Jangan salahkan jurulatih dan pengurus sahaja -MB

ALOR SETAR, 16 Mac: “Kalau kita ada pengurus yang baik dan jurulatih yang baik, pemain tak baik macam mana? Takkan disebabkan kalah, hanya jurulatih atau pengurus sahaja disalahkan, jadi kita akan tengok secara keseluruhan,” Menteri Besar Kedah YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai desakan orang ramai agar jawatan pengurus pasukan diganti dengan orang lain.

Beliau yang juga sebagai Presiden Bola Sepak Kedah (KFA), menghargai setiap pandangan yang diberikan orang ramai dan akan mempertimbangkan sewajarnya demi kejayaan bola sepak Kedah dan keselesaan semua pihak.

Jawatan pengurus pasukan Kedah kini dipegang oleh Datuk Bandaraya Alor Setar Dato’ Khazali Haji Din.

Peminat bola sepak Kedah yang kecewa dengan kemerosotan prestasi bola sepak Kedah mendesak YAB Mneteri Besar Kedah menamatkan perkhidmatan Dato’ Khazali kepada pengurus baru demi kemajuan bola sepak Kedah.

Walau bagaimanapun Dato’ Seri Ustaz Azizan berkata, kerajaan akan mempertimbangkan semua cadangan selain melihat semua aspek berkenaan sebelum membuat keputusan demi kepentingan bola sepak negeri.

Sehubungan itu beliau mengumumkan pemberian ganjaran lot tanah kepada lima pemain negeri itu yang mewakili skuad kebangsaan dalam kejohanan Piala Suzuki AFF 2010.

Katanya, tanah seluas dua hektar di Pokok Sena akan dibahagikan kepada lima pemain berkenaan, iaitu pemain sayap Mohd Khyril Muhymeen Zambri, pemain pertahanan Helmi Johari serta pemain tengah Mohammad Faizal Abu Bakar dan Amar Rohidan yang berhijrah dari Perlis.

Ini adalah sumbangan dan penghargaan Kerajaan Negeri sebagai menghargai sumbangan mereka kerana mengharumkan nama Kedah dalam arena bola sepak. Sebelum ini mereka juga mendapat ganjaran wang sebanyak RM5,000 seorang daripada Kerajaan Negeri.

Tiada ulasan: