Waris pelajar gembira terhadap kesungguhan Kerajaan Negeri Kedah

ALOR SETAR, 5 Mac - Perkarangan Wisma Darul Aman dilimpahi orang ramai yang menghantar anak-anak mereka dan mengucapkan selamat berangkat ke Mesir bagi meneruskan pelajaran.


Pada wajah setiap ibu bapa tergambar kegembiraan kerana anak-anak mereka dapat kembali menyambung pelajaran dan di dalam hati sentiasa memanjatkan doa untuk keselamatan pergi dan kembali dengan mambawa balik segulung ijazah.

Menteri Besar Kedah YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak mengumumkan penghantaran pulang kira-kira 800 pelajar Kedah yang sedang belajar di pelbagai universiti di Mesir dengan kos yang ditanggung oleh Kerajaan Negeri sebanyak RM2.5 juta termasuklah wang poket setiap pelajar sebanyak RM500 seorang.

Yayasan Islam Negeri Kedah (Yink) bersengkang mata kerja keras menyelesaikan pelbagai urusan berkenaan pasport dan visa para pelajar dan menghantar beberapa orang pegawai mengiringi para pelajar dari Alor Setar hingga ke Mesir.



Seorang ibu Puan Fatimah Hanifah dari Changlon hadir kerana menghantar anak sulungnya Nurul Husna Shaari yang belajar di Universiti Al-Azhar tahun tiga jurusan Syariah.

Menurut Puan Fatimah, sekiranya Kerajaan Negeri tidak membiayai kepulangan anaknya ke Mesir agak sukar dia dan suami mengumpul wang untuk kos tambang anaknya.

“Walaupun tambang sebanyak RM1,800. Tapi berat bagi kami sekeluarga kerana lima adik-adik Nurul Husna bersekolah. Mereka juga perlukan perbelanjaan,” katanya.

Katanya, pemimpin kerajaan Kedah hari ini sangat prihatin dan memahami masalah rakyat jelata yang hidup sederhana tetapi mementingkan pelajaran anak-anak.

Beliau mempunyai enam orang anak yang berusia antara tujuh hingga 23 tahun yang semunya masih bersekolah. Suaminya Shaari Osman bekerja sebagai mandor ladang di Felda.

Ujarnya lagi, sekiranya tidak disebabkan rusuhan di Mesir anaknya sama sekali tidak dibenarkan pulang sehingga tamat belajar di sana.

Anaknya Nurul Husna pula berkata perbelanjaan sewa asrama dan makanan di Mesir tidaklah mahal seperti di Malaysia. Tetapi selepas pertukaran pemerintahan baru, beliau bimbang akan berlaku kenaikan harga makanan.

Ini kerana, katanya, kerajaan baru telah menaikkan gaji kakitangan kerajaan dan selalunya apabila berlaku kenaikan gaji secara tidak langsung harga makanan dan barangan lain ikut naik.

Bagaimanapun Nurul Husna bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan negeri Kedah yang mengambil berat terhadap masalah para pelajar dan keluarga. “Tajaan dan semua urusan kepulangan kami telah diambil alih oleh Yayasan Islam dan kami sangat-sangat berterima kasih atas usaha dan penat lelah mereka menjalankan tugas ini membantu kami,” katanya.

Manakala seorang datuk ,Yaakob Abu Bakar dari Kampong Bukit Namboa Padang Terap melahirkan rasa gembira kerana kerajaan telah melakukan sesuatu yang baik untuk rakyat, bukan sahaja untuk para pelajar tetapi secara tidak langsung telah menolong keluarga yang susah.

“Tokwan tumpang seronok tengok suasana di laman Pejabat Menteri Besar. Orang ramai hantar anak cucu balik sambung mengaji di Mesir.

“Terima kasih Menteri Besar. Tokwan tumpang gembira. Tumpang seronok, bagi orang-orang tua dapat mai hantar cucu,” ujarnya.

Beliau yang mempunyai 20 orang cucu dan tiga cicit berkata, cucunya yang belajar di Mesir, Amir Abdillah berada dalam tahun akhir dan akan habis pada bulan Mei ini. Sepanjang belajar di Mesir hanya sekali pulang bertemu keluarga iaitu pada tahun 2008.

Penghantaran pulang pelajar Mesir kumpulan pertama seramai 224 orang bertolak pagi ini ke Kuala Lumpur dan dijangka berangkat dengan pesawat Egypt Air pada jam sebelas malam ini. Mereka diiringi oleh sembilan Pegawai Yink bagi membantu para pelajar sekiranya berlaku sebarang masalah.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

terima kasih juga pada kesungguhan kerajaan pusat yang bawa balik mai..