabit.

“Perjumpaan itu diadakan awal tahun ini bertempat di Taman Tengku Anis, Cabang Tiga Sungai Syam yang mana saya juga hadir. Selain itu anggota polis dari Balai Polis Laloh, Renjer di Manek Urai dan Jabatan Perhutanan Negeri.

“Pada perjumpaan tersebut syarikat yang diberi tanggungjawab melaksanakan program menanam getah klon bersetuju membayar pampasan kepada penduduk mengikut batang getah yang ditanam.

“Penduduk yang hadir bersetuju dan telah menerima bayaran mengikut bilangan pokok getah yang ditanam. Namun hari ini mengapa pula media cuba membohongi perkara sebenar yang berlaku,” ujarnya.

Beberapa akhbar hari ini melaporkan penduduk yang mengusahakan kebun getah dan dusun buah-buahan di Kampung Jeram Panjang mendakwa tanah diteroka sejak 40 tahun lalu dirampas kerajaan negeri.

Dilaporkan 30 penduduk berdepan dengan kerugian apabila pokok getah yang mereka tanam akan ditebang bila-bila masa sahaja bagi membolehkan pembangunan Ladang Rakyat dijalankan.

Oleh itu Arifabillah bercadang mengambil tindakan mahkamah ke atas media yang menyembunyikan fakta sebenar sehingga memperlihatkan kerajaan negeri merampas tanah rakyat.

“Saya sungguh kecewa dengan laporan akhbar dan televisyen yang menyembunyikan cerita sebenar. Ini bukan pertama kali berlaku.

“Isu ini sengaja diputar belit oleh pihak ketiga yang mengharap mendapat imbalan politik secara tidak bermaruah,” katanya.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ladang Rakyat, Dr Nazmi Ghazali Azmi berkata, pihaknya tidak pernah melaksanakan projek perladangan di kawasan berkenaan.

Katanya, apa yang disiarkan media adalah tidak benar sama sekali dan perkara itu disahkan Pejabat Tanah dan Galian Negeri.

~harakahdaily~

Misteri Tisu Dalam Video Lucah Babak Dua

SHAH ALAM 28 APRIL : Sejurus selepas video lucah babak kedua Datuk T dinaikkan di Youtube semalam, pelbagai “kecacatan” mengenai rakaman itu terdedah, sama seperti video babak satu yang disebarkan sebelum ini untuk mengaibkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain wajah pelaku utama video 1 minit 46 saat itu yang berjudul 'Papa Nurul Izzah Part II' tidak jelas, susuk badan pelaku dan gaya rambutnya terus menguatkan hujah bahawa Datuk T dan juak-juak Umno termasuk media arus perdana menabur fitnah yang begitu jijik sekali.

Faktor paling menonjol dalam klip terbaru adalah visual yang jelas menunjukkan seorang individu membaling kertas tisu ketika orang yang dikatakan mirip Anwar memakai seluar dalamnya.

Sebelum itu pelaku dalam video seks dilihat bersedia memakai seluar dalamnya apabila beliau tiba-tiba berhenti, meletakkan kembali seluar dalam itu di atas katil.

Beliau kemudiannya mengambil kotak tisu di meja bersebelahan katil untuk diserahkan kepada seseorang yang tidak kelihatan.

Ketika ini rakaman menunjukkan wanita berkenaan menuju ke bilik air.

Jelas kelihatan dalam video - segumpal tisu kemudian dilontar - mungkin disasarkan ke dalam tong sampah yang berhampiran terletak di bawah meja.

Pelacur pada masa ini berada di dalam bilik air.

Gumpalan tisu yang dilontar itu jelas kelihatan pada saat 0:45 hingga 0:47 dalam video yang disunting itu.

Ia menjadi petunjuk penting kehadiran orang ketiga dalam bilik itu, sekurang-kurangnya ketika pelaku yang dikatakan mirip Anwar dan wanita berada dalam keadaan bogel.

Persoalannya adakah logik Anwar membiarkan orang lain melihatnya berbogel malah melakukan aksi seks dan kemudian menawarkan kertas tisu kepada individu berkenaan.

Dalam video pertama yang dimuatkan di Youtube 4 April lalu, bayang-bayang yang begitu ketara di dinding bilik mengundang hujah, kamar berkenaan diterangkan dengan lampu perfileman.

Kamera night vision pula digunakan untuk mendapatkan rakaman hitam putih yang hanya menunjukkan wajah pelaku secara samar-samar.

~tvs~

Mufti, Tokoh Agama Tolak Sumpah Laknat Eskay Mahu Qazaf Ditegakkan

SHAH ALAM 28 APRIL : Ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay hari ini mengaku hanya beliau seorang sahaja akan mengambil sumpah laknat di sebuah masjid di Sentul esok untuk memperkuatkan dakwaan kononnya Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah pelaku dalam video lucah yang disebarkannya.

Eskay tidak memberitahu kenapa Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan Shuib Lazim enggan bersama beliau untuk mengambil lafaz itu, tetapi menegaskan beliau berbuat demikian kerana “agama, bangsa dan negara.”

Eskay turut mencabar Anwar untuk mengambil sumpah itu bersamanya di Masjid Amru al-Aas, Bandar Baru Sentul selepas solat Jumaat esok.

Bagimanapun dua tokoh agama iaitu Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria dan Dr Badrulamin Bahrom berkata cara terbaik menyelesaikan isu video lucah adalah mengikut syariat Islam iaitu dengan menfailkan pertuduhan qazaf.

“Kalau semua orang boleh bersumpah (laknat) saja, ramai orang yang boleh melakukannya. Takut apa sumpah ini,” kata Tan Sri Harussani kepada TvSelangor.

“Selepas dia membuat tuduhan orang itu berzina, dia perlu kemukakan bukti bukannya bersumpah.

"Menuduh orang berzina itu maknanya Qazaf, qazaf ini bukan bersumpah tetapi perlu bawa bukti,” tambah beliau.

Pada 4 April lalu, Angkatan Muda Keadilan (AMK) menfailkan pertuduhan qazaf terhadap Datuk T dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Anwar sendiri sebelum ini bersetuju hukum qazaf adalah cara terbaik untuk menangani dakwaan-dakwaan yang disebarkan oleh Datuk T dan pihak lain untuk mengaibkan beliau sekeluarga dan sekali gus menghancurkan karier politiknya.

Penceramah bebas Badrulamin menegaskan sumpah laknat jelas tidak sesuai digunakan dalam isu video lucah dan ia akan hanya mengusutkan keadaan.

“Sumpah laknat dalam kes video seks ini tidak menurut ajaran Islam dan hanya menurut logik dan akal manusia. Ia tidak akan membantu menyelesaikan masalah yang sedang berleluasa dalam masyarakat kerana andai kata kedua-dua pihak sanggup bersumpah ia tidak akan selesaikan sebarang masalah,” kata beliau.

“Jika kita hendak menghentikan fitnah yang sedang melanda ummat ini hanya ada satu jalan iaitu melaksanakan hukum Qazaf,” kata beliau.

Eskay berkata gadingan Datuk T bertekad "tidak akan membenarkan orang bernama Anwar yang merupakan pelaku seks menjadi pemimpin negara Islam."

Mengulas lanjut sumpah laknat yang bakal dilakukan oleh Eskay, Harunsani berkata cara itu selalunya membabitkan pertuduhan zina antara suami isteri.

“Selalunya orang yang membuat sumpah laknat ini adalah kalau pertuduhan Li'an iaitu suami tuduh isteri.

"Qazaf ini, kalau dia(trio 'Datuk T') tidak boleh mengemukakan bukti, ikut hukum Islam dia (trio 'Datuk T') yang kena sebat. Itu saja hukumnya. Sebab itu tidak semudah ini untuk menghukum orang berzina,” kata Harussani.

Badrulamin berkata Menteri yang bertanggung jawab mengenai hal ehwal Islam, Jamil Khir Baharom sepatutnya mengusulkan gadingan Datuk T untuk disiasat mengikut hukum qazaf dan bukannya menyokong tindakan membuat sumpah laknat.

“Jamil Khir sepatutnya menyokong pelaksanaan hukum qazaf bukan sebaliknya menutup fail yang diajukan kepada mahkamah syariah dibawah kes qazaf dan menyuburkan pula budaya sumpah menyumpah ini,” tegas beliau.


~tvs~

Perpaduan Pakatan Rakyat Gagal Ditandingi BN

SHAH ALAM 27 APRIL: Di sebalik desas-desus pilihan raya umum ke-13 akan datang Umno-Barisan Nasional (BN) dilihat semakin rancak dalam merancang agendanya untuk memecah-belahkan Pakatan Rakyat(PR) sekali gus merampas kembali negeri-negeri yang diperintah pakatan pembangkang adalah amat mustahil, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Katanya, ini kerana kekuatan PR dari aspek perpaduan tidak akan mampu ditandingi oleh mana-mana parti termasuk perikatan Barisan Nasional(BN).

"Apabila sokongan rakyat semakin sukar diperolehi Umno-BN akan cuba merencana pelbagai taktik kotor untuk menghancurkan perpaduan dalam PR iaitu antara PAS dan PKR khususnya.

"Jadi saya lihat politik Umno terlalu lemah kerana tidak mampu meyakinkan rakyat terhadap isu berkaitan Datuk Seri Anwar," katanya ketika dihubungi Tv Selangor.

Mahfuz berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan pemimpin-pemimpin Umno-BN yang dilihat bertindak memanipulasikan kenyataan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali baru-baru ini berhubung pendiriannya terhadap kes fitnah video seks yang dikaitkan dengan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Media kawalan Umno-BN, Utusan Malaysia minggu ini dilapor memaparkan kenyataan-kenyataan jahat apabila cuba untuk melaga-lagakan Mustafa Ali dengan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali berhubung pendirian Pas untuk terus kekal bersama Pakatan Rakyat.

Tegas Mahfuz, beliau turut menolak sebarang dakwaan songsang berhubung perselisihan pendapat antara Pas dan PKR sehingga mencetuskan salah faham antara pemimpin tertinggi gagasan itu.

"Saya yakin bahawa apa yang dilihat oleh rakyat adalah kesetiaan Pas bersama PR," kata beliau.

Mahfuz menambah, beliau yakin rakyat sentiasa berfikiran positif berhubung pendirian dan sokongan tidak berbelah-bagi parti itu terhadap gagasan Pakatan Rakyat.

Justeru katanya, peranan media alternatif amat diperlukan bagi melaporkan maklumat yang telus agar tidak dimanipulasikan oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab.

Mengulas lanjut berhubung siasatan polis terhadap penayangan rakaman video seks yang dikaitkan dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu, Mahfuz berkata Pas tidak pernah mengiktiraf mana-mana hasil siasatan polis seperti yang diumumkan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Khalid Abu Bakar baru-baru ini.

Jelasnya, ini kerana polis terlebih dahulu menunjukkan sikap pendakwaan terpilih terhadap Anwar.

"Pas tidak percaya apa jua bentuk keputusan yang dibuat polis terhadap hasil siasatan video seks ini kerana pihak berkuasa itu sedari awal telah memperlihatkan sikap memihak (Umno-BN).

"Ini sekali gus menunjukkan bahawa polis sendiri terlibat dalam konspirasi video fitnah itu semata-mata untuk memburukkan nama baik Anwar serta mencalarkan hubungan dalaman PR," katanya.

~tvs~

Keadaan Rasuah Negara Membimbangkan

SHAH ALAM 28 APRIL: Budaya rasuah yang semakin berleluasa di Malaysia kini berada dalam keadaan yang membimbangkan seolah-olah ia tidak dapat dibendung lagi, kata Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Nizar Jamaluddin.

Malah katanya, budaya ini juga mula menular sejak 24 tahun lalu terutamanya ketika berada dibawah pemerintahan Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Nizar berkata, gejala rasuah ini bukan sahaja akan menyebabkan keruntuhan sistem pentadbiran negara malah ia turut disifatkan seperti najis.

“Budaya rasuah telah wujud dalam Negara kita sejak 20 hingga 23 tahun yang lepas. Jawatankuasa Disiplin Umno Tengku Ahmad Rhithaudden sendiri mengakuinya bahawa rasuah telah lama berleluasa di negara ini. Ini bermakna ia bermula sejak bekas Presiden Umno, Tun Dr. Mahathir Mohamad memimpin negara pada ketika itu, sekali gus berkembang dan terus membiak,” katanya.

Nizar yang juga AJK PAS Pusat berkata, sebagai contoh pengalaman di Rusia dan Filipina termasuk Arab yang dahulunya mempunyai tamadun sendiri turut tumbang berikutan desakkan rakyatnya sendiri yang menolak rasuah.

“Ya, memang benar rasuah boleh menjatuhkan tamadun. Sekiranya rasuah ini tidak dibendung dan dibasmikan di Malaysia, maka kita juga mungkin akan turut sama jatuh,” katanya.

Nizar berkata demikian ketika menjadi panelis Wacana Rasuah Pemusnah Tamadun di Auditorium Kumpulan Media Karangkraf (KMK), Shah Alam, semalam.

Turut serta dalam wacana tersebut adalah adalah Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abu Kassim Mohamed, Senator Ezam Mohd Nor dan Pengasas ESQ Leadership Centre, Dr Ary Ginajar dan Zulkifli Bujang sebagai moderator dari Bernama TV.

Jelas Nizar, perubahan yang dilakukan oleh Mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dengan menukar Badan Pencegah Rasuah (BPR) kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Nizar berkata, tindakan tersebut sedikitpun tidak memberi apa-apa kesan yang baik seperti mana yang dijanjikan kepada rakyat.

“Apabila penerajuan SPRM diambil, rakyat Malaysia dijanjikan dengan satu paradikma baru dimana amalan bukan sahaja akan dikurangkan malah ia akan terus dibasmi," katanya.

"Malangnya, apa yang kita lihat sekarang indeks rasuah semakin hari semakin menurun dan terus menurun," ujarnya.

“Janji yang ditaburkan kepada rakyat selepas Parlimen meluluskan Akta SPRM dan jawatankuasa ditubuhkan ia bukan sahaj gagal malah rasuah terus berleluasa,” tegasnya.

Mengulas lebih lanjut, Nizar berkata sewajarnya SPRM dan Peguam Negara tidak berada di bawah nasihat Perdana Menteri Najib Tun Razak yang juga Presiden Umno.

Soalnya, bagaimana mungkin kedua-dua badan itu boleh menyiasat perkara yang menyentuh kepentingan politik pemimpin-pemimpin Umno-BN.

Tegasnya, oleh yang demikian, Pakatan Rakyat meminta semua agensi kerajaan seperti SPRM, Peguam Negara, Ketua Polis, Pengerusi Felda, Petronas dan sebagainya haruslah dilantik oleh dan diletakkan di bawah Parlimen.

Menjawab soalan sama ada PAS ingin meniru bentuk kebangkitan rakyat di negara luar untuk melakukan demontrasi jalanan sehingga tertumbangnya pemerintah zalim, Nizar dengan tenang menidakkannya.

"Pakatan tidak pernah meminta rakyat untuk meniru kebangkitan rakyat sehingga jatuh beberapa negara terbabit kerana rasuah dan salah laku.

"Rakyat inginkan perubahan dalam hal-hal berkaitan rasuah, contohnya, kenapa hanya ikan bilis sahaja yang terkena siasatan dan hukuman sedangkan bagaimana dengan isu Khir Toyo dan Taib Mahmud," ujarnya.

Lebih 200 orang hadir bagi menyaksikan wacana rasuah ini sehingga menyebabkan kelancaran majlis ini beberapa kali terganggu dengan pekikan kuat dipercayai dilakukan kumpulan sorak yang dibawa oleh pihak tertentu untuk membuat bising terutamanya ketika Nizar memberikan hujah mantapnya.

Ketika Dr Ary Ginanjar berkata, malangnya dalam suasana wacana itu, iblis dan syaitan juga turut serta, mereka tidak ingin agar rasuah itu dibanteras.

~tvs~

Video Lucah Bhg Dua - Polis, Datuk T Bersekongkol, Kata Saifuddin

SHAH ALAM 27 APRIL : Satu lagi klip video lucah Datuk T disebarkan di Internet menerusi Youtube, menguatkan hujah bahawa kempen untuk menfitnahkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim diperhebatkan.

Video 1 minit 46 saat itu yang berjudul 'Papa Nurul Izzah Part II' dimuat naik di Youtube sejak jam 1.30 tengahari tadi dan telah pun dimuatkan di pelbagai blog pro-Umno dengan komen-komen menjijikan blogger berkenaan.

Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat Saifuddin Nasution percaya polis dan gandingan Datuk T bersekonggol memuatkan video itu di Internet.

" Penyebaran bahagian kedua atau ketiga sekali pun bukan merupakan satu perkara baru dan tidak memeranjatkan kerana perkara tersebut dilakukan oleh pihak polis sekali dengan bantuan Datuk T,” kata Saifuddin kepada TVSelangor.

" Datuk T sendiri mengakui video asal ada pada tangan mereka dan telah diserahkan kepada polis.Apabila video itu tersebar kepada awam, jelas sekali ia adalah perbuatan pihak polis sendiri dengan kerjasama Datuk T," tambah beliau.

Saifuddin kesal diatas cubaan bertalu-talu untuk mengaibkan Anwar menerusi fitnah.

" Perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana pihak polis masih belum lagi menyelesaikan siasatan mereka,” kata beliau.

Klip bahagian dua didedahkan pada hari sama ahli perniagaan Datuk Eskay Shazryl menyerahkan DNAnya untuk “memperketatkan” fakta kes.

Bahagian pertama video lucah itu dimuat-naik pada 4 April lalu menunjukkan babak awal sebelum perlakuan seks dimulakan.

Bahagian kedua video ini pula menunjukkan bahagian akhir.

Gadingan 'Datuk T” iaitu Tan Sri Rahim Thamby Chik, Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Datuk Shuib Lazim mendakwa mereka mendedahkan pelaku dalam video itu sebagai Anwar kononnya kerana “mahu menyelamatkan negara” .

Seorang bekas pengawal Allahyarham Tan Sri Megat Junid Megat Ayob mendedahkan Eskay mengugut untuk “membinasakan” kerana enggan membantunya berhubung sebuah kes saman.

Rahim pula didedahkan sebagai menyimpan dendam terhadap Anwar kerana terpaksa meletak jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka pada tahun 1994 bersabit dakwaan merogol seorang pelajar berusia 15 tahun.

Saifuddin berkata persepsi umum bahawa video itu adalah fitnah Umno semata-mata diperkuatkan dengan tiadanya tindakan ke atas gadingan Datuk T sungguhpun terbukti mereka melakukan jenayah mengedar bahan lucah dan mengugut Ketua Pembangkang.

" Akibat dari pihak polis tidak mengambil tindakan ke atas Datuk T, maka ini mengukuhkan lagi tanggapan awam bahawa video itu bermotif politik yang membabitkan pemimpin Barisan Nasional dengan kerjasama pihak polis sendiri,” kata Saifuddin.

Ditanya mengenai tindakan polis mengambil DNA Eskay, Saifuddin memnyifatkannya sebagai helah semata-mata untuk mengaburi agenda sebenar Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

" Siasatan itu kononnya DNA diambil dan sebagainya hanyalah satu lakonan semata-mata… seolah-olah pihak polis sedang bertindak ke atas salah seorang Datuk T iaitu Datuk Eskay. Walaupun kesalahan mereka (Datuk T) sangat jelas di bawah Seksyen 292 tetapi siasatan polis kelihatannya tidak menjurus ke arah itu, “ kata Saifuddin.

Walaupun polis selesai menjalankan siasatan, Pejabat Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail tidak berpuas hati dan dua kali mengarahkan siasatan lanjut dijalankan, sekali gus menimbulkan spekulasi mengenai motif Gani.

Ahli Parlimen Sungai Petani Johari Abdul dan Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia Badrul Hisham Shaharin yang menyaksikan video penuh 21 minit itu menolak bahawa pelaku itu Anwar berasaskan susuk tubuh dan bahasa tubuh pelaku.

Warga UUM pengguna air tertinggi di dunia?

ALOR SETAR, 25 April – Secara purata seorang rakyat Malaysia menggunakan 230 gelen air sehari dan seorang rakyat Kedah menggunakan 250 gelen air sehari. Namun secara purata seorang warga Universiti Utara Malaysia (UUM) menggunakan 340 gelen air sehari!

Demikian didedahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Darul Aman (SADA) Dato’ Azdmi Din dalam sidang media di pejabatnya berhubung kajian yang dibuat oleh syarikat air itu terhadap UUM.

Menurutnya, berlaku pembaziran sebanyak 462 ribu gelen air sehari di Universiti Utara Malaysia (UUM) dari air yang dibekalkan oleh Syarikat Air Darul Aman (SADA) dan kuantiti itu adalah terlalu tinggi.

Menurutnya, pengiraan dibuat secara teknikal berdasarkan jumlah pengguna sebenar dan mengukur tahap jumlah air yang sepatutnya dibekalkan.

“Maknanya warga UUM berjumlah 33,037 jiwa itu memerlukan air sehari secara normalnya hanya 8 juta liter padu sahaja sedangkan hari ini mereka secara purata setiap orang menggunakan 340 gelen sehari berbanding penduduk Kedah secara normal menggunakan 250 gelen dan penduduk Malaysia sebanyak 230 gelen sahaja sehari,” katanya.

Menurutnya, anggaran penggunaan yang efisien di UUM yang diperlukan kampus itu cuma berjumlah 8,260 juta liter padu sehari. Ia sudah mencukupi untuk penggunaan normal tanpa mengambil kira penyusutan (non revenue water) disebabkan kebocoran paip.

Katanya, oleh kerana pihak UUM mengatakan mereka memerlukan air lebih, biarlah isu ini dibincang dari aspek pembaziran penggunaan.

Katanya, SADA menghormati institusi ini sebagai universiti yang terkenal di Utara dan dengan ikhlasnya menghulurkan kerjasama berikutan UUM merupakan pengguna air terbesar di Kedah.

“Kita akan bekerjasama untuk melihat apa-apa kelemahan yang ada di UUM. Kita cari jalan tengah perbalahan tidak akan menyelesaikan apa-apa,” katanya.

~WARTA KEDAH~

Tv3 Potong Wawancara Dengan Saya : RPK

BANGKOK 27 APRIL : Penulis blog, Raja Petra Kamarudin (RPK) menyangkal laporan TV3 bahawa beliau 'tidak percaya lagi' dakwaan bahawa Datin Seri Rosmah Mansor berada di tempat kejadian semasa pembunuhan ngeri Altantuya Shaariibuu pada 2006.

Selepas dua siri wawancara dengan Raja Petra disiarkan dalam buletin utama di stesen swasta tersebut, beberapa pihak terus melabel penulis blog itu telah mengubah pendiriannya dengan 'menarik balik' dakwaan tertentu dalam akuan bersumpah (SD) yang telah difailkannya.

RPK mengaku beliau berkata "Saya rasa mustahil kot" dalam wawancara dengan pengarang kumpulan TV3, Datuk Ashraf Abdullah di Australia, tetapi mendakwa ayat pertengahannya telah dipotong dalam segmen yang disiarkan pada 13 April.

"Ia adalah wawancara (selama 90 minit), sedikit sebanyak daripadanya mengenai SD saya. Bolehkah anda tidak ambil (siarkan) satu ayat sahaja tetapi ambil (siarkan) keseluruhan perenggan?” soalnya dalam temuramah video Skype dengan Malaysiakini dari Bangkok Ahad lepas.

Raja Petra berada di Bangkok untuk menghadiri forum anjuran Gerakan Masyarakat Sivil Malaysia (MCLM). Beliau adalah pengerusi MCLM dan gerakan itu mendakwa laporan itu telah diputarbelit.

Beliau berkata, kenyataannya telah disalah lapor kerana wawancaranya telah disunting oleh penyiar, menyebabkan maksud sebenarnya telah berubah.

“Mungkin TV3 patut diminta menyiarkan keseluruhan perenggan,” katanya sambil menambah tanggungjawab itu terletak di bahu penyiar berkenaan untuk menjelaskan perkara tersebut.

Raja Petra mendakwa apa yang dikatakannya dalam perenggan tersebut ialah: Apabila saya diberitahu saya tak percaya lagi, saya rasa mustahil kot, Rosmah masuk hutan panjat bukit tengah malam, jadi saya tak percaya lagi, sehingga saya mendapat pengesahan.-Malaysiakini

DAP tolak kerjasama dengan Umno

Kuasa Peguam Negara Lagi Besar Dari Perdana Menteri?

Perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan satu realiti – orang yang paling berkuasa di negara ini mungkin bukan Perdana Menteri.

Ini kerana Datuk Seri Najib Tun Razak terpaksa meraih mandat daripada rakyat setiap lima tahun dan menjawab kepada Parlimen apabila perlu.

Orang yang tidak perlu berbuat demikian adalah Peguam Negara . Jawatan itu kini disandang oleh Tan Sri Abdul Gani Patail.

Beliau tidak perlu ke Parlimen, tetapi hanya ke pejabat Perdana Menteri dan hadir pada mesyuarat Kabinet untuk memberi nasihat dan penjelasan dari masa ke semasa.

Pejabat Peguam Negara di Malaysia mempunyai kuasa mutlak untuk menentukan pihak mana yang perlu diheret ke mahkamah, yang mana boleh dilepaskan.

Peguam Negara juga berhak menentukan pertuduhan apa yang harus dikenakan terhadap seseorang, tidak kira jika pertuduhan itu menyimpang daripada laporan polis yang dibuat oleh pengadu.

Semalam Ketua Pendakwaraya Yusuf Zainal Abideen mengesahkan kuasa mutlak pendakwaan di tangan Gani apabila beliau berhujah pada perbicaraan liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Zainal mengaku dalam laporan polisnya, pengadu Saiful Bukhari Azlan mendakwa beliau DIPAKSA melakukan hubungan seks itu.

Namun, Peguam Negara menggunakan kuasa yang ada padanya untuk mendakwa Anwar atas tuduhan kononnya beliau dan Saiful melakukan seks luar tabii secara SUKARELA.

Yusuf memberitahu mahkamah bahawa Peguam Negara mempunyai kuasa mutlak untuk mendakwa Anwar di bawah apa juga undang-undang.

Malah, mengikut Yusuf, sekali pun Saiful “menukar” ceritanya, ia tidak menjejaskan pendakwaan selagi ada “bukti” untuk menyokong tuduhan itu.

Begitu besar kuasa yang ada pada Peguam Negara. Persoalan yang lojik yang akan ditanya oleh rakyat adalah apa jadi dengan laporan polis Saiful bahawa beliau dipaksa melakukan perbuatan itu?

Bagaimana fakta penting ini boleh diketepikan begitu sahaja oleh Peguam Negara…jika benar motif utama beliau adalah menegakkan kebenaran semata-mata, demi memberi keadilan kepada pengadu dan tertuduh.

Namun persoalan ini tidak akan dijawab, kerana Peguam Negara tidak bertanggung jawab kepada Parlimen.

Tidak ada ruang untuk rakyat atau wakil rakyat memperinchi hubungan Peguam Negara dengan Pejabat Perdana Menteri dan kaitannya dengan keputusan-keputusan pendakwaan yang dibuat.

Pada tahun 1994, Peguam Negara ketika Tan Sri Mohtar Abdullah mengambil keputusan untuk menggugurkan tuduhan rogol terhadap Tan Sri Rahim Thamby Chik atas alasan “kurang bukti” beliau melakukan jenayah itu terhadap gadis berusia 15 tahun.

Sebaliknya yang didakwa adalah Lim Guan Eng yang kini Ketua Menteri Pulau Pinang. Beliau dipenjara 18 bulan kerana mendedahkan perlakuan Rahim.

Tan Sri Mohtar adalah juga Peguam Negara yang bertanggungjawab untuk tidak mendakwa Rahim atas tuduhan rasuah RM40 juta, sekaligus menolak segala bukti-bukti yang telah dikumpulkan oleh Badan Pencegah Rasuah.

Jelas kuasa Peguam Negara adalah mutlak. Pejabat Peguam Negara menggunakan pertimbangan sendiri yang “rahsia dan agak istimewa” tetapi tidak menjanjikan ketelusan dan keadilan serta kesamarataan yang menjadi tonggak prinsip keadilan.

Rekod tiga Peguam Negara terakhir, Tan Sri Abu Talib Othman, Mohtar dan Gani tercemar kerana cara mereka menggunakan kuasa-kuasa mutlak yang diberikan kepada mereka.

Mereka dilihat bersekongkol dengan pemerintah yang mahu menjayakan agenda sempit politiknya.

Contohnya peranan Abdul Talib dalam pemecatan Ketua Hakim Negara ketika itu, Tun Salleh Abbas dan lima hakim lain pada tahun 1984.

Dalam kes Anwar, Gani menjadi sasaran utama kerana dituduh membawa pendakwaan yang rapuh dalam fitnah liwat pertama pada tahun 1998 dan ulangannya pada masa sekarang.

Rasanya tidak perlu menoleh terlalu jauh kebelakang untuk memperinchi rekod Gani. Dakwaan yang dibuat oleh Datuk Mat Zain Ibrahim, pengawai penyiasat polis dalam kes mata lebam Anwar bahawa Gani mereka-cipta bukti dalam kes Ketua Pembangkang adalah dalam pengetahuan umum.

Anehnya, dakwaan-dakwaan itu tidak pula mengundang sebarang pendakwaan daripada Gani, walaupun ia memberi tamparan hebat kepada kewibawaan pejabat Peguam Negara.

Pada tahun 1998, peguam kepada Datuk S.Nallakarupan, Manjeet Singh Dhillion mendedahkan Gani menuntut supaya Nalla merekacipta bukti terhadap Anwar kononnya Nalla membekalkan pelacur kepada Anwar.

Berikut petikan surat rasmi yang dihantar oleh Manjeet kepada Peguam Negara ketika itu Datuk Mohtar :

“That in exchange for a reduction of the present charge to one under the Arms Act he wanted Nallakaruppan to co-operate with them and to give information against Anwar Ibrahim, specifically on matters concerning several married women. Dato Gani kept changing the number of women and finally settled on five, three married and two unmarried. That he would expect Nallakaruppan to testify against Anwar in respect of these women.”

Terjemahan: Bahawa sebagai syarat untuk mengurangkan tuduhan (daripada Akta Keselamatan Dalam Negeri) kepada Akta Senjata Api beliau mahukan Nalla memberi keterangan terhadap Anwar, khususnya membabitkan beberapa wanita yang bersuami. Datuk Gani mengubah-ubah jumlah wanita yang harus dinyatakan oleh Nalla dan akhirnya mahukan Nalla memberi keterangan supaya Anwar mengadakan hubungan dengan lima wanita, tiga yang bersuami dan dua lagi belum kahwin.

Hanya Datuk Mohtar tahu kenapa beliau tidak mengambil tindakan terhadap Manjeet kerana membuat tuduhan begitu serius terhadap Gani.

Hanya Gani tahu kenapa beliau sendiri tidak mengambil sebarang tindakan terhadap Manjeet ketika itu, mahupun sekarang.

Mohtar sudah pun meninggal dunia namun Gani masih hidup dan malah mempunyai lebih kuasa sekarang untuk mempertahankan kewibawaan dan keluhuran kerusi Peguam Negara yang disandangnya.

Seseorang pengamal undang-undang, tidak kira sama ada pendakwaraya, peguambela atau hakim tidak boleh menghalalkan matlamat dengan apa cara pun.

Keadilan hanya boleh ditegakkan apabila pengamal undang-undang tidak dipengaruhi oleh sesiapa dan tidak menjadi sebahagian daripada agenda politik mana-mana pihak.

Setiap tindakan yang diambil haruslah konsisten dan bebas daripada sebarang telunjuk pemerintah, jika tidak keluhuruan sistem undang-undang itu pasti tercalar dan ternoda sehingga sukar disucikan semula.

Apa yang jelas ialah pejabat Peguam Negara kini disifatkan sebagai cabang pemerintah yang begitu berkuasa dan kebal daripada perincian rakyat. Tindak-tanduk Peguam Negara tidak boleh dipersoalkan oleh rakyat mahupun Parlimen.

Keruntuhan badan kehakiman mana-mana negara berakar umbi daripada keputusan-keputusan pendakwaan oleh Peguam Negara yang dicemari dengan pertimbangan politik kerajaan memerintah. Malaysia tidak terkecuali daripada hakikat ini.

Begitu juga keluhuran sistem keadilan akan sentiasa terpelihara jika Peguam Negara melihat diri beliau sebagai penjawat awam (public servant) dan bukannya kakitangan kerajaan dengan maksud yang sempit.

Mahfuz Omar: Pekung sudah terbuka

Datuk Mahfuz Omar

Timbalan Ketua Polis Negara (TKPN) yang baru Datuk Khalid Abu Bakar (gambar) mengumumkan bahawa PDRM tidak lagi menggunakan kaedah menyorok di belakang tiang dan belukar dalam mengendalikan operasi perangkap laju di jalanraya.

Sebaliknya ujar beliau, PDRM akan tampil secara terbuka dalam proses penguatkuasaan undang-undang termasuk peraturan lalulintas.

Beliau seterusnya memberikan peringatan bahawa dengan pendekatan baru ini jika pengguna jalanraya disaman, mereka perlu menjelaskannya.

Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (KASE) mengalu-alukan pengumuman tersebut kerana secara tidak langsung ia mengesahkan perjuangan KASE selama ini bahawa tindakan menyorok di belakang tiang, menyorok di dalam belukar dan di atas jejantas dalam operasi perangkap laju yang disusuli dengan Saman Ekor adalah bukan suatu cara pendidikan undang-undang yang baik.

KASE menyambut baik tindakan ini kerana ia bukan sahaja lebih efisyen dan telus malah boleh menyelesaikan masalah-masalah lain seperti penggunaan nombor pendaftaran palsu dan secara tidak langsung mendidik pengguna jalanraya supaya memandu dengan berhemah.

Walaubagaimana pun pengumuman TKPN tersebut juga telah membuka pekung mereka kerana jelas selama ini mereka melakukan tindakan secara tidak wajar.
Undang-undang dan peraturan bukan untuk mengenakan mana-mana pihak tetapi adalah bertujuan mengawal keharmonian dan keselamatan masyarakat. Tindakan menyorok di belakang tiang dan sebagainya yang dilakukan PDRM sejak lebih dua dekad sudah terbukti bukan pendekatan yang baik dan wajar.

Pengumuman TKPN ini adalah suatu permulaan yang baik tetapi ia telah membuka beberapa persoalan lain yang perlu diperjelaskan oleh pihak berkuasa seperti PDRM dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Persoalannya, kenapa setelah lebih dua dekad baru PDRM menyedari bahawa tindakan tersebut tidak cekap, tidak efisyen malah telah menimbulkan pelbagai masalah kepada pengguna jalanraya. Kita merasakan amat malang mempunyai agensi penguatkuasa yang lembab dalam mengenalpasti cara perlaksanaan undang-undang dan peraturan.

Setelah berapa banyak rakyat disusahkan dan dipaksa membayar kompaun tanpa sebarang bukti kesalahan, barulah PDRM sedar tindakan tersebut tidak efisyen dan mengumumkan tidak akan digunakan lagi. Kenapa baru sekarang mereka sedar?

Notis Pol 170A atau lebih popular dikenali sebagai “Saman Ekor” dikeluarkan ekoran perlaksanaan perangkap laju secara menyorok oleh PDRM. Apabila TKPN mengumumkan teknik menyorok tidak lagi akan digunakan, apakah status “Saman Ekor” yang dikeluarkan dahulu?

Apakah status “Saman-saman Ekor” yang sudah dibayar ekoran paksaan PDRM dengan ugutan menyenarai hitam pemilik kenderaan? KASE berpendapat bahawa “Saman-saman Ekor” yang dikeluarkan dan terdapat di dalam sistem PDRM sebelum pengumuman TKPN dibuat hendaklah dihapuskira.

Ini kerana “Saman-saman Ekor” tersebut dikeluarkan secara tidak telus malah lebih kepada penyalahgunaan peraturan oleh pihak PDRM. Adalah lebih baik melupuskan sahaja daripada membuang masa dan tenaga untuk menguatkuasakan sesuatu yang tidak betul.

KASE seterusnya ingin mendapatkan penjelasan lanjut daripada PDRM dan JPJ berkaitan proses penguatkuasaan perangkap hadlaju. Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2010 (APJ 2010) mula berkuatkuasa pada 1/2/2011.

Melalui APJ 2010 Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) akan dilaksanakan di mana ia merangkumi kesalahan-kesalahan seperti memandu melebihi hadlaju, tidak mematuhi lampu isyarat dan memandu kenderaan selain bas di lorong bas. Sistem ini akan dikendalikan oleh dua syarikat swasta iaitu Beta Tegap Sdn Bhd dan Commercial Circle (M) Sdn Bhd.

Pengenalan AES melalui APJ 2010 ini menggambarkan bahawa semua perangkap hadlaju akan dikendalikan hanya oleh dua syarikat swasta ini. Apakah status saman-saman yang dikeluarkan oleh PDRM sejak 1/2/2011 ini? Tidakkah ianya bertindih dengan AES?

Penjelasan perlu diberikan supaya tidak ada penguatkuasaan bertindih dilakukan di mana pengguna akan terbeban dan dizalimi. Adakah dengan pengenalan dan perlaksanaan AES ini bermaksud PDRM tidak lagi menjalankan operasi perangkap hadlaju?

Rakyat Malaysia juga secara keseluruhannya perlu faham bahawa APJ 2010 yang mula berkuatkuasa pada 1/2/2011 telah memperakui “Saman Ekor” malah penguatkuasaan “Saman Ekor” pada masa depan tidak lagi bermusim malah secara 24 jam tanpa henti.

Perlu diambil perhatian bahawa “Saman Ekor” di bawah APJ 1987 ialah Notis meminta maklumat di bawah Seksyen 115 APJ 1987 tetapi di bawah APJ 2010, Saman Ekor adalah saman yang sah bukan lagi notis.

Walau pun PDRM mengumumkan bahawa mereka tidak lagi menyorok tetapi apa yang lebih teruk ialah penguatkuasaan peraturan dan undang-undang jalanraya selepas ini sudah diswastakan.

Akhirnya KASE mendesak kerajaan menghapuskira Saman-saman ekor yang lama dan seterusnya memperbanyakkan kempen penerangan berkaitan AES dan juga kesan Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2010 kepada rakyat keseluruhannya. KASE berpendapat APJ 2010 yang diperkenalkan masih tidak difahami oleh rakyat. Bagaimana hendak kuatkuasakan undang-undang jika rakyat tidak pernah diberikan pemahaman dan maklumat.
-----------------------------
Penulis adalah Naib Presiden PAS Merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (KASE).

Menteri Besar tidak akan hadir perhimpunan PERKASA

ALOR SETAR – Rakyat Kedah digemparkan dengan sistem pesanan ringkas (SMS) menyatakan Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak akan hadir ke Perhimpunan PERKASA di Stadium Suka Menanti 30 April ini.

SMS itu adalah seperti berikut, “Perhimpunan Melayu Kedah…pada 30April 2011 jam 3.00 petang di Stadium Suka Menanti Alor Setar, datang beramai. Kita gabungkan tiga pemimpin besar Melayu di satu pentas, YBhg Tun Mahathir, YAB Ustaz Azizan, YB Ibrahim Ali. DEMI KEDAULATAN MELAYU.”

Setiausaha akhbar YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan, Helmi Khalid berkata, hebahan itu adalah tidak benar sama sekali dan Menteri Besar langsung tidak terlibat dengan perhimpunan ini.

Hebahan ini secara tempiasnya juga untuk menjatuhkan YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan dan sebagai propaganda pembangkang mengaitkan beliau dengan PERKASA.

“Ustaz Azizan tak akan hadir sama sekali untuk sertai perhimpunan itu dan ini adalah taktik pembangkang untuk kaitkan beliau dengan PERKASA.

“Diminta rakyat jangan percaya dengan propaganda ini,” ujar beliau ketika dihubungi untuk mengulas isu ini.

Setiausaha politik YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan, Muhammad Sanusi Md Nor turut menafikan hebahan ini.

“Tajuk perhimpunan itu adalah Perpaduan Melayu Teras Kesejahteraan Negara, jadi mereka guna nama Ustaz Azizan untuk tarik orang ramai datang, ataupun jika beliau tak hadir maka isu lain timbul seperti Ustaz Azizan tak sokong Melayu, kalau hadir pun ada isu juga,” jelas beliau.

Ekspo Perdagangan Melayu PERKASA Kedah bertemakan Perpaduan Melayu Teras Kesejahteraan Negara akan diadakan pada 29 April hingga 30 April di Stadium Suka Menanti dan ucaptama perhimpunan disampaikan oleh mantan Perdana Menteri, YAB Tun Dr Mahathir Mohammad.

Nik Aziz Alu-alukan Pengkritik supaya datang sendiri Ke Kelantan

SHAH ALAM 26 APRIL : Menjelang pilihan raya umum ke-13 akan datang, Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengundang beberapa pihak yang mempertikaikan kepimpinan kerajaan negeri itu supaya datang sendiri ke Kelantan termasuk menghadiri kuliah Jumaat bersama-sama beliau untuk mendapatkan gambaran sebenar tentang pentadbiranya.

Nik Aziz dalam laman Facebooknya berkata, selain merasai perbezaan sistem pentadbirannya mereka juga boleh membandingkan sendiri sejauh manakah kebenaran laporan-laporan media kawalan Umno-Barisan Nasional(BN) terhadap kepimpinan negeri itu.

“Disebalik desas-desus pilihan raya umum ke-13, kami menjemput anda semua untuk datang ke Kelantan dan menyaksikan sendiri bagaimana Pakatan Rakyat melalui PAS memerintah Kelantan,” kata Mursyidul Am PAS ini.

“Anda semua boleh datang dan menilainya sendiri. Dan jangan lupa untuk bandingkannya dengan negeri yang diperintah oleh Barisan Nasional (BN),” ujarnya.

Selain itu, Nik Aziz berkata pihak yang mempertikaikan pencapaian kerajaan negeri Kelantan juga boleh menemuinya pada program Medan Ilmu di Kota Bharu, Jumaat ini.

“Anda dialu-alukan untuk datang ke Medan Ilmu pada pagi Jumaat,” kata beliau yang mengetuai pentadbiran kerajaan negeri sejak 1990.

Kerajaan negeri Kelantan di bawah pimpinan PAS telah menjadi pertikaian dan bahan cemuhan Umno-BN sejak sekian lama.

Terbaru Pengerusi Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed membidas kerajaan negeri Kelantan kerana menutup pintu rundingan dengan 415 peniaga Pasar Lama Majlis Perbandaran Kota Baru (MPKB) dan Arkde Uda.

Mustapa berkata kerajaan negeri Kelantan tidak bertimbang rasa kerana enggan memberikan peluang kepada peniaga berunding dengan mereka bagi menyelesaikan kemelut yang dihadapi.

Selain itu, Umno Kelantan sebelum ini juga mendakwa kerajaan negeri Kelantan tidak bersih ekoran pendedahan yang dibuat Utusan Malaysia mengenai loteri “big sweep” dan juga aktiviti pelacuran di negeri itu.

Malah penghujung tahun lalu, Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali menggesa Nik Aziz supaya meletakkan jawatan sebagai menteri besar.

Ibrahim berkata gesaan itu berikutan keadaan kesihatan Nik Aziz yang sering terganggu dan gagal membawa sebarang perubahan biarpun telah lama mentadbir negeri itu.

Beliau berkata, sudah sampai masa Nik Abdul Aziz mengundurkan diri bagi mengelakkan rakyat di negeri ini terus ditindas dan tidak mendapat hak mereka seperti mana yang dinikmati di negeri-negeri lain.

~tvs~

Dr. Ismail beri rawatan percuma setiap Jumaat

OLEH : SARINA ISMAIL



ALOR MENGKUDU, 24 April 2011 – Ziarah serta memberi rawatan percuma kepada penduduk di DUN Alor Mengkudu menjadi program rutin setiap Jumaat kepada ADUN Alor Mengkudu, YB Dr Ismail Salleh.

“Program ini kita buat dari pagi hingga petang, minggu ini kita pergi di Kampung Lahar Budi. Ianya juga mendapat kerjasama dari Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR), PAS Kawasan, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat,” maklumnya ketika dihubungi.

Menurut beliau, pada sebelah pagi mereka mengadakan program lawatan rumah ke rumah secara bermotor. Sambil ziarah, rawatan kesihatan secara percuma turut diadakan di samping mengedarkan risalah-risalah dan VCD mengenai kerajaan negeri.

“Kira-kira 20 buah rumah sempat kami melawat dan Alhamdulillah, sambutan yang diberikan sangat baik.

“Kita juga menyediakan makanan dan makan bersama dengan penduduk tempatan. Pada sebelah petang kita mengadakan sukan yang melibatkan kanak-kanak dan golongan muda. Pada malamnya kita adakan ceramah,” tambahnya lagi.

Program begini katanya akan diteruskan dan diselang seli dengan rawatan percuma yang diadakan di PKWRnya.

Minum Kopi Dan Makan Karipap - Saiful Bukan Mangsa Liwat, Kata Karpal

KUALA LUMPUR 25 APRIL : Aneh tapi benar - pengadu Saiful Bukhari Azlan sempat makan karipap dan minum kopi selepas mendakwa dirinya diliwat secara paksa oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu hari ini.

Peguam Karpal Singh menggesa mahkamah menolak Saiful sebagai saksi yang tidak mempunyai kredibiliti kerana perlakuannya jauh daripada seorang mangsa dan keterangannya kepada polis dan di mahkamah di warnai dengan pelbagai percanggahan.

Sehari selepas mendakwa diliwat pada 26 Jun 2008, Saiful masih bekerja seperti biasa di ibupejabat Parti Keadilan Rakyat, malah telah pergi ke rumah Anwar untuk mesyuarat, tambah beliau.

Karpal berkata fakta bahawa Saiful berjumpa dengan musuh politik Anwar, Ezam Mohamad Noor, sehari sebelum membuat laporan polis, harus menimbul kecurigaan mengenai kewibawaan Saiful.

Karpal berkata demikian dalam hujah penutupan untuk permohonan pendakwaraya mensabitkan Anwar atas tuduhan meliwat Saiful. Hakim Zaibdin Mohamad Diah akan menetapkan tarikh kelak untuk memutuskan sama ada Anwar harus menyediakan pembelaan terhadap keterangan saksi-saksi pendakwaraya, termasuk Saiful yang membuat tuduhan itu.

Peguam-peguam Anwar menegaskan tuduhan itu, adalah fitnah politik untuk menjatuhkan Anwar sebelum Perdana Menteri Najib Razak memanggil pilihanraya umum tidak lama lagi. Saiful bertemu dengan Najib beberapa hari sebelum membuat dakwaan liwat terhadap Anwar.

Anwar dilihat sebagai nadi Pakatan Rakyat yang menafikan Umno-Barisan Nasional majoriti dua pertiga pada pilihanraya umum 2008, dan merampas kuasa di empat negeri selain mengekalkan tampuk pemerintahan di Kelantan.

Di mahkamah hari ini, Karpal berkata tuduhan liwat oleh Saiful tidak boleh dipercayai kerana tidak masuk akal kenapa beliau (Saiful) tidak meninggalkan lokasi kejadian sebelum Anwar memaksa beliau melakukan seks luar tabii.

Sebaliknya Saiful terus berada di tempat kejadian untuk lebih 20 minit dan makan karipap serta minum kopi.

Saiful berusia 23 tahun manakala Anwar 64 tahun dan menghidapi sakit tulang belakang yang kronik.

Karpal turut membangkitkan beberapa perkara berkaitan dengan aksi seks yang didakwa oleh Saiful tetapi ini tidak boleh dilaporkan kerana keterangan Saiful itu diberikan secara tertutup.

Karpal menegaskan perlakuan Saiful bukan seperti mangsa liwat sebagai yang di dakwa oleh beliau dalam laporan polis dan di mahkamah.

Karpal menggesa Hakim Zabidin untuk berlaku adil kepada Anwar dan tidak terpengaruh dengan laporan media arus perdana "atau apa yang dikatakan oleh Perdana Menteri."

Karpal sekali lagi mengingatkan mahkamah bahawa pendakwaraya harus mempunyai bukti prima facie dan tidak ada jurang atau lompang dalam bukti yang diketengahkan.

"Ia mestilah membuktikan setiap bukti boleh dipercayai, unsur-unsur kesalahan ditentukan dan mahkamah mesti memberi penilaian maksimum terhadap semua itu," tambahnya.

Nabi Muhammad SAW tidak guna al-Mubahalah menghadapi fitnah seks - Dr. Haron Din

'Naib Canselor elok letak jawatan, masuk politik'

ALOR SETAR, 25 April - Naib Canselor Universiti Utara Malaysia Profesor Dato’ Dr Mohamed Mustafa Ishak disaran supaya meletak jawatan, menyertai parti politik dan bertanding dalam pilihanraya umum akan datang.

Saranan itu dibuat oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Bukit Lada YB Ahmad Izzat Shauki, memandang professor berkenaan sengaja menjadikan cukai tanah sebagai isu bagi memburuk-burukkan Kerajaan Negeri dan prilaku begitu bukanlah datangnya dari seorang ahli akademik yang memegang amanah di menara gading.

Menurutnya, terdahulu professor berkenaan telah memanipulasi isu cukai tanah yang menggambarkan seolah-olah Kerajaan Negeri menaikkan cukai tanah UUM sehingga mencecah sepuluh peratus.

Kondisi sebenar ialah pihak UUM perlu membayar cukai tanah ikut harga asal apabila tamat tempoh rebat yang diperolehi sehingga UUM perlu membayar cuma RM100,000 dari tahun 2006 hingga 2008.

“Oleh kerana beliau bertindak sebagai pentadbir tertinggi UUM dan berpegang kepada niat tidak mahu membayar cukai dengan harga asal maka beliau telah memutar belitkan fakta sebenar dengan menuduh Kerajaan Negeri sengaja menaikkan cukai tanah berkenaan,” katanya.

Ujarnya lagi, tanah yang menjadi tapak kampus universiti itu paling murah iaitu hanya 20 sen bagi satu meter persegi.

Cukai tanah sebanyak RM1.74 juta setahun adalah hak mutlak rakyat merupakan sumber tetap Kerajaan Negeri dan kerajaan hari ini menjaga hak rakyat bukan menurunkan sewenang-wenangnya dan harga ini adalah berpatutan megikut kiraan waktu universiti itu dibina 27 tahun lalu dan kekal sehingga hari ini, katanya.

Mengulas dakwaan professor berkenaan yang tersiar dalam akhbar tempatan beliau berkata, sekiranya Kerajaan Negeri menyambung lagi rebat berkenaan bermakna Kerajaan Negeri telah mengambil hak rakyat.

“Setahu saya UUM mendapat peruntukan yang bukan sedikit dari Kerajaan Pusat, adalah mustahil tidak dimasukkan cukai tanah dalam bajet berkenaan,” katanya.

Pemilik mempelam Sala boleh jual buah pada Kedah Agro

PENDANG – Rakyat Kedah yang mempunyai pokok mempelam Sala tidak perlu risau apabila berlakunya lambakan buah.

Bagi merealisasikan hasrat Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak menjadikan Kedah sebagai Belanda Timur, Kedah Agro Holdings Berhad dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan projek pengumpulan mempelam Sala.

Ketua Pegawai Operasi Kedah Agro, Wan Kharizal Wan Khazim berkata, projek pengumpulan mempelam Sala ini adalah cetusan idea YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan bagi membantu petani memasarkan buah mempelam sala yang menjadi lambakan apabila tiba musimnya.

“Projek pengumpulan ini menjadi jalan penyelesaian kepada isu lambakan.

“Ini tak bermakna kita tak benarkan orang kampung jual kepada orang lain, mereka boleh jual jika ada orang yang menawarkan dengan harga yang lebih tinggi, kita beli RM1 sekilo,” jelas beliau pada taklimat projek pusat pengumpulan mempelam Sala Kedah di Dewan Majlis Daerah Pendang.

Sebanyak sembilan DUN telah dipilih bagi melaksanakan projek ini dan perlu kerjasama Majlis Ketua Kampung/Komuniti untuk memaklumkan kepada penduduk kampung.

Kedah Agro juga membekalkan peti sejuk beku di pusat pengumpulan dan semua yang terlibat menjayakan projek akan menerima imbuhan masing-masing.

“Pendang merupakan destinasi keempat kami beri taklimat ini, semua yang terlibat menjayakan projek ini akan diberi imbuhan, begitu juga dengan tuan rumah yang menjadikan rumahnya sebagai tempat pengumpulan, dan rumahnya turut dibekalkan dengan peti sejuk beku.

“Penduduk kampung perlu bawa pelam Sala ke pusat pengumpulan, dicuci, dikupas serta buang biji dan dipekkan dalam beg palstik berisi lima kilogram seterusnya disimpan dalam peti sejuk beku dan Kedah Agro datang ambil isi buah dan dibawa ke kilang pemprosesan untuk dijadikan kordial,” ujar beliau.

Projek pusat pengumpulan adalah langkah bagi mengelak pembinaan kilang pemprosesan yang menelan belanja jutaan ringgit.

“Memandangkan buah pelam Sala ini ada mengikut musim, kita melibatkan orang kampung untuk memprosesnya, kerana jika dibina kilang ianya digunakan bila ada musim saja, kalau tak ada kilang tak beroperasi,” jelas beliau.

Raja Petra Belum Beri Kenyataan, Peguam Pertikai Motif Polis

KUALA LUMPUR 24 APRIL : Raja Petra Kamarudin belum memberikan sebarang kenyataan kepada polis Malaysia di Bangkok ekoran pertikaian mengenai tujuan siasatan polis ke atas blogger kontroversial itu, kata peguamnya hari ini.

Malam tadi, polis mahu mendapatkan keterangannya di Kedutaan Malaysia di Bangkok.

“Tiada kenyataan diberikan kepada polis setakat malam tadi,” kata peguam Haris Ibrahim kepada The Malaysian Insider menerusi kenyataan SMS sebentar tadi.

Dalam pada itu, maklumat diperoleh dari portal Malaysia Today pagi ini menyebut polis mahu menyiasat Raja Petra berhubung aduan bahawa dia telah berbohong dalam temu bual disiarkan TV3 dua minggu lalu.

Oleh itu, entri ringkas Malaysia Today hari ini berkata wujud ‘kebuntuan’ dan peguam-peguamnya meminta polis yang mahu bertemu dengan Raja Petra menunjukkan salinan aduan dibuat ke atasnya.

“Nampaknya polis mahu mengambil keterangan Raja Petra di bawah Seksyen 203, satu jenayah membuat kenyataan palsu berhubung temu bual dengan TV3 di Perth, Australia.

“Satu laporan polis dibuat terhadap Raja Petra mendakwa dia berbohong dalam temu bual TV3,” kata tulisan itu.

Blogger kontroversial itu berada di Bangkok sempena majlis pelancaran Pergerakan Bebas Sivil Malaysia (MCLM) cabang Thailand.

“Raja Petra Kamarudin, yang berada di Bangkok sekarang, telah diminta oleh pegawai-pegawai Kedutaan Malaysia di sana bahawa beliau perlu ke pejabat misi di ibu negara Thai untuk kenyataannya diambil kira-kira 8 malam waktu Thai (9 malam waktu Malaysia),” kata kenyataan MCLM dikeluarkan di sini sekitar 8 malam waktu Malaysia semalam.

Kenyataan itu menambah, pegawai-pegawai Kedutaan Malaysia menyampaikan permintaan itu sebelum majlis dihadiri Raja Petra di Florida Hotel bermula.

“Mereka minta beliau (Raja Petra) pergi ke Kedutaan Malaysia dengan segera sebaik sahaja ceramahnya selesai,” kata kenyataan itu lagi.

Katanya, Raja Petra yang sebelum ini dilaporkan berada dalam buangan kendiri di London dan baru-baru ini di Australia dan Bali, Indonesia tidak ditahan.

Dalam satu temu bual bersama TV3 yang disiarkan 13 April lalu, Raja Petra mendakwa beliau tidak pernah menuduh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak atau isterinya terbabit dalam kes pembunuhan Altantuya lima tahun lalu.

Sebaliknya, pengendali portal Malaysia Today itu berkata, beliau didesak dan dipengaruhi untuk berbuat demikian oleh beberapa individu yang tidak mahu Najib mengambil alih jawatan perdana menteri.

Sehubungan itu kata Raja Petra, SD yang dibuat beliau pada 18 Jun 2008 hanya bersandarkan maklumat diperoleh daripada beberapa individu.

Menurut Raja Petra, seorang pegawai perisik angkatan tentera dikenali sebagai Leftenan Kolonel Azmi juga memberi maklumat yang sama.

“Saya tidak terima lagi cerita itu. Sebab saya rasa mungkin mustahil,” katanya.

Beliau berkata, kesemua individu ini berjanji akan menjadi saksi sekiranya beliau didakwa di mahkamah.

Raja Petra turut menamakan blogger Din Merican. Yang lain ialah Nik Azmi Nik Daud dan John Pang, kedua-duanya pernah bekerja di pejabat veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah.

Dalam SDnya, Raja Petra berkata, beliau menerima maklumat daripada beberapa individu kononnya isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor berada di tempat kejadian ketika Altantuya dibunuh.

Sebelum ini Raja Petra berkata beliau pernah memberikan keterangan kepada polis mengenai SD itu ketika ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Tiga hari selepas siaran temu bual itu, Kementerian Pertahanan menafikan pernah wujudnya “maklumat” berkaitan Altantuya - dirujuk sebagai laporan risikan, yang didakwa Raja Petra Raja diperoleh daripada sumber-sumber boleh dipercayai, untuk digunakan dalam SD tiga tahun lalu.

Panglima ATM Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin berkata, “pihak ATM ingin menegaskan bahawa maklumat disampaikan oleh Kolonel Azmi kepada Raja Petra Kamarudin adalah palsu.”

Azizan juga berkata siasatan terhadap dakwaan yang dilaporkan akan dilaksanakan dengan secepat mungkin dengan satu Lembaga Siasatan akan ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan tersebut.

“Hasil siasatan akan dijadikan asas terhadap tindakan yang akan diambil oleh ATM,” katanya lagi.