Anwar : Prinsip Maqasid Syariah Satukan Ummah

KUANTAN 15 MEI : Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Pakatan Rakyat komited dalam melaksanakan prinsip maqasid syariah di seluruh negara yang merupakan formula terbaik dalam penyatuan ummah pelbagai kaum.

Menurut Ketua Pembangkang itu, prinsip maqasid syariah sesuai diamalkan semua kaum sekaligus sebagai kunci keadilan dalam kepimpinan sesebuah kerajaan.

Mengulas lanjut objektif maqasid syariah yang diperjuangkan kepimpinan Pakatan Rakyat khususnya dalam membentuk keharmonian masyarakat majmuk, Anwar menegaskan prinsip ini sebagai asas kehidupan yang menjamin keharmonian semua kaum.

"Sebab itu saya katakan Islam itu satu jaminan, tak ada kebebasan, tak ada Islam, tak ada keadilan, tak ada Islam. Islam itu tegak kerana kebebasan dan keadilan," kata Anwar pada siri Wacana Memperkasa Fikrah Rakyat - Seminar maqasid shariah dan masyarakat majmuk di Dewan Sekilau, Galing Kuantan hari ini.

Seminar ini membicarakan esensi maqasid al-syariah dalam konteks Maslahah (menyejahterakan) masyarakat majmuk selain menyelamatkan daripada kemudaratan khususnya dalam kepimpinan politik sesebuah kerajaan.

Jelas Anwar, tanpa keadilan tidak mungkin ada kedamaian dan kesejahteraan dalam merealisasikan hasrat mentadbir negara yang berbilang kaum.

"Sebab itu saya katakan, dalam aspek maqasid syariah, perlu ada satu perbincangan yang baik, tetapi aspek ini tidak ada di Malaysia. Yang ada hanya mengikut kata orang yang berkuasa (kerajaan), jadi apa kaitannya dengan maqasid syariah seperti apa yang dibincangkan hari ini?, Ianya mesti melalui jalan keamanan, mesti adil,"kata Anwar lagi.

Anwar juga mengingatkan bahawa kepimpinan berteraskan Islam tidak akan diterima baik oleh masyarakat bukan Islam sekiranya pemimpin Islam itu sendiri dangkal pengetahuannya tentang Islam.

"Islam tidak akan berkembang sekiranya kefahaman umatnya terlalu dangkal dan cetek, Islam pada mereka hanya mengamalkan sumpah, Islam mereka (hanya menuntut) jam Omega, Islam mereka orang sibuk (buat) solat hajat mereka sibuk dengan penyebaran VCD dan gambar lucah,"sindir Anwar.

Sebelum mengakhiri ucapannya, Anwar turutmemuji kehadiran peserta seminar dari pelbagai kaum dan latar belakang agama dengan menyifatkan sambutan hebat ini sebagai salah satu daripada kejayaan prinsip maqasid syariah yang diperjuangkan Pakatan Rakyat.

"Ini adalah antara pengalaman saya dalam Umno, bila menyetuh soal Islam, orang Melayu sahaja terlibat, tiada campuran kaum seperti majlis hari ini, inilah hebatnya Pakatan Rakyat, tidak ada pula pengagihan antara Islam dan Kristian,"katanya.

Sekurang-kurangnya, 2,000 peserta hadir memenuhi dewan.

Panelis yang turut hadir, Naib Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, Timbalan Presiden WADAH, Dr Mohd Nur Manuty, Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasruddin Hassan At-Tantawi.

Tiada ulasan: