Daerah Yan terus jadi tumpuan pelancong

YAN – Daerah Yan merupakan sebuah daerah yang kaya dengan tempat-tempat menarik untuk dilawati dan ia dikelilingi dengan pemandangan sawah padi serta kehijauan Gunung Jerai.


Tempat-tempat peranginan dan rekreasi yang sering menjadi tumpuan di daerah ini ialah Rimba Rekreasi Titi Hayun dan Rimba Rekreasi Seri Perigi. Salah satu tempat menarik yang boleh dikunjungi ialah Rimba Rekreasi Batu Hampar.

Rimba Rekreasi Batu Hampar mempunyai daya tarikannya yang tersendiri dengan suasana dan persekitaran yang mampu memberikan kelainan kepada setiap pengunjung.

Rimba Rekreasi Batu Hampar terletak kira-kira 50 kilometer dari Bandaraya Alor Setar dan 30 kilometer dari Sungai Petani dan ia merupakan salah satu tempat rekreasi yang menarik di negeri ini.

Rimba rekreasi ini yang terletak tiga kilometer dari Pekan Yan dihubungkan dengan rangkaian jalan raya yang strategik dan memudahkan pengunjung untuk melawatinya.

Untuk ke rimba rekreasi ini, pengunjung akan melalui dusun buah-buahan, ladang getah dan perkampungan tradisional Melayu di sepanjang jalan. Pengunjung juga boleh menikmati pelbagai flora dan fauna dari Hutan Simpan Gunung Jerai.



Antara tumbuhan utama yang boleh ditemui di sini ialah Meranti, Melanti, Meranti Langgong dan Meranti Tembaga.

Antara kemudahan asas yang disediakan di sini ialah tandas awam, pondok rehat serta bilik persalinan. Kawasan peranginan ini terletak berhampiran dengan Istana Hinggap Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Tuanku Sultan Kedah.

Rimba Rekreasi Batu Hampar merupakan tempat yang sesuai kepada mereka yang gemarkan aktiviti perkhemahan dan berkelah bersama keluarga.

Ini kerana suasananya yang nyaman, tempat mandi-manda yang sesuai untuk kanak-kanak dan orang dewasa serta tapak perkhemahannya yang luas.


Bagi mereka yang sukakan aktiviti jungle tracking, bolehlah menikmati keindahan Hutan Lipur Batu Hampar yang terletak dalam Hutan Simpan Gunung Jerai yang mempunyai Hutan Dipterokarp Pamah.

Kebersihan dan kejernihan air Sungai Raga yang merentangi hutan lipur ini merupakan tarikan utama kawasan ini di samping kewujudan pokok-pokok besar yang cantik dan menarik.

Untuk sampai ke hutan lipur ini, pengunjung boleh menggunakan kenderaan sendiri atau teksi dari Pekan Yan. Hutan lipur ini menyediakan beberapa kemudahan asas seperti tandas, jambatan dan denai hutan.

Antara aktiviti-aktiviti yang boleh dilaksanakan di sini seperti mandi-manda, berkelah, berkhemah di samping bersiar-siar serta mendaki gunung.

Tiada ulasan: