Video Seks : Tiada Perkembangan Dan Penangkapan Dibuat

KUALA LUMPUR 10 JUN : Polis masih belum mempunyai sebarang petunjuk baru atau membuat tangkapan berhubung pengedaran VCD lucah yang memaparkan aksi seks seorang lelaki yang didakwa mirip ketua pembangkang seperti yang dipertontonkan oleh trio 'Datuk' kepada wartawan.

Menurut Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah pihaknya masih menyiasat kes berkenaan.

"Tiada perkembangan baru atau tangkapan berhubung perkara itu.

"Kami memang sedari bahawa video itu sedang diedarkan di negeri ini dan mengklasifikasikan kes itu mengikut seksyen 292 Kanun Keseksaan kerana mengedarkan barangan lucah,” katanya.

Sejak bulan lalu, semakin ramai pemimpin masyarakat mendakwa menerima video seks berkenaan.

Antara mereka termasuk ketua kampung di kebanyakan tempat di Selangor sebelum menular ke negeri-negeri lain.

Selain kampung-kampung Melayu, turut menjadi sasaran adalah kampung Cina dan India.

VCD lucah yang diposkan ke rumah mereka dikatakan berasal dari Shah Alam dan ada yang dari Melaka. Ini berdasarkan setem dan cop pos di sampul surat yang dihantar itu.

Awal hari ini, ahli parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin membuat laporan polis di ibu pejabat daerah polis Ampang Jaya setelah menerima VCD di peti suratnya bersama surat palsu yang kononnya dikeluarkan oleh PAS.

Bahagian luar VCD itu memaparkan imej timbalan presiden PAS yang baru Mohamad Sabu, dengan judul 'Skandal Seks Mat Sabu'.

Skandal Seks Mat Sabu

“Sebaran VCD lucah fitnah Datuk Seri Anwar Ibrahim kini sudah berleluasa ke seluruh negara. Sepatutnya pihak polis sudah boleh mengesan siapa dalangnya. Namun sehingga kini tiada sebarang hasil siasatan dari semua laporan polis yang dibuat mengenai penyebaran VCD lucah ini.

“Lebih melampau, saya sendiri telah menerima VCD dan risalah fitnah ini yang dihantar ke rumah saya semalam. Sampul surat yang dihantar mengandungi surat palsu yang menggunakan kepala surat PAS, VCD bertajuk 'Skandal Seks Mat Sabu' dan risalah yang memaparkan beberapa adegan dari VCD lucah...mula dicemarkan sehingga ke Ampang pula,” katanya.

Zuraida mendakwa penyebaran rakaman seks itu kerja Umno sebagai usaha mereka bagi memecah-belakan kerjasama parti-parti gabungan Pakatan Rakyat.

“Susulan dari laporan polis saya hari ini juga, saya meminta agar Unit Siasatan PDRM segera menyiasat perkara ini. Ini kerana apa yang berlaku jelas bermotifkan politik dan berkemungkinan turut melibatkan arahan dan penglibatan pihak atasan,” kata Zuraida.-Malaysiakini

Petronas Catat Untung RM241 Bilion

SHAH ALAM 9 JUN : Kenaikkan beberapa kali harga minyak petrol RON97 sepanjang tahun ini dan terbaru gas asli yang menyaksikan kenaikan tarif elektrik sebanyak 7.12 peratus oleh kerajaan Umno-Barisan Nasional(BN), Petronas semalam dicatat mengaut keuntungan RM241 bilion.

Malah, Petronas dilapor memperoleh keuntungan lebih tinggi bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2011, didorong kenaikan harga semua produknya dan jumlah dagangan yang tinggi.

Presiden dan ketua pegawai eksekutif Datuk Shamsul Azhar Abbas berkata perolehan meningkat 14.4 peratus kepada RM241.2 bilion daripada RM210.8 bilion.

Sementara keuntungan pracukai juga dikatakan meningkat 34.5 peratus kepada RM90.496 bilion daripada RM67.3 bilion sebelum ini.

Syarikat minyak negara itu dalam masa sama turut mengumumkan dividen RM30 bilion kepada kerajaan.

Pada April lalu, petrol RON 97 dinaikkan sebanyak 20 sen kepada RM2.70 seliter yang merupakan kenaikan kali kelima sejak harga bahan api itu diapungkan dan kenaikan kedua sejak 31 Januari lalu.

Sementara itu, kerajaan Umno-BN menaikkan tarif elektrik dengan purata 7.12 peratus bermula 1 Jun lalu sebagai usaha menarik balik subsidi daripada rakyat, meskipun Tenaga Pengeluar Bebas (IPP) memperoleh RM19 bilion hingga RM22 bilion setahun.

Gas asli pula dinaikkan RM3 setiap mmBtu setiap enam bulan sehingga mencecah harga pasaran pada 2016, apabila harganya diapung sepenuhnya.

Pimpinan Pakatan Rakyat sebelum ini menyelar kenaikan itu dan mendesak supaya kerajaan mendedahkan perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) antara Tenaga Nasional Berhad dan IPP yang lebih menguntungkan syarikat korporat tersebut.

Dalam masa yang sama pula, Petronas dikatakan menanggung subsidi gas sehingga mencecah RM131 bilion akibat daripada perjanjian berat sebelah tersebut, apabila dipaksa menjual gas dengan harga yang lebih rendah kepada IPP.

Negara Berkebajikan : Umno Demam Panas, Kata Mahfuz

SHAH ALAM 8 JUN: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan laporan muka hadapan Utusan Malaysia kononnya parti itu mula berbalah berhubung perjuangan mendirikan Negara Berkebajikan sebagai fitnah terbaru media Umno.

Malah katanya, laporan itu juga memperlihatkan betapa gelabahnya kepimpinan Umno dengan azam PAS memperjuangkan dasar Negara Berkebajikan sepertimana yang dibentangkan pada Muktamar PAS ke 57, minggu lalu.

Mahfuz berkata, barisan kepimpinan Umno juga kini seolah-olah mengalami 'demam panas' apabila PAS menekankan keperluan mendirikan Negara Berkebajikan.

Jelasnya lagi, Utusan Malaysia juga sengaja menabur fitnah agar rakyat mudah terpedaya dengan laporan yang disiarkannya.

Utusan Malaysia hari ini mendakwa beberapa pihak dalam PAS telah mula mempersoalkan mengenai perjuangan PAS menubuhkan negara berkebajikan dan kononnya membelakangkan matlamat asal penubuhan parti itu.

Komen beberapa individu yang tidak dikenali di dalam Facebook dijadikan sandaran untuk laporan muka depan itu.

"Perkara (berbalah) tersebut tidak wujud. dan bohong sama sekali. Utusan Malaysia ini mana boleh percaya...Utusan Malaysia ini sengaja menimbulkan keraguan di kalangan masyarakat," kata Mahfuz.

"Sebenarnya Utusan sendiri berada dalam keadaan gelabah kerana towkey dia (Umno) sendiri berasa tidak menentu sekarang ini dan ibarat pemimpin-pemimpin Umno ini sedang 'demam panas' kuat bila berhadapan dengan satu lontaran yang sangat menyentuh persoalan kehidupan masyarakat dan rakyat dalam negara kita yang dibawa oleh PAS iaitu 'Negara Berkebajikan," katanya kepada Tv Selangor.

Muktamar PAS ke 57 di Taman Melewar, Jumaat lalu sebulat suara menyokong ucapan dasar Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk memperjuangkan serta membangun Negara Berkebajikan.

Dalam ucapan dasar muktamar, Hadi yang juga ahli parlimen Marang itu berkata, Islam menjadikan kerajaan tidak membebankan rakyat dengan cukai yang tinggi atau cukai paksaan.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang dihubungi Tv Selangor turut menegaskan bahawa tiada sebarang perubahan dasar yang berlaku berhubung perjuangan PAS melaksanakan ‘Negara Berkebajikan’ ini.

Menurut Khalid Samad, tafsiran ‘Negara Kebajikan’ yang diumumkan PAS pada muktamar lepas bukan tafsiran ‘suka-suka’.

“Istilah ‘Negara Berkebajikan’ ditakrifkan mengikut Perlembagaan. Kalau dalam Perlembagaan disebut ingin mewujudkan sebuah masyarakat dimana nilai-nilai dan hukum hakam Islam dilaksanakan yang menuju kepada keredhaan Allah, itu ada dalam Perlembagaan. Negara berkebajikan itu ditafsirkan berdasarkan perlembagaan. Bukan berdasarkan tafsiran masing-masing,” katanya.

Khalid membidas Utusan kerana mendakwa PAS menggugurkan dasar negara Islam dan menggantikannya dengan negara berkebajikan.

Khalid menegaskan keutamaan PAS ialah membina negara berkebajikan mengikut lunas-lunas yang sudah ditetapkan dalam hala tuju PAS.

”Dasar parti bergantung kepada perlembagaan. Kalau ingin menukar sebarang dasar ianya perlu merujuk kepada Perlembagaan. Cogan kata adalah hanya cogan kata dan tidak ada kena mengena dengan soal dasar yang ingin diperjuangkan," kata Khalid.

"Kalau kita mengatakan ingin memperjuangkan negara yang adil, bukan bererti kita dah gagal atau kuburkan negara Islam. Kita memberikan tumpuan kepada aspek hasil yang ingin kita capai bukan kepada nama atau brandnya, tetapi kepada hasilnya iaitu sebuah negara yang bersifat berkebajikan' tambah beliau.

Tambah Khalid lagi, komen-komen negatif yang dibuat oleh segelintir pihak terutamanya di laman sosial Facebook adalah kerana mereka terpengaruh dengan laporan 'fitnah' media kawalan Umno ini.

“Kalau orang marah dan sebagainya di laman sosial, mereka-mereka ini terlalu dipengaruhi dengan tulisan-tulisan didalam Utusan Malaysia dan sebagainya. Tidak ada perubahan dasar bagi PAS sepertimana yang saya sebut, kalau nak nak ubah dasar, kena ubah Perlembagaan,” ujar beliau.

Apakah Umno-BN Faham Erti Negara Berkebajikan?

KOMENTAR : Ini satu lagi ujian bagi rakyat Malaysia; sekurang-kurang untuk menyukat kefahaman dan kebijaksanaan mereka. Persoalan kali ini mudah – apakah erti kebajikan? Dan, setelah mengerti istilah kebajikan, apakah pula yang dimaksudkan dengan Negara Berkebajikan?

Seperti biasa pemimpin Umno-BN akan menggunakan segala kudrat media dan instrumen penerangannya untuk memberi takrif kebajikan dari sudut pandang mereka. Umumnya, pemimpin Umno-BN mendakwa mereka telahpun melaksanakan tuntutan Negara Berkebajikan dalam urusan pentadbiran negara.

Tanpa sebenarnya mengulas dan memperinci erti kebajikan, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, misalnya, terus mendabik dada mengatakan bahawa Malaysia adalah sebuah Negara Berkebajikan. Dalilnya, kata beliau, kerajaan telah memberi dan menyediakan pelbagai kemudahan untuk rakyat di bidang pendidikan, prasarana, subsidi sara hidup dan sebagainya.

Lantas, beliau dan timbalannya, Muhyiddin Yassin, memperlekehkan teras perjuangan PAS kini untuk menegakkan sebuah Negara Berkebajikan. Malah diperli-perli pula PAS yang kononnya tergamak meninggalkan perjuangan menegakkan sebuah Negara Islam.

Seolah-olah meratapi anjakan keutamaan PAS ini, Umno mahu perjuangan mulia PAS menegakkan Negara Islam diteruskan. Namun rakyat yang peka tentu dapat membaca dalam usaha memikat pengundi Melayu-Islam, Umno melalui bekas presidennya, Dr Mahathir Mohamad, dengan selamba menabalkan Malaysia sebuah Negara Islam hanya kerana Perlembagaan menyebut Islam agama rasmi Persekutuan.

Langkah itu semua diambil dengan tujuan mematikan langkah politik PAS terus memenangi hati dan minda orang Islam di negara ini untuk menyokong agenda menegakkan sebuah Negara Islam di Malaysia!

Kini apabila PAS memperkenalkan konsep perjuangan Negara Berkebajikan, Umno (melalui Presiden dan Timbalan Presiden) beria-ia benar mengumumkan kerajaan Umno-BN memang sudah lama memperjuangkan konsep Negara Berkebajikan itu.

Memang diakui demikian. Namun tindakan Umno-BN itu adalah satu usaha yang dilakukan sudah terlalu lama dahulu. Itupun ketika Umno-BN belum lagi dirasuk nafsu serakah untuk menghimpunkan dividen kebajikan kerajaan kepada sanak saudara dan suku sakat Umno dan sedikit sahaja untuk ahli komponen BN yang lain.

Sejak berjaya melakarkan impian bahawa Malaysia akan menjadi sebuah Negara Maju menjelang tahun 2020, Umno mula memusatkan perhatian untuk menghimpunkan kekayaan dan kemewahan atas nama Dasar Ekonomi Baru. Kira-kira RM54 bilion dikumpulkan untuk menjana kekayaan bagi pihak kaum Bumiputera. Hari ini hanya RM2 bilion sahaja yang boleh dikaitkan dengan pemilikan Bumiputera baki RM52 bilion itu lesap atau tiris entah ke mana. Hanya Umno dan pemimpinnya tahu siapakah yang benar-benar mendapat manfaat daripada kerangka kebajikan yang diwar-warkan oleh Najib dan Muhyiddin ini.

Adalah selamat dikatakan bahawa Umno-BN Cuma faham erti kebajikan dari sudut material semata-mata. Dari tindak tanduk dan sikap, boleh dirumuskan bahawa Umno tidak menghitung bahawa pengertian Negara Berkebajikan juga mempunyai dimensi rohaniah atau kejiwaannya.

Seseorang yang bernaung di bawa sebuah Negara Berkebajikan mungkin tidak lengkap dibantu dengan kebajikan material sahaja. Kebajikan yang hakiki ialah ketenangan, kesejahteraan dan kemakmuran jiwa dan akal fikiran. Perspektif ini amat penting diterjemah dan dihayati dalam sesebuah negara yang berkebajikan.

Soal bantuan ekonomi dan materi lain memang mutlak menjadi tanggungjawab kerajaan. Namun bantuan dan kebajikan hakiki mestilah dijelmakan dalam soal bebas menghayati rasa aman, sejahtera dan selamat daripada segala onar. Rakyat harus bebas dari ketakutan harta-benda dan nyawa mereka dicerobohi. Jika ia disakiti oleh hasad dengki insan lain, ia tahu bahawa ia akan dapat pembelaan dan, jika ia dibicarakan, ia yakin bahawa ia akan dihakimkan dengan adil.

Bila disebut Negara Berkebajikan, ia bermakna rakyat mestilah dilindungi oleh hambatan ekonomi seperti inflasi, menghuni sistem perumahan yang munasabah dan mampu memelihara maruah individu dan keluarganya. Kemudahan hidupnya seperti peluang pendidikan, prasarana pengangkutan dan sebagainya mestilah diapit erat oleh ketenangan, keamanan dan keadilan yang dijamin oleh pemerintah.
Maka apabila Najib dan Muhyiddin bersorak bahawa Umno-BN sudahpun mengamalkan konsep Negara Berkebajikan, ia pasti satu pengertian dan cerminan kefahaman dan kepemimpinan yang cacat. Kebajikan material Umno-BN tidak diimbangi dengan dimensi kebajikan kejiwaan.

Bagaimana mungkin akan ada ketenangan jika dalam kehidupan seharian kos sara hidup semakin merentap nilai setiap sen yang diperolehi dari jerih rakyat oleh inflasi lantaran kebebalan pengurusan kerajaan memotong subsidi barangan perlu tetapi masih mempertahankan jaminan RM19 bilion subsidi kepada pengeluar tenaga bebas (IPP) saban tahun?

Kebajikan apa namanya jika setiap ibubapa sentiasa musykil, bimbang dan ngeri akan keselamatan anak dan keluarga dalam kes kejadian jenayah yang semakin parah? Kebajikan apa namanya, jika agensi keselamatan dilihat lebih mudah diarah oleh pemerintah untuk menggertak dan mengancam rakyat yang mahu bersuara tentang kepincangan sistem pilihanraya, mahkamah dan menuntut hak untuk bebas bersuara?

Untuk mencapai status Negara Maju, Malaysia memerlukan warga yang tinggi pendidikannya dan lapang pemikirannya tanpa cengkaman peraturan dan undang-undang yang zalim. Rakyat memang dengan penuh komitmen sentiasa membimbing keluarga masing-masing ke arah itu. Maka zaman untuk terus menjadi tukang angguk kepada sebuah pemerintah seperti Umno-BN yang berpendirian “hanya kerajaan yang lebih tahu” sudah berlalu.

Rakyat hari ini lebih mengerti maksud Negara Berkebajikan. Usah Najib, Muhyiddin atau mana-mana pemimpin Umno-BN beranggapan bahawa rakyat jahil dalam membezakan ciri-ciri sebuah Negara Berkebajikan dengan sebuah pemerintah yang hanya menghimpunkan kebajikan kepada juak-juak mereka sahaja.

Anwar Gesa Negara Timur Tengah Laksana Perubahan Politik

KUWAIT CITY 7 JUN : Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa negara Timur Tengah untuk melakukan perubahan politik ke arah lebih telus dan terbuka dalam pentadbirannya bagi mengukuhkan lagi kedudukan negara itu dan mengelakkan krisis tercetus berikutan ketidakpuasan hati rakyat.

Menurut Anwar, kerajaan perlu memberi komitmen terhadap perubahan mereka untuk membetulkan pentadbiran dan menguatkan prinsip demokrasi selain penghapusan amalan-amalan korupsi dalam pentadbiran.

"Kita tahu arus perubahan politik ada pasang dan surutnya bergantung kepada kekuatan atau kelemahan komitmen terhadap demokrasi dan kebebasan.

"Seperti yang pernah saya katakan, jika mahu perubahan ini bermakna, ia mesti menguatkan demokrasi dan bukan melemahkannya, memperbaiki pentadbiran dan tidak memberi muka kepada korupsi dan kronisme. Komitmen jelas untuk memastikan keadilan sosio-ekonomi dan pengagihan kekeyaan yang saksama akan meningkatkan pertumbuhan ekonomi," kata Anwar dalam Ucaptama Persidangan mengenai Kewangan Islam dalam Membiayai Pembangunan di sini hari ini.

Keadaan Timur Tengah dilihat bergolak lantaran pemberontakan rakyat terhadap kepimpinan yang dianggap mereka menekan hak rakyat seperti di Tunisia, Mesir, Libya dan beberapa negara lain sejak akhir tahun lalu.

Bagaimanapun beberapa negara teluk lain telah mula mengorak langkah supaya lebih telus dan adil dalam pentadbiran mereka.

"Pengajaran Tunisia dan Mesir mengingatkan kita bahawa kelangsungan masyarakat demokratik, kuasa dan autoriti mesti berpaksikan kedaulatan undang-undang. Keterbukaan dan ketelusan mesti dipromosikan oleh pentadbiran negara," tegas Anwar.

Anwar turut menyeru agar kerajaan tidak perlu risau untuk berubah kerana proses demokrasi langsung tidak menghalang kepada pembangunan ekonomi sebaliknya akan meningkatkan lagi pertumbuhan ekonomi negara itu dan serantau.

"Hanya satu perkara yang boleh mengatasi hal ini iaitu perniagaan mesti berteraskan budaya pentadbiran korporat yang bernilaikan ketelusan dan amalan beretika. Perlu ada semangat politik untuk menentang korupsi dan menghalang konglomerat berniat jahat yang bersekongkol dengan pihak autokrat untuk merogol tanah dan memusnahkan alam sekitar. Kita lihat hal ini berlaku di Timur Tengah dan Asia Tenggara, " kata beliau

Pemuda Tolak Politik Lucah

GOMBAK 6 JUN : Dewan Pemuda PAS Pusat menyokong penuh tindakan muktamar ke 57 meluluskan usul mengutuk keras penyebaran video seks "fitnah" Datuk T kerana mempunyai kepentingan politik pihak tertentu selain lambang keruntuhan tamadun sesebuah negara dan bangsa.

Ketuanya Nasrudin Hasan Tantawi berkata, pihaknya juga sebulat suara mengutuk tindakan Umno-Barisan Nasional (BN) kerana didakwa membenarkan video lucah berkenan dipertontonkan di saluran televisyen dan media cetak dengan “dihalalkan” oleh kerajaan pusat

Menurut Nasrudin, ia bercanggah dengan syariah Islam dimana setiap mereka yang ingin mengembil tindakan terhadap pertuduhan zina mesti mengemukakan empat orang saksi yang warak.

"Pemuda menolak politik lucah, politik fitnah, keji dan jijik. Kita mahu politik berakhlak, beradab yang berhemah. Kita juga mahu politik yang adil dan saksama dalam apa jua keadaan kita nak memenangi Pilihan Raya Umum," tegas beliau dalam sidang media ketika Muktamar semalam.

Video lucah 22 minit itu didalangi oleh tiga individu termasuk bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Chik yang juga Pengerusi Risda serta ahli perniagaan Shazryl Eskay.

Bekas bendahari Perkasa Shuib Lazim melengkapkan gandingan Datuk T yang menayangkan video itu kepada media terpilih pada 21 Mac lalu.

Mereka mendakwa video itu menunjukkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan hubungan seks dengan seoranfg pelacur Cina di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 21 Febuari lalu.

Video itu kemudian disebarkan menerusi Internet dan turut diedarkan dari rumah ke rumah, pasar malam dan menerusi masjid.

Anwar menafikan fitnah itu lalu membuat laporan polis terhadap Datuk T dan turut mahukan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan menguatkuasakan undang-undang Qazaf untuk menangani isu itu.

Walaupun begitu, sehingga kini belum ada tindakan diambil oleh polis ataupun JAWI terhadap tiga individu itu yang terus melempar fitnah menerusi media arus perdana kawalan Umno.

Usul berkenaan dibentangkan oleh wakil dewan ulama Mohd Fadzil Mohd Noor.

Wakil dewan Ulama Mohd Fadzil Mohd Noor membidas sikap membisu Ulama dan Mufti lantikan UMNO kerana hanya membisu seolah merestui penayangan video tersebut.

Video Ucapan Penggulungan Presiden PAS - Muktamar PAS

Mat Sabu : Umno Goyah Menghadapi PAS

GOMBAK 5 JUN : Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menyelar pemimpin UMNO-Barisan Nasional kerana menabur fitnah kononnya PAS menukar matlamatnya semata-mata untuk mengikut rentak DAP dan Parti Keadilan Rakyat.

Beliau menegaskan konnsep negara kebajikan yang diperkenalkan dalam Muktamar PAS kali ke-57 adalah berteraskan Islam dan sekaligus membanteras maksiat serta penyelewengan yang kini berleluasa di bawah pentadbiran UMNO-Barisan Nasional.

"Jadi apabila kita sebut negara berkebajikan dan PAS mendokong dasar Islam, sudah tentulah negara itu berdasarkan kepada Islam," tambah Mohamad Sabu dalam sidang akhbar selepas Muktamar PAs ke 57.

Beliau berkata DAP dan PAS mempunyai prinsip perjuangan yang dipersetujui dalam konsesus Pakatan Rakyat dan tidak timbul soal parti Islam itu dipaksa untuk menerima buah fikiran DAP.

"Walaupun bunyi menentang rasuah dan penyelewengan sama nada dengan DAP tidak beerti kita terpengaruh dengan DAP sebab itu adalah slogan bersama yang dipanggil slogan umum yang tidak mahu perkara-perkara itu dan bukan kita diperalatkan oleh DAP."

Dalam reaksi spontan kepada kemenangan Mohamad Sabu semalam, media kawalan Umno dan pemimpin parti itu mendakwa PAS kini di bawah telunjuk PKR dan DAP dan semakin meminggirkan golongan ulama.

Mohamad Sabu menewaskan penyandang jawatan Nasharudin Mat Isa dan seorang lagi ulama Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man untuk menjadi timbalan presiden baru PAS menjelang pilihanraya umum ke-13.

Mengulas mengenai tuduhan-tuduhan pemimpin Umno itu, Mohamad Sabu berkata reaksi itu mencerminkan UMNO resah kerana Pakatan Rakyat mempunyai hubungan yang rapat di antara satu sama lain dan menjadi ancaman yang semakin membesar terhadap Umno.

"Mereka bimbang apabila melihat laporan surat khabar cina dan media asing yang memberitahu pimpinan baru ini adalah merbahaya kepada UMNO," kata beliau.

Hal ini turut dipersetujui oleh Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Kamaruddin Jaafar bahawa pimpinan UMNO-BN kini berada dalam keadaan tidak keruan terhadap perkembangan ini.

"Jelas sekali mereka bimbang tetapi apa yang mereka secara tidak sedar mengakui ialah bahawa mereka mengiktiraf hubungan PAS dengan DAP dan PKR adalah amat baik dan ada persefahaman jadi percubaan mereka bahawa PAS telah dipergunakan adalah tidak tepat."

Sementara itu, Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nik Abduh Nik Abd Aziz menyatakan segala tohmahan UMNO-BN itu hanyalah alasan semata untuk meruntuhkan dan memecah belahkan hubungan baik yang terjalin di antara Pakatan Rakyat.

"Kalau perubahan tak berlaku hasil daripada pemilihan ini, mereka akan kata sebaliknya pula, PAS tidak berubah, PAS masih lagi parti kopiah, kalau kita berubah dia kata kita macam DAP. Jadi apa yang kita buat pun kita tahu UMNO tidak akan memberi reaksi yang positif kepada PAS."

Jalan ke Putrajaya 'makin jelas' - Nik aziz

Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 5 Jun: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nikmat membayangkan saf kempipinan baru PAS yang dipilih pada muktamar ke-57 parti itu semalam menjadikan jalan menuju ke Putrajaya 'makin jelas'.

Bercakap ketika ditemubual Harakah dan Harakahdaily hari ini, beliau yakin kabinet baru PAS itu mampu melakar masa depan baru untuk PAS khususnya menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13.

"Jalan menuju Putrajaya makin jelas.

"Jangan ada jual kad pengenalan, bagi kepada warga asing mengundi insyaAllah.

"Kalau demokrasi dijalankan dengan betul, maka tidak ada sebab PAS dan Pakatan Rakyat tak boleh sampai ke Putrajaya," katanya.

Pada pemilihan semalam, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang mengekalkan jawatan itu tanpa bertanding menerima timbalan baru iaitu Mohamad Sabu.

Mohamad menang jawatan itu terhadap penyandangnya Nasharudin Mat Isa dan seorang lagi calon bertanding, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Bagi tiga jawatan Naib Presiden pula, perwakilan telah memilih Salahudin Ayub, Datuk Husam Musa dan Datuk Mahfuz Omar.

Ketiga-tiga mereka mendapat undi paling tinggi menewaskan tiga lagi calon iaitu Ust Idris Ahmad, Datuk Mohd Amar Abdullah dan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin.

Mengulas penyertaan Mohamad Sabu yang dilihat bakal memberi energi baru dalam saf hadapan kepimpinan PAS, beliau memberi analogi begini.

"Mohamad Sabu ni macam enjin la, drivernya Tuan Guru Haji Hadi, dan kita semua adalah penumpangnya.

"Kereta tak jalan walau enjin buka, kena driver tekan minyak juga,"katanya.

Berhubung isu ulama-profesional yang dimainkan media Umno pula, Tuan Guru Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, ianya petanda kabinet baru itu digeruni Umno BN.

Sejak keputusan pemilihan semalam, media pro Umno sama ada internet dan media cetak, tidak putus-putus memainkan isu kepimpinan ulama dalam PAS tidak lagi diterima.

Majoriti tajuk akhbar mereka hari ini juga menggambarkan PAS tidak lagi islamik kerana mendakwa pemimpin utama didominasi kelompok profesional.

"Sebut Islam mesti berkait politik. Bila politk mesti ada kerajaan. Maka untuk ada kerajaan mesti ada profesional.

"Dalam PAS, sebut kata ulama automatik profesional, sebut profesional mesti berjiwa ulama.

"Yang menduakan barang satu ini adalah Umno, sebab dia ada profesional sahaja tiada ulama. Ulama dalam Umno kena singkir," jelasnya.

Harakahdaily

PAS rangka pelan kemenangan - Husam

Oleh : Intan Abdullah

KUALA LUMPUR, 5 Jun: Naib Presiden PAS yang baru terpilih, Datuk Husam Musa berkata, pihaknya akan merangka satu pelan kemenangan bagi menuju Pilihan Raya Umum ke-13.

Ia adalah antara rangka untuk merealisasikan tema muktamar PAS kali ini, 'Membangun Negara Berkebajikan'.

Ketika ditemui sejurus selepas diumumkan menang naib presiden, Husam berkata perkara tersebut akan diperincikan di peringkat semua dewan-dewan sesuai dengan peranan masing-masing.

"Kita akan adakan pelan kemenangan di mana setiap dewan yang akan diberikan peranan dan tugas masing-masing seperti Dewan Pemuda yang dicadangkan agar lebih fokus kepada daftar pemilih pengundi muda secara berstrategi," katanya di Kolej Universiti Zulkifli Muhamad, Taman Melewar, Gombak baru-baru ini.

Gabungan Selatan, Timur dan Utara

Mengulas mengenai kemenangan beliau pada pemilihan kali ini, beliau menganggap ianya adalah kemenangan yang bersifat kolektif.

"Kemenangan ini turut memperlihatkan bahawa tidak timbul isu ulama terhakis kerana dalam PAS tidak berlaku perbezaan dan kami tidak merasakan ada keganjilan. Isu ini sengaja diada-adakan pihak luar yang ada agenda," ujarnya.

Husam yang juga exco kanan kerajaan Negeri Kelantan menyifatkan saf kepimpinan baru ini sebagai satu pasukan yang baru muncul untuk membantu Presiden PAS.

"Kami semua adalah satu pasukan yang mahu bersama Presiden kerana kelebihan dan kekuatan pasukan ini adalah performance atau prestasi mereka sebelum ini. Mahfuz dari Utara, Salehudin dari Selatan dan saya dari Timur.

"Kita perlukan pembetulan kerana PAS mempunyai tanggungjawab yang besar dan ia satu pasukan yang boleh diterima - saya berharap kita mempunyai kesempatan untuk berbincang di semua peringkat untuk membantu kemenangan," katanya.

Perkasa media

Beliau menekankan peranan dan kemampuan media dalam memastikan pelan kemenangan itu terlaksana.

"Saya lihat perlu ada peningkatan kemampuan seperti media secara gagah dan perkasa untuk bersaing dengan Umno.

"Jika ia boleh berlaku bermakna PAS boleh diharap untuk membawa Malaysia kembali kepada landasan yang baik," ujarnya lagi.

Ketika diminta bercakap mengenai gambaran gerak kerja PAS dalam menghadapi PRU-13, beliau menyatakan ia merupakan penekanan yang diberikan secara serius.

"Fokus segera kita adalah PRU-13 kerana keadaan politik negara kini berada di persimpangan rejim yang korup daripada semua aspek.

"Kita kena meningkatkan kemampuan parti seperti media secara gagah dan perkasa untuk bersaing dengan Umno-BN," katanya lagi.

Menyentuh ucapan dasar Presiden PAS, beliau merasakan tawaran Negara Berkebajikan adalah munasabah bagi rakyat untuk diterima dan membandingkannya antara tawaran PAS dan Umno.

Harakahdaily

Pemilihan PAS - Wajah Baru Yang Menakutkan Umno

Oleh : Wira Arjuna

KOMENTAR : Ada yang menyifatkanya sebagai kemenangan untuk kumpulan profesional dan kekalahan untuk golongan ulama.

Tidak kurang pula tafsiran bahawa kemenangan “kumpulan Erdogan” dalam pemilihan PAS semalam sekali gus menempelak cubaan Umno untuk “meminang” PAS, khususnya sejak beberapa bulan lalu.

Apa pun, yang jelas ialah PAS sekali lagi telah menunjukkan kematangan untuk memilih pasukan terbaik bagi mengetuai cabaran menghadapi pilihanraya umum ke 13 yang dijangka diadakan tidak lama lagi.

Berlainan dengan Umno, PAS tidak menangguhkan pemilihan parti semata- mata kerana khuatir saingan untuk jawatan akan memecah belahkan parti dan menggugat peluangnya dalam PRU.

Sebaliknya pucuk pimpinan PAS begitu yakin terhadap kematangan perwakilan DAN calon untuk merapatkan saf dengan selesainya pemilihan yang dijalankan dalam semangat demokrasi dan musyarawah.

Kecenderungan untuk menyifatkan PAS sebagai parti yang kini dikuasai oleh golongan professional berpaksi kepada kemenangan Mohamad Sabu sebagai Timbalan Presiden dan Husam Musa sebagai Naib Presiden baru.

Mohamad Sabu kini diangkat sebagai orang pertama dari golongan bukan ulama yang menyandang jawatan Timbalan Presiden dalam tempoh 20 tahun.

Nasharuddin Mat Isa tersingkir sebagai orang kedua parti manakala tokoh ulama Tuan Ibrahim Tuan Man juga kecundang kepada Mohamad Sabu.

Untuk Naib Presiden, selain Husam, Sallehuddin Ayob dan Mahfuz Omar melengkapkan senarai jawatan itu apabila mengekalkan kerusi mereka.

Kemenangan beberapa tokoh lain seperti Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Zulkfli Ahmad, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad dan Ahli Parlimen Tumpat Kamaruddin Jaafar untuk menduduki Jawatankuasa Kerja Pusat juga disabitkan sebagai bukti PAS dalam genggaman profesional.

Media arus perdana khususnya Utusan Malaysia akan cuba memaparkan PAS sebagai parti yang tidak lagi dikuasai golongan ulama. Tentunya modal ini akan diambil oleh Umno untuk dijual pula kepada pengundi.

Namun, walaupun bertukar nakoda (itu pun peringkat Timbalan dan ke bawah sahaja) hala tuju PAS tetap sebagaimana yang terpacak dalam matlamat perjuangannya.

Perwakilan yang memilih golongan “profesional” atau Erdogan yakin calon- calon berkenan mempunyai ketokohan untuk memacu PAS menghadapi PRU-13 tanpa melunturkan azam dan matlamat perjuangan parti.

Kesemua yang dipilih sebenarnya sebati dengan perjuangan PAS – Mohamad Sabu, Husam dan yang lain-lain adalah orang lama yang bergerak sealliran dengan liku-liku perjuangan PAS.

Mereka adalah veteran dalam parti yang faham sentimen akar umbi PAS dan pada masa sama mempunyai sifat dinamis untuk berkerjasama dalam kerangka Pakatan Rakyat bagi mencapai matlamat PAS membangun negara berkebajikan.

Konsep negara berkebajikan ini sudah pun dicanang oleh Utusan Malaysia dan Berita Harian sebagai bukti kononnya PAS sudah mengubah haluan dan kononnya mengabaikan penubuhan sebuah negara Islam, apatah lagi di bawah PAS pimpinan golongan professional.

Kedua- dua akhbar itu seharusnya memerinci nilai- nilai yang disebutkan oleh Presiden PAS Abdul Hadi Awang Hadi dalam ucapan dasarnya dan membuktikan bagaimana penubuhan sebuah negara berkebajikan bercanggah dengan syariat Islam.

“Kita mulakan dengan perlaksanaan negara berkebajikan, ia ada dalam Islam dan al-Quran. Dalam al-Quran tidak sebut negara Islam, ia sebut negara berkebajikan,” kata Hadi dalam sidang medianya semalam.

Konsep negara berkebajikan didokong dalam Buku Jingga Pakatan Rakyat, bermakna ia turut dipersetujui oleh DAP.

Kemunculan pemimpin- pemimpin seperti Hadi, Mohamad Sabu, Husam dan yang lain hadir berkongsi pentas dengan Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Karpal Singh untuk menerangkan penubuhan negara berkebajikan kepada umat Islam dan bukan Islam tentunya menjadikan Umno dan akhbar miliknya gusar dan cemas.

Justeru kerana itulah Utusan dan Berita Harian akan menjaja PAS sebagai parti yang tidak lagi dikuasai oleh ulama, malah sudah mengubah matlamat perjuangannya.

Sebelum pemilihan PAS semalam, Utusan Malaysia cuba secara licik untuk membawa mesej- mesej tertentu untuk mempengaruhi perwakilan parti dalam memilih calon.

Utusan yang sering menyerang Islam yang dibawa oleh PAS tiba-tiba mengingatkan keperluan parti itu supaya meneruskan perjuangan dan matlamatnya dengan pimpinan ulama.

Memang hebat transformasi Utusan walaupun ia hanya untuk memastikan agenda sempit Umno menjalin kerjasama politik dengan PAS tidak kecundang. Namun akhirnya rancangan Utusan-Umno itu nampaknya gagal juga.

Pemilihan muka-muka baru termasuk Mohamad Sabu dan Husam bermakna mereka kini memikul tanggungjawab besar untuk membantu Hadi mengemudi PAS dan Pakatan Rakyat dalam menghadapi PRU akan datang.

Perwakilan membuat pilihan sedemikian kerana menyifatkan mereka sebagai gandingan terbaik untuk misi berkenaan. Sebuah misi yang mampu mengubah landskap politik Malaysia dan menjanjikan pembaharuan-pembaharuan yang didahagakan oleh rakyat, Islam dan bukan Islam.

Ramai lagi artis akan sertai PAS - Nasrudin

Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 4 Jun: Kesediaan beberapa orang artis untuk menyertai PAS, selepas Bob Lokman, membuktikan PAS sudah semakin diterima oleh pelbagai lapisan masyarakat di tanah air.

Perkembangan yang memberangsangkan ini diyakini akan menarik minat lebih ramai anggota masyarakat negara ini untuk menyertai PAS menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13, sejajar dengan perjuangan PAS untuk kepentingan semua kaum.

Ketua Pemuda PAS Malaysia, Nasarudin Hassan Tantawi menegaskan, kesediaan golongan artis untuk menyertai PAS sudah dimaklumkan oleh golongan artis sendiri kepada beliau secara jujur baru-baru ini.

Menurut beliau, artis-artis tersebut sudahpun dikenalpasti dan mereka sememangnya terdiri daripada artis-artis ternama yang melibattkan pengarah, penyanyi, pelakon dan pelawak.

Katanya, bagaimanapun beliau tidak mahu menyebut nama-nama artis terbabit kerana mahu menyerahkan kepada artis-artis itu sendiri untuk mengumumkannya nanti.

"Saya difahamkan buat masa ini mereka masih belum bersedia untuk mengumumkannya. Tetapi mereka memang mahu menyertai PAS seperti juga Bob Lokman," katanya pada sidang media di Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad di Taman Melewar, di sini, hari ini.

Selain golongan artis, beliau juga menjelaskan bahawa perjuangan PAS kini sudah semakin diterima oleh golongan muda di tanah air dan ia ternyata amat berbeza berbanding masa lalu.

Menurut beliau, perkembangan itu membuktikan golongan muda di tanah air sudah semakin terbuka dalam politik, sehingga menyebabkan mereka memilih PAS yang berada dalam Pakatan Rakyat bagi melakukan perubahan politik di negara ini.

"Ini secara langsung menolak dakwaan Umno BN yang mengatakan golongan muda semakin ramai yang menyokong mereka, dengan mengambil perkiraan pada majlis Sejuta Belia yang diadakan di Putrajaya baru-baru ini.

"Pada hal dakwaan Perdana Menteri atau pemimpin Umno mengenai perkara itu ternyata amat jauh menyimpang dari sasarannya.

"Beliau yang hadir pada majlis itu sebenarnya bukan sejuta, tetapi hanya sekitar 8,000 hingga 10,000 orang sahaja," katanya.

Perkara itu ternyata amat berbeza dengan majlis himpunan yang diadakan oleh PAS, dengan kehadiran yang sememangnya mencapai jumlah yang disasarkan.

"Antaranya termasuklah Himpunan 30,000 yang diadakan oleh PAS di Kedah baru-baru ini dengan kehadiran sememengnya 30,000 seperti yang kita target.

"Begitu juga dengan Himpunan 10,000 di Kelantan untuk majlis 100 kali khatan al-Quran, juga memeng dihadiri 10,000 orang seperti yang kita target," jelasnya.

Dengan perkembangan itu, jelasnya, anak-anak muda yang juga pengundi-pengundi muda kini ternyata lebih tertarik kepada PAS daripada Umno kerana mereka sendiri lebih percaya kepada PAS berbanding BN untuk membela nasib mereka.