Awas, penjenayah sampah!

oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR, 31 Mac 2011 – Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) akan mewujudkan konsep polis kepada penjenayah sampah. Ini bertujuan membendung sikap individu yang gemar membuang sampah merata-rata dan mengotorkan kawasan.

Datuk Bandar MBAS, Datuk Khazali Din melahirkan hasrat ingin menjadikan Bandaraya Alor Setar sentiasa bersih dan indah.

“Kita telah pun mendapat kerjasama daripada pertubuhan, sekolah, gedung perniagaan dan kumpulan masyarakat untuk melaksanakan konsep ini dalam masa yang terdekat. Ia umpama sistem pemberi maklumat MBAS iaitu melaporkan kesalahan pihak yang didapati mengotorkan kawasan,” terangnya.

Tambahnya lagi, pemberi maklumat akan diberi ganjaran seperti surat penghargaan atau sebagainya atas maklumat yang diberi. Pihak MBAS juga mengalu-alukan penyertaan orang ramai termasuk semua lapisan masyarakat untuk menjadi sukarelawan dengan menjadi mata telinga mereka.

Untuk merealisasikan hasrat menjadikan Alor Setar bandaraya yang bersih dan indah, prestasi E-idaman juga perlu dipertingkatkan. Jumlah lori yang beroperasi perlu ditambah dan konsesi penambahbaikan perlu dipertingkatkan, katanya lagi.

“Kita memerlukan minimum 18 buah lori tetapi sekarang hanya 12 buah sahaja yang beroperasi. Ini menyebabkan jadual pengutipan sampah terganggu. Kita bagi tempoh untuk hingga April untuk menilai semula kerja-kerja ini. Kurang sampah bermakna kurang penyakit dan ini perlu diberi tumpuan oleh masyarakat,” kata Datuk Khazali.

Tiada ulasan: