Parti bukan sendirian berhad, urus secara jamaah

SHAH ALAM, 24 April: Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) berkata, parti hendaklah diurus secara jamaah dan bukannya seperti syarikat sendirian berhad apatah lagi sebagai syarikat anak beranak.

Menurutnya, PAS telah mengisytiharkan matlamat perjuangannya kepada seluruh rakyat Malaysia dan mereka telah melihat dan meyakininya.

Tegasnya, pimpinan PAS tetap menggerakkan parti untuk terus komited bersama Pakatan Rakyat yang mengorak langkah lebih jauh dalam arena politik negara.

Pengerusi Jawatankuasa Disiplin PAS itu juga mengingatkan ahli-ahli agar buang sikap 'tiada masa dengan Allah nanti Allah tiada masa dengan kita', lazimi Al-Quran, tahajjud dan puasa sunat serta berusaha agar kelemahan yang diketahui tidak terus dikekalkan.

Beliau menambah, kemenangan kali kedua di Selangor dalam pilihan raya umum (PRU) 13 akan datang bagi menjamin segala usaha politik dan dakwah Islam masakini dapat diteruskan.

Menurutnya, keadaan sekarang amat cantik di pandangan mata di mana masjid berjaya dimakmurkan dengan segala aktiviti mendidik anggota masyarakat.

"Kerana itu, harapan agar segala usaha dapat dilakukan sebaiknya bagi memastikan segala kegiatan dan usaha ke arah kebaikan dapat dijayakan dengan sebaiknya.

"Ingatlah Allah sedang menguji anda semua di Selangor ini, pasti tidak sama keadaannya sebelum menang dengan suasana selepas memegang tampuk kerajaan," tegasnya.

Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang berucap demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung PAS Kawasan Shah Alam ke 24 di TTDI Jaya, dekat sini pagi tadi.

Beliau berkata, pemimpin baik adalah mereka yang terus berpandangan jauh ke hadapan namun sesekali hendaklah menoleh ke belakang melihat kemampuan ahli-ahlinya.

Mereka, ujarnya, jangan terlalu laju sehingga tidak mampu dikejar ahli dan jangan pula terlalu lambat sehingga kaki mereka dipijak.

"Semua ahli mempunyai peranan dan tanggungjawab tersendiri, seumpama binaan batu-bata, mestilah disusun dengan baik, yang terlebih bakar, jangan diletakkan di hadapan kerana boleh merosakkan pandangan tetapi letaklah di bahagian pengukuhan tiang binaan," tegasnya penuh berkias.

Sementara itu, ketika berucap dalam majlis sama, Yang Dipertua PAS Shah Alam, Khalid Samad berkata, jika musuh dapat merampas semula Selangor, mereka pasti akan melakukan sekatan lebih teruk daripada sebelum ini.

Menurutnya, kemenangan PAS di banyak kawasan termasuk Shah Alam dalam PRU 12 pada Mac 2008 adalah hasil pendirian dan sokongan banyak pihak termasuk bukan Islam dan Melayu.

Kerana itu, jelasnya, gerak kerja selepas ini mestilah menjurus ke arah mendekatkan mereka termasuk semua anggota masyarakat lain bagi memahamkan mereka perjuangan dan matlanat PAS dalam memberi dan memelihara hak dan tuntutan semua pihak termasuk bukan Islam.

Tiada ulasan: