Wanita perlu kesedaran mengenai undang-undang

ALOR SETAR, 13 Mac – Golongan wanita perlulah mempunyai kesedaran mengenai undang-undang kekeluargaan dalam usaha melahirkan sebuah keluarga yang bahagia dan harmoni.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat, YB. Ustazah Siti Ashah Ghazali, peranan golongan wanita amat penting ke arah mewujudkan kehidupan yang mesra dalam keadaan harmoni dan berkasih sayang.

“Seorang isteri terpaksa menempuh pelbagai rintangan dan halangan dalam usaha melahirkan sebuah keluarga yang aman bahagia di samping mendidik anak-anak dengan didikan yang secukupnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Forum Wanita Sejahtera yang bertemakan ‘Wanita dan Undang-Undang: Satu Penjelasan’ di Pekarangan Stadium Darul Aman, yang diadakan sempena Sambutan 3 Tahun Kedah Sejahtera.

Ustazah Siti Ashah memberitahu, Forum Wanita Sejehtara itu menjurus kepada meningkatkan kesedaran dalam kalangan wanita mengenai undang-undang, kekeluargaan dan kesihatan.

“Di sinilah letaknya peranan wanita dalam bersama-sama melahirkan generasi keluarga yang bepekerti mulia dan menceriakan rumah tangga,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, golongan wanita terutama isteri turut bertanggungjawab dalam membimbing anak-anak dengan sebaiknya.

“Peranan mendidik generasi baru adalah terletak pada kerjasama semua pihak dan menjadikan golongan wanita sebagai penyumbang kepada kesejahteraan negara,” katanya.

Dua ahli panel dijemput bagi menjayakan Forum Wanita Sejahtera yang mana salah seorang daripadanya ialah Timbalan Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Profesor Dato’ Dr. Zaleha Kamaruddin yang membicarakan mengenai undang-undang dan hak seorang wanita.

Seorang lagi ahli panel ialah pakar motivasi dan Doktor Pakar Perunding Mata, Profesor Dr. Muhaya Mohamad yang mengupas topik mengenai kesihatan dan kekeluargaan.

Manakala pengerusi majlis ialah Pegawai Penyelidik Jabatan Mufti Negeri Kedah, Ustazah Faridah Ahmad.

Tiada ulasan: