MKK diseru contohi Saidina Umar Al-Khattab

ALOR SETAR, 16 Mac 2011 – Majlis Ketua Kampung/Komuniti (MKK) diseru mencontohi Saidina Omar Al-Khatab yang sanggup bersusah payah berjalan di waktu malam untuk melihat sendiri masalah rakyatnya.

Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abd Razak dalam ucapan perasmiannya di Majlis Penyampaian Sijil Tauliah Ketua Kampung/Komuniti Negeri Kedah sesi 2010-2012 berkata, MKK merupakan agen penting dan menjadi mata telinga kerajaan negeri. MKK perlu peka kepada hal-ehwal masyarakat kampung dan perlu melapor kepada pejabat penghulu atau daerah untuk tindakan.

“MKK lebih tahu apa yang berlaku di dalam kampung masing-masing. MKK merupakan agen kerajaan dan jagalah masyarakat kampung masing-masing dari rosak binasa dalam apa bentuk sekali pun,” tegas beliau.

Katanya lagi, MKK perlu menyegerakan peluang-peluang yang telah buat oleh kerajaan seperti bantuan wang saku pelajar-pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan bantuan bulan Ramadhan kepada guru-guru agama dan bidan-bidan. MKK perlu pastikan sasaran yang layak menerima bantuan tersebut dengan segera.

“MKK perlu faham akan tanggungjawab masing-masing dan jadikan ianya satu amanah yang akan ditanya oleh Allah di akhirat kelak.

“Ambil contoh peranan skru tayar kereta, walau pun kecil tapi sekiranya ia tidak dipasang dengan elok dan kemas, tayar kereta tidak boleh berpusing dengan baik. Elaun bukan nilaian tapi kebanggaan memerintah dengan adil perlu ada di hati setiap kita,” ujarnya.

Menurut Dato’ Seri lagi, institusi MKK akan diperkasakan agar perlaksanaan menjadi lebih tersusun dan baik. MKK perlu bertindak segera terutama berkaitan kebajikan rakyat sesuai dengan kehendak Islam agar urusan kebajikan disegerakan.

“Skim Kafalah yang diperuntukkan sebanyak RM3.5 juta merupakan kebajikan kepada rakyat tidak mengira bangsa, agama dan fahaman politik. Saya berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan segera kerana menurut laporan yang diterima masih ada MKK yang tidak menyerahkannya,” kata beliau.


Dalam ucapannya juga, beliau menyatakan bahawa kerajaan negeri akan menjadikan Kedah sebagai Belanda Timur. Kerajaan negeri akan memberi penekanan kepada program pertanian dan melaksanakannya dengan cara yang lebih moden.

“Saya nak minta MKK mengambil peranan dalam hal ini. Ajak orang-orang kampung buat pertanian. Pastikan tanah-tanah terbiar dijadikan projek pertanian,” tambah beliau lagi.

Menurutnya, seluas seratus empat puluh ekar tanaman nenas telah dijalankan di Lata Temin di bawah Kedah AGRO. Satu hektar boleh menghasilkan lapan puluh lima ribu pokok nenas dan menghasilkan keuntungan bersih RM45 ribu setahun. Pada bulan April, seluas tujuh ratus ekar akan ditanam dengan nenas, betik, pisang dan limau.

“Kita akan proses hasil pertanian orang-orang kampung. Kerajaan negeri melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) akan bina kilang mengetin bahan makanan dan memproses hasil pertanian. Kilang dan pusat pengumpulan tersebut akan dibina di Sungai Petani. Contohnya, rambutan kita akan tinkan seperti laici. Nenas juga kita akan tinkan samada dalam bentuk ‘slices’ atau kiub,” ujarnya.

Menteri besar itu berharap MKK dapat menjalankan tanggungjawab dengan penuh amanah demi kebajikan masyarakat kampung.

Kira-kira tiga ribu orang MKK menghadiri Majlis tersebut yang diadakan di Dewan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Kolej Universiti Insaniah (KUIN), Alor Setar, Kedah.

Tiada ulasan: