Isu Taman Kota Nelayan: Masalah lalu, yang sedang diselesaikan kerajaan kini

ALOR SETAR, 20 April 2011 – Isu Perumahan Taman Kota Nelayan terus dimainkan oleh pihak tertentu untuk meraih simpati dan seterusnya diperlihatkan mereka sebagai jaguh mempertahankan hak-hak rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan & Kerajaan Tempatan, Kerjaraya, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, YB Dato’ Ir. Phahrolrazi Zawawi ketika ditemui di pejabatnya berkata, projek pemindahan ke perumahan terbabit tidak selesai sepenuhnya dan tiada proses menandatangani perjanjian dibuat sebelumnya.

“Perkara ini berlaku semasa pemerintahan kerajaan negeri dulu dan banyak perkara tidak diselesaikan dan berlarutan hingga sekarang, contoh seperti masalah pampasan dan status rumah tersebut,” ujarnya.

Menurutnya lagi, terdapat dua status penduduk terbabit, pertama yang tinggal atas tanah kerajaan dan kedua yang tinggal atas tanah sendiri yang bergeran. Bagi penduduk yang tinggal di atas tanah kerajaan, tidak akan dibayar sebarang pampasan tetapi rumah dijual dengan harga subsidi.

Manakala yang tinggal atas tanah sendiri akan dibayar pampasan.

“Rumah tersebutnya harganya melebihi RM80 ribu ringgit tetapi dijual kepada mereka dengan harga subsidi RM40 ribu sahaja.

“Tetapi malang sekali, kerajaan dahulu tidak menyelesaikan masalah berkaitan dan ianya berlarutan hingga sekarang. Penduduk yang telah mendiami sejak 2004 di perumahan terbabit tidak membayar apa-apa bayaran hingga sekarang.

“Menjadi tanggungjawab bahagian perumahan untuk mengemaskini perkara-perkara berkaitan terutama dalam soal tunggakan bayaran. Pembinaan dibuat atas dana awam dan mendapat pinjaman dari kerajaan pusat,’ tambah beliau lagi.

Walau bagaimana pun, katanya lagi, bahagian perumahan boleh menyusun jadual bayaran secara ansuran kepada penduduk-penduduk terbabit. Kepada penduduk yang belum menandatangani perjanjian diminta bertindak segera.

“Bahagian perumahan akan menyemak semula kadar pampasan yang perlu dibayar kepada pemilik tanah dan mengenal pasti berapa bilangan yang tinggal di tanah persendirian,” terang Phahrolrazi.

Sebelum ini, beliau dan beberapa yang lain termasuk ADUN Kubang Rotan telah membuat perjumpaan dengan wakil penduduk perumahan terbabit. Demontrasi yang dilakukan kira-kira 40 orang itu mewakili tidak sampai 10 peratus jumlah penduduk perumahan tersebut.

Kira-kira 700 orang penduduk yang mendiami Perumahan Taman Kota Nelayan setakat ini.

Tiada ulasan: