Tuanku Mizan : Hentikan Amalan Fitnah Dan Ungkit Isu Perkauman



KUALA LUMPUR 7 MAC : Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin memandang berat kecenderungan pihak tertentu menabur fitnah dan membangkitkan isu sensitif serta berbaur perkauman.

Tanpa menunding jari kepada mana-mana pihak, Tuanku Mizan bagaimanapun memberi peringatan, mahu amalan itu dihentikan.

Amanat Baginda sempena merasmikan sidang Parlimen pertama tahun ini, dibuat susulan keghairahan pihak tertentu dan pertubuhan bukan kerajaan membakar sentimen kaum Melayu dengan memutarbelitkan isu-isu mengenai hak keistimewaan orang Melayu untuk meraih sokongan politik.

“Kedaulatan Raja-Raja Melayu, kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan, kedudukan istimewa orang Melayu serta anak negeri Sabah dan Sarawak serta kepentingan sah kaum-kaum lain meliputi hak kewarganegaraan dan hak asasi sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, tidak harus dipersoalkan bagi mengelak perpecahan,’ titah Baginda.

Tuanku Mizan turut menggesa semua pihak mengekalkan keharmonian serta maruah negara dengan menjadi warga yang bijak dan tidak mudah terpengaruh dengan fitnah dan tohmahan pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Sayugia diingatkan bahawa perbuatan fitnah memfitnah yang boleh menjejaskan perpaduan rakyat adalah perbuatan yang amat tercela dan dilarang oleh semua agama. Ambillah iktibar daripada keruntuhan beberapa empayar terdahulu akibat perpecahan angkara fitnah," titah Baginda.

"Beta menyeru semua pihak supaya menjunjung kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan," titah Baginda semasa merasmikan mesyuarat pertama penggal keempat Parlimen hari ini.

Bagi menjamin keamanan di negara ini, Tuanku Mizan berharap badan-badan bukan kerajaan (NGO) mengelak daripada menyentuh sensitiviti dan isu yang boleh menjejaskan keharmonian rakyat dan menggugat imej negara.

Tiada ulasan: