Tiga tahun masih digelar ‘kerajaan pembangkang’

ALOR SETAR, 13 Mac - “Sampai sekarang kita masih dianggap sebagai kerajaan pembangkang walaupun telah tiga tahun kita memerintah. Mereka masih tidak mahu menerima hakikat bahawa mandat yang kita pegang sekarang adalah keputusan rakyat,” kata Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah YB Dato’ Ir Amiruddin Hamzah pada program Pidato Kemasyarakatan sempena Sambutan Tiga Tahun Kedah Sejahtera yang berlangsung di Stadium Darul Aman.

Dua lagi ahli pemidato ialah Menteri Besar Selangor YAB Tan Sri Khalid Ibrahim dan Ahli Parlimen Marang YB Dato’ Seri Abdul Hadi Awang.

Menurut YB Dato’ Ir Amiruddin, sepanjang tempoh itu ada wakil rakyat yang jangka hayatnya pendek kerana dibeli dan lompat. “Ini tidak ‘gentleman’ kerana rakyat buat keputusaan tetapi dia ingat kerusi dia punya,” ujarnya.

Katanya, kerajaan sedang berusaha merealisasikanslogan ‘Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua’ dengan meningkatkan kebajikan kepada semua lapisan rakyat termasuklah kanak-kanak, belia dan warga emas.

“Apabila memegang tampok pemerintahan perkara awal yang dilakukan ialah memenuhi janji ketika pilihanraya dahulu iaitu menurunkan cukai tanah.

“Langkah yang diambil kerajaan bertujuan meringankan beban rakyat sebagai pembayar cukai walaupun kerajaan kehilangan hasil sebanyak RM50 juta,” katanya.

Atas dasar ketelusan dan tidak ada tender ‘bawah meja’ dalam mentadbir kewangan negeri Kedah, kehilangan hasil itu berganti apabila hasil balak meningkat daripada RM 35 juta tahun 2008 berbanding hanya RM8 juta pada 2007 dan melonjak naik ke RM35 juta pada tahun 2010.

Malah, katanya, hasil keseluruhan meningkat kepada 17.32 peratus berbanding 2009 dan defisit yang dianggarkan dalam Bajet 2010 dapat diatasi.

“Hasil ini telah diagih-agihkan kepada rakyat menerusi pelbagai program termasuklah Skim Kafalah dan perkara asas yang sedang diusahakan kerajaan ialah membina rumah mampu milik supaya semua rakyat dapat memiliki rumah sendiri.

“Selain itu bidang pendidikan dan pembangunan insan diberi penekanan di peringkat sekolah iaitu program Kem Anak Soleh, Bina Insan dan Bina Sahsiah diadakan setiap tahun pada musim cuti sekolah bagi mebina generasi masa depan yang berwibawa dan berkerampilan di dunia dan akhirat,” ujarnya.

Katanya, satu-satunya universiti milik kerajaan Negeri Kedah ialah Kolej Universiti Insaniah yang permintaan pelajar meningkat dari tahun ke tahun sehingga kampus yang ada tidak mampu menampung pelajar yang bertambah.

“Oleh itu kampus baru bernilai RM330 juta dibina di Kuala Ketil atas tanah seluas 530 ekar akan siap menjelang 2012,” ujarnya.

~wartakedah~

Tiada ulasan: