Umno terdesak, ganggu ceramah PAS

Khairil Abdul Rahim

TEMERLOH, 1 Mac: Umno disifatkan makin terdesak dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Kerdau apabila bertindak mengganggu ceramah PAS setelah ceramah dianjurkan parti itu tidak mendapat sambutan.

Ketua Pemuda PAS Pahang, Suhaimi Saad, berkata sudah dua malam berturut-turut ceramah anjuran PAS di Jengka 23 telah diganggu oleh pihak parti tersebut.

“Malam kelmarin semasa ceramah Mohammad Sabu, markas Umno yang berada tidak berapa jauh dari kawasan PAS telah memasang lagu dan berkaraoke sekuat-kuatnya sehingga mengganggu kira-kira seribu pendengar yang hadir.

“Malam tadi ceramah Bob Lokman yang dihadiri kira-kira seribu orang pula diganggu oleh tidak kurang 10 orang pemuda yang bermotosikal dengan membuat bising di kawasan ceramah yang mendapat permit polis.



“Saya difahamkan di markas mereka juga ada satu ceramah oleh pemimpin Umno, tapi oleh kerana kurang mendapat sambutan berbanding program PAS, mereka arahkan anak muda datang mengganggu,” ujarnya.

Menurut Suhaimi, selepas beberapa pemuda PAS menghampiri penunggang motosikal berkenaan, mereka pun lari dan kemudian datang lagi mengganggu.

DUN Kerdau mempunyai 13 pusat mengundi termasuk tiga kawasan Felda. Pemuda PAS Pahang menjadikan Jengka 23 sebagai pusat operasinya.

Tambah Suhaimi, selama ini tema kempen oleh calon PAS ialah berkasih sayang dan menolak provokasi, tetapi diambil kesempatan oleh Umno untuk menimbulkan provokasi dan suasana yang tidak selesa kepada penyokong PAS.

“Kita masih punya beberapa hari lagi untuk berkempen dan saya harap pihak berkuasa tidak berdiam diri kerana kita tidak mahu berlaku suasana yang tidak harmoni atau kekecohan dalam kempen pilihan raya ini,” katanya kepada Harakahdaily.

http://www.harakahdaily.net

Tiada ulasan: