Penghantaran pulang pelajar Mesir berjalan lancar

ALOR SETAR, 5 Mac - Penghantaran pulang pelajar anak Kedah ke Mesir berjalan lancar walaupun terdapat beberapa masalah teknikal seperti tidak mendapat visa dan masalah passport yang tamat tempoh.


Menteri Besar Kedah YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak yang turut hadir bagi mengucapkan selamat jalan, bagaimanapun berpuas hati dengan perjalanan kerja yang telah disusunatur oleh pihak yang diberi tanggungjawab iaitu Yayasan Islam Negeri kedah.

“Seperti yang dijadualkan dan kita berharap mereka bertolak dan sampai di sana dengan selamat, saya bagi nasihat kerana terdapat juga para pelajar yang visanya telah habis dan tak boleh masuk balik ke Mesir dan kita minta kakitangan Yink di Mesir uruskan.



“Jadi itu kesulitan sikit kepada Yayasan Islam untuk susun semula senarai pelajar yang akan terbang hari ini adalah yang ada visa,” katanya.

Menurutnya, kesulitan ini berlaku kerana di bawah pemerintahan baru kerajaan Mesir telah mengadakan beberapa peraturan dan salah satunya ialah tidak boleh lagi mendapat visa di lapangan terbang.

“Ini peraturan baru yang dibuat oleh kerajaan baru di Mesir. Visa tak boleh ambil di lapangan terbang dan perlu dibuat dari negeri mana kita bertolak. Itu saja yang yang lain tak ada apa-apa masalah lagi,” katanya.

Beliau memberitahu, di Mesir sekarang ini setiap hari hari Jumaat ada tunjuk perasaan. Tetapi tunjuk perasaan ini berbeza daripada tunjuk perasaan bertujuan menjatuhkan Hosni Mubarak. Sekarang mereka minta kerajaan baru mengatasi masalah-masalah yang tidak selesai di zaman Hosni Mubarak termasuk membatalkan undang-undang darurat dan mengambil tindakan terhadap pegawai-pegawai yang menyeleweng semasa pemerintahan dahulu.

Oleh itu beliau mengingatkan para pelajar dan ibu bapa jangan runsing dengan suasana di Mesir kerana lokasi tunjuk perasaan jauh dari kediaman para pelajar.

“Tunjuk perasaan ini bukan berlaku di tempat pelajar kita. Di Dataran Tahrir di tengah Cairo di pinggir Sungai Nil. Sejauh 40 kilometer dari asrama pelajar kita. Tidak ada sebab panggil anak balik. Masing-masing ibu bapa buat kerjalah dan bagi nasihat anak-anak supaya belajar bersunguh-sungguh,” katanya.

Beliau menceritakan pengalamannya ketika belajar di Mesir pada tahun 1967 di mana ketika itu berlaku peperangan Mesir dengan Israel.

“Pengalaman saya pada tahun 67 ada berlaku perang Mesir Israel tapi kita belajar. Perang peranglah di sempadan. Saya okay,” ujarnya.

Kumpulan yang pertama membawa 224 pelajar termasuklah sembilan Pegawai Yink dengan enam buah bas akan berangkat dengan Egypt Air pada jam 11.00 dan dalam jumlah ini terdapat 30 pelajar yang tertangguh tarik berangkat sehingga visanya siap.

Tiada ulasan: