Nik Aziz Alu-alukan Pengkritik supaya datang sendiri Ke Kelantan

SHAH ALAM 26 APRIL : Menjelang pilihan raya umum ke-13 akan datang, Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengundang beberapa pihak yang mempertikaikan kepimpinan kerajaan negeri itu supaya datang sendiri ke Kelantan termasuk menghadiri kuliah Jumaat bersama-sama beliau untuk mendapatkan gambaran sebenar tentang pentadbiranya.

Nik Aziz dalam laman Facebooknya berkata, selain merasai perbezaan sistem pentadbirannya mereka juga boleh membandingkan sendiri sejauh manakah kebenaran laporan-laporan media kawalan Umno-Barisan Nasional(BN) terhadap kepimpinan negeri itu.

“Disebalik desas-desus pilihan raya umum ke-13, kami menjemput anda semua untuk datang ke Kelantan dan menyaksikan sendiri bagaimana Pakatan Rakyat melalui PAS memerintah Kelantan,” kata Mursyidul Am PAS ini.

“Anda semua boleh datang dan menilainya sendiri. Dan jangan lupa untuk bandingkannya dengan negeri yang diperintah oleh Barisan Nasional (BN),” ujarnya.

Selain itu, Nik Aziz berkata pihak yang mempertikaikan pencapaian kerajaan negeri Kelantan juga boleh menemuinya pada program Medan Ilmu di Kota Bharu, Jumaat ini.

“Anda dialu-alukan untuk datang ke Medan Ilmu pada pagi Jumaat,” kata beliau yang mengetuai pentadbiran kerajaan negeri sejak 1990.

Kerajaan negeri Kelantan di bawah pimpinan PAS telah menjadi pertikaian dan bahan cemuhan Umno-BN sejak sekian lama.

Terbaru Pengerusi Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed membidas kerajaan negeri Kelantan kerana menutup pintu rundingan dengan 415 peniaga Pasar Lama Majlis Perbandaran Kota Baru (MPKB) dan Arkde Uda.

Mustapa berkata kerajaan negeri Kelantan tidak bertimbang rasa kerana enggan memberikan peluang kepada peniaga berunding dengan mereka bagi menyelesaikan kemelut yang dihadapi.

Selain itu, Umno Kelantan sebelum ini juga mendakwa kerajaan negeri Kelantan tidak bersih ekoran pendedahan yang dibuat Utusan Malaysia mengenai loteri “big sweep” dan juga aktiviti pelacuran di negeri itu.

Malah penghujung tahun lalu, Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali menggesa Nik Aziz supaya meletakkan jawatan sebagai menteri besar.

Ibrahim berkata gesaan itu berikutan keadaan kesihatan Nik Aziz yang sering terganggu dan gagal membawa sebarang perubahan biarpun telah lama mentadbir negeri itu.

Beliau berkata, sudah sampai masa Nik Abdul Aziz mengundurkan diri bagi mengelakkan rakyat di negeri ini terus ditindas dan tidak mendapat hak mereka seperti mana yang dinikmati di negeri-negeri lain.

~tvs~

2 ulasan:

pokku(putrajaya) berkata...

suruh stopa & brahim lah tadbir kelate, doh sero pandai sangat...ambo tetap bersama Tok Guru&pimpinan negeri....gelombang hijau akan tenggelam gelombang meroh stopa....kami anak2 perantau tunggu masa untuk balik untuk tenggelamkan gelombang merah!Takbirrrr...

Tanpa Nama berkata...

Pergi tengok rumah tok guru besar mana.