Penduduk Taman Wira bersyukur perpecahan dapat dielakkan

ALOR SETAR, 22 Mac – Penduduk Taman Wira Mergong khususnya yang tinggal di Blok B bersyukur kerana pihak polis membatalkan program ceramah yang bertujuan mengaibkan seorang pemimpin politik dalam negara.

Ceramah anjuran sebuah parti politik itu dijadual diadakan di Dewan Orang Ramai Blok B, iaitu premis milik Kerajaan Negeri Kedah. Pengerusi Majlis Ketua Kampung (MKK) Blok B, Taman Wira, Encik Abd Ghani Mustafa yang mewakili penduduk di situ telah membuat laporan polis terhadap program tersebut, sehari sebelum program diadakan. Beliau menyifatkan penganjuran program seperti itu boleh mengganggu ketenteraman awam, terutamanya para penduduk di situ yang selama ini hidup dalam keadaan aman dan sejahtera.

Berikutan itu, beberapa jam sebelum ceramah dijadualkan berlangsung, para penduduk Taman Wira Mergong telah keluar beramai-ramai untuk membuat bantahan secara aman. Polis yang tiba sejurus selepas bantahan itu dibuat mengumumkan bahawa ceramah dibatalkan. Rata-rata penduduk yang ditemui bersyukur kerana dengan pembatalan tersebut maka perpecahan antara penduduk dapat dielakkan.

Tiada ulasan: