Kadir dibebaskan selepas ditahan 20 hari

Seorang tahanan ISA, Kadir Hashim, dibebaskan hari ini setelah merengkok selama hampir tiga minggu dalam tahanan.

Seorang abangnya, Muda Hashim, berkata Kadir telah dihantar ke rumahnya di Kerinchi, Kuala Lumpur pada kira-kira jam 4 petang ini oleh anggota polis.

Muda berkata, polis tidak menyatakan apa-apa berhubung penahanan berkenaan walaupun beliau telah bertanya berhubung perkara itu.

Bercakap ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Muda berkata polis hanya memberitahu beliau supaya tidak membuat sebarang masalah.

Kadir (kiri) ditahan pada 1 April lalu mengikut Seksyen 73(1) Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana disyaki terlibat dalam kegiatan berkaitan hasutan.
Beliau dibebaskan pada kira-kira jam 3 petang ini.

Peguamnya, Fadiah Nadwa Fikri berkata lelaki berusia 43 tahun itu dibebaskan tanpa syarat.
“Polis menghantar adik saya dengan kereta yang diringi tiga anggota polis yang saya agak dari Balai Polis Bukit Aman.

“Walaupun terkejut dengan kehadiran polis sebentar tadi, namun saya gembira dengan pembebasan Kadir sekaligus menghilangkan rindu ibu terhadapnya,” kata Muda.

Ditanya mengenai keadaan Kadir selepas selamat sampai ke rumah, Muda memberitahu adiknya mungkin trauma kerana masih membisu tanpa menceritakan kejadian penangkapnnya lebih kurang 20 hari.

“Jika dilihat dari segi fizikal dia sihat, tetapi tidak bercakap apa-apa selepas dihantar ke rumah tadi. Saya juga mahu dia berehat seminggu dua dahulu sebelum bertanyakan mengenainya semasa ditahan polis,” katanya.

Kata Muda, semasa bertanyakan dengan polis berkenaan penangkapan Kadir, mereka memberi amaran supaya tidak menimbulkan masalah lagi.

Tiada ulasan: