Nasruddin Dicalon Kekal Jawatan Ketua DPPP

SHAH ALAM 31 MAC : Dewan Pemuda PAS Kawasan (DPPK) Parit sebulat suara mencalonkan Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi untuk mempertahankan jawatan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat yang disandangnya kini.

Ketuanya, Ustaz Mohd Al-Hakimi As-Syah Alami dalam satu kenyataan media berkata, satu mesyuarat diadakan awal minggu ini dan memutuskan demikian bagi tujuan memantapkan lagi parti.

" Untuk jawatan Timbalan Ketua Pemuda, DPPK Parit mencalonkan ahli Parlimen Jerai, YB Ustaz Firdaus Jaafar yang juga Pengarah Pilihanraya Pemuda Pusat
sekarang ini.

" Bagi jawatan Naib Ketua Pemuda PAS Pusat, mesyuarat sebulat suara bersetuju untuk mencalonkan Ketua Lajnah Antarabangsa Dewan Pemuda PAS Pusat sekarang, Dr. Raja Ahmad Al-Hiss yang juga merupakan Setiausaha Dewan Pemuda Pas Negeri Perak," katanya.

Ibu pejabat parti menetapkan ketiga-tiga sayap parti- Dewan Pemuda, Dewan Muslimat dan Dewan Ulama akan mengadakan muktamar dan pemilihan pada 1 dan 2 Jun
ini.

Bagaimanapun tempat khusus masih belum ditentukan.

Manakala Muktamar Agung Pas Pusat pula dijadualkan berlangsung pada selama tiga hari bermula 3 Jun ini bertempat di Taman Melewar.

Ibu pejabat parti juga telah menetapkan tarikh mesyuarat agung dan pemilihan bagi 179 kawasan bermula pada 15 Mac hingga 10 Mei ini.

"DPPK Parit berharap dengan pencalonan yang dicadangkan akan dapat memantapkan lagi usaha dan gerak kerja kepemudaan di peringkat nasional dan antarabangsa
bagi menyemarakkan lagi perjuangan PAS melalui aktiviti kepemudaan.

" Bagi pencalonan jawatan Exco DPPP Pusat, senarai lengkap akan dimaklumkan dalam mesyuarat selanjutnya,"katanya lagi. ~tvs~

Tiada ulasan: