Kempen pilihan raya S 'wak: PAS masih lesu?

Setelah mencuba lapan tahun dan kempen pilihan raya Sarawak ke-10 memasuki hari keempatnya, PAS dilihat masih sukar untuk mendapatkan kerusi pertamanya di DUN Sarawak.

Setakat ini, jentera pilihan raya PAS dikatakan agak lesu kecuali di Beting Maro – yang dikatakan mempunyai peluang terbaik bagi parti Islam itu membuat kejutan.

Jika dibandingkan dengan jentera PKR dan DAP, persiapan PAS itu terlalu jauh bezanya. Itu belum lagi dibandingkan dengan jentera BN yang berpuluh kali ganda lebih perkasa.
Jentera di Beting Maro – kawasan tumpuan mereka - kini dikukuhkan dengan bantuan jentera import daripada Kelantan dan Terengganu yang lebih agresif. Pendekatan kempen kumpulan itu di kalangan penduduk setempat digelar sebagai "Kelantan style".

Namun di kerusi-kerusi lain yang ditandingi PAS - Tanjung Datu, Sebuyau, Muara Tuang dan Sadong Jaya – jentera pilihan raya dikatakan terus lesu dan masih belum dibangunkan.

NONEPada pilihan raya kali ini, PAS mensasarkan menang sekurang-kurangnya di tiga DUN iaitu Beting Maro, Sadong Jaya dan Sebuyau. PAS hanya kalah tidak sampai 900 undi di Beting Maro dan Sebuyau pada pilihan raya 2006 lalu.

Strategi PAS adalah dengan menggunakan bantuan jentera parti itu dari semenanjung untuk memastikan mereka mampu menembusi kubu-kubu BN itu.

DUN Sebuyau dibantu jentera PAS di negeri-negeri di Utara semenanjung Malaysia, iaitu Perlis, Kedah dan Pulau Pinang. Tanjung Datu pula mendapat bantuan daripada Pahang, Johor dan Melaka manakala di tempat lain, ia masih belum jelas.
Isu tanah adat

Selain bantuan jentera pilihan raya, isu yang dijadikan modal pada pilihan raya Sarawak juga dilihat tidak banyak.

NONEAntara yang hangat adalah isu berkaitan tanah adat (NCR) bumiputera Sarawak. Ia menjadi tuntutan utama masyarakat pribumi setiap kali datangnya pilihan raya di negeri itu.

Kebanyakan penduduk menghadapi masalah mendapatkan geran individu untuk tanah nenek moyang mereka. Terdapat juga pertikaian dalam membezakan antara tanah berstatus NCR dan tanah negeri.

“Kita beritahu pengundi, kalau kita berjaya membentuk kerajaan dengan Pakatan, semua isu melibatkan tanah adat boleh diselesaikan dengan mudah.

“Tetapi jika sekadar menjadi pembangkang pun, akan menyebabkan kerajaan sedia ada tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya terhadap tanah mereka,” jelas seorang pegawai kempennya Jamaludin Ishak.

NONEKatanya lagi, bagi memastikan kesungguhan untuk menyelesaikan keluhan zaman berzaman itu, PAS mengambil peluang menemui pengundi sambil mengutip maklumat tentang masalah berkenaan. Ini akan disusuli dengan bantuan guaman.

Tambahan lagi, menurut Jamaludin, calon mereka di Beting Maro, iaitu Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus juga merupakan seorang peguam.
Belajar dari PKR
Tindakan itu dilihat cuba belajar daripada pengalaman rakan mereka dari PKR yang mana beberapa pemimpin mereka seperti Baru Bian (bertanding di Ba'Kalalan) dan See Chee How (Batu Lintang) – kedua-duanya menempa nama kerana banyak membantu memperjuangkan kes tanah NCR ke mahkamah.

NONEKemenangan PAS kali ini amat penting untuk kelangsungan parti itu di Sarawak pada masa depan,. Ia juga sekali gus menyuntik semangat baru kepada anggotanya yang tidak pernah menikmati rasa kemenangan sejak pertama kali bertanding pada tahun 2003.

Justeru, selepas lapan tahun, sebagai sebuah parti Islam dalam masyarakat yang majmuk, PAS dilihat perlahan-lahan berubah untuk dilihat lebih terbuka dan rencam.

Pada masa yang sama, parti itu juga percaya perlu bergantung kepada faktor lain bagi memberikan imej positif mereka sebagai sebuah parti Islam di tengah-tengah masyarakat pelbagai kaum dan agama.

nasharudin mat isa interview 060607 talkingJusteru, bagi Pengarah Pilihan Raya PAS DUN Sarawak Nasharudin Mat Isa (kanan) tindakan parti itu meletakkan dua calon wanita dan seorang calon muda bertanding di tiga daripada lima tempat yang diperuntukan Pakatan padanya mempunyai percaturan tersendiri.

“Sudah tentu ada perkiraannya. Sebagai contoh, calon Beting Maro, Abang Ahmad Kerdee, dengan ketokohan orang muda, seorang peguam dan aktivis Pemuda (parti), ini pilihan terbaik untuk rakyat.

“Calon Muslimat pula, isyarat yang lain bahawa kita punya calon daripada pelbagai latar,” kata Nasharudin yang juga timbalan presiden PAS ketika dihubungi Malaysiakini Khamis lalu.

Tak belajar dari BN Sarawak


Ditanya kenapa sejak beberapa pilihan raya kecil sebelum ini, PAS terus gagal menjadi pilihan rakyat Sarawak, meskipun mengetengahkan isu tempatan seperti tanah NCR berulang kali, Nasharudin berkata ia disebabkan kekangan media arus perdana dan faktor geografi.

Katanya, kedua-dua faktor itu menyebabkan maklumat sukar disalurkan.

NONE“Jadi rakyat hampir tidak bermaklumat. (Maka) yang menjadi penentuan, dolar dan sen (politik wang),” kata Nasharudin yang anggota parlimen Bachok.

Berbeza dengan pendekatan di semenanjung, PAS tidak menyentuh langsung isu agama yang menjadi polemik sebelum ini seperti isu kalimah Allah dan penyebaran kitab Injil berbahasa Melayu.

Menurut seorang tokoh masyarakat Melayu-Melanau tempatan, perkara itu tidak menjadi isu di bumi Kenyalang selagi kerajaan sedia ada menjaga kebajikan penganut semua agama.

dr juanda jaya perlis mufti candidate 081106“Selagi kemudahan dan peruntukan untuk masjid terjaga, selagi kemudahan untuk gereja terjaga, masyarakat Sarawak tidak akan kisah. Politik di sini berbeza dengan di semenanjung Malaysia,” kata Mufti Perlis Juanda Jaya yang merupakan anak jati dan pengundi Sarawak.

Juanda juga mendedahkan, BN mengekalkan popularitinya di kalangan rakyat yang ketandusan maklumat melalui 'utusan' yang dihantar bagi berbual di pasar dan kedai-kedai kopi untuk menyampaikan mesej mereka.

“Ini yang Pakatan tidak belajar daripada BN Sarawak,” katanya yang akan pulang mengundi di DUN Jemoreng dalam parlimen Igan.

Tiada ulasan: