Ku Li : Mahathir Masih Diulit Mimpi Ngeri 1987

KUALA LUMPUR 3 APRIL : Tengku Razaleigh Hamzah tidak akan menyaman Tun Mahathir Mohamad bersabit tuduhan beliau mengamalkan politik wang kerana faham mantan Perdana Menteri itu masih “kurang seronok” setelah hampir kalah pada pemilihan Umno tahun 1987.

“Saya dah buat penafian. Tapi ia bukan cara yang terbaik. Cara terbaik ialah failkan saman supaya dapat hapuskan apa yang tertulis di memoirnya tetapi saya tak merancang berbuat demikian buat masa ini," kata beliau dalam wawancara eksklusif terbitan TV Selangor semalam.

“Saya rasa ada perkara yang dia tak boleh lupa (bersabit pemilihan 1987). Yalah, lepas jadi Presiden dan Perdana Menteri enam tahun, dia cuma menang 43 undi sahaja. Malu.Barangkali kerana itu, dia rasa tak seronok,” tambah beliau.

Dalam buku berjudul “A Doctor in the House: The Memoirs of Tun Dr Mahathir Mohamad”, Mahathir mendakwa Tengku Razaleigh tidak menjadi Perdana Menteri kerana kurang bersabar.

Pemilihan Umno pada tahun 1987 menyaksikan Tengku Razaleigh dan beberapa tokoh lain termasuk Tun Musa Hitam mencabar Mahathir dan barisannya untuk kepimpinan Umno.

Dalam memoirnya Mahathir mendakwa puak “Team B” yang diketuai oleh Tengku Razaleigh mengamalkan politik wang untuk menjatuhkan beliau pada pemilihan itu.

Dalam wawancara dengan TVSelangor, Tengku Razaleigh sekali lagi menolak tuduhan Mahathir itu sebagai fitnah semata-mata.

"Selepas saya dan rakan-rakan tawar khidmat untuk bertanding, dan dia (Mahathir) menang dengan sebanyak itu 43 undi sahaja. Langsung dia buat tuduhan saya guna duit. Demi Allah saya tak pernah guna duit bagi mana-mana perlawanan sama ada dalam pemilihan parti atau di luar pemilihan parti,” tegas beliau.

Razaleigh berkata, hakikatnya ialah beliau menerima pelbagai tekanan dan kekangan daripada pucuk pimpinan Umno ketika itu dalam membawa mesej untuk pembaharuan kepada perwakilan.

"Saya bukan nak lawan sesiapa, saya menawar khidmat sekiranya orang ramai perlukan khidmat saya. Pada perlawanan kali pertama, saya dengan Tun Musa (Hitam) (dilayan) agak tidak adil. Saya tak dibenar bertemu orang ramai dan hadir di majlis tertentu walhal lawan saya diizin. Sebab itu bila saya tidak menang kali pertama, kawan dan penasihat suruh lawan sekali lagi,” kata beliau.

Razaleigh berkata, memoir Tun Mahathir jelas berat sebelah dan hanya dari sudut pandangan yang terhad.

"Saya rasa memoir itu berat sebelah kerana hanya dengar cerita dia sahaja. Kerana dia yang tulis buku jadi ikut sedap dialah, dia tulis apa yang nak ditulis,” kata beliau.

Tiada ulasan: