Malaysia Belum Mampu Urus Loji Nuklear

KUALA LUMPUR 18 MAC: Faktor kewibawaan kerajaan Malaysia pimpinan Umno-Barisan Nasional (BN) untuk mengurus tadbir loji nuklear di negara ini menjadi keraguan.

Justeru, integriti kerajaan yang ternyata tempang kini menjadi taruhan sama ada ia mampu memberi jaminan keselamatan rakyat Malaysia sekiranya cadangan pembinaan dua loji nuklear yang dijangka siap pada tahun 2021 dan 2022, diteruskan.

Bercakap dalam segmen Fokus Berita di Tv Selangor petang tadi, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago mempersoalkan keenganan kerajaan untuk memberi tumpuan kepada tenaga boleh diperbaharui sedia ada untuk menjana lebih banyak tenaga elektrik di negara ini.

Namun menurutnya, kerajaan Perdana Menteri Najib Razak lebih berminat menceburi bidang nuklear yang berisiko tinggi sehingga mencecah kos RM20 bilion walaupun nyata kekurangan pakar dalam sektor itu.

"Ini adalah strategi salah. Malaysia bukan Jepun. Jepun tidak ada sumber asli, sebab itu kena faham mengapa mereka guna nuklear. Malaysia ada pelbagai hidro, solar dan sebagainya. Boleh guna wang RM20 bilion itu untuk menukar tenaga boleh diperbaharui.

"Kita tidak yakin kerajaan kini ada kewibawaan untuk mengikut semua protokol keselamatan yang digariskan agensi antarabangsa (nuklear)," jelas beliau.

Krisis nuklear di Jepun yang masuk minggu kedua semakin meruncing apabila mencatatkan peningkatan paras radiasi hari ini meskipun usaha berterusan membendung kecairan reaktor loji nuklear di Fukushima Daiichi.

Charles turut menjelaskan kejadian yang berlaku di Jepun baru-baru itu telah merubah persepsi dunia tentang pembangunan tenaga nuklear walaupun penjanaannya menghasilkan kadar pembebasan karbon yang minimum.

Tambahnya, aspek keselamatan yang masih belum diyakini selain pendedahan khusus kepada umum mencetuskan kesangsian di kalangan masyarakat.

Jelasnya lagi, kerajaan kurang memberi penekanan kepada pakar tempatan untuk pembangunan tenaga alternatif seperti solar dan hidro justeru meminggirkan kepakaran yang ada dalam negara.

Charles berpendapat kerajaan Malaysia terlalu tunduk kepada pelobi-pelobi industri nuklear dunia sehingga sanggup mengenepikan pandangan masyrakat.

Tambahnya, ketua-ketua kerajaan dengan syarikat pembangunan nuklear negara harus bekerjasama secara intensif untuk memastikan dasar nuklear diselaras bagi mengelakkan sikap menunding jari sekiranya berdepan dengan krisis seperti di Jepun.

"Mereka takut untuk keluar daripada pengaruh pelobi-pelobi nuklear yang besar," kata Charles lagi.

Dua loji nuklear yang dicadangkan boleh menjana sehingga 1000 megawatt bertujuan untuk mengimbangi bekalan tenaga selain berdepan dengan krisis kenaikan harga petrol, arang batu dan hidro.

1 ulasan:

Mohamadazhan.com berkata...

loji minyak pun belum telus dan berintegriti lagi nak jaga...ni nuklear...bukan c4.hehe