Kerajaan Negeri beri RM2.2 juta untuk sekolah agama rakyat

ALOR SETAR, 28 Mac 2011 – Hal Ehwal Sekolah Agama Rakyat (HESA) berperanan menggabungkan sekolah-sekolah agama, tahfiz dan pondok yang tidak bernaung di bawah Jabatan Agama serta tidak mendapat bantuan dari mana-mana pihak.

Majlis Penyerahan Sumbangan Kerajaan Negeri yang diadakan di tingkat 1, Hotel Regency Alor Setar, dihadiri kira-kira 300 orang mewakili 58 buah sekolah.

“Pada 2 April 2008 kita menubuhkan HESA dan pada 2 Jun 2010 kita mendaftarkan HESA sebagai NGO. Pada kali ni sebanyak 58 buah sekolah mendapat sumbangan yang terdiri dari 25 buah sekolah pondok dan 33 buah sekolah rendah dan menengah,” terang Pengerusi HESA, Ustaz Ahmad Yahaya.

Tambah beliau lagi, HESA telah menubuhkan Majlis Pengetua, Majlis Guru Besar, Majlis Guru Besar Tahfiz dan dalam perancangan Majlis Guru Besar Pondok. Pelbagai aktiviti telah dijalankan antaranya Majlis Hari Guru dan Temasya Sukan HESA. HESA juga merancang menerbitkan majalah mengenai sekolah-sekolah agama dan pondok-pondok untuk hebahan kepada orang ramai.

Menyentuh mengenai bantuan kerajaan negeri kepada HESA, katanya, setakat ni Hesa menerima RM2.2 juta bantuan dari kerajaan negeri bermula pada tahun 2009 hingga 2011.

“Kita mengucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan negeri yang jelas menunjukkan keperihatinannya kepada pembangunan insan,” ujarnya.

Wakil dari Madrasah Nurul Hidayah, Tembak, Kuala ketil, Ustaz Mohd Lutfi Arifin berkata, sebelum ini sekolah mereka tidak pernah menerima sebarang bantuan dari kerajaan. Tetapi kerajaan negeri sekarang memberi bantuan dan mengambil berat mengenai pendidikan Islam.

“Sekolah kami sudah tiga kali menerima bantuan kerajaan negeri dan hasil dari sumbangan itu kami gunakan untuk menambah keperluan asas di madrasah kami.

“Sebelum ini, kami tidak menerima sebarang bantuan. Kerajaan negeri sekarang sangat mengambil berat serta memberi galakan kepada sekolah-sekolah pondok untuk terus berkembang,” tambahnya.

Selain dari mengharapkan Pakatan Rakyat terus memerintah Kedah untuk pilihanraya akan datang, beliau juga mengharapkan sekolah-sekolah agama di Kedah akan terus berkembang seperti di Kelantan.

Sementara itu wakil dari Sekolah Rendah Islam Nurul Hidayah, Penghulu Elang, Kilang Lama, Kulim, Ustazah Fauziah Ismail mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana mengambil berat hal-hal berkaitan dengan sekolah-sekolah aliran agama.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri di atas sumbangan yang diberikan. Selain kita gunakan untuk bonus kepada guru-guru, sumbangan tersebut telah membantu menyiapkan sebuah jambatan untuk kegunaan para pelajar,” katanya.

Bila ditanya apa pandangan beliau terhadap kerajaan negeri sekarang, beliau mengatakan bahawa kerajaan negeri sangat mementingkan soal-soal pembangunan insan dan menitik beratkan pendidikan Islam. Pembinaan Kolej Universiti Insaniah (KUIN) di Kuala Ketil dan Tahfiz Sains di Pulau Tuba jelas menunjukkan kerajaan negeri sangat perihatin kepada pendidikan Islam.

“Saya mengharapkan Pakatan Rakyat terus memerintah di Kedah dan sumbangan kepada sekolah agama rakyat ini diteruskan demi melancarkan perjalanan sekolah-sekolah tersebut,” ujarnya.

Tiada ulasan: