Isu STDC dilapor pada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia

ALOR SETAR, 14 April - Ekoran pendedahan oleh Exco Kerajaan Negeri Kedah, YB Dato' Ir Amiruddin Hamzah dalam Sidang Dewan Undangan Negeri Kedah berhubung 'perbelanjaan tidak berkepentingan' sebanyak RM7.5 juta Seri Temin Development Corporation (M) Sdn. Bhd. (STDC) yang dilakukan oleh pengurusan yang lalu (di bawah Kerajaan BN), beberapa individu hari ini mengambil tindakan melaporkannya kepada SPRM.

Kumpulan yang diketuai oleh Encik Mohd Azam Awang telah menyerahkan bukti-bukti berkaitan berupa dokumen bertulis dan cakera padat kepada SPRM di pejabatnya di Jalan Sultan Badlishah.

"Bahan-bahan asas untuk penyiasatan telah diserahkan kepada SPRM, terserah kepada SPRM untuk menyiasat secara terperinci seterusnya mengambil tindakan terhadap pihak tertentu berdasarkan apa yang telah didedahkan oleh Dato' Amiruddin dalam Sidang DUN baru-baru ini," ujar Mohd Azam ringkas selepas mengadakan pertemuan dengan pegawai penyiasat SPRM.

Dalam Sidang DUN baru-baru ini, Dato’ Amiruddin Hamzah mendedahkan bagaimana STDC telah membelanjakan RM7.5 juta sebagai sumbangan, walhal ianya tidak diluluskan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri untuk pelepasan cukai.

Laporan pihak Audit berhubung perbelanjaan tidak wajar dan bayaran yang dibuat tanpa sokongan dokumen terlalu banyak. Antaranya ialah sumbangan terhadap Mesyuarat Perwakilan Umno Padang Terap - RM10 ribu (23.01.2007), lawatan Pemuda Umno ke Indonesia - RM10 ribu (14.03.07), lawatan Puteri Umno ke Indonesia – RM5 ribu (18.03.07), sumbangan kepada Umno Kedah – RM200 ribu (19.04.07), sumbangan petugas BN pilihanraya kecil Ijok – RM5 ribu (13.05.07), sumbangan T-shirt dan wang saguhati konvoi Pergerakan Pemuda Umno Padang Terap – RM4 ribu (22.05.07), sumbangan kepada Umno Cawangan Padang Kerasak Naka – RM5 ribu (30.05.07) dan membekal cenderamata untuk perwakilan Umno Bahagian Padang Terap – RM26,150.00 (01.01.08).

Seterusnya ialah pemasangan billboard untum mesyuarat perwakilan Umno Padang Terap – RM10 ribu (01.01.08), sewa khemah dan meja bulat untuk mesyuarat perwakilan Umno Bahgian Padang Terap – RM10 ribu (16.01.08), membekal kain tudung kepada ahli Puteri Umno – RM20 ribu (03.02.08) dan makan minum untuk mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Padang Terap – RM21,700.00 (15.02.08).

Menteri Besar masa itu Datuk Seri Mahdzir Khalid turut menggunakan wang STDC untuk menerbitkan kalendar peribadi beliau yang diberi percuma kepada rakyat dengan kos RM80 ribu (06.12.07 & 20.02.08). Banyak lagi pembayaran yang disifatkan oleh Audit sebagai ‘tidak berkepentingan dan tidak berkaitan dengan aktiviti dan objektif penubuhan STDC’.

1 ulasan:

Abu Hanim Mohd Riza berkata...

nampak macam banunan sprm tusetingkat jer...so selamatlah orang di kedah....