Kembalikan harta kerajaan kepada rakyat

ALOR SETAR, 13 Mac - Menteri Besar Selangor YAB Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim secara jujur memberitahu bahawa kedatangannya ke Kedah ialah untuk memberitahu bagaimana pemerintahan sekarang telah membawa harta-harta kerajaan kembali kepada rakyat.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Ijok berkata, Selangor terlalu berharga bagi Kerajaan Pusat kerana lebih 25 peratus keluaran negara Malaysia adalah datang dari Selangor.

“Sebab itu mereka giat berusaha menawan Selangor. Itu cabaran bagi saya untuk tunjukkan kepada rakyat bahawa kita akan tadbir Selangor dengan lebih baik daripada mereka. Kita akan buktikan. Saya bukan kira ikut tahun tetapi ikut hari dan sekarang lebih 1,000 hari menjadi Menteri Besar Selangor. Setiap hari saya nyatakan perubahan itu kepada rakyat yang memilih saya,” katanya pada Forum Kemasyarakatan anjuran Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kedah sempena sambutan Tiga Tahun Kedah Sejahtera.

Menurutnya tanggungjawab kerajaan sekarang ialah menentukan setiap hasil negeri itu dapat salurkan kepada rakyat dan ini bukan slogan tetapi program merakyatkan ekonomi Selangor.

Berikutan itu dalam belanjawan Kerajaan Negeri Selangor telah meluluskan peruntukan untuk program ini bagi rakyat luar Bandar dan dalam Bandar.

“Benar, pendapatan negeri benar agak mewah dibanding negeri lain tetapi adakah kemewahan ini disalur kepada rakyat. Bagaimana kemewahan ini dapat dirasai rakyat. Ini terpulang kepada cara perbelanjaan dan salah satu cara ialah kita isytiharkan air percuma kepada rakyat.

“Bukan boros dan bukan nak beri orang dapat air percuma tapi ini hak mereka. Air hak asas menentukan kehidupan. Air hak negeri. Haknya cukup untuk digunakan dalam satu keluarga kira-kira 20 meter padu kita berikan air percuma tetapi bagi mereka mempunyai kolam renang atau membasuh kereta yang banyak, buang air tak tentu arah dia kena bayar. Lebih 20 meter padu dikenakan bayaran bertingkat. Lagi banyak lagi mahal,” katanya.

Beliau memberitahu, kerajaan menjaga hak asas rakyat seperti air namun sekiranya disalahguna ianya akan dikenakan bayaran pada harga yang ditetapkan.

Namun beliau menafikan tuduhan yang kerajaan Selangor tidak ada duit. Untuk itu dalam perbincangan telah ditunjukkan bukti Kerajaan dahulu tidak menjaga harta rakyat dengan baik.

Katanya, air mula diswastakan sebelum tahun 2004 yang membenarkan Syarikat Air Selangor (Syabas) mengutip hasil jualan air tetapi kutipan itu tidak menyebut milikan-milikan kerajaan adalah milik rakyat dalam bentuk paip, loji-loji, rumah pam yang semuanya diserahkan kepada Syabas dengan dikecualikan bayaran kepada Kerajaan Negeri.

“Bayangkan dalam kiraan mereka harta negeri ialah 1,000 juta sahaja bila saya buat kajian, periksa setiap harta itu sekarang kita isytiharkan harta air milikan Kerajaan Negeri lebih 10 ribu juta ringgit dan Selangor dapat harta baru.

“Bayang kalau kita dapat 2 peratus untuk air percuma sekurang-kurangnya ada 120 juta. Jadi kekal rakyat Selangor dapat air percuma. Ini contoh kita ingatkan kepada pemerintah dahulu yang mereka tak buat bukan kerana mereka tak tau tapi nak buat. Atau sengaja buat cara tak betul,” katanya.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

YAB, tuan dituduh gagap (maaf) tp otak cair. menteri umno petah (tak juga, biasa saja) tp otak lembu. syabas YAB. Saya selalu berdoa dlm solat hajat agar Allah selamatkan selangor drp diambil penyangap umno.