Tanggungjawab saya untuk membetulkan pentadbiran kerajaan -MB Kedah

ALOR SETAR, 18 April 2011 – Allah memilih manusia sebagai khalifah dan diberi amanah sebagai pentadbir dunia. Walaupun manusia itu suka membuat zalim dan tidak beriman kepada Allah tetapi Allah lebih mengetahui golongan mana yang lebih sesuai diberi amanah sebagai pentadbir dunia.

“Allah memilih manusia sebagai khalifah yakni pemimpin dan kita semestinya memimpin dan mentadbir dunia dengan penuh amanah agar menjadi makmur dan sejahtara,” ucap Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Ustaz Azizan Abd Razak dihimpunan bulanan kakitangan Wisma Darul Aman.

Beliau menegaskan, menjadi tanggung jawab beliau sebagai ketua kerajaan berjumpa dengan kakitangan untuk memberi nasihat dan bimbingan penambahbaikan agar pentadbiran kerajaan menjadi lebih baik dan terurus.

“Kita sebagai pengurus dan pentadbir kerajaan perlu menanamkan sikap bertanggungjawab dan memegang amanah sebagai pemimpin. Orang yang amanah selain dari menyembah Allah, dia juga perlu meninggalkan perkara-perkara yang dilarang Allah walau pun dosa-dosa kecil.

“Segala tindak tanduk kita perlu dikawal oleh iman dan akal yang waras. Allah menilai kerja kita mengikut niat masing-masing,” tambahnya lagi.

Beliau mengajak hadirin mengingati semula peristiwa hijrah Rasullullah SAW. Katanya, tidak semua yang berhijrah ke Madinah niatnya semata-mata kerana Allah dan Rasul, ada kerana harta, ganjaran dan wanita. Tetapi perlu diingatkan peringatan dari Allah di dalam Al-Quran bahawa sesiapa yang berhijrah kerana dunia maka dia akan dapat dunia tetapi sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan Rasulnya, akan ada ganjaran disisi Allah kelak.

“Saya bersama kepimpinan Exco merasakan mentadbir kerajaan ini merupakan satu amanah dan tanggungjawab kepada rakyat. Untuk menjayakannya bukan hanya terletak di bahu kami tetapi di bahu semua kakitangan.

“Kelembapan pengurusan akan mendatangkan kerugian kepada kerajaan dan saya berharap semua kakitangan dapat menjalankan tugas dengan cekap, cepat dan pantas agar membuahkan hasil yang baik kepada kerajaan,” tegas Azizan.

Beliau mengingatkan hadirin bahawa segala yang dilakukan di dunia ini akan dipertonton oleh Allah SWT di akhirat kelak. Oleh itu beliau berharap semua kakitangan dapat memperbetulkan niat dan berusaha menjadikan diri hamba yang bertaqwa agar limpahan rahmat dariNya akan berterusan.

“Banyak berlaku kejadian seperti gempa bumi, banjir dan tsunami kebelakangan ini. Semua ini telah Allah ceritakan kepada kita dalam Al-Quran, surah Al-Zalzalah. Oleh itu berdoalah kepada Allah agar kita dijauhkan dari bala bencanaNya.

“Tapi kalau nak minta Allah makbul doa kita, kita kena jadi hamba yang taat. Buat yang disuruh, tinggal yang dilarang disamping tunaikan amanah dengan bersungguh-sungguh,” sambung beliau.

Katanya lagi, pembangunan bukan hanya ditafsirkan kepada pembangunan kebendaan dan binaan tapi ia merangkumi sosial, ekonomi dan pentadbiran. Beliau mengambil contoh negara-negara barat yang mempunyai pembangunan fizikal yang tidak terlawan tetapi dalam masa yang sama mempunyai masalah sosial dan pentadbiran yang teruk.

Perjumpaan bulanan tersebut diadakan di dataran hadapan Wisma dan dihadiri oleh semua kakitangan dari pelbagai jabatan.

Tiada ulasan: