Kedah Agro, PKNK sedia beli buah-buahan orang kampung

Oleh SITI ZALEHA ABDUL RAHIM

GUAR CHEMPEDAK – Rakyat Kedah yang mempunyai dusun buah-buahan bermusim seperti rambutan dan durian tidak perlu bimbang untuk menjual hasil buah tersebut.

Ini kerana bermula tahun ini, apabila tibanya musim buah-buahan, kerajaan negeri melalui anak syarikatnya, Kedah Agro Holdings Berhad dan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) akan membeli semua hasil buah rambutan dan durian untuk diproses.

Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak berkata, PKNK sedang giat menyiapkan kilang pemprosesan produk asas tani di Sungai Petani, dan dijangka siap Jun ini dengan menelan belanja RM10 juta.

Oleh demikian, kerajaan negeri akan membeli buah rambutan dan durian daripada rakyat yang mempunyai dusun buah rambutan dan durian.

“Hari ini, kita mahu rambutan dan durian kita ada harga, PKNK sedang giat menyiapkan kilang untuk proses bahan asas tani dan akan siap Jun ini.

“Jadi, kepada sesiapa yang ada dusun buah tersebut, kita akan beli semua untuk diproses dan ditinkan untuk dijadikan jus, untuk durian kita boleh buat lempok, rambutan boleh ditinkan seperti laici,” jelas beliau pada Majlis Perasmian Karnival Kedah Sejahtera Peringkat Daerah Yan 2011 di Kompleks Dewan Serbaguna Guar Chempedak.

Manakala Kedah Agro yang telah berjaya menanam nanas, dan kini aktif untuk mengusahakan tanaman pisang dan betik juga akan membeli semua buah mempelam daripada rakyat Kedah untuk diproses menjadi kordial dan lain-lain hasil industri asas tani.

“Kedah Agro telah buat keputusan untuk beli buah pelam rakyat, buah tersebut dikumpulkan di satu tempat untuk dikupas, kemudian diproses untuk jadi jus dan macam-macam lagi yang boleh dihasilkan dari buah pelam,” ujar beliau.

Semua usaha adalah untuk menjadikan Kedah sebagai Belanda Timur bagi menjamin keluaran makanan.

Tiada ulasan: