Dewan Undangan Negeri Sarawak Dibubar

KUCHING 21 MAC : Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dibubarkan hari ini untuk membolehkan pilihan raya DUN ke-10 diadakan.

Speaker DUN Sarawak Datuk Seri Mohamad Asfia Awang Nassar berkata pengisytiharan pembubaran DUN Sarawak yang ditandatangani oleh Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng telah diterima pada pagi ini.

"Pembubaran DUN Sarawak pada 21 Mac iaitu hari ini mengikut perkara 21(2) Perlembagaan Negeri Sarawak," katanya pada sidang media di bangunan DUN baru di sini hari ini.

Asfia berkata pengisytiharan pembubaran DUN Sarawak akan diserahkan kepada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof pada petang esok.

"Tempat dan masa pertemuan belum dapat ditentukan tapi ia akan diserahkan esok," katanya lagi.

Asfia berkata selepas penyerahan pengisytiharan itu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menentukan tarikh penamaan calon dan pengundian.

Pada Sabtu lepas Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud mengumumkan DUN Sarawak dibubar pada hari ini bagi membolehkan pilihan raya negeri ke-10 diadakan.

Ketika ini, BN negeri menguasai 63 daripada 71 kerusi DUN selepas Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Engkilili Dr Jonical Rayong Ngipa, yang bertanding atas tiket parti pembangkang Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP), menyertai BN tahun lepas.

DAP menguasai enam kerusi manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Cinta Malaysia (PCM), menerusi wakil rakyat Bebas, masing-masing menguasai satu kerusi.

DUN Sarawak dengan 71 anggota sedia ada akan tamat pada 23 Julai ini. Pilihan raya negeri yang lepas diadakan pada 20 Mei 2006.-BERNAMA

Tiada ulasan: