Shamsul : SPR Dan SPRM Perlu Ambil Tindakan Terhadap KM Melaka

SHAH ALAM 27 FEB : Ketua Angkatan Muda Keadilan Shamsul Iskandar Md Akin membidas sikap Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ali Rustam dalam cubaan merasuah pengundi Cina di DUN Merlimau dan mendesak pihak SPR dan SPRM mengambil tindakan segera.

Di Miri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib berkata dalam satu ceramah kempen BN memberitahu pengundi dan penduduk Cina dengan ungkapan ' I Help You, You Help Me" dalam isu pemberian bantuan.

Ali Rustam seperti belajar dan meniru daripada ketuanya dengan memberitahu kepada wakil Persatuan Pendidikan Cina Progresif Melaka, Yang Ying Chong bahawa beliau hanya akan membincangkan tuntutan mereka jika BN memenangi pilihan raya kecil DUN Merlimau.



"Saya menjelaskan kenyataan Datuk Ali Rustam , saya malah menggunakan istilah yang pernah digunakan oleh profesor S.H Al-Attas dalam bukunya, bahawa kenyataan beliau itu sebagai 'bebal'.

Ini kenyataan yang bebal dan pada saya menunjukkan Ketua Menteri tidak ikhlas dalam menyelesaikan masalah rakyat," tegas Shamsul yang dihubungi TV Selangor hari ini.

"Kenapa perlu menang dulu baru ada perubahan? kenapa tidak lakukan sebagai tanggungjawab tidak mengira kaum atau parti? mereka mesti bertanggungjawab setiap masalah rakyat di negeri ini," ujarnya

Antara tuntutan kumpulan berkenaan ialah sekolah vernakular, sekolah Cina bebas dan sekolah agama rakyat diberi faedah yang sama seperti sekolah kebangsaan, iaitu menerima subsidi, bantuan untuk pelajar dan sijil untuk melanjut pengajian di universiti awam dan perkhidmatan awam.

Tindakan Ali Rustam ternyata satu tindakan tidak matang dan seperti mempersendakan orang Cina dan menafikan hak rakyat berbilang kaum di negara ini.

Tambah Shamsul, pihak bertanggungjawab perlu segera menyiasat perkara ini dan mengambilkan tindakan segera yang jelas bertentangan dengan undang-undang.

Shamsul juga mengingatkan bahawa jika rakyat hilang kepada kepercayaan terhadap SPR dalam mengendalikan pilihanraya yang bebas dan adil tidak mustahil rakyat akan mengambil pendekatan seperti di Mesir.

"Maksudnya kalau kita beri sokongan baru nak beri sokongan? itu jelas merupakan satu kesalahan akta pilihanraya. Elemen rasuah untuk memancing undi. Ini bercanggah dan saya hairan dengan SPRM berdiam diri tidak ambil tindakan terhadap Ketua Menteri ini.

"Pada saya kalau SPR tidak mengambil tindakan dan senyap, saya yakin satu hari nanti rakyat hilang kepercayaan terhadap SPR maka mereka tidak menggunakan pilihanraya untuk menjatuhkan kerajaan mungkin menggunakan pendekatan lain seperti di mesir dan sebagainya," ujar Shamsul.



Tiada ulasan: