Kakitangan Kerajaan Kedah kini bebas dari ketakutan



ALOR SETAR, 10 Mac – Antara manfaat visi Kedah Sejahtera yang diperkenal dan dilaksanakan sejak tiga tahun lalu ialah, pegawai serta kakitangan Negeri Kedah kini bebas dari ‘ketakutan’.

Berucap di majlis perasmian Sambutan 3 Tahun Kedah Sejahtera, YAB Menteri Besar Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak berkata, dahulu mereka ‘wajib’ menyokong parti yang menjadi anutan kerajaan yang memerintah, namun hal seperti itu tidak lagi berlaku kini.

“Dasar kita ialah siapa sahaja berhak memilih parti yang mereka suka dan kita tak pernah pecat pegawai kerana politik.

“Kita beri jawatan kepada pegawai berdasarkan kelayakannya bukan kerana dia cenderung kepada kita (parti politik),” tegasnya.

Menurut beliau lagi, kerajaan pimpinannya mendokong dasar demokrasi yang dijamin oleh Perlembagaan Negara dan meminta Kerajaan Pusat juga turut menghormati dasar tersebut.

Menteri Besar itu mengambil contoh Australia yang mempunyai persamaan dengan sistem pentadbiran Malaysia menghormati konsep federalisme pusat terhadap negeri.

“Walaupun negeri West Australia diperintah oleh kerajaan yang tidak sealiran dengan pusat tetapi Pusat tetap memberi kerjasama yang baik. Tetapi jika negeri diperintah pihak lain maka pusat tarik dari maka itu bukan demokrasi namanya,” ujarnya.

Menurut Ustaz Azizan, di awal pentadbirannya terdapat amalan tidak demokratik yang mahu menggugat kerajaan yang dipilih oleh rakyat namun berkat doa dari rakyat segala percubaan untuk menjatuhkan kerajaan seperti di Perak tidak berjaya dilakukan.

Beliau bersyukur kerana sepanjang tiga tahun pentadbiran kerajaan pimpinannya pelbagai kejayaan telah dicatatkan. Antaranya ialah pertambahan hasil negeri, pertambahan pelabur dan perpaduan antara rakyat berbilang kaum yang semakin baik.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Speaker DUN Kedah, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, pegawai-pegawai kanan kerajaan serta pemimpin masyarakat dari semua peringkat.

Sambutan 3 Tahun Kedah Sejahtera yang dianjurkan oleh Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kedah itu diadakan mulai 10 hingga 14 Mac 2011 di perkarangan Stadium Darul Aman.

Tiada ulasan: