Pelajar dapat semua A SPM bertambah di Kedah

Ditulis oleh WADIASSOFI JAAFAR

ALOR SETAR, 23 Mac – Seramai 31,215 orang calon dari sekolah kerajaan di negeri Kedah telah menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010.

Menurut Pengarah Pelajaran Negeri Kedah, Haji Abdullah Saad, seramai 451 atau 1.44 peratus calon telah berjaya memperolehi Gred Cemerlang (A+, A dan A-) dalam semua mata pelajaran yang diambil dan bertambah sebanyak 43 orang dari 408 pada tahun 2009.

“Peratus pencapaian SPM 2010 negeri Kedah ialah 49 peratus meningkat sebanyak 2.91 peratus daripada 46.09 peratus pada tahun 2009,” katanya.

Beliau menjelaskan, sebanyak tiga buah sekolah telah berjaya mencatat kelulusan 100 peratus iaitu Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI), Sekolah Menengah (SM) Sains Kubang Pasu dan SM Sultan Abdul Halim.



“Sebanyak 59 mata pelajaran mencatatkan kelulusan 100 peratus berbanding 55 mata pelajaran pada tahun 2009 dan sebanyak 31,761 orang calon atau 99 peratus layak mendapat sijil,” ujarnya.

Abdullah memberitahu, gred purata keseluruhan SPM negeri Kedah pada tahun 2010 ialah 5.392 berbanding 5.560 pada tahun 2009, peningkatan sebanyak 0.168.

Tambahnya, sekolah yang mencapai Gred Purata antara 0.0 hingga 3.0 ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultanah Asma, SBPI Kubang Pasu, SM Sultan Abdul Halim, SMK Sultan Badlishah, SMK Ibrahim, SM Sains Sultan Mohamad Jiwa, SM Sains Pokok Sena, SM Sains Kubang Pasu, SMK Agama Kedah, SMK Agama Baling dan SMK Agama Sik.

“Sebahagian besar sekolah-sekolah di negeri Kedah adalah berada dalam kategori sekolah cemerlang, baik serta memuaskan dan sekolah berpotensi hanya lima buah sekolah sahaja, menggambarkan tahap pencapaian sekolah telah semakin meningkat baik ke arah berprestasi tinggi,” jelasnya.

Beliau berkata, semua pihak yang terlibat dengan sekolah-sekolah ini mempunyai peluang yang luas untuk mempertingkatkan pencapaian prestasi sekolah mereka setaraf sekolah terbilang di masa hadapan.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua pihak yang terlibat dan telah berusaha bersungguh-sungguh mendidik pelajar-pelajar di negeri ini sehingga ramai di antara mereka telah mencapai kejayaan yang cemerlang,” ujarnya.

Tiada ulasan: