Wan Jamak jurulatih baru Kedah

ALOR SETAR, 24 April 2011 - Teka-teki mengenai siapakah jurulatih Kedah yang akan menggantikan Ahmad Yusof terjawab apabila Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) mengumumkan Wan Jamak Wan Hassan sebagai Ketua Jurulatih Kedah yang baru.

Setiausaha KFA Dato’ Dr Hamdan Mohamed Khalib berkata, keputusan tersebut dibuat selepas perbincangan dengan banyak pihak dan mengambil kira pandangan daripada penyokong Kedah sendiri. Prestasi beliau semasa membimbing pasukan terdahulu juga diambil kira.

Hamdan berkata, kontrak Wan Jamak adalah sehingga Liga Super musim ini dan keputusan untuk menyambung semula kontrak beliau adalah selepas penilaian prestasi dibuat.

Beliau berkata demikian di Stadium Darul Aman.

Sementara itu, Wan Jamak berkata, pasukan Kedah mempunyai potensi besar dan mempunyai pemain-pemain yang berbakat.

“Saya akan buat yang terbaik dengan berusaha untuk membawa Kedah bagi menjurai Liga Super kali ini. Namun begitu ia tidak dapat dilakukan oleh saya seorang sahaja, kerana saya memerlukan kerjasama dan sokongan dari pihak pengurusan, pemain dan penyokong Kedah.

“Setakat ini, momentum yang ditunjukkan oleh Radhi Mat Din adalah baik dan beliau dapat membawa kemenangan, jadi saya tidak perlu mengubah percaturannya, cuma kita perlu tingkatkan lagi kekuatan yang ada sahaja,” ujarnya.

Tugas Wan Jamak bermula Jumaat ini sebagai jurulatih iaitu pada hari pertembungan antara Kedah dan Perak di Stadium Darul Aman.

Tiada ulasan: