Video Seks : PKPIM Gesa Masukkan Prinsip Qazaf Dalam Kanun Keseksaan

KUALA LUMPUR 27 MAC : Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menggesa pihak berkuasa menggunakan prinsip qazaf dalam Kanun Keseksaan untuk menangani kes-kes pendedahan rakaman video seks, termasuk yang terbaru didakwa melibatkan seorang pemimpin kanan Pakatan Rakyat (PR).

Dakwaan yang dibuat Isnin lalu oleh tiga “Datuk T” merujuk kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi ia dinafikan oleh Ketua Umum Pakatan Rakyat itu.

Presiden PKPIM Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, demi memastikan agar prinsip ini terus subur dalam masyarakat, pihaknya menggesa agar eleman qazaf yang mengenakan hukuman berat kepada penuduh jika gagal membawa empat orang saksi yang adil dimasukkan dalam Kanun Keseksaan supaya masyarakat akan mengambil sikap berhati-hati dalam membuat sesuatu dakwaan yang melibatkan maruah seseorang.



“Dalam perkembangan berkaitan, PKPIM bimbang situasi sedemikian akan meletakkan masyarakat berada dalam keadaan terumbang ambing dan hilang kredibiliti untuk menjadi masyarakat contoh.

“Hal ini berlaku apabila senjata ini sudah dibudayakan setiap kali apabila berlaku pertelingkahan,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

PKPIM merujuk kepada isu panas yang melibatkan konspirasi “Datuk T” untuk menjatuhkan kredibiliti dan maruah seorang pemimpin pembangkang menerusi pendedahan klip vedeo seks minggu lalu.

Katanya, PKPIM berpandangan pertuduhan dengan cara sedemikian tidak sah memandangkan ia dilakukan di luar lingkungan prosiding perundangan yang telah digariskan undang-undang syariah.

“Hal ini kerana dakwaan sedemikian adalah sesatu yang cukup berat untuk ditanggung oleh tertuduh memandangkan ia melibatkan harga diri, maruah, dan air muka individu berkenaan.

“Lantaran itu, disebabkan faktor berkenaan Islam telah menggariskan prosedur khusus dengan mensyaratkan empat orang saksi yang adil yang benar-benar melihat aksi sedemikian seperti melihat masuknya celak ke dalam penutupnya dan bukan dengan hanya sekadar menonton video yang samar-samar hitam putih,” kata Faisal.

Tambah beliau, dalam jenayah seperti hudud, pembuktian seharusnya dibuat bukan sekadar menjangkaui keraguan munasabah, tetapi menjangkaui sebarang bayang-bayang keraguan untuk memastikan tertuduh benar-benar bersalah dan bagi mengelakkan sebarang bentuk kezaliman kepada tertuduh.

“Namun, dalam perkembangan politik semasa, prinsip memelihara kemuliaan insan, maruah dan harga diri individu seringkali diabaikan apatah lagi ia dianggap sebagai senjata yang paling ampuh untuk menjatuhkan seseorang,” katanya lagi.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, beliau memilih untuk mendiamkan diri dalam isu-isu yang didakwa pihak tertentu sebagai qazaf kerana ia melibatkan pihak berkuasa seperti polis.

Katanya, dalam hal itu pihak-pihak yang berkaitan perlu membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

“Mereka kata saya mendiamkan diri. Kalau rasa itu tuduhan bawa kepada polis dan mahkamah yang berkaitan. Hal ini perlu dilaporkan kepada polis,” katanya.

1 ulasan:

azman kamarul berkata...

Tak perlu itu semua.....gantikan saja PERLEMBAGAAN LORD REID DENGAN AL-QURAN DAN HADIS.Perundangan negara berdasarkan Al-Quran dan Hadis..habis cerita.

Seret semua yang menuduh dan minta bawa 4 saksi yang tidak fasiq....tak ada saksi "balun" puak-puak yang menuduh tu..habis cerita.