MB Kedah : Tindakan SADA Berasas



ALOR SETAR 3 MAC : Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak mempertahankan tindakan Syarikat Air Darul Aman atau ringkasnya SADA menghentikan khidmat pejabat Pos Malaysia sebagai 'ejen' kutipan bayaran bil air di Kedah berkuat kuasa 1 kelmarin.

Azizan menjelaskan tindakan SADA itu adalah keputusan tebaik untuk keselesaan semua pihak khususnya rakyat negeri Kedah ekoran Pos Malaysia ingin menaikkan caj komisennya daripada 70 sen kepada 90 sen.



Kita hentikan khidmat supaya pengguna tidak dibebankan dengan kos tambahan ini dan pada masa sama tidak mahu Sada tanggung kerugian,"jelas Azizan.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Negeri kedah baru-baru ini.

Mengulas mengenai rasional tindakan tersebut, Azizan berkata kenaikan kadar komisen dilihat tidak jelas serta cajnya berbeza dengan negeri-negeri lain.

Apa yang berlaku ialah Pos Malaysia kenakan caj yang berbeza-beza bagi setiap negeri. Kedah dicaj 70 sen dan sekarang 90 sen, ada negeri caj lebih rendah. Sukar untuk kita berurusan macam ini, lebih baik kita putuskan henti jadikan Pejabat Pos sebagai ejen, katanya.

Tambahnya lagi, selama ini SADA terpaksa menanggung caj komisen tersebut dan pihaknya telah beberapa kali membuat rundingan mengenai hal ini kepada Pos Malaysia namun tiada tidak menemui jalan penyelesaian.

Azizan yang juga Pengerusi SADA berkata, walaupun Pejabat Pos tidak lagi menjadi ejen kutipan bil air SADA, pengguna masih mempunyai banyak pilihan untuk membuat bayaran di ejen-ejen bayaran lain, antaranya Tenaga Nasional Berhad (TNB), Telekom Malaysia (TM) dan beberapa bank termasuk kaunter bayaran SADA.

Azizan turut menjelaskan, SADA kini dalam proses menambah bilangan kaunter bayaran di setiap daerah, termasuk menaik taraf logistik untuk kemudahan pengguna.
Selasa lalu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SADA, Datuk Adzmi Din berkata, pemberhentian perkhidmatan itu terpaksa dibuat supaya pengguna tidak dibebankan dengan kos bayaran komisen yang dikenakan oleh Pejabat Pos kepada Sada apabila komisen dinaikkan daripada 70 sen kepada 90 sen.

Adzmi berkata, setiap bulan pihaknya terpaksa memberi subsidi kepada pengguna hampir RM100,000 sebulan, kerana tidak mahu memindahkan kos tanggungan itu kepada pengguna. Jika caj baru itu diterima, Sada akan menanggung kerugian sebanyak tambahan 30 peratus berbanding sebelum ini, sekitar RM1.2 juta setahun.

1 ulasan:

emak. bukan penari tiang berkata...

menyusahkan hidup rakyat pasepa?