Kutipan hasil MBAS meningkat

ALOR SETAR, 7 April – Pada tahun 2011 Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) telah berjaya membuat kutipan sebanyak RM15.3 juta berbanding RM12.5 juta pada tahun 2010 dan lingkungan RM10 –12 juta pada tahun-tahun sebelumnya.

“Pengutipan dua bulan pertama (Jan dan Feb) ini merupakan jumlah yang tertinggi selama sepuluh tahun. Lebih dari RM10 juta kutipan dari hasil cukai pintu dan lainnya dari cukai semasa, tunggakan dan pembaruan lesen-lesen perniagaan,” beritahu Datuk Bandar Alor Setar, Dato’ Khazali Din dalam sidang media di tingkat lapan MBAS.

Tambahnya lagi, kejayaan tersebut hasil dari kesedaran masyarakat menunaikan tanggungjawab mereka. Hasil pendapatan tersebut akan dikembalikan kepada rakyat dengan memperbaiki kerosakan kemudahan awam akibat banjir, ribut dan lain-lain.

“Selain dari kesedaran masyarakat itu sendiri, pihak MBAS juga memperkenalkan bayaran secara online, kaunter bergerak dan menambah agen pembayaran, Ini memudahkan mereka membayar cukai, mendapatkan dan memperbaharui lesen perniagaan,” tambahnya.

Pihak MBAS juga telah membuka pejabat cawangan di Kuala Kedah untuk memantau aktiviti-aktiviti di Pekan Kuala Kedah. Katanya, ini kerana Pekan Kuala Kedah merupakan pintu masuk dan keluar dari Bandar Alor Setar.

“Kita mencadangkan penubuhan Sukarelawan Anti Sampah yang terdiri dari ahli-ahli kelab NGO, pelajar-pelajar, MKK dan JKKKP.

“Mereka akan ditempatkan kesemua kawasan di Alor Setar seperti Kuala Kedah, Pokok Sena, Bukit Pinang, Langgar dan Simpang Empat untuk memantau kesalahan yang mencemar kebersihan Bandaraya Alor Setar. Sukarelawan ini mempunyai kuasa untuk mencatat kesalahan dan mereka ini tidak dibayar apa-apa elaun dan menjalankan tugas secara sukarela,” tambah Dato’ Khazali.

Selain itu, beliau juga memaklumkan cadangan kepada syarikat swasta untuk menubuhkan pusat pelupusan sampah di pasar-pasar terutama pasar-pasar basah. Terdapat sebelas pasar basah dan semua hasil-hasil buangan pasar-pasar tersebut akan diproses dan dijadikan baja kompos.

Dato’ Khazali juga memberitahu sidang media, MBAS dengan kerjasama kerajaan negeri akan menyambut ulang tahun ke tujuh Bandaraya Alor Setar.

Tiada ulasan: