400 penghuni tidak puas hati arahan pindah



Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 16 Mac: Jawatankuasa Bertindak Penangguhan Perpindahan Kuarters Kerajaan Kawasan Cochrane menuntut Jabatan Perdana Menteri (JPM), Bahagian Pengurusan Hartanah menangguhkan arahan perpindahan sehingga pihak JPM menyediakan kuarters ganti.

Mereka turut menuntut Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengekalkan kuarters baru di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Alam, Sungai Besi yang lebih dekat dengan PPR asal, bukan di PPR Kampung Muhibbah, Jalan Klang Lama.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr. Lo' Lo' Ghazali membawa masalah berkenaan ke Parlimen hari ini.

Menurut Lo' Lo', kira-kira 400 penghuni kuarters berkenaan telah menyuarakan ketidakpuasan mereka terhadap cara kerajaan memaklumkan berkenaan arahan berpindah itu.

Notis berkenaan hanya dimasukkan ke dalam peti surat pada waktu malam tanpa bersemuka dengan mereka sendiri.

Ini menimbulkan tekanan kepada penghuni yang kesuntukan masa untuk berpindah kerana terpaksa menguruskan persekolahan anak-anak dan perkara-perkara lain.

Dalam sidang media di lobi Parlimen, Lo' Lo' mempersoal notis berkenaan yang menyatakan ianya merupakan pemutihan setinggan sedangkan kuarters berkenaan dibangunkan kerajaan.

"Kenapa notis yang diberikan itu menyatakan pemutihan setinggan sedangkan ini kuarters kerajaan, bukan setinggan," kata beliau yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat.

Beliau juga mahu kerajaan prihatin terhadap nasib kakitangan kerajaan dan membuat keputusan yang sewajarnya.

Terdahulu Lo' Lo' menyerahkan memorandum lima muka surat itu kepada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz.

Tiada ulasan: