Mahathir Buta Perlembagaan, kata Aziz Bari



SHAH ALAM 15 MAC : Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia atau UIAM, Prof Dr Abdul Aziz Bari menyifatkan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad jahil perlembagaan kerana mempersoalkan peruntukan bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil.

Aziz berkata, merujuk kepada blog Mahathir tahun lalu beliau boleh didakwa di bawah Akta Hasutan kerana merpertikaikan peruntukan tersebut di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Tulisan Tun Mahathir dalam blognya adalah salah apabila mempersoal sekolah Rendah Jenis Cina (SRJC) dan Tamil (SRJT) untuk dapat peruntukan. Beliau boleh ditangkap dan didakwa di bawah Akta Hasutan.

“Hak kaum Cina dan India dijamin di bawah Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan manakala bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Aziz berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Federalisme: Keadilan Dalam Mengagihkan Kekayaan Negara’ pada program Wacana Ekonomi di Dewan Bankuet Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) hari ini.

Menurut Aziz , Artikel 152 menyatakan bahawa kedudukan dan hak bahasa lain untuk digunakan, dipelajari dan dikembangkan sekalipun dengan menggunakan dana awam tidak akan dinafikan.

“Di bawah Artikel 152 memberi jaminan dan mekanisma yang memastikan semua orang mendapat hak masing-masing dan kerajaan boleh memberi peruntukan kepada sekolah-sekolah ini,” ujarnya.

Jelas Aziz, beliau turut menyifatkan isu-isu yang dibawa oleh Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia atau Perkasa adalah tidak logik kerana pernah menentang peruntukan kepada SRJC dan SRJT tahun lalu.

“Apa yang diperjuangkan Perkasa itu tidak logik dan masuk akal kerana melanggar perkara yang termaktub di dalam Perlembagaan,” katanya.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Setiausaha Agong PKR, Saifuddin Nasution Ismail, Pengarah Strategi, Rafizi Ramli, Pengarah Komunikasi, Nik Nazmi Nik Ahmad, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, Adun Sri Muda, Shuhaimi Shafei, Adun Bukit Melawati, P Muthiah dan Adun Taman Medan, Haniza Talha.

Tiada ulasan: