Punca masalah ialah, kerajaan dulu tak jelaskan status rumah kepada penghuni

ALOR SETAR, 17 April 2011 – Salah faham serta maklumat yang tidak jelas antara punca penduduk-penduduk Perumahan Taman Kota Nelayan tidak mengetahui status tempat kediaman mereka sekarang.

Menurut ADUN Kubang Rotan, YB Nasir Mustaffa ketika dihubungi, masalah sebenar berpunca dari Kerajaan yang memerintah dahulu (BN) tidak memberi maklumat yang jelas mengenai status perumahan tersebut kepada penduduk.

“Sebenarnya masalah Taman Kota Nelayan ini tidak selesai sejak kerajaan negeri dulu (BN) memerintah lagi. Saya sendiri sejak menjadi wakil rakyat di DUN Kubang Rotan ini sentiasa mengikuti perkembangan masalah penduduk taman ini. Mereka beranggapan rumah yang mereka diami sekarang sebagai ganti rumah yang mereka didiami dulu.

“Setengah mereka menganggap ianya percuma, setengah pula beranggapan tanah percuma dan rumah perlu dibayar dan ada pula mengatakan sebaliknya.

Tambah Nasir lagi, lebih kurang sebulan yang lalu, beliau bersama Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kerja Raya, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, YB Dato’ Ir.Phahrolrazi Zawawi serta beberapa orang yang lain telah mengadakan perjumpaan dan sesi dialog bersama mereka. Dalam perjumpaan tersebut beliau dan Phahrolrazi diberi penerangan mengenai masalah yang mereka hadapi.

Ekoran dari perjumpaan tersebut kerajaan negeri telah berusaha membuat beberapa tindakan. Antara tindakannya ialah memastikan semua pemilik yang terlibat menandatangi perjanjian dengan kerajaan negeri untuk membuat bayaran ansuran bulanan. Kerajaan negeri akan usahakan semua pemilik rumah di taman terbabit mendapat status hak milik dengan segera.

“Kerajaan negeri sekarang ini sedang berusaha menyelesaikan masalah terbabit sebaik mungkin. Kita telah buat semua proses, antaranya menandatangi perjanjian dan mengenal pasti pemilik yang telah selesai membuat bayaran untuk pengurusan hak milik,” terangnya.

Sementara itu, Phahrolrazi ketika dihubungi mengatakan, kerajaan negeri sekarang hanya meneruskan perjanjian lama yang dibuat semasa pemerintahan dahulu. Kerajaan negeri tidak membuat sebarang pindaan ke atasnya.

“Kawasan perumahan awam tertakluk dengan perjanjian jual beli. Bagaimana pun sehingga kini beberapa masalah yang dikenal pasti termasuk keengganan pemilik menandatangi perjanjian serta tunggakan bayaran.

“Isu ini isu lama, kalau dulu mereka kena bayar, sekarang juga mereka kena bayar. Kerajaan negeri tidak pernah mengubah dasar yang dibuat oleh kerajaan pusat.

“Kerajaan negeri bukan ‘ah long’ seperti yang disifatkan tetapi kami bertindak mengikut peraturan dan prosuder perumahan,” terangnya.

Tambah Phahrolrazi lagi, tunggakan perlu dilunaskan samada secara sekali gus atau ansuran mengikut kemampuan masing-masing. Perumahan terbabit dibina atas dana awam bukan dana parti politik dan kutipan bayaran perlu dibayar kepada kerajaan pusat.

Kenyataan tersebut dikeluarkan berikutan berlakunya demontrasi penduduk-penduduk Perumahan Taman Nelayan, Kuala Kedah ekoran membantah arahan notis mengarahkan bayaran tunggakan dibuat atau rumah mereka akan disita.

Perumahan Taman Kota Nelayan telah mula diduduki pada tahun 2004 ekoran diarahkan pindah dari kediaman asal oleh kerajaan negeri dahulu.

Tiada ulasan: