Jurulatih pasukan Kedah belum diputus

ALOR SETAR - Pasukan Bolasepak Kedah (KFA) belum lagi membincangkan hal siapa yang bakal melatih pasukan hijau kuning ini dan meminta semua pihak termasuklah para peminat supaya bersabar.

Presidennya yang juga Menteri Besar Kedah YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak berkata, perbincangan lanjut mengenai siapakah yang bakal membimbing pasukan itu belum diputuskan.

“Biarlah ianya jadi rahsia dulu, sebab belum pilih, cuma ada senarai nama sahaja. Ianya juga sudah dalam pengetahuan Dato’ Dr Hamdan Exco Belia dan Sukan.

“KFA pun belum mengadakan mesyuarat untuk bincang hal ini saya minta penyokong hijau kuning bersabar,” katanya.

Menurutnya, pihaknya tidak mahu terburu-buru membuat pemilihan kerana hal itu memerlukan kajian dan penelitian serta pandangan pihak terlibat.

Bagaimanapun KFA sudah mempunyai beberapa calon berpontensi yang diyakini mampu memikul tanggungjawab sebagai pengendali skuad ini.

Ditanya sama ada jurulatih yang disenaraikan itu adalah dari kalangan bekas pemain yang juga anak jati Kedah atau jurulatih import beliau meminta pihak media supaya bersabar menanti pengumuman yang akan dibuat tidak lama lagi.

Mengulas keputusan bekas jurulatih KFA Mohd Azraai Khor Abdullah yang memilih untuk bersama pasukan Negeri Sembilan, katanya, beliau berhak memilih mana-mana pasukan yang dirasakan baik buat dirinya.

“Itu hak dia mungkin tawaran di sana leih baik dan dia lebih yakin untuk menerajui pasukan Negeri Sembilan,” katanya.

Tiada ulasan: