Fitnah Video Lucah : Polis Siasat Tempat Kejadian



KUALA LUMPUR 24 MAC : Polis hari ini memeriksa bilik sebuah hotel yang didakwa diguna untuk merakamkan sebuah video seks fitnah yang cuba dikaitkan kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun tiga individu yang mengakui mendalangi penayangan video itu di sebuah hotel lima bintang Isnin lalu, tidak ditangkap kerana bukti belum mencukupi, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, Datuk Ghazali Md Amin, berkata siasatan di hotel itu dijalankan bersama unit forensik PDRM selepas memperoleh maklumat.

Semalam, bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik bersama ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah, disoal siasat selama lima jam di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Mereka turut menyerahkan video aksi seks seorang lelaki dengan seorang wanita serta seutas jam tangan Omega.

Tan Sri Ismail berkata, polis sedang mengenal pasti identiti individu yang kelihatan dalam rakaman video aksi seks terbabit.

Beliau berkata, siasatan kes itu masuk hari ketiga hari ini dan pasukan khas menjalankan siasatan dari pelbagai sudut, termasuk bagaimana rakaman video itu boleh wujud.

"Kita sendiri hendak tahu apa yang telah berlaku dan banyak isu lagi," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis Peringatan Hari Polis ke-204 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Kuala Lumpur.

Ismail berkata, beliau percaya maklumat dan fakta baru akan diperoleh dalam masa terdekat hasil penyiasatan yang dijalankan.

Ditanya sebab ketiga-tiga Datuk T yang mendedahkan video fitnah itu tidak di tahan walaupun menayangkannya di khalayak ramai, Ismail menjawab, "Atas kesalahan apa? Kalau sampai masa sudah cukup bukti dan sudah disahkan kesalahan mereka, barulah kita akan bertindak ikut undang-undang.

"Semalam kita panggil dua daripada mereka untuk diambil kenyataan. Kalau tahan mereka tetapi tidak cukup bukti, esok orang gelakkan polis nanti," katanya.

~tvs~

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Hari inipun orang dah gelakkan polis. Bukan di Malaysia saja tapi di seluruh dunia kerana polis Malaysia tidak lagi profisional! Bekas pegawai polis yang kata!!