Konvoi bermotosikal sebar info Sambutan 3 Tahun Kedah Sejahtera

ALOR SETAR – Konvoi bermotosikal menjelajah ke seluruh negeri menjadi acara permulaan sambutan tiga tahun pemerintahan Kerajaan Negeri Kedah di bawah pimpinan Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak yang bermula pada 5 Mac 2011.

Konvoi yang bermula di Padang Terap itu dianggotai seramai 50 peserta belia seluruh negeri, diadakan dalam dua peringkat untuk mendekati rakyat.

Fasa pertama bermula di Padang Terap melalui Jitra, Kodiang, Megat Dewa, Kerpan, Air Hitam, Kuala Kedah, Pendang dan Guar Chempedak, manakala bagi fasa kedua pada 6 Mac 2011, ia bermula di Guar Chempedak, Yan, Sungai Petani, Kulim, Baling dan Sik.

Konvoi terbabit turut mengedarkan 5,000 risalah program Kedah Sejahtera supaya penduduk dapat mengetahui intipati program untuk memudahkan mereka hadir pada acara yang bersesuaian sepanjang lima hari berlangsungnya Sambutan Tiga Tahun Kedah Sejahtera yang bermula pada 10 hingga 14 Mac 2011.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan dan Pembangunan Usahawan, Ustaz Abdul Ghani Ahmad berharap penduduk dari segenap pelosok negeri dapat hadir kerana program besar seperti ini julung-julung kali diadakan di negeri ini.

Beliau memberitahu, terdapat 88 gerai jualan pelbagai disediakan pada pengunjung antaranya menjual makanan, minuman dan produk pertanian.

Tambahnya, khemah utama juga turut disediakan yang mampu menampung kehadiran 2,000 pengunjung bagi program kuliah agama, forum dan pidato.

Tiada ulasan: