Lebih 150 Rumah Di Kedah Rosak Teruk Dilanda Ribut

ALOR SETAR 29 MAC : Lebih 150 rumah penduduk di negeri ini rosak teruk selepas dilanda ribut kencang yang disertai hujan lebat petang semalam sehingga meranapkan sebuah daripadanya.

Tiga kawasan yang dilanda ribut itu adalah di Kuala Kedah, Alor Setar dan Pokok Sena.

Ribut kira-kira dua jam yang bermula pukul 6 petang itu meranapkan sebuah rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) milik Shafie Chat, 70, di Kampung Simpang Empat Kuar, Mukim Padang Lalang, Alor Janggus.

Penolong Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Kota Setar Rusmini Meh berkata pegawai-pegawai jabatan itu telah dihantar ke kawasan terbabit untuk mendapatkan butiran lengkap bagi membolehkan bantuan disalur kepada semua mangsa.

Sementara itu, Timbalan Ketua Umno bahagian Kuala Kedah Datuk Abdul Mutalib Haron melawat mangsa ribut itu dan menghulurkan bantuan segera kepada mereka sehingga pukul 1 pagi ini.

Beliau berkata Umno Kuala Kedah juga akan menggerakkan persatuan Belia 4B di kawasan terbabit untuk bergotong-royong membaiki rumah yang rosak itu.

-Bernama-

Tiada ulasan: